KGMMB setuju guru tidak dinaikkan gred ‘time-based’ secara automatik
KGMMB setuju guru tidak dinaikkan gred ‘time-based’ secara automatik
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) setuju dengan saranan Perdana Menteri guru tidak dinaikkan gred secara automatik melalui ‘time-based’ sekiranya tidak mencapai tahap minima prestasi kerja yang sepatutnya.
Juhari Mohamad Nor
Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, ingatan yang diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perhimpunan sebuah kesatuan guru mahukan kualiti kerja guru diperkasakan dan selari dengan perubahan global.
“Memang ada yang ditahan kenaikan grednya secara ‘time-based’ tetapi yang berhadapan dengan kes melanggar disiplin yang boleh disekat daripada mendapat kenaikan.
“Sebelum proses seperti (penahanan) kenaikan gred ini telah dijalankan, selalunya apabila seorang guru itu menghadapi kes (disiplin), individu itu dipanggil dan ditegur serta diberi motivasi terlebih dahulu, seandainya tidak berubah, individu itu ditangguhkan kenaikan gred,” katanya.
Juhari berkata, pengumuman Perdana Menteri itu sebagai langkah memberi keadilan agar hanya guru yang benar-benar berkelayakan mendapat kenaikan gred atau pangkat.
“Kepada guru, usah gusar, laksanakan kerja dengan sebaik mungkin, jaga disiplin, pihak pentadbir di peringkat sekolah sebagai penilai tahu potensi anda, malah prestasi sebelum naik gred dinilai tiga tahun kebelakang.
“Anda buat kerja dengan baik dan berkualiti, prestasi anda akan diberi sesuai untuk diberi kenaikan gred ‘time-based’, begitu juga penilaian prestasi tahunan yang melayakan guru dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC), katanya.
Katanya, beliau terharu dengan Perdana Menteri turut menyantuni guru dalam cuba menyelesai serta mendengar keluhan warga pendidik termasuk pelarasan gaji guru.
“Diharap guru, khususnya ahli KGMMB terus memberi peranan terbaik dalam menjalankan tugas mendidik anak bangsa untuk memajukan negara.
“Selain itu, kenaikan pangkat atau gred secara time-based adalah berasaskan kecemerlangan bertujuan untuk menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai yang mencapai prestasi yang baik di samping menunjukkan sikap dan komitmen kerja yang positif,” katanya.-SAHIH.