Kuala Lumpur: Lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ di Jalan Silang di sini, hari ini.
Kepungan bermula pada 11 pagi itu bagi menyerbu koloni warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ dengan berlagak seperti warga tempatan.
Pasukan keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas dilihat mula memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.
Difahamkan serbuan dijalankan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan setakat 1 tengah hari tadi.
Warga asing kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.
Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.
Turut ditemui pelbagai jenis ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun ketika pemeriksaan dijalankan, premis terbabit tidak berpenghuni.
Malah, serbuan turut menemui premis dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.
Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.
Sumber- Harian Metro
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sutiah Rasman (dua dari kiri) bersama-sama abang dan adik beliau pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif yang diadakan di D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, baru-baru ini.
SUAPAN Kasih memori yang meranai titisan air mata pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif dari Kampung Parit Lapis Kadir, Senggarang, Batu Pahat yang diadakan D’Nelayan Beach Resort, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka, selama dua hari bermula baru-baru ini.
Slot Suapan Kasih membabitkan anak sulung mewakili bagi setiap keluarga menyuapkan makanan kepada ibu atau bapa mereka meruntumkan rasa syahdu dan sayu dalam kalangan 136 ahli keluarga Allahyarham yang hadir pada program berkenaan.
Slot Suapan Kasih meruntum jiwa ahli keluarga yang hadir pada program Hari Keluarga itu.
Anak bongsu Allahyarham, Azman Rasman, menyuntikan emosi perasaan sayu serta sedih dalam kalangan anak, cucu, cicit dan piut apabila mengalungkan sajak berjudul ‘Harapan Seorang Ayah dan Ibu’ yang mengakibatkan beliau sendiri tersekat-sekat suara kerana turut berasa sebak.
Timbalan pengerusi program berkenaan, anak ketujuh Allahyarham, Sutiah Rasman, berkata program hari keluarga yang kali pertama diadakan itu sudah dirancangkan beberapa bulan lalu dengan membabitkan sembilan adik-beradik beliau.
Daripada semua adik-beradik itu, hanya keluarga Allahyarham Maimunah merupakan kakak sulung diwakili anaknya, Mohd Nor@Raya Sapari diikuti keluarga anak kedua iaitu Seriatun, Mukarti (3), Mohd Juri (4), Siti Supayah (5), Mohd Zainal (6), Sutiah (7), Darman (8) dan Azman (9) yang semuanya berusia antara 60 dan 85 tahun.
Sutiah berkata, slot Suapan Kasih itu amat menyentuhkan perasaan kami adik- beradik apabila teringatkan kembali kisah silam dibesarkan arwah bapa dan ibu yang banyak berkorban dalam kemiskinan membesarkan anak-anaknya.
Menurutnya, terasa terlalu hiba apabila anak sulung mewakili ahli keluarga menyuapkan makanan kepada kami ibu dan bapa mereka yang kini uzur dan menghidap pelbagai penyakit apabila mengenangkan arwah bapa dan ibu dahulu memandi serta merawat anak-anaknya ketika sakit sewaktu kecil dahulu.
“Bertemakan ‘Yang jauh kita dekatkan, Yang dekat kita rapatkan, Yang rapat kita mesrakan dan Yang tiada kita doakan’ menemukan empat generasi kerabat Alllahyarham Rasman dan Allahyarhamah Indahsabar yang berada di seluruh pelosok tanah air dalam program yang disusun rapi,” ujar beliau lagi.
Ahli keluarga merakam kenangan pada program Hari Keluarga Kerabat Allahyarham Rasman Hassan dan Allahyarhamah Indahsabar Latif.
Program hari keluarga itu dimulakan aktiviti sukan pantai selepas mendaftar masuk, diikuti majlis tahlil selepas magrib yang kemudian makan malam yang dimulai Suapan Kasih, penyampaian hadiah, sambutan hari lahir Sutiah dan karaoke. Pada hari kedua dimulakan dengan bacaan tahlil selepas solat subuh dan diakhiri dengan senam robik.
Sutiah berkata, paling penting program berkenaan dapat mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara adik-beradik, cucu, cicit dan piut kerana ada mereka yang belum kenal rapat disebabkan kekangan kerja dan berhijrah mencari kehidupan lebih selesa.
Menurutnya, walaupun dunia sekarang disediakan dengan pelbagai kemudahan media sosial untuk berhubung namun perjumpaan pada program hari keluarga sebegini lebih mesra serta berkesan terutama dalam mengenali hati budi masing-masing.
“Kami adik-beradik berharap akan diadakan lagi program seperti ini pada masa akan datang terutama apabila anak-anak pula mengelolakannya dari awal hingga akhir kerana sebagai ibu atau bapa sudah berasa makin hilang tenaga,” ujarnya lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kira-kira 70 pengamal media di Pahang diraikan dalam Majlis Malam Media Darul Makmur 2023, malam tadi.
Majlis itu hasil cetusan idea Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kemeriahan majlis berkenaan dikongsi Wan Rosdy melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
“Seronok saya malam ini dapat bersama meraikan para pengamal media Negeri Pahang dalam Majlis Malam Media Darul Makmur 2023 di Swiss-Belhotel, Kuantan.
“Besar pengorbanan mereka, terutamanya dalam menyampaikan maklumat penting dan tepat kepada masyarakat.
Terima kasih yang tak terhingga kepada semua pengamal-pengamal media negeri Pahang di atas segala pengorbanan masa dan tenaga selama ini,” katanya.
Majlis turut dihadiri Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.— SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Lebih 50 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) menyertai acara larian 05 Kilometer OKU Fun Run yang diadakan bersempena Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Jengka 12, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, acara tersebut merupakan julung kali diadakan seumpamanya di negeri Pahang dan diterajui oleh anak-anak kelahiran Felda Jengka 12 menerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Pahang.
Fuziah berkata , 50 perserta OKU adalah antara 330 penyertaan dalam lima kategori yang dipertandingkan, iaitu Trail Run 12 Kilometer Lelaki Dan Wanita Merentas Bukit Kinabalu; Fun Run 05 Kilometer Lelaki Dan Wanita Rentas Desa dan Fun Run 05 Kilometer Merentas Desa Kategori OKU serta murid Pendidikan Khas.
“Menariknya, persatuan yang dianggotai oleh anak muda Felda Jengka 12 bersama 80 orang penduduk sukarelawan menggembling tenaga secara maksima bagi memastikan kejayaan program ini.
“Tujuan utama program seperti ini adalah mencapai objektif sebenar iaitu mempromosikan gaya hidup sihat; memberi impak positif terhadap kelestarian alam semulajadi dan kesihatan rohani dan jasmani para peserta,” katanya.
Peserta yang menyertai larian itu
Katanya, selain itu tanpa sedari turut menyatukan perpaduan antara rakyat negara ini di samping membina komuniti yang lebih erat dan saling memahami antara satu sama lain.
“Menerusi acara larian ini turut membawa pelbagai peserta dari pelbagai negeri dan latar belakang ke daerah ini semestinya mampu menyemai perpaduan kalangan peserta menerusi bidang sukan.
“Ini seiring konsep Malaysia Madani, yang berlandaskan enam perkata; Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan diri dan Ehsan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Monsoon.
Katanya, pada masa sama, beliau berharap acara ini dapat membuahkan kegembiraan kalangan warga OKU yang turut sama-sama bersukan dengan penglibatan khusus Pejabat Pendidikan Daerah Maran serta Kementerian Belia dan Sukan Pahang yang menguruskan peserta OKU.
“Acara yang dilaksanakan dengan pembabitan golongan kurang upaya ini sememangnya satu inisiatif yang wajar dipuji. Ini menunjukkan dalam masyarakat Madani pada hari ini, kita tidak meninggalkan golongan kurnag upaya berada jauh di belakang,” katanya.
Antara peserta yang meyertai Monsoon Run turut membawa anaknya.
Sementara itu, Pengarah Program, yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan AD21 Jengka Pahang, Sharul Efendi Ismail berkata, Monsoon Run Kinabalu Hill dijayakan oleh kira-kira 80 sukarelawan kalangan belia, beliawanis dan warga emas Felda Jengka 12.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Tioman Development Authority, Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta mendapat perhatian penuh oleh pengurusan Felda yang membantu dari pelbagai segi.
“Acara ini dilaksanakan seluruh warga kampung. Setiap petang sepanjang empat bulan membuat persediaan, orang kampung berkonvoi menaiki motosikal membuat penandaan, bermesyuarat sehingga dinihari bagi melancarkan pergerakan acara, membaiki siling dan pentas utama serta astaka dan padang,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Melancar Jualan Rahmah bergerak di Felda Jengka 12, dekat sini kelmarin
Jualan Rahmah bergerak jangkau jualan RM62 juta
MARAN : Jualan Rahmah secara bergerak mendapat sambutan hangat daripada orang ramai sehingga menjangkau nilai jualan hampir RM62 juta dan dikunjungi lebih 1.5 juta orang sejak diadakan sehingga 15 Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, jualan Rahmah secara bergerak yang diadakan sangat mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dengan nilai jualan mencecah sebanyak RM 61,725,833.79.
“Seramai 1,531,432 pengunjung telah hadir ke program jualan Rahman bergerak yang diadakan di 1,942 lokasi di seluruh negara.
“Melalui satu kaji selidik sebanyak 73 peratus yang membabitkan kira-kira 1,000 responden, mahukan jualan Rahmah ini diteruskan bagi membantu orang ramai mendapatkan harga barang keperluan pada harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmi dan penyampaian hadiah kepada peserta yang menyertai acara larian 05 Kilometer OKU Fun Run sempena Kejohanan Monsoon Run Kinabalu Hill di Felda Jengka 12, di sini, kelmarin.
Fuziah berkata, Jualan Rahmah secara bergerak yang baharu diperkenalkan itu tidak membabitkan pasar raya besar hanya dengan memuatkan barangan ke dalam lori 18 tan dan menuju ke lokasi tumpuan di seluruh negara.
“Manakala seramai 6,207,073 pengunjung hadir ke Jualan Rahman yang diadakan di premis jualan seperti pasar raya dan juga secara bergerak untuk mendapatkan bahan keperluan dapur yang diadakan 4,393 lokasi di seluruh negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM199,521,398.47.
“Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM150 juta untuk tahun ini dan pada tahun hadapan (2024) sebanyak RM200 juta diperutnukkan untuk meneruskan program jualan Rahmah di seluruh negara,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Parlimen Lipis dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, semalam.
Daerah Lipis bakal ada kilang peralatan pertahanan antara terbesar terbesar di Asia
LIPIS: Bandar Pertahanan (Defence City) bakal dirasmikan pada 18 Januari 2024 di kawasan Kechau, Padang Tengku dekat sini, bakal menjadi kilang pembuatan kelengkapan pertahanan terbesar di Asia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kilang pembinaan kereta kebal, peluru dan beberapa kelengkapan pertahanan itu turut membuka peluang pekerjaan sehingga 2,000 pekerja apabila siap sepenuhnya dan dijangka antara terbesar di Asia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kilang pembinaan kereta kebal, peluru dan beberapa kelengkapan pertahanan itu turut membuka peluang pekerjaan sehingga 2,000 pekerja apabila siap sepenuhnya dan dijangka antara terbesar di Asia.
“Bandar Pertahanan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar kepada 2,000 orang belia tempatan dan negeri ini amnya dalam bidang teknikal, pengurusan dan turut merancakkan ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara.
“Pembukaan kilang pembuatan peralatan dan pemasangan jentera berat untuk kegunaan pertahanan dan ketenteraan antara usaha Kerajaan Persekutuan memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta pada masa yang sama mewujudkan pusat pertumbuhan (bandar) di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Parlimen Lipis dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, kilang tersebut akan dibina dalam tiga fasa dan setiap fasa berkeluasan 40 hektar dan fasa pertama akan mula dirasmikan pada 18 Januari 2024 dengan peruntukan keseluruhan hampir RM 2 bilion.
Katanya, Kawasan Kechau yang terletak kira-kira 35 kilometer dengan bandar Kuala Lipis merupakan kawasan strategik dipilih kerana kilang itu berdekatan dengan laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang telah siap dibina dan menghubungkan Lipis ke Bentong seterusnya ke Kuala Lumpur.
“Berkaitan tenaga kerja, ramai pekerja bahagian teknikal, pegawai atasan dan jurutera telah dihantar mengikuti latihan di negara Turkiye.
“Mereka yang dihantar mengikuti latihan di sana apabila pulang ke tanah air akan memberi latihan kepada pekerja lain berkaitan pembuatan dan juga aspek keselamatan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyokong dengan pembinaan kilang pembuatan kelengkapan pertahanan di Lipis turut menjana pertumbuhan desa dan bandar di negeri ini. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mohd Azhari Mohammad dan Syamsul Tahrin Mohd Tahir (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama pelajar KPJ Healthcare University dan IKBN Peretak pada program sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Terap nilai kemanusiaan kepada generasi muda
Penerapan nilai kemanusiaan kepada generasi muda bagi memupuk kasih sayang dan sifat saling menghormati kepada golongan yang berusia serta memerlukan belaian kasih sayang menjadi objektif sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023.
Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Marina Nafi, berkata membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda itu penting supaya amalan baik dapat pula membentuk kesedaran tinggi terhadap golongan warga emas khususnya ibu bapa untuk dijaga serta disantuni dengan sempurna.
“Perkara berkenaan juga antara salah satu pengisian sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia adalah menyantuni warga emas bagi melahirkan serta menggalakkan sukarelawan daripada setiap lapisan masyarakat menyanjungi mereka yang sudah lanjut usia.
“Sukarelawan terutama dalam kalangan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran, berprihatinan dan bertanggungjawab amat wajar mempunyai sikap saling bantu membantu serta peka dengan keadaan sekeliling kerana masih ada mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada mereka,” katanya.
Katanya, apabila mereka dapat bersatu dan sering bekerjasama secara tidak langsung meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pusat jagaan di bawah kendalian serta pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila terpaksa mencari dana sendiri untuk terus beroperasi seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM).
“Untuk makluman Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia tahun ini diadakan sempena Sambutan Hari Sukarelawanan Antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 Disember 2023 setiap tahun,” katanya di Majlis Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia yang diadakan di PJMM, Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah JBSN, Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad; Timbalannya (Bahagian Pembangunan Rakan Muda), Syamsul Tahrin Mohd Tahir; Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Medical Aid), Hanafi Jalalludin; dan Pengerusi serta Penasihat PJMM, Azman Rasman serta Mohiadin Bahado.
Program itu turut disertai 33 pelajar KPJ Healthcare University, Nilai yang menyantuni warga emas dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dan penjagaan diri seperti memotong kuku.
“Manakala 30 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Peretak, Kuala Kubu Bharu pula menyempurnakan tugasan mengunting rambut, mengemas & membersih pusat jagaan serta Noor Azura dari Melaka menyiapkan lukisan dan mengecat mural dengan dibantu pelajar terbabit.
Pelajar IKBN Peretak merakam kenangan dengan seorang warga emas yang mendapatkan khidmat mengunting rambut.
“Pembabitan pelajar dari dua pusat pengajian itu ‘Sesi Menyantuni Jiwa’ akan memberi impak mendalam kepada semua yang hadir bagi menyumbang tenag, sekali gus menjadikan ibrah (pengajaran) yang berguna untuk menjadi insan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Medical Aid), Hanafi Jalalludin Hanafi berkatam beliau rasa kagum dengan kehadiran pelajar yang merupakan Rakan Muda untuk menyantuni warga emas serta menyelami kehidupan mereka tersisih di pusat jagaan berkenaan.
“Saya berasa terharu mereka begitu bersemangat melakukan tugas sukarela serta tidak berasa kekok melayani karenah warga emas pelbagai peringkat umur dan sikap sedemkian seharusnya dikekalkan disamping diteruskan apabila menjadi sebahagian masyarakat selepas tamat belajar,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Wan Rosdy menyiram air kepada peserta yang menyertai program berkhatan yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan dekat sini, semalam.
Kerajaan Pahang sedia RM1 juta jayakan Program Berkhatan sempena cuti sekolah hujung tahun
LIPIS – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan Program Berkhatan Anak Pahang melibatkan 3,500 orang kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun ke bawah daripada golongan B40 di semua daerah tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu termasuk dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan baru-baru ini untuk meringankan golongan B40 ketika membuat persediaan berkhatan anak masing-masing sempena cuti sekolah hujung tahun ini.
“Sumbangan kerajaan negeri ini dapat membantu ibu bapa dan penjaga golongan B40 untuk mengadakan persiapan persekolahan tahun depan.
“Kerajaan negeri sangat prihatin dengan masalah perbelanjaan golongan B40 ketika menghantar anak masing-masing berkhatan di klinik swasta atau mana-mana pusat rawatan tertentu memakan belanja hampir RM150 bagi setiap orang kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Berkhatan Anak Pahang daerah ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan dekat sini, semalam.
Sempena perasmian tersebut, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan serta beramah mesra dengan seramai 162 orang kanak-kanak daerah ini yang akan dikhatankan oleh lapan orang petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai berkata, setiap daerah negeri ini akan menganjurkan program yang sama menerusi agihan peruntukan tersebut dan yakin program itu memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal serta kerohanian kepada kanak-kanak berkenaan.
“Kepada ibu bapa dan penjaga, kita sewajarnya bersyukur atas kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT dengan menjadikan program hari ini (berkhatan) sebagai titik permulaan untuk terus membimbing dan memberikan teladan yang baik kepada anak masing-masing supaya mereka menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lima stesen di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang catat paras air melebih paras biasa
JERANTUT – Stesen Sungai Tembeling di Kuala Tahan mencatatkan bacaan melebihi paras biasa iaitu 61.26 meter melebihi paras biasa 60 meter.
Manakala Stesen Sungai Tembeling kedua di Kuala Tahan turut mencatat 53.41 meter melebihi paras biasa 52 meter.
Stesen di Kampung Merting mencatatkan 53.41 meter mengatasi paras biasa 52 meter dan Stesen Sungai Yap mencatatkan bacaan 44.69 meter melebihi paras biasa 44 meter.
Begitu juga Stesen di Jerantutt Feri paras becaan semasa 41 meter mengatasi 41 meter.
Sumber : https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air/data-paras-air/?state=PHG&lang=en
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seramai 162 peserta berkhatan gembira dan terima kasih kepada kerajaan Pahang.
LIPIS : Seramai 162 orang kanak-kanak di Lipis gembira dan bersyukur kerana kerajaan negeri Pahang turut membantu meringankan mereka untuk berkhatan sempena cuti sekolah yang bermula hari ini.
Murid Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yon, Tuan Mohamad Amir Ruzaimi Tuan Kechik, 11, berkata, dia tidak berasa gentar dan takut kerana dapat berkhatan beramai-ramai bersama rakan malahan lebih teruja kerana program itu meriah turut dihadiri Menteri Besar Pahang dan ditemani ramai ibu bapa.
Datuk Seri Wan Rosdy menyiram air kepada peserta berkhatan yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Felda Sungai Koyan dekat sini hari ini.
“Sebelum berkhatan, kami menerima sumbangan Menteri Besar Pahang yang memberikan kata semangat dan meminta belajar bersungguh.
“Saya sudah bersedia untuk berkhatan dan bersemangat untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan akan bersedia menghadapi masa akan datang.
Rakannya, murid Tahun Empat SK Kampung Keledek, Muhammad Airil Danish Sani, 10, pula berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana membantu membiayai pengurusan berkhatan berkenaan.
“Bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa saya khususnya membuat persiapan persekolahan keluarga kami tahun depan.
“Majlis berkhatan beramai-ramai itu dapat memberikan semangat dan motivasi kepada kami sekali gus menghilangkan perasaan takut sesetengah rakannya yang lain,” katanya.
Katanya, dia dan rakan-rakan lain berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengadakan program seperti itu sekali gus meringan perbelajaan ibu bapa masing-masing.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!