Ketua Cabang PKR Temerloh Ziarah Anak Muda Hidap Cerebral Palsy
Ketua Cabang PKR Temerloh Ziarah Anak Muda Hidap Cerebral Palsy
TEMERLOH – Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, meluangkan masa menziarahi seorang anak muda berusia 27 tahun yang menghidap penyakit Cerebral Palsy sejak lahir dalam program Ziarah Prihatin di Kampung Kenangan, di sini.
Menurut Dzul Azrul, pemuda tersebut sudah lama dikenali penduduk setempat, dan kehadirannya bukan sekadar lawatan, tetapi satu tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Saya sempat menziarahi anak muda ini yang telah berjuang dengan penyakitnya sejak lahir. Kehidupan yang dilalui pastinya penuh cabaran, dan saya percaya kita semua perlu mengambil iktibar serta bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambahnya, beliau amat menghargai semangat keluarga pemuda berkenaan yang tetap tabah menjaga dan memberi sokongan tanpa jemu.
“Kita perlu pastikan kebajikan golongan istimewa seperti ini terus diberi perhatian. Saya menyeru agar lebih ramai tampil menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk,” ujarnya.
Lawatan tersebut mendapat perhatian ramai apabila penduduk Kampung Kenangan berkongsi pengalaman mengenali pemuda itu sejak kecil. Rata-rata menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Dzul Azrul dan berharap lebih ramai pemimpin serta masyarakat cakna terhadap golongan kurang upaya.
Program Ziarah Prihatin merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dibawa oleh Dzul Azrul dalam usaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.-SAHIH