PRO2 EV Bakal Gegarkan Pasaran! Model RM80,000 Ini Mungkin ‘Pembunuh’ EV Lain!
PRO2 EV Bakal Gegarkan Pasaran! Model RM80,000 Ini Mungkin ‘Pembunuh’ EV Lain!
KUALA LUMPUR – Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dijangka bergegar dengan kemunculan model pertama EV keluaran syarikat tempatan, PRO2, yang bukan sahaja tampil bergaya, malah ditawarkan pada harga mampu milik – hanya sekitar RM80,000!
Model EV terbaru ini dikatakan mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi pesaing lain – sekali caj boleh mencecah jarak 400 kilometer. “Kalau caj penuh dari Kuala Lumpur, boleh sampai Penang. Lepas tu makan nasi kandar,” kata seorang pengulas automotif sambil berseloroh.
Jantung kepada model EV ini ialah bateri berkualiti tinggi keluaran CATL, dipadankan dengan rekaan moden ‘cell-to-chassis’ yang meningkatkan ketahanan dan prestasi. Sistem suspensi juga diberi perhatian apabila bahagian depan menggunakan McPherson strut manakala belakang dilengkapi torsion beam – kombinasi mantap untuk pemanduan selesa.
Dari segi rekaan, PRO2 EV ini tampil penuh bergaya dengan pemegang pintu tersembunyi di depan dan belakang – memberi aura futuristik seperti model-model premium luar negara. Tayar pula bersaiz besar 18 inci, profil 215/50R18 – pertama kali digunakan dalam mana-mana produk jenama PRO2.
Sistem brek juga tidak kurang hebatnya. Dengan brek cakera depan dan belakang, ini merupakan model kedua selepas Alza yang menerima ciri keselamatan penting ini.
Bahagian dalaman pula diperkemaskan dengan gear ‘shift-by-wire’, membolehkan ruang tambahan di bawah konsol tengah – cukup sesuai untuk meletakkan beg tangan isteri, kata pengulas dengan nada bersahaja.
Menariknya, motor diletakkan di hadapan untuk penjimatan tenaga, dan halaju maksimum ditetapkan pada 165km/j – langkah bijak untuk mengurangkan penggunaan kuasa. Lampu hadapan pula dipasang dengan jalur LED moden yang menyerlahkan lagi penampilan EV ini.
Adakah ini permulaan era baharu untuk EV buatan tempatan? Jika model ini benar-benar dilancarkan, EV jenama luar mungkin bakal ‘gigit jari’.-SAHIH