SKRP anjur solat subuh berjemaah
Foto atas : Warga Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, bersama-sama ibu bapa murid menunaikan solat subuh berjemaah di Dataran Haji Shaharuddin sekolah itu.
SKRP anjur solat sbuh berjemaah
KLANG – Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, menganjurkan program Jom Solat Subuh Berjemaah membabitkan guru, murid dan ibu bapa sejak 25 Ogos lalu.
Program yang berlangsung di Dataran Haji Shaharuddin sekolah berkenaan pada minggu keempat setiap bulan membabitkan semua warga sekolah terutama murid Tahap Dua dan akan menjadi program sepanjang tahun.
Guru Besar SKRP, Hazi Kadir berkata, selepas bertukar ke sekolah berkenaan dia membawa bersama beberapa program ke arah pembangunan pembelajaran dan modal insan dalam pelbagai segi bagi tujuan melahirkan kecemerlangan dan kegemilangan.
“Jauh sekali untuk bermegah-megah sebaliknya program solat subuh berjemaah itu adalah antara usaha yang dirancang begitu rapi untuk menyatupadukan seluruh warga SKRP selain dapat mendirikan ibadah bersama-sama.
“Program itu juga secara tidak langsung menepati amalan berikhtiar yang bermula daripada usaha dan berdoa termasuk selepas menunaikan solat seharusnya seiring bagi memastikan kejayaan akan berjaya dinikmati seluruh warga sekolah.
Katanya, usaha murni solat subuh berjemaah itu disambut baik oleh semua pentadbir serta barisan Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab bagi memenuhi takwim aktiviti bulanan panitia sebagai amalan banyak manfaat.
“Objektif utama program berkenaan adalah untuk melahirkan murid yang berpegang teguh dengan agama serta mewujudkan suasana keakraban, kemesraan, keseronokan serta kasih sayang antara guru dan murid.
“Program itu juga dapat melahirkan warga sekolah yang memiliki sahsiah diri mulia, berbudi pekerti, berhemah dan cintakan ajaran islam melalui amalan solat berjemaah yang dianjurkan itu,” katanya.
Katanya, kehadiran 400 jemaah pada hari pertama program itu dilaksanakan menunjukkan ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa, murid dan guru yang membuktikan mereka menyokong usaha bermanfaat SKRP.
Sementara itu, beberapa guru memaklumkan murid begitu teruja apabila setiap kali dapat datang awal ke sekolah untuk bersama-sama guru, ibu bapa serta kawan mereka menunaikan solat subuh berjemaah.
Guru penyelaras program berkenaan, Ustaz Muhammad Syaharuddin Ibrahim berkata, bagi menambahkan lagi kemeriahan dan menggalakkan lebih ramai murid datang bersolat subuh berjemaah dia akan menukarkan menu sarapan pagi di samping memberikan wang saku kepada murid yang hadir.
“Saya akan berbincang serta mendapatkan persetujuan terlebih dahulu daripada guru pentadbir terbabit sebelum langkah ini dibuat kerana usaha itu adalah untuk kebaikan juga motivasi kepada murid,” katanya.- SAHIH.