Ketua Biro Sosial Gabungan JKKR FELDA Wilayah Jengka lawat wartawan RTM
KUANTAN – Hubungan baik antara Ketua Biro Sosial Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan ( JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud dengan pengamal media di Pahang bukan lagi rahsia.
Beliau adalah antara pemimpin masyarakat yang sering menghulurkan bantuan kepada pengamal media yang berdepan kesulitan.
Hari ini, Razak dalam kesibukannya dengan jadual harian sempat mencuri masa mengunjungi wartawan RTM, Norehan Salleh di FELDA Bukit Kuantan, dekat sini.
Norehan mengalami patah kaki akibat tergelincir ketika membersihkan kediamannya baru-baru ini.
Akibat kecederaan dialami, dia diberi cuti rehat kira-kira tiga bulan untuk proses pemulihan.
Razak turut menyampaikan sedikit sumbangan peribadi ketika kunjungan itu.
“Ia adalah sebagai tanda ingatan terhadap segala bantuan diberikan Ayu dan rakan daripada RTM dalam menyalurkan berita berkaitan FELDA kepada masyarakat,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS) sebuah badan bukan Kerajaan ( NGO) pertama menyantuni dan menyuntik semangat kanak-kanak penghidap kanser meneruskan kehidupan pada masa depan.
Bendaharinya Norainey Mohd Zain berkata, KIDS merupakan sebuah NGO yang berdaftar menjalankan aktiviti kebajikan untuk ibu bapa dan anak-anak pesakit kanser di Wad Kanser Kanak-kanak seperti di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
Aktiviti kebajikan ini termasuk aktiviti-aktiviti untuk anak-anak kanser dan program-program amal bagi membantu dari segi kewangan dan sokongan emosi serta harapan kepada ibu bapa anak-anak kanser, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kembali ke sekolah Zon Timur membabitkan 13 pesakit di pasaraya Mydin Tun Abdul Razak Jengka hari ini.
Menurutnya, selain berkunjung terus di wad hospital, KIDS turut mengadakan Program Kembali ke Sekolah di beberapa lokasi pasaraya Mydin bagi memberi peluang kanak-kanak membeli belah di seluruh negeri.
Tambah beliau, program ini dibahagikan mengikut zon memandangkan pejuang kanser kanak-kanak di bawah naungan berada di pelbagai negeri. Peserta yang terlibat dalam program ini adalah
Menurutnya, program Zon Selatan akan diadakan pada 24 Februari 2024, jam 9.00 pagi di Mydin MITC, Melaka di mana seramai 22 orang anak kanser dari negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Zon Tengah pada 2 Mac 2024, jam 9.00 pagi di Mydin Subang Jaya di mana seramai 99 orang anak kanser dari Kuala Lumpur dan Selangor terlibat, katanya.
Tambahnya, tujuan utama program ini adalah sebagai satu program pendedahan kepada anak-anak kanser ini bahawa keluarga besar KIDS sentiasa menyokong dan memberi dorongan kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan.
Tegas beliau, KIDS mahu anak-anak kanser kekal bersemangat dan yakin yang diri mereka berkebolehan seperti anak-anak sihat yang lain. Selain itu, mereka juga dapat merapatkan hubungan persahabatan sesama mereka.
Menurutnya, orang ramai yang bersimpati dengan kepayahan dan penderitaan penghidap kanser boleh membuat sumbangan kepada Ahli Jawatankuasa Hubungan Luar KIDS , Azmawati Abd.Latif di talian 012-9733628-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Seorang wanita berusia 33 tahun mendakwa dirinya dipukau dan menyedari kejadian itu selepas solat Mahgrib di rumahnya di Felda Jengka 21, petang semalam.
Peniaga wanita itu telah kerugian sebanyak RM1150 menerusi transaksi jualan tambah nilai prabayar telefon bimbit sejak hari Isnin dan semalam, di sini
“Selepas solat petang semalam, saya tersedar transaksi jualan tambah nilai prabayar telefon bimbit yang diuruskan seperti sesuatu yang tidak kena.
“Saya rasa dipukau, selalunya, sebelum setiap transaksi jualan, pelanggan akan menghantar resit atau bukti pengiriman wang melalui atas talian menggunakan aplikasi Whastapp, “ katanya.
Katanya, selalunya selepas menerima bukti tersebut baru dia hantar nilai tambah yang diminta oleh pelanggan.
“Mulanya dia percaya kerana ada dua kiriman bukti transaksi atas talian melalui dua bank yang berbeza daripada nombor telefon milik seorang wanita dikenali Nisa.
“Oleh kerana ada sesuatu yang tidak kena, pagi ini saya terus ke bank untuk menyemak akaun bank saya dan tiada sebarang transaksi wang masuk.
Katanya, selain itu saya menunjukkan resit yang saya terima kepada pegawai bank, pegawai itu menyatakan resit itu adalah palsu yang sudah diedit.
“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut kira-kira jam 10 pagi ini dan dimaklumkan nombor telefon yang digunakan oleh suspek itu telah sedang dicari dan turut menerima laporan sebanyak 36 aduan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ahli Parlimen Raub jangan lebih sudu dari kuah– UMNO Raub
RAUB: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dibidas kerana bersikap lebih sudu dari kuah ekoran gesaannya agar Ketua Pemuda UMNO membuat permohonan maaf terhadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Gesaan itu susulan isu cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Penerangan Umno Bahagian Raub, Datuk Abdullah Abu Bakar menegaskan, ahli Parlimen Raub itu harus berhati-hati memberi komen terhadap UMNO termasuk kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin.
Menurutnya, Chow Yu Hui cuba menjadi jaguh menahan lukah di pergentingan dengan memainkan sentimen itu dengan harapan lebih populis di kalangan Masyarakat Cina.
Teguran beliau di media terhadap Ketua Pemuda UMNO sangat tidak wajar dan seolah-olah seperti berada di luar Kerajaan Perpaduan, katanya kepada SAHIH hari ini.
“ Lebih elok beri tumpukan kepada pembangunan dalam Parlimen Raub berkaitan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum termasuk kaum Melayu, India dan Orang Asli.
Tambah beliau, gesaan Chow Yu Hui supaya Majlis Tertinggi UMNO bertindak terhadap Akmal Saleh satu cubaan untuk mencampuri urusan UMNO.
Tegas Abdullah, sikap beliau yang sering tidak sehaluan dengan suara UMNO akan menyebabkan keretakan yang akan membawa perpecahan dalam kerajaan hari ini.
Abdullah yang juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia ( AMBFM) menyokong Muhammad Akmal yang tidak melayan gesaan Chow Yu Hui agar membuat permohonan maaf terhadap Nga Kor Ming.
Beliau memuji Ketua Pemuda UMNO itu yang tegas untuk mempertahankan tiga perkara sensitive khususnya yang berkaitan aspek agama Islam, bangsa Melayu/Bumiputera dan institusi diraja ( 3R).-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Guru dipecat dipecat dan faedah pencen hilang, gara-gara secawan kopi
TOKYO: Hanya kerana berkira untuk membayar kopi RM5.74, pengetua sebuah sekolah di Jepun bukan sahaja dipecat, malah tidak menerima manfaat pencen kerana dakwaan mencuri minuman itu dari mesin layan diri.
Kopi bersaiz biasa di kedai berharga 110 yen (RM3.51) dan pilihan yang lebih besar berharga 180 yen (RM5.74).
Dia dilaporkan hanya membayar untuk kopi bersaiz biasa di mesin layan diri kedai serbaneka, selepas didakwa mengambil kopi dengan saiz cawan besar.
Pengetua itu ditangkap di Takasago, sebuah bandar kira-kira tujuh jam pemanduan dari sini, selepas seorang pekerja melihatnya menekan butang untuk mengambil kopi bersaiz cawan besar pada 21 Disember lalu.
Dia dipecat, manakala lesen mengajarnya ditarik balik, juga tidak menerima faedah pencen dianggarkan 20 juta yen (kira-kira RM637,928), lapor akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun pada 16 Februari lalu.
Dalam siasatan dengan pegawai lembaga pendidikan di peringkat wilayah, pengetua berusia 59 tahun itu, berkata dia bertindak secara melulu dan sangat menyesal atas perbuatannya.
Dia mengakui, menukar saiz cawan kopinya tanpa membayar sebanyak tiga kali di kedai sama dan empat kali di kedai lain dengan secara keseluruhan, dia membayar kurang 490 yen (RM15.63).
Pendakwa raya memutuskan untuk tidak mendakwanya selepas menerima laporan kes kecurian itu, tetapi pemecatan adalah tindakan paling berat untuk mendisiplinkan penjawat awam diikuti gantung kerja, pemotongan gaji dan amaran.
Seorang pegawai Lembaga Prefektur memberitahu Asahi Shimbun, mereka membuat kesimpulan pemecatan wajar untuk kesalahan berulang selepas mengkaji kes terdahulu dan tindakan tatatertib.
Bagaimanapun, pengkritik mempersoalkan keputusan lembaga pendidikan di peringkat wilayah susulan hukuman yang diumumkan pada 30 Januari lalu itu, menyifatkan ia ibarat ‘hukuman mati’ untuk kesalahan yang hanya membabitkan sedikit kerugian kewangan.
Profesor di Universiti Wanita Jepun, Takashi Sakata berkata, hukuman itu tidak seimbang berat kerana kerugian dialami yang kecil.
Sumber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Majoriti berbelanja awal cari harga promosisambut Aidilfitri 2024
SHAH ALAM, 16 Februari 2024 – Pengguna dijangka akan membeli-belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam penuh kesederhanaan dengan faktor harga menjadi pendorong utama untuk mereka berbelanja.
Ketua Pegawai Eksekutif Modachi Sdn. Bhd., Faizal Zakaria berkata, 92 peratus responden memberi keutamaan terhadap harga sebelum melihat kepada kualiti (80 peratus) manakala 74 peratus lagi mencari promosi harga murah sebagai pendorong utama berbelanja.
“Ada pengguna akan melihat kepada produk berjenama terkenal (46 peratus) namun ia menjadi faktor keempat dalam memuat keputusan berbanding godaan promosi jualan murah. Hanya 22.6 peratus menjelaskan mereka setia terhadap jenama pilihan yang telah mereka gunakan sebelum ini.
“Peratusan tinggi terhadap keutamaan harga ini menyaksikan orang ramai akan kembali membeli-belah secara dalam talian (62.5 peratus) berbanding 37.5 peratus mengakui selesa untuk berurusan dengan kedai fizikal,” katanya.
Untuk rekod, Modachi merupakan syarikat perunding penjenamaan dan penerbitan kandungan strategik korporat yang memberi tumpuan terhadap strategi penceritaan lestari (sustainable storytelling).
Hampir sepertiga responden (28.6 peratus) menyatakan mereka akan berbelanja bawah RM1,000 untuk sambutan hari raya sebelum ini manakala hampir suku (24 peratus) akan berbelanja bawah RM5,000.
Ketika diminta untuk menjelaskan bagaimana mereka akan meraikan hari raya tahun pada tahun hadapan, 84.4 peratus menyatakan Aidilfitri akan disambut dengan berbusana baharu.
“Responden juga menyatakan, mereka akan meneruskan tradisi berkunjung ke rumah rakan mahupun keluarga terdekat dan sudah pasti, juadah tradisi tetap akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini,” kata Faizal.
Berhubung pertembungan Aidilfitri yang didahului pembukaan penggal baharu persekolahan 2024, lebih 51 peratus responden menjelaskan mereka akan membuat pembelian hari raya lebih awal.
“Walaupun responden menyatakan mula berbelanja awal, sebanyak 70.6 peratus responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dan ‘apa yang ada’ sahaja.
“Bagi sebahagian lagi, responden menyatakan sumber perbelanjaan mereka akan banyak ditentukan oleh jumlah simpanan yang dibuat secara berkala manakala 25.6 peratus mahu menggunakan ‘bonus dan dividen’,” katanya.
Jelas Faizal, kaji selidik secara rawak mudah dalam talian melibatkan 359 itu mendapati hanya separuh mahu berbelanja secara dalam talian kerana berpendapat harga yang ditawarkan lebih murah (40.2 peratus) berbanding kedai fizikal.
“Analisis mendalam bagaimanapun mendapati, kelompok ini terdiri daripada kalangan pengguna dengan umur 30 hingga 40 tahun terutamanya wanita. Sebanyak 67.9 peratus responden menyatakan mereka akan membeli pakaian secara dalam talian.
“Hampir dua pertiga (60.4 peratus) menyatakan mereka lebih selesa membuat pembayaran untuk pembelian dalam talian menggunakan kaedah pemindahan bank berbanding kad kredit atau kad debit (48.2 peratus),” katanya.
Menyentuh mengenai inspirasi berbelanja untuk hari raya, kata Faizal, majoriti (77.3 peratus) menyatakan keadaan semasa akan banyak mempengaruhi minat mereka untuk berbelanja.
“Menariknya, mereka menyatakan selebriti, pensohor (influncer) atau artis, tidak akan mempengaruhi mereka dalam membeli jenama tertentu (74.1 peratus),” katanya.
Ketika ditanya isu berhubung strategi perniagaan apakah yang mungkin boleh dilaksanakan oleh usahawan, Faizal menjelaskan:
“Secara keseluruhan kaji selidik ini mendapati sentimen berbelanja agak sederhana dan ‘mod’ pengguna akan banyak disokong oleh iklim ekonomi semasa. Pengguna akan lebih berhati-hati dan kebanyakannya akan memburu jualan harga murah.
“Saya nasihatkan usahawan terutama fesyen dan makanan untuk menyuai padan strategi kepada ‘pratempah.’ Melalui pratempah ini, stok akan dapat dirancang dengan lebih baik dan aliran tunai akan menjadi lebih baik.
“Memandangkan penggal baharu persekolahan bermula pada awal Mac 2024 dan Aidilfitri disambut pada minggu kedua April 2024, kempen jualan berkembar ‘raya-sekolah’ mungkin jalan terbaik dengan mengoptimumkan kos,” kata Faizal.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Seorang anggota polis menjaga keselamatan jalan raya baru-baru ini.
Tindakan polis dipuji bantu ‘pengguna’ lintas demi keselamatan orang lain.
JERANTUT : Anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut wajar dipuji kerana turut membantu memberi laluan kepada ‘pengguna’ lalu lintas lain demi keselamatan pengguna tegar jalan raya khususnya semasa musim perayaan sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Superitenden Azman Mat Kamis
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Azman Mat Kamis berkata, sudah menjadi tanggung jawab khususnya anggota polis yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya untuk menjaga keselamatan semua pihak terutama di jalan raya.
“Demi keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya, perkara kecil yang dianggap remeh seperti membantu menghalau haiwan ternakan melintas jalan dan ke kawasan selamat perlu dilihat dari sudut yang lebih positif .
“Biarlah kami (polis) menjalankan tugas agar semua selamat, kalau tidak ditangani dengan baik boleh menjadi tragedi lebih besar sekiranya dibiarkan,” katanya.
Katanya, kepada penternak haiwan pula perlu lebih bertanggung jawab menjaga dan mengawal haiwan ternakan masing-masing agar tidak berkeliaran sewenang-wenangnya khususnya di jalan raya.
“Kejadian kemalangan maut pernah berlaku berkaitan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran sebelum ini.
“Penternak jagalah haiwan ternakan masing-masing dan kurung di kadang demi keselamatan orang ramai,” katanya.
Katanya, penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001.
“Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan, polis akan mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Pertukaran tiga portfolio bagi sebahagian Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang bertujuan untuk memperkemas dan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri agar ianya lebih berkesan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyusunan semula portfolio EXCO Kerajaan Negeri Pahang, agar pentadbiran kerajaan negeri lebih kemas dan mantap terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini
“Selaras dengan pelantikan Ahli Dewan Negeri Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sebagai Ahli EXCO, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada hari ini membabitkan menyusun semula portfolio yang melibatkan tiga EXCO.
“Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memegang EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, sebelum ini beliau memegang portfolio EXCO Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang,” katanya hari ini.
Katanya, Ir Razali bin Kassim sebelum ini memegang EXCO FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang akan menerajui EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.
“Datuk Amizar Abu Adam pula dilantik sebagai EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, penyusunan portfolio ini berkuatkuasa serta-merta.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada EXCO-EXCO yang terlibat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Adun Pelangai Exco HAL EHWAL FELDA KOPERASI DAN USAHAWAN
KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Amizar bin Abu Adam, yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober 2023 lalu, kini dilantik sebagai EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang.
Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata dua lagi ADUN turut terlibat dalam penyusunan semula portfolio
EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang kini dipegang oleh Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang sebelum ini adalah EXCO Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang
Manakala EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang kini digalas oleh Ir Razali Kassim yang sebelumnya adalah Exco FELDA, Koperasi & Usahawan Negeri Pahang.
Wan Rosdy berkata selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu, penyusunan semula portfolio ini berkuatkuasa serta-merta selepas.
Semalam ADUN Pelangai Datuk Amizar menerima surat cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO dari Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mengadap Besar, Istana Abdulaziz Kuantan.
Datuk Amizar menang dengan majoriti 7,324 undi menewaskan Kasim Samat dari Perikatan Nasional dan Haslihelmy DM Zulhasli calon bebas.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Ogos tahun lalu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mayat warga Nepal tergelincir di Teluk Tongkang ditemui
KUANTAN – Mayat warga Nepal dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh dari kawasan berbatu ketika membuat panggilan video di Teluk Tongkang, di sini, dijumpai pada jam 7.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemui terdampar di Pantai Sepat, dekat sini, kira-kira 18 kilometer dari tempat kejadian
Katanya, mangsa dikenali sebagai Ganesh Rana, 22, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika sedang membuat panggilan video bersama kakaknya kira-kira jam 4.30 petang, pada Isnin.
“Mangsa yang juga pekerja di sebuah kilang di sini, dikatakan pergi ke lokasi kejadian bersama beberapa rakannya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Rakan mangsa cuba menyelamatkannya dengan mencapai baju mangsa, namun gagal kerana mangsa dibawa arus kuat,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!