KERTAS SIASATAN NEELOFA DIRUJUK KE PEGUAM NEGARA
KERTAS SIASATAN NEELOFA DIRUJUK KE PEGUAM NEGARA
NILAI: Kertas siasatan membabitkan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas negeri, diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, di Putrajaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis memperkemas dan melengkapkan siasatan kes
membabitkan pasangan berkenaan yang didakwa merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, di sini, pada 2 Mei lalu.
“Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini,” katanya, di sini, hari ini.
Dalam laporan media sebelum ini, Mohd Fazley berkata, siasatan dijalankan berhubung isu gambar dan video membabitkan Neelofa dan Muhammad Haris atau PU Riz kerana melanggar SOP ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu.
Mohd Fazley berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor BH ONLINE.
Katanya, polis turut mengambil keterangan pemilik premis dan pembantu kedai permaidani berkenaan.
Neelofa menjadi bualan hangat netizen selepas beliau memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai menjual permaidani di Nilai 3.