DUA MAUT KENA PANAHAN PETIR DI KOLAM PANCING
DUA MAUT KENA PANAHAN PETIR DI KOLAM PANCING
TEMERLOH: Dua orang pemancing maut terkena panahan petir ketika berada di Kolam Ikan Empang Kampung Cempaka, Lanchang, pada jam 3.30 petang, hari ini.
Dua mangsa itu, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 tahun dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27 tahun, kedua-duanya dari Lanchang bersama tiga lagi rakannya antara 22 hingga 47 tahun telah pergi ke kolam memancing itu pada jam 12.30 tengah hari .
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, Balai Polis Lanchang menerima aduan berkaitan dengan kes tersebut pada jam 4.00 petang daripada pembantu perubatan Klinik Lanchang memaklumkan kejadian tersebut.
“Sebelum itu, dua mangsa yang maut itu dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat beserta petir, manakala seorang rakannya balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal.
“Manakala dua rakan lagi pergi mengambil joran bersiap sedia untuk balik, ketika itu dua rakan tersebut melihat kedua-dua mangsa yang berada di bawah pokok rebah dan dipercayai pengsan,”katanya.
Katanya, dua sahabatnya terus bergegas ke tempat kejadian kedua-dua mangsa itu rebah dan melihat mangsa tidak sedarkan diri dan terus membawanya ke Klinik Lanchang dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di klinik itu.
Kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk dibedah siasat.-SAHIH