PRU15 peluang terbaik BN merampas kerusi DUN Ketari daripada DAP

KUANTAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari (N34) walaupun dianggap kerusi ‘heavy weight’ kerana disandang DAP sejak dua penggal lalu, namun BN yakin ruang untuk memberi saingan kepada calon parti lain tetap ada.

Calon BN kawasan itu, Datuk Amizar Abu Adam berkata, peluang yang terbuka untuk kerusi Ketari dalam pilihan raya kali ini, jadi sudah sampai masa untuk BN mengambil semula daripada DAP.

“Mereka (DAP) juga meletakkan calon dari luar Pahang di situ dan saya fikir pengundi boleh menilai (tindakan) dibuat DAP dalam pemilihan calon.

“Bagi saya, keputusan memilih calon luar secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah parti itu menjadikan Ketari sebagai tempat ‘persinggahan’ saja,” katanya ketika ditemui di Kuantan.

Sebelum ini, kerusi DUN Ketari disandang Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman.

Dia memenangi kerusi itu pada PRU13 dan PRU14 sebelum dicalonkan untuk kerusi parlimen Bentong dalam PRU15.

Dalam PRU14, Young Syefura memenangi kerusi DUN Ketari dengan jumlah majoriti 3,710, menewaskan calon daripada PAS dan BN.

Untuk PRU15, DAP meletakkan ahli jawatankuasa pusat parti itu, Thomas Su bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Ditanya mengenai jumlah terkini pengundi di kawasan itu pula, Amizar berkata, terdapat kira-kira 6,000 pengundi baru, termasuk mereka berusia 18 tahun.

“Pengundi baru berjumlah hampir 25,000 orang, pertambahan sekitar 19,000 pengundi, pengundi baru inilah yang sangat penting dalam menentukan kemenangan calon yang bertanding.

“Suasana dan sentimen untuk PRU15 dan PRU14 berbeza, jadi saya nampak BN mempunyai peluang untuk memberikan cabaran,” katanya.