KETUKAN MISTERI SEMAKIN MENJADI
KETUKAN MISTERI MASIH BERTERUSAN
JERANTUT: Selepas menghantui penduduk di Selangor dan Melaka, misteri ketukan yang dikesan di sekitar Jerantut Feri, dekat sini, merebak ke kawasan FELDA Jengka 24.
Menurut penduduk di kawasan FELDA Jengka 24, Nazli Musa, kejadian itu bermula kira-kira jam 11 malam kelmarin dan berterusan sehingga awal pagi.
“Bunyi ketukan itu berulang setiap lima hingga 10 minit.. saya ingatkan ada budak-budak nakal bermain, tapi bila fikir balik macam tak logik, jadi saya fikir mungkin ada kaitan dengan insiden sama di tempat lain.
NAZLI MUSA - PENDUDUK
“Perkara ini saya sudah maklumkan kepada rakan peneroka lain di kawasan FELDA Jengka 24, ada antaranya mengakui turut mengalami gangguan serupa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi dari Kampung Ulu Cheka mengalami perkara sama, Khairul Fadli mengakui turut diganggu ketukan pada pintu rumahnya malam semalam.
Katanya, kejadian itu agak merisaukan kerana ia boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan penduduk.
“Kejadian pertama bermula jam 11 malam dan berulang kira-kira 30 minit kemudian.. insiden ini agak mengejutkan kerana saya ingatkan hanya cakap-cakap orang saja, sehinggalah saya sendiri alaminya,” katanya.
Seorang lagi mangsa ketukan misteri, Holilah Itam yang tinggal di Kampung Ulu Cheka, dekat sini, turut mendakwa diganggu bunyi ketukan pada bahagian pintu hadapan rumahnya, lewat malam semalam.
“Kali pertama sejak saya hidup terpaksa berdepan dengan insiden pelik seperti ini.. memang menakutkan kerana kita tidak pasti punca atau kenapa kejadian ketukan pintu yang sebelum ini berlaku di tempat lain, turut dialami kami di sini,” katanya.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud ketika dihubungi SAHIH, beliau meminta semua penduduk lebih berhati-hati dan tidak terlalu bimbang kerana laporan mengenai misteri berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
RAZAK DAUD - KETUA PENEROKA JENGKA 24
“Seeloknya mereka yang mengalami gangguan membuat laporan polis bagi memudahkan pemantauan dan siasatan.
“Selain itu, saya nasihatkan penduduk untuk tidak mengambil tindakan sendiri.. jangan buka pintu jika terdengar bunyi ketukan yang kita tidak ketahui puncanya kerana kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya dapat bekerjasama dan melakukan rondaan dalam kawasan kampung atau FELDA sebagai langkah berjaga-jaga.