Penduduk abadikan nama tokoh tempatan pada jalan di Kampung Sungai Damar
Penduduk abadikan nama tokoh tempatan pada jalan di Kampung Sungai Damar
LIPIS – Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Damar, Padang Tengku dekat sini menjadikan nama setiap jalan di kampung itu menggunakan nama tokoh penduduk kampung tersebut sebagai mengenang jasa mereka sebelum ini.
Pada peringkat awal, JKKK di situ telah memilih seramai 11 orang tokoh yang terkenal dalam bidang agama, pendidikan, pentadbir dan politik serta tokoh yang sudah meninggal dunia untuk dikenang semula dengan meletakkan nama pada beberapa jalan di kampung Sungai Damar.
Pengerusi JKKK Sungai Damar, Idzhar Ghazali, 61, berkata, hasrat berkenaan timbul setelah melihat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lipis dan Kuantan serta beberapa bandar lain di Pahang mengabadikan tokoh pada kebanyakan jalan atau lorong di bandar tersebut.
“Projek penamaan nama jalan bermula pada penghujung tahun lalu dengan kos penyelenggaraan membina papan tanda telah dibantu oleh wakil rakyat Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang juga penduduk tetap kampung ini.
“Kita memperoleh nama tokoh berkenaan menerusi pengetahuan sejarah daripada wakil rakyat kawasan ini (Mustapa Long) termasuk maklumat serta mendapat keizinan daripada ahli keluarga tokoh berkaitan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Damar, dekat sini hari ini.
Katanya, nama tokoh kampung itu yang dilabelkan pada papan tanda jalan yang bertulisan rumi dan jawi di setiap muka lorong, seperti Jalan Tok Empat Salleh Kari, Jalan Tok 4 Haji Abu Bakar Mat, Jalan Abu Bakar Awang, Jalan Khatib Haji Long dan Jalan Imam Sani Saad.
“Selain itu, turut diletakkan tokoh lain, itu Jalan Imam Awang, Jalan Mukim Teh Salleh, Jalan Cikgu Awang Mohd. Noor, Jalan Imam Mat Yassin Mat Ali, Jalan Bilal Mat Diah dan Jalan Zulkifli Muhamad.
“JKKK di sini akan meneruskan projek menamakan jalan di kampung ini berasaskan permintaan keluarga tokoh yang dikenali di Lipis yang lahir di sini sebagai menzahirkan nilai sejarah dan mengenang jasa penduduk Sungai Damar dan daerah ini,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, idea JKKK Sungai Damar wajar dipuji kerana mengambil nama tokoh kampung yang pernah berjaya dan berjuang dalam bidang agama, pendidikan, sosial dan politik sejak era penjajahan Jepun dan British.
“Usaha menamakan jalan di sini dengan tokoh tertentu juga menampilkan nilai sejarah untuk tatapan serta menjadi teladan generasi hari ini dan pada masa akan datang khususnya legasi perjuangan dalam bidang masing-masing.
“Projek ini juga mempamerkan keceriaan penempatan tradisional Melayu Lipis di Kampung Sungai Damar dan beberapa kampung berdekatan sekali gus menjadi tarikan orang luar menerusi sejarah tokoh berkenaan,” katanya.-SAHIH