GANDINGAN TENGAH SKUAD HARIMAU MALAYA PILIHAN TUNKU ISMAIL
GANDINGAN TENGAH SKUAD HARIMAU MALAYA PILIHAN TUNKU ISMAIL
JOHOR BAHRU – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamakan gandingan terbaik bagi mengemudi bahagian tengah skuad Harimau Malaya menjelang baki dua perlawanan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam dan Thailand.
Tunku Mahkota Johor memilih Brendan Gan untuk bergandingan dengan Liridon Krasniqi dan Nazmi Faiz di bahagian tengah yang dilihat sebagai gandingan seimbang bagi membantu pasukan memburu kemenangan dalam dua baki perlawanan pada 12 dan 16 Julai ini.
“Kalau hendak diikutkan, Natxo Insa adalah pilihan terbaik di posisi itu kerana kehadirannya mampu memberi kebebasan buat Liridon dan Nazmi membantu jentera serangan dengan mengucar-kacirkan kubu lawan.
“Memandangkan Natxo tidak terpilih kerana bergelut dengan kecederaan, maka Brendan adalah pemain sesuai untuk menggalas tugas itu. Biarpun ada yang mengatakan prestasinya terumbang-ambing pada aksi liga, saya percaya Brendan mampu memikul tanggungjawab itu dengan sebaiknya,” katanya dalam temubual secara langsung di Instagram malam kelmarin.
Dalam pada itu, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengingatkan pengkritik serta peminat bola sepak tanah air agar tidak terbawa-bawa dengan kekalahan 0-4 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hingga beberapa pemain JDT seperti Safawi Rasid, Guilherme De Paula dan Liridon menjadi mangsa kecaman akibat tidak beraksi di tahap sebenar.
Jelas Tunku Mahkota Johor (TMJ), penyokong perlu realistik dan tahu mengukur kemampuan skuad Harimau Malaya yang masih terlalu awal untuk bersaing dengan pasukan negara Asia Barat.
Menurut Tunku Ismail, pemain itu hanya melalui satu perlawanan yang buruk dan itu tidak seharusnya menjadi ukuran kemampuan serta menidakkan potensi serta kebolehan mereka bakal berikan pada pertemuan akan datang.
“Saya tidak suka menilai pemain berdasarkan satu perlawanan, jangan kerana mereka tidak bermain baik sudah dianggap ‘failure’ (kegagalan). Tengok sahaja rekod dia (De Paula) bersama Perak dan Selangor di mana dia menjaringkan banyak gol penting.
“Takkan pasal tandukan meliar di dalam kotak lawan terus mahu kutuk dia, mungkin itu bukan hari dia. Bagi saya, beri dia peluang kedua untuk bangkit bagi membuktikan kemampuan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut merasa hairan dengan taktikal pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang meletakkan Safawi di bahagian sayap kiri pada perlawanan menentang UAE Jumaat lalu, lapor Utusan Online.
“Saya pun tidak faham apa yang difikirkan ketua jurulatih. Kami sendiri (JDT) tidak pernah meletakkan dia di posisi itu kerana dia lebih menjadi di sayap kanan kerana sentuhan kaki kirinya adalah senjata berbisa Safawi,” katanya.