PBT digesa kaji elak banjir kilat berlaku di bandar Jerantut
PBT digesa kaji elak banjir kilat berlaku di bandar Jerantut
JERANTUT- Penduduk di bandar Jerantut merayu kepada kerajaan Pahang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Jerantut mencari jalan penyelesaian bagi mengelak berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan bandar di daerah itu.
Rayuan itu dibuat kerana penduduk setempat kerana bimbang kejadian sama mungkin berulang sekiranya berlakunya hujan lebat seperti yang berlaku petang semalam.
Penduduk Taman Inderapura, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, 37 tahun berkata, mengakui bimbang dengan fenomena banjir kilat setiap kali hujan lebat yang mengundang kesukaran kepada penduduk di taman perumahan di situ dan juga penduduk sekitar.
Katanya, beberapa lokasi di bandar ini mula dinaiki air secara mendadak dalam tempoh setengah jam hujan lebat yang mengejutkan orang ramai.
“Banjir kilat dipercayai berpunca sistem pembetung tersumbat dengan sampah sarap di sekitar kawasan bandar Jerantut dan dipercayai longkang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air hujan lebat,” katanya.
“Isu banjir kilat semalam telah berulang kali berlaku di lokasi-lokasi lain, antaranya di persimpangan Taman Wawasan, Taman Perdana, Taman Inderapura dan di hadapan stesen minyak Caltex,” katanya.
Katanya, diharapkan pihak berkaitan dapat terus merangka pelan pembangunan yang lebih mampan, dan seeloknya, mengawal penerokaan kawasan tertentu untuk pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastrutur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan sangat lebat dan luar biasa menyebabkan banyak laluan di bandar ini dinaiki air terutamanya di hadapan stesen minyak Caltex dan di hadapan Restoran Kopi Putih, Jalan Jerantut-Temerloh, dekat sini.
“Paras kedalaman longkang utama telah terlalu maksima disebabkan air dari longkang-longkang kecil dari bangunan dan rumah yang sepatutnya mengalir terus ke longkang utama tersekat menyebabkan berlaku limpahan.
“Diharapkan Sungai Nahar dapat menampung aliran keluar air ke sungai dan tidak mengalami sebarangan gangguan seperti sekatan daripada sampah sarap,” katanya ketika dihubungi.
Katanya satu kajian menyeluruh perlu dilakukan berkaitan aliran air dari kawasan perumahan sekitar kawasan industri Jerantut yang menuju ke pembetung di hadapan Restoren Kopi Putih untuk dialirkan ke Sungai Gegar di Kampung Pedah.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusoff (50) juga mahu pihak PBT Jerantut mencari satu kaedah terbaik bagi atasi masalah banjir kilat.
“Penduduk sentiasa bersiap sedia setiap kali hujan lebat kemungkinan berdepan musibah banjir setiap kali berlakunya hujan lebat
“Kita harap kerajaan dan PBT dapat lakukan sesuatu untuk memastikan masalah banjir kilat dapat dielakkan. Kita akui fenomena alam tidak boleh diubah, tetapi kita boleh atasi dengan pengurusan betul semua sistem pembetungan dan perparitan,” katanya.-SAHIH