FELDA Wilayah Jengka ‘hilang’ sebutir permata
FELDA Wilayah Jengka ‘hilang’ sebutir permata
JERANTUT – Selepas lima tahun bertugas sebagai pegawai agama di FELDA Wilayah Jengka, Ustaz Muhammad Shahril Mohd Salleh ditukarkan ke FELDA Wilayah Gua Musang, Kelantan, mulai tahun depan.
Pertukaran pegawai agama disenangi warga FELDA Wilayah Jengka itu sudah pasti akan meninggalkan seribu satu kenangan kepada penduduk.
Ustaz Muhammad Shahril mula ditugaskan di pejabat agama FELDA Wilayah Jengka sejak Julai 2018.
Bagi Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud, pertukaran itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan memandangkan Ustaz Muhammad Shahril adalah penjawat awam.
“Sebagai penjawat awam, memang kita terikat dengan arahan pihak atasan.
“Apa pun, kita sangat terhutang budi dengan segala jasa baik beliau sepanjang bersama kami di FELDA Wilayah Jengka.
“Banyak program diatur dan dijayakan ustaz Muhammad Shahril sepanjang lima tahun di sini,” katanya.
Razak berkata, antara program yang pernah dianjurkan bersama antara FELDA Wilayah Jengka dan ustaz Muhammad Shahril adalah sambutan Maulidur Rasul peringkat FELDA Jengka 14 dan membantu masjid FELDA Jengka 19 hingga muncul juara peringkat Kebangsaan.
Katanya, kerjasama paling meninggalkan kesan kepada warga FELDA Wilayah Jengka adalah siri jelajah ke bumi Kemboja yang adakan tahun ini.
“Saya mewakili warga FELDA Wilayah Jengka merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ustaz Muhammad Shahril dan semoga beliau terus berjaya di tempat baru,” katanya. —SAHIH