SERAMAI 532 INDIVIDU DIKOMPAUN
SERAMAI 532 INDIVIDU DIKOMPAUN
KUALA LUMPUR: Penguat kuasa menahan 575 individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semalam.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 532 individu dikompaun, 39 individu direman, manakala empat lagi dijamin.
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
“Empat kesalahan tertinggi yang dicatatkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (103), tiada penjarakan fizikal (96), tidak memakai pelitup muka (96) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (70).
“Kesalahan lain ialah keluar rumah tanpa alasan munasabah (50), aktiviti pusat hiburan (10), makan di premis melebihi had dibenarkan (17), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (16) dan kesalahan lain (117),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 3,366 pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM melakukan 72,474 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP di seluruh negara, semalam, lapor BH Online.
“Semalam, Op Benteng berjaya menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
“Menerusi operasi itu juga, 126 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya yang turut memaklumkan sebanyak 522 sekatan jalan raya turut dilaksanakan pihak berkuasa di seluruh negara secara 24 jam, bermula semalam.
GAMBAR HIASAN
Mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, sebanyak 101 operasi sanitasi dilaksanakan merangkumi 45 zon merah, dua zon jingga, lapan zon kuning dan satu zon hijau.
Mengulas mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, seramai 5,925 individu kini sedang menjalani kuarantin wajib di 64 hotel dan 11 premis lain, termasuk institut latihan awam serta institusi pengajian swasta.
“Semalam, seramai 604 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan semuanya dikuarantin wajib.
“Secara kumulatif, mulai 24 Julai 2020 sehingga semalam, seramai 119,653 individu yag pulang ke tanah air dikuarantin dengan 538 individu dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 113,190 lagi dibenarkan pulang,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata enam premis perniagaan dikompaun dan dua lagi diberi nasihat oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna kerana tidak mematuhi SOP.