Jentera BN jangan terlalu selesa – Zahid
Jentera BN jangan terlalu selesa – Zahid
BENTONG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera parti itu untuk terus bekerja keras tanpa rasa selesa di Pelangai.
Katanya, walaupun kerusi itu dilihat sebagai ‘selesa’ di atas kertas, namun ia bukan bermakna jentera BN terlalu yakin akan memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) berkenaan.
“Jangan pernah ambil mudah, dulu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dapat majoriti 4,000 lebih dan calon PH (Pakatan Harapan) dapat 2,000 lebih, atas kertas jumlahnya memang melebihi 6,000.
“Tetapi jangan pernah terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran.
“Apa kita lakukan mesti mengambil langkah antaranya mendekati dan merapati pengundi di Pelangai,” katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Bentong.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian Johari dalam nahas pesawat ringan di bandar Elmina, dekat Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober sebagai hari mengundi.
Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH)(2,031 undi) dan Isa Ahmad (Pejuang) (65 undi).
PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Sementara itu, Ahmad Zahid menaruh keyakinan penuh BN dapat mempertahankan kerusi itu, apatah lagi calon dipertaruhkan adalah anak tempatan dan diterima baik masyarakat di kawasan itu.
“BN menaruh penuh harapan agar calon kita pilih ini sangat terkenal dalam kalangan orang Pelangai dan beliau juga adalah anak FELDA.
“Tentunya lebih sikit dan 16,000 pengundi di Pelangai sangat mengharapkan agar dilakukan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana dilakukan Johari.
“Kita berterima kasih kerana rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Datuk Seri Mohamad Sabu rakan-rakan yang lain, ini satu keserasian yang talah terbentuk.
“Di Johor kami membantu mereka dan di sini mereka pula membantu kita,” katanya lagi.- SAHIH