PENGETUA SEKOLAH AGAMA DITAHAN ROGOL PELAJAR
BACHOK: Seorang pengetua sekolah menengah agama di Machang, ditahan polis kerana dipercayai merogol pelajarnya sejak tiga tahun lalu.
Kejadian itu terbongkar sejak beberapa hari lalu sebelum pengetua berusia 45 tahun itu ditahan di kediamannya jam 6.30 pagi tadi di Machang.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pengetua dan pelajar perempuan tingkatan tiga berkenaan dipercayai bercinta dan sentiasa berhubung tanpa pengetahuan keluarga.
“Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan mengajak mangsa ke sekolah dipercayai beberapa kali seminggu ketika ketiadaan murid lain serta guru. Kejadian rogol itu dilakukan di sekolah.
“Kejadian itu mula terbongkar apabila pihak ketiga yang mengetahui perkara itu membuat aduan kepada Talian Kasih sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak polis.
“Sebaik ibu bapa berkenaan bertanyakan kepada pelajar berkenaan apa yang berlaku, pelajar berkenaan mengaku sebelum polis menghantarnya ke Hospital Raya Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya pada sidang media dipetik dari BH Online.
Beliau berkata, pengetua berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak selain sudah bertugas di sekolah menengah agama itu sejak beberapa tahun lalu.
“Berdasarkan siasatan awal polis, pelajar berkenaan tidak diugut oleh pengetua itu sepanjang dua tahun lalu sebaliknya apa yang berlaku sudah ada persetujuan bersama antara mereka.
“Mungkin mereka bercinta dan kedua-duanya sentiasa berhubung secara rahsia tanpa pengetahuan keluarga.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan suspek direman pagi ini untuk siasatan lanjut,” katanya.