JANGAN TERKEJUT JIKA UMNO SOKONG ANWAR

JANGAN TERKEJUT JIKA UMNO SOKONG ANWAR

KUALA LUMPUR: UMNO sedia memberi kerjasama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Presiden PKR itu mempunyai formula yang boleh membahagiakan semua pihak di dalam parti itu sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, sokongan itu juga tidak mustahil diperolehi daripada parti-parti lain seandainya mereka berpendapat Ketua Pembangkang itu boleh memberi apa yang dimahukan.

Katanya, UMNO sendiri sudah tidak berpuas hati sejak Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di mana mereka tidak memperoleh peluang berkhidmat kepada rakyat seperti yang diharapkan.

Ujarnya, ia sekali gus membantutkan kekuatan UMNO untuk kembali sebagai sebuah parti yang boleh memperjuangkan nasib rakyat terutamanya kaum Melayu.

“Kalau UMNO merasakan (peluang) dia dikurangkan, pihak kerajaan PN kena melihat perkara ini supaya dapat diatasi. Kalau tidak nanti masalah perhubungan ini akan menjadi lebih rumit dan orang lain akan mengambil kesempatan untuk membawa satu cadangan lain

“Umpamanya, sekarang mungkin Anwar ada formula yang boleh membahagiakan pihak yang sanggup bekerjasama dengannya, (kalau sekiranya) pihak lain, UMNO, GPS (Gabungan Parti Sabah) atau WARISAN.

“Kalau parti-parti ini merasakan Anwar boleh memberi apa yang dia mahu, mungkin mereka akan tertarik untuk memberikan sokongan kepada Anwar, jangan terkejut kalau itu berlaku,” katanya semasa dihubungi di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Tegasnya, parti itu turut memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

https://www.sahih.com.my