MENYELINAP MELALUI KAWAT DURI, POLIS BURU DUA LELAKI
MENYELINAP MELALUI KAWAT DURI, POLIS BURU DUA LELAKI
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai penagih dadah yang melarikan diri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pantai selepas kejadian dua lelaki terbabit yang meloloskan diri dari kawat duri dipasang itu tular di Facebook (FB) hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai penagih dadah melarikan diri ke kawasan belakang sungai PPR terbabit sebaik melepasi kawalan kawat duri yang dipasang.
“Polis sudah menjalankan operasi dan sedang mengesan mereka untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu tular video berdurasi 2.04 minit di FB di mana dua lelaki meniarap sebelum berjaya meloloskan diri mereka daripada kawat duri yang dipasang di PPR Pantai Ria itu, lapor HM online.
Terdahulu kerajaan mengenakan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur termasuk di PPR Pantai Ria bermula 1 sehingga 14 Julai ini.