Wanita maut dalam kemalangan di Jalan Felda Jengka 19
MARAN : Sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas meragut nyawa seorang wanita dalam kemalangan di di Jengka 19, Bandar Pusat Jengka dekat sini pada jam 6.45 pagi.
Pegawai Operasi, Hashim Daud melaporkan, dalam kejadian tersebut, mangsa, Nur Syuhada Husni berusia 33 tahun dan beralamat di Felda Jengka 16 disahkan maut oleh pegawai perubatan.
“Lima anggota bomba dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Jengka bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi penyelamatan dan berjaya mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi pembersihan kawasan kemalangan turut dilakukan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga emas , ahli jawatankuasa, petugas dan sukarelawan merakam kenangan sebelum menyertai pelbagai acara pada Program Hari Keluarga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka, baru-baru ini
30 Penghuni PJMM beriadah di Pengakalan balaik, Melaka
Pihak pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu serta sukarelawan yang prihatin membawa 30 penghuni untuk beriadah di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Melaka pada 15 Februari lalu.
Program Hari Keluarga PJMM semalam dua hari itu diserikan dengan kemeriahan pelbagai acara sukaneka, senamrobik, makan malam dan cabutan nombor bertuah yang mengabungkan warga emas dengan petugas serta sukarelawan ternyata amat menghiburkan terutama penghuni terbabit walaupun sebahagian besarnya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat.
Warga emas PJMM tetap bersemangat menyertai senamrobik.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata mereka lupakan semua kesusahan serta kepenatan apabila terpaksa memapah, mengangkat warga emas yang berkerusi roda atau memimpin mereka menaiki serta turun dari bas untuk ke resort itu.
Menurutnya, petugas, sukarelawan dan individu prihatin yang turut serta tidak merungut kerana terpaksa bergabung tenaga demi keselesaan warga emas terbabit untuk melihat dunia luar, pemandangan cantik tepi pantai sambil menghirup udara segar yang sekali gus menenangkan jiwa mereka.
Jelasnya, apabila waktu makan tengah hari, minum petang dan makan malam warga emas terbabit tetap disantuni dengan baik sebagaimana berada di PJMM malah petugas dan sukarelawan mengutamakan mereka dahulu untuk menjamah menu disediakan.
“Sebagai sebuah pusat jagaan tidak berbayar yang diwujudkan atas dasar untuk memberi pembelaan dan usaha kami tidak didendangkan, warga emas ini tetap disantuni dengan sempurna malah mereka bertuah apabila pelbagai pihak seperti agensi korporat, NGO dan individu prihatin sentiasa menginfakan bantuan.
“Dalam situasi tertentu PJMM juga terpaksa menagihkan bantuan dengan banyak pihak terutama dari segi keperluan harian, sumber makanan dan sebagainya untuk warga emas ini tidak terbantut kerana kesihatan mereka amat diutamakan.
“Seperti program ini berjaya diadakan sebahagian besar hasil sumbangan pihak dan mereka yang memberi sokongan kerana prihatin mahu melihat warga emas terbabit berlibur luar dari pusat jagaan,” katanya.
Antara pihak yang terbabit memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan selain daripada individu perseorangan termasuklah Group Hambamu, Pertubuhan Sukarelawan Kasih, Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, XMRSM KT82–86, Aceakl Property Management Sdn Bhd, Aqrab Al Istiqamah dan sebagainya.
Sementara itu, seorang warga emas terbabit, Mohammad Lim Abdullah, berkata dia sememangnya sudah lama menunggu peluang untuk keluar beriadah dengan berlibur jauh dari pusat jagaan itu bagi mengurangkan rasa bosan terperap dalam bilik.
Menurutnya, hendak mengharapkan kepada anak atau waris bawa berjalan-jalan hanya impian sahaja kerana dia sebatang kara di PJMM dan jika ada saudara mara pun tidak tahu di mana mereka semua berada sekarang.
“Saya terpaksa berkerusi roda atau bertongkat jika ingin berjalan kerana kaki di sebelah kiri menggunakan kaki palsu kerana sudah dipotong akibat penyakit kencing manis,” katanya.
Rakan beliau, Elias Othman, berkata walaupun masih mampu berjalan namun tidaklah segagah dahulu kerana kini dia semakin uzur tetapi tetap berasa gembira dapat menyertai petugas dan sukarelawan dalam sukaneka serta senamrobik.
“Dalam permainan tertentu mereka terpaksa mengingatkan saya apa yang perlu dibuat dan seronoknya apabila dapat bersaing dengan kumpulan yang bertanding.
“Jika saya sudah tiada nanti, saya berharap pihak pengurusan PJMM dapat meneruskan program ini untuk rakan-rakan yang masih ada kerana beriadah mampu memberi kesan dalam menghilangkan tekanan perasaan,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pegawai JKR direman 5 hari terima rasuah lebih setengah juta
KUANTAN – Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah.
Dia direman di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga 1 Mac dikeluarkan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Penjawat awam berusia 44 tahun itu bertugas di bahagian jalan JKR daerah Raub ketika didakwa melakukan kesalahan itu.
Dia dikatakan menerima suapan antara RM1,000 hingga RM95,000 antara tahun 2018 hingga 2022.
Jumlah keseluruhan suapan diterima suspek adalah RM516,325.
Suapan itu diterima daripada seorang kontraktor sebagai balasan mencadangkan syarikat proksi kontraktor berkenaan untuk diambil sebagai sub-kontraktor bagi projek pembaikan cerun daripada JKR Daerah Raub.
Suspek juga dipercayai membantu urusan bagi mendapatkan bayaran tuntutan kerja membaiki cerun berkenaan.
Dia ditahan jam 6.56 petang semalam ketika hadir bagi dirakam keterangan di pejabat SPRM Pahang.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bera- Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan dia merajuk hingga mengakibatkan tidak menawarkan diri mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno bulan depan.
Sebaliknya dia menegaskan keputusan itu dibuat kerana ingin menunjukkan bahawa pendiriannya berhubung proses pemilihan parti kali ini tidak mengikuti perlembagaan Umno.
“Saya tak boleh bercakap lain buat lain, saya secara konsisten tak bersetuju dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan, saya tak setuju.
“Bagi saya perlembagaan parti menetapkan bahawa semua jawatan dalam Umno mesti dipertandingkan tiga tahun sekali di peringkat bahagian, itu ditetapkan perlembagaan, MT (Majlis Tertinggi) PAU (perhimpunan agung Umno) tak boleh buat keputusan yang bertentangan dengan perlembagaan (parti).
“Saya bukan protes, bukan merajuk tapi saya konsisten dengan pendirian saya, dulu kata tak setuju tiba-tiba dia bertanding pula,” katanya kepada media di Bera, hari ini.
Ahli parlimen Bera itu juga berpandangan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sepatutnya membuat keputusan berkaitan rayuan Umno sebelum tarikh tutup pencalonan Jumaat lalu.
Katanya, kelewatan ROS menyatakan pendirian mengenai perkara itu boleh menimbulkan masalah lain selepas ini.
“Setakat ini ROS belum buat apa-apa keputusan, kalau tiba-tiba mereka (ROS) kata rayuan ditolak, apa akan jadi dengan calon yang sudah menghantar borang untuk bertanding.
“Sebab itulah ROS boleh menggunakan kuasa mereka, ada peruntukan dalam ROS yang memberikan mereka kuasa untuk meneruskan atau tidak membenarkan pemilihan dijalankan,” katanya lagi.
Ismail Sabri turut memberitahu dia akan terus menegur parti dari luar walaupun tidak lagi berada dalam MT.
Katanya, dia lebih bebas untuk menyatakan pandangan selepas ini kerana tidak lagi terikat dengan keputusan dibuat MT.
“Jika dulu, saya terpaksa akur dengan keputusan dibuat MT walaupun pada pandangan saya ia (keputusan) tidak sepatutnya diambil kerana saya naib presiden dan berada dalam MT.
“Apabila berada di luar (MT), saya rasa lebih bebas untuk menegur dan saya beri jaminan akan terus memantau, menegur parti walaupun saya berada di luar,” katanya.
Dia turut menafikan akan bersara daripada politik selepas tidak bertanding untuk jawatan naib presiden.
Katanya, laporan dibuat media sebelum ini kurang tepat dan sepatutnya mendapat maklum balas daripadanya terlebih dahulu.
“Semalam (U*) buat kesilapan sebab dia dapat daripada sumber jadi biasanya sumber ini tak berapa betul, dia kena dapat pengesahan daripada saya sendiri.
“Saya dah sebutkan dah lama dah saya sebut, saya rasa sewaktu jamuan di Bera dulu,dah lama ni sebulan lebih dah, yang pertamanya saya belum buat keputusan untuk bertanding atau tidak (untuk jawatan naib presiden Umno).
“Tetapi yang pasti saya akan bertanding ketua bahagian Bera kerana saya masih ahli Parlimen Bera dan sewaktu tarikh tutup pencalonan yang saya difahamkan oleh setiausaha Umno bahagian Bera hanya satu saja (kertas pencalonan) dihantar melalui bahagian Bera iaitu saya, jadi kalau takde orang lain hantar (borang pencalonan) saya menang tanpa bertandinglah, jadi tidak ada sebablah saya nak bersara, saya tak pernah kata saya nak bersara, ” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sang Riang Boleh Jadi Model Pusat Jagaan Warga Emas
BERA – Perkembangan pusat jagaan warga emas Sang Riang sejak awal penubuhan hingga kini adalah sesuatu yang membanggakan.
Pusat jagaan itu juga membuktikan semua penghuni tanpa mengira bangsa dan agama boleh duduk bersama dalam suasana harmoni.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, pemilihan Sang Riang sebagai lokasi sambutan Hari Harmoni Peringkat Pahang juga sangat bertepatan.
“Saya sebagai penduduk asal Triang menyaksikan sendiri transformasi pusat jagaan ini yang bermula pada skala kecil sehinggalah menjadi antara pusat jagaan paling berjaya di Pahang.
“Sang Riang bukan saja popular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan menjadi pilihan ramai pihak yang berminat untuk melakukan kajian berkaitan cara menguruskan rumah kebajikan seumpama ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang berterusan memberi sokongan dan bantuan kepada Sang Riang sejak dulu hingga sekarang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Harmoni Peringkat Pahang di Sang Riang, dekat sini, hujung minggu lalu.
Majlis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pahang itu turut dihadiri pengarah JPNIN negeri, Amira Abdullah dan pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey.
Sementara itu, Amira dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Harmoni bertujuan memupuk rasa saling menghormati dan memahami budaya hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sikap saling memahami, menghormati orang lain yang berbeza dari segi bangsa dan budaya adalah sikap terpuji untuk mewujudkan satu masyarakat bertimbang rasa.
“Sudah pasti inilah hasrat kerajaan apabila Hari Harmoni diperkenalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Yoke Moey pula memuji semua pihak yang terus memberi sokongan kepada Sang Riang.
“Tanpa sokongan pihak kerajaan Pahang, kerajaan Persekutuan, kakitangan hospital Temerloh dan klinik kesihatan daerah Bera, sudah tentu kami berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi rumah kebajikan ini.
“Begitu juga bantuan pihak polis dan agensi lain, kami tidak mampu membalas semua bantuan diberikan oleh mereka atas khidmat diberikan dalam menjaga keselamatan penghuni Sang Riang selama ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jojo’ peninju Muay Thai negara berusia 16 tahun tumbangkan lawan hanya 16 saat
BANGKOK – Peserta remaja Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, melakarkan penampilan sulung yang menakjubkan dalam siri ONE Championship apabila menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, di sini, pada Jumaat.
Peserta Sarawak berusia 16 tahun itu hanya mengambil masa 16 saat dalam pertarungan ‘Flyweight Muay Thai’ untuk keputusan KO terhadap peserta tuan rumah, Padetsuk Fairtex, dalam pusingan pertama.
Beliau memerangkap lawan dengan aksi kombinasi pukulan bertubi-tubi yang disasarkan tepat sehingga lawannya tidak mampu meneruskan saingan.
Johan, yang lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, turut menerima bonus prestasi berjumlah Baht 350,000 (RM44,000).
Johan, yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap, berkata beliau menjalani tempoh latihan intensif selama sebulan setengah bagi persediaan menghadapi pertarungan ONE Championship.
“Saya sentiasa mahu bertarung dalam kejohanan ini…maka berlatih dengan gigih untuk mencapai hasrat ini. Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari iaitu empat jam mulai jam 6 pagi dan empat jam pada sebelah petang mulai 4 petang.
“Usaha keras selama ini berbaloi. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, Addy Singpayak, yang menjaga saya, beliau adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” katanya.
Tahun lalu, Johan muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menumbangkan peserta Rusia, Rustam Yunusob, bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.- Sarang Burung.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jasni bersama murid di sebuah sekolah, baru-baru ini.
KGMMB sambut baik bajet 2023, jamin kebajikan guru dan pelajar
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik perbelanjaan sebanyak RM55.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang disebut dalam bajet 2023 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik berkata, sebanyak RM920 juta pula diperuntukkan untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas.
“Belanjawan ini adalah tepat yang menunjukkan kerajaan prihatin dengan kemudahan pembelajaran yang agak ketinggalan sebelum ini apabila menaiktaraf sekolah yang uzur dan daif melibatkan sejumlah di kawasan luar bandar seluruh negara.
“Projek menaik taraf ini selaras dengan teras keenam KPM sekali gus memberikan kesan yang positif terhadap kemenjadian insan pelajar yang lebih cemerlang menerusi pendidikan madani khususnya di luar bandar,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau yang juga, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), lebih bermakna apabila kerajaan akan membekalkan 50,000 buah komputer riba kepada sekolah selaras dengan teras ketujuh KPM untuk kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan juga memanfaatkan pengurusan pendidikan di sekolah.
“Diharapkan bantuan komputer ini akan diutamakan kepada sekolah di luar bandar bagi memanfaatkan pelajar dalam kalangan keluarga B40 selain keperluan pengurusan sekolah di kawasan tersebut.
“Pertambahan jumlah perbelanjaan sebanyak RM777 juta pada bajet tahun ini untuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut membuktikan pihak kerajaan sentiasa prihatin kepada pelajar yang hadir ke sekolah dapat menikmati makanan mengikut masa dan menu yang sihat,” katanya.
Beliau berharap semua lapisan pelaksana dapat menjalankan tugas serta amanah yang diberikan untuk memastikan semua usaha tersebut berjalan dengan baik serta memberikan kesan tebaik yang tinggi kepada sistem pendidikan negara.
“Kemudahan lain yang disediakan menerusi bajet tahun ini seperti melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dianggap usaha yang terbaik selari dengan komitmen bidang kebajikan pelajar berkenaan serta menaikkan taraf sekolah itu.
“Belanjawan 2023 memberi tumpuan kepada kebajikan guru dan murid apabila kerajaan memfokuskan kemudahan pendidikan antara asas menjana pembinaan insan dan sebuah negara maju pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, atas usaha serta inisiatif menerusi belanjawan itu dan suntikan semangat kepada kumpulan pelaksana merealisasikan tanggungjawab mengurus dan mentadbir sekolah berkenaan serta mendidik pelajar ke arah kecemerlangan.
“Komitmen dan ikhtiar kerajaan dengan menjelmakan sejumlah peruntukan yang lebih besar bajet ini membuktikan KPM sentiasa berusaha untuk merealisasikan slogan ‘Murid Ceria Guru Bahagia, Sekolah Bitara Negara Sejahtera” seperti dihasratkan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek.
“Ini menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kerajaan beriltizam untuk memberi jaminan kepada keselesaan guru semasa bertugas serta pelajar mengikuti pembelajaran dan aktiviti lain di sekolah,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ketua UMNO Lipis yakin kepimpinan DS Wan Rosdy tanding naib presiden UMNO
LIPIS : Ketua Umno Bahagian Lipis meletakkan keyakinan tinggi kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pagi penggal 2023-2026.
Ketua Umno Bahagian itu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika ditemui menyatakan di bawah kepimpinan Wan Rosdy, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Pahang.
“UMNO Pahang melakar banyak kejayaan dalam mendepani cabaran semasa politik negara yang begitu mencabar.
“Lantaran itu, saya serta seluruh kepimpinan UMNO Negeri Pahang amat berharap agar khidmat bakti Menteri Besar Pahang itu dapat dimanfaatkan untuk membantu kepimpinan parti mendepani cabaran-cabaran di masa akan dating,” katanya melalui FB beliau.
Sementara itu, Datuk Seri Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang telah menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, Kuala Lumpur, pada jam 3 petang, hari ini.
Katanya, beliau berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.
“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, ianya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti, “ katanya melalui kenyataan media, hari ini. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEPEHAN: Kesan gempa bumi mewujudkan bentuk muka bumi baharu iaitu sebuah ngarai di dalam ladang zaitun di Turkiye dengan kedalaman kira-kira lebih daripada 39.6 meter, lebar 274.3 meter dan panjang lebih daripada 1.6 kilometer.
Gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud itu benar-benar membelah kampung Tepehan kepada dua.
Ahli geologi memberitahu CNN bahawa kegagalan jisim batu bukanlah fenomena yang luar biasa, tetapi sesuatu pada skala ini merupakan sesuatu yang belum pernah dilihat dalam hidup mereka.
Walaupun tiada siapa yang cedera di perkampungan pergunungan itu, penduduk bagaimanapun tetap berasa takut dan panik, malah ramai yang mengambil keputusan untuk tidur di luar rumah.
Pada Isnin lalu, dua lagi gempa bumi melanda berukuran 6.4 dan 5.8 magnitud dengan pusat gempa di daerah Defne di wilayah Hatay di Turki.
Gegaran dikatakan turut dirasai di Jordan, Cyprus, Israel, Lubnan dan Mesir.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berkata, 26 juta orang di seluruh Turkiye dan Syria memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Di Turkiye sahaja, dianggarkan sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan 80,000 orang kini berada di hospital.
Jumlah kematian kini lebih 47,000 orang dengan 42,310 maut di Turkiye manakala di seberang sempadan di barat laut Syria, jumlah kematian hampir 5,000 orang.-UTUSAN.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : 60 bekas pelajar enam universiti luar negara merakamkan kenangan sebelum memulakan pertandingan golf merebut Piala KPP, baru-baru ini.
60 bekas KPP-ITM bertemu melalui pertandingan golf
Enam puluh bekas pelajar Kolej Pengajian Persediaan – Institut Teknologi MARA (KPP/ITM) Kumpulan SPM 1985 dapat mengekalkan ukhuwah persahabatan terjalin selepas lebih 38 tahun.
Kesibukan dengan tugas yang dipikul bukan alasan bagi bekas pelajar terbabit untuk berkumpul dua kali setahun menerusi pertandingan Golf Inter Program KPP/ITM SPM ’85 yang memasuki kali ke-13 yang diadakan bagi merebut Piala KPP.
Antara bekas pelajar SUNY yang turun padang menyahut cabaran daripada rakan-rakan dari pasukan universiti lain.
Ahli Jawatankuasa pertandingan itu, Nazarudin Che Salleh, berkata kemenangan bukanlah yang ditagih dalam pertandingan berkenaan sebaliknya lebih kepada untuk bertemu serta bertanya khabar di samping berkongsi maklumat terkini mengenai bidang kerjaya diceburi.
“Hampir sebahagian besar daripada kami sudah berusia melebihi 55 tahun dan ada antaranya sudah berhenti kerja daripada agensi kerajaan atau syarikat swasta apabila menumpukan perhatian kepada perniagaan sendiri selepas menimba banyak pengalaman.
“Sambil bersantai bermain golf kami akan mengimbau kembali kenangan susah senang apabila menjadi antara kumpulan pelajar Malaysia dapat melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun akhir 80an yang jauh berbeza dengan keadaan sekarang,” katanya katanya yang di program tersebut di Kota Seriemas Golf dan Country Club, Nilai Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Aksi bekas pelajar apabila bertemu kawan lama tetap mesra walaupun jarang berjumpa.
Katanya, walaupun berada bertahun-tahun lamanya meneruskan pengajian di negara asing kami saling bantu membantu dalam menyelesaikan masalah dan mengamalkan disiplin tinggi bagi menjaga nama baik negara khusus pihak penaja
Nazarudin berkata, dalam pertandingan ke-13 itu ia membabitkan rakan pelajar yang mengikuti program pengajian di Universiti Indiana (IU), University Texas, Amerika Syarikat, University of New York (SUNY), Australian Matriculation (AUSMAT, A-Level) dan University Perancis (FRENCH).
Jelasnya, pertandingan itu mendapat sambutan amat baik dan ahli jawatankuasa terbabit bercadang untuk menawarkan hadiah lebih menarik pada masa akan datang dengan berusaha mencari penaja di samping menjadi daya penarik kepada lebih ramai bekas pelajar menyertainya.
“Kami sentiasa berusaha menjadikan pertandingan ini sebagai program terbaik mengukuhkan tali persahabatan walaupun berada di mana sekalipun tetapi boleh mengambil cuti atau sebagainya untuk hadir bagi memeriahkan program berkenaan.
“Ia juga secara tidak langsung menjadi contoh terbaik kepada anak-anak kami apabila ada antara mereka mendapat peluang sama meneruskan pengajian ke luar negara dan boleh mewujudkan jalinan persahabatan seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Seorang bekas pelajar SUNY yang ditemui, Alias Ahmad, berkata pertandingan berkenaan amat bermanfaat serta memberikan infak terbaik dalam mengukuhkan ukhuwah persaudaraan mereka selepas menempuhi pelbagai liku kehidupan di luar negara ketika menimba ilmu.
“Kejayaan kami hari ini adalah daripada usaha bersama yang saling bantu membantu ketika menuntut di SUNY dan kejayaan itu kini dikongsikan dengan sesiapa sahaja khusus dalam melakukan kerja amal kebajikan,” katanya.
Dalam pertandingan kali ke-13 itu pasukan bekas pelajar SUNY meraih tempat pertama dengan membawa pulang piala pusingan Piala KPP dan kedua dirangkul pasukan bekas pelajar TEXAS. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!