PENEROKA FELDA JANGAN MUDAH TERPEDAYA
ADA PIHAK LUAR TAWAR HARGA LUMAYAN
KUALA LUMPUR: Peneroka FELDA dinasihat supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tawaran lumayan syarikat luar yang mahu mengambil alih tanah rancangan yang diusahakan mereka.
FELDA dalam satu kenyataan hari ini, berkata terdapat kes peneroka berputih mata kehilangan tanah dan tidak mendapat tawaran yang dijanjikan dan akhirnya terpaksa hidup dalam kesusahan.
Tegasnya, peneroka perlu mendapatkan pengesahan dan kelulusan FELDA terlebih dahulu dalam sebarang perkara membabitkan tanah peneroka.
GAMBAR HIASAN
“Seperti diketahui umum, terdapat sebuah syarikat yang menghantar surat melalui peguam kepada FELDA dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad menyatakan minat untuk mengambil alih tanah ladang peneroka FELDA Wilayah Raja Alias untuk satu projek pembangunan bersepadu.
“FELDA memberi maklum balas pada 20 Julai lalu dan bertindak membuat laporan polis, pada 12 Ogos lalu apabila mengetahui terdapat individu disyaki mewakili syarikat terbabit ingkar dan menjalankan aktiviti perjumpaan tanpa mendapatkan kebenaran pengurus rancangan.
“Malah terdapat cubaan memujuk sehingga tahap memaksa peneroka supaya bersetuju dengan hasrat mereka dan memberikan janji di luar kebiasaan norma aktiviti jual beli yang dirasakan agak mustahil untuk dilaksanakan,” menurut kenyataan disiarkan BH Online.
Menurut kenyataan itu lagi, FELDA kemudian membuat laporan polis kedua pada 19 Oktober lalu selepas mendapati masih ada individu disyaki mewakili syarikat berkenaan terus ingkar menjalankan aktiviti perjumpaan dengan peneroka tanpa kebenaran.
Laporan itu bertujuan melindungi kepentingan FELDA dan peneroka FELDA Wilayah Raja Alias kerana cubaan menggugat keharmonian dan ketenteraman peneroka tanah rancangan terbabit.
“Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dalam kenyataan media pada 28 Oktober lalu mengesahkan kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan atau cadangan daripada syarikat berkenaan.
“Dalam kenyataan media itu juga, kerajaan negeri merasakan projek itu belum mampu dilaksanakan ketika ini.
“Malah beliau menyatakan EXCO kerajaan negeri yang mengeluarkan surat bertarikh 7 Oktober lalu, akan menarik balik surat berkenaan dan menjelaskan surat itu tidak membabitkan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Justeru, semua peneroka diseru tidak terbabit dalam sebarang sesi penerangan tidak dihadiri wakil FELDA.
“Sebarang cadangan pembangunan besar-besaran harus dilakukan dengan teratur dan mengikut undang-undang serta peraturan ditetapkan,” kata kenyataan itu.