Murid Tahun 4 dakwa dipukul guru
Murid Tahun 4 dakwa dipukul guru
BENTONG : Polis Bentong telah membuka kertas siasatan berhubung seorang murid perempuan Tahun Empat yang didakwa dipukul oleh seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, berikutan kejadian itu seorang lelaki yang berusia 40 tahun merupakan bapa murid berkenaan telahpun tampil membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) di sini pada 11 April 2022, jam 9.59 malam.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati murid berkenaan dipercayai telah dipukul oleh seorang guru lelaki berusia 50 tahun.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan dan doktor telah mengesahkan dia mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) akibat dipukul di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, siasatan polis juga mendapati kecederaan murid berkenaan berpunca dipukul dengan tangan oleh seorang guru di bahagian belakang.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau menasihati semua pihak jangan membuat sebarang spekulasi sementara dalam siasatan pihak polis.
Jelasnya, sebarang penyaluran maklumat berhubung kejadian itu, orang ramai bolehlah menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong menerusi talian 09 2222222 atau mana-mana balai polis berkaitan.-SAHIH.