PANDU 191km/j ELAK TERLEWAT SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
PANDU 191km/j ELAK TERLEWAT SUNTIKAN VAKSIN COVID-19
STRASBOURG: Seorang lelaki Perancis berusia 88 tahun ditahan kerana memandu pada kelajuan 191 kilometer sejam (km/j) kerana terlewat bagi temujanji suntikan vaksin COVID-19.
Pihak polis menahannya ketika memandu di wilayah Bas-Rhin di timur Perancis, di mana had laju ditetapkan ialah 110 km/j, menurut paparan di Facebook polis Perancis.
Lesen lelaki warga tempatan itu dirampas manakala keretanya disita pihak polis selepas mendengar alasan nya, lapor AFP.
“Demi keselamatan orang ramai, sila patuhi had laju ketika memandu, walaupun sudah 60 tahun memiliki lesen memandu,” kata polis Perancis di paparan Facebook mereka.
Sejak Januari lalu, program vaksinasi di Perancis memberi keutamaan kepada mereka yang berusia 75 tahun ke atas.
Strategi itu menampakkan hasil dengan Perdana Menteri, Jean Castex, semalam berkata kadar jangkitan dalam kalangan berusia 80 tahun ke atas semakin berkurangan walaupun kumpulan usia lain mencatatkan peningkatan.