PENGENDALI JET SKI HILANG DITEMUI LEMAS
PENGENDALI JET SKI HILANG DITEMUI LEMAS
BALIK PULAU: Pengendali jet ski yang dilaporkan hilang di Monkey Beach di sini, semalam ditemui lemas pada 10.25 pagi hari ini.
Muhammad Asrul Aswad, 23, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohammed berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
GAMBAR IHSAN JBPM
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa juga ditamatkan pada 11.10 pagi oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.
“Turut terbabit dalam operasi ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Kami turut menerima bantuan daripada nelayan tempatan bersama enam bot,” katanya di sini, hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan gerakan mencari mangsa hilang dilakukan JBPM sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.07 petang semalam.
Muhammad Asrul dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada jet ski yang ditunggangnya ketika cuba menyelamatkan dua pelancong.