JALAN KG MAT DALING-KG PASIR RAJA, DUNGUN MULA DIBINA AWAL TAHUN DEPAN
TwitterFacebookWhatsAppTelegramMore
JALAN KG MAT DALING-KG PASIR RAJA, DUNGUN MULA DIBINA AWAL TAHUN DEPAN
JERANTUT : Jalan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap, sepanjang 55 kilometer dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja akan mula dibina awal tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2024.
Penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu yang bakal direalisasikan seawal tahun hadapan.
Kawasan kampung itu, Kampung Kuala Tahan, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling yang berpenduduk kira-kira 5,000 orang bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta memberi peluang menjana pendapatan daripada sudut ekonomi, sosial dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak (60) berkata, penduduk di Mukim Hulu Tembeling seluas kira-kira 420,000 hektar turut meliputi Taman Negara sudah lama menunggu prasarana seperti itu.
“Sudah lama kami menunggu jalan ke Kampung Pasir Raja, Dungun, pertalian persaudaraan kami ada di sana, pada masa dahulu, keluarga kami sering menziarahi keluarga di sebelah sana dengan hanya berjalan kaki merentas hutan dan belukar.
“Kami boleh merapatkan tali persaudaraan yang berada di Kampung Pasir Raja, Kampung Batu dan beberapa buah kampung lagi, sebelum ini walaupun kami dekat sebenarnya jauh,” katanya.
Katanya, pembinaan sambungan dari persimpangan Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja yang dianggarkan kira-kira 55 kilometer bakal memberi kemudahan orang ramai dari arah Jerantut ke Terengganu dan sebaliknya melalui jalan ini kelak.
Aktivis Pelancongan Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, penduduk di persisir Sungai Tembeling diharap merebut peluang dan bersedia dengan asas pelancongan dan ekopelancongan di tempat masing-masing untuk menunggu kunjungan pelawat luar.
“Membangunkan konsep pelancong tidak semudah membina bangunan, ianya memerlukan kefahaman ekopelancongan yang melibatkan komuniti di samping menjana ekonomi secara lestari, dengan siapnya jalan ini, pasti bilangan pelancong akan bertambah.
“Ianya sangat penting agar produk pelancongan kekal dengan menjaga sumber alam yang sedia ada untuk memberi kepuasan pelawat ketika berada di lokasi,” katanya.
Renjer Temenggong Sultan Ahmad Shah, Zamri Mat Amin berkata, pembinaan jalan itu memang lama dinantikan oleh penduduk kawasan itu, selain penduduk di Jerantut, kawasan Jengka dan Lipis turut boleh menggunakan kemudahan jalan itu untuk ke Dungun, Terengganu.
“Jalan untuk ke Terengganu melalui jalan yang bakal dibina ini memendekkan masa dan juga jarak perjalanan selain menikmati pemandangan kehijauan hutan hujan tropika dengan landskap yang menarik.
“Selain meningkatkan ekonomi dengan menjual hasil tanaman kami ke Jerantut, masih boleh dipasarkan ke Kampung Raja, Hulu Terengganu yang jarak sejauh kira-kira 55 kilometer (km) berbanding ke bandar Jerantut lebih 100 km,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dalam tinjauan jalan rosak dari Kampung Tuit ke Kampung Bantal, kelmarin, berharap jalan mendap dan berlaku tanah runtuh di lereng jalan akan dibaiki secepat mungkin.
Manakala pembinaan jalan ke Kampung Pasir Raja memang sudah ada dalam pelan pembinaan dan akan mula melakukan kerja pembinaan secepat mungkin tahun hadapan.
“Projek Jalan Hulu Tembeling – Kg Pasir Raja yang yang tertangguh kini akan direalisasikan pelaksanaannya, jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, Terengganu sepanjang kira-kira 55 kilometer.
“Jalan itu sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap serta melibatkan pembinaan 12 buah jambatan,” katanya baru-baru ini.-SAHIH.