PRASARANA TAWAR ASET BANTU PACU PROGRAM VAKSINASI NASIONAL
PRASARANA TAWAR ASET BANTU PACU PROGRAM VAKSINASI NASIONAL
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.
Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah berkata, Prasarana bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
“Turut terbabit, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19.
“Langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel dan aset digital di dalam bas dan tren,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya semua aset ini akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.
“Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.
“Kesemua Bas Kapten yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas. Secara keseluruhan, semua staf-staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya
Katanya, Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.
“Pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.
“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” katanya. –SAHIH.