LEMAS DEPAN ABANG KEMBAR
LANGKAWI: Kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi bersama kembar dan rakannya di Sungai Kampung Kuala Temonyong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Alif Amin Cik Di, 8, sedang mandi di sungai itu sebelum lemas.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.25 petang.
Katanya, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi sebelum usaha menyelamat mangsa dilakukan.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa mandi bersama abang kembarnya dan rakan-rakan.
“Seorang pekerja membuat jalan berhampiran bertindak terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun mangsa sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di HSM pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.