DAKWAAN POLIS KOMPAUN PENDUDUK TIDAK BENAR
DAKWAAN POLIS KOMPAUN PENDUDUK TIDAK BENAR
KUANTAN: Polis Kuantan menafikan pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 tetamu di sebuah taman perumahan di daerah ini kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sempena hari raya pertama, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan khabar angin yang sangat mengecewakan.
“Kehadiran anggota kita di taman perumahan terbabit semalam hanyalah untuk melakukan pemantauan SOP, selain bertanyakan isu membabitkan motosikal.
“Berita mengenai kompaun yang tular itu tidak benar. Terdapat penyebaran dan perkongsian video dan gambar mengenai kehadiran anggota polis dan ia adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai beberapa buah motorsikal yang kebetulan berada di satu lorong di taman perumahan berkenaan.
“Bila kita jalankan pemeriksaan lanjut, didapati ia bukan aktiviti beraya,” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Sejak petang semalam, beberapa video pendek berdurasi tujuh saat tular melalui aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran beberapa polis di sebuah taman perumahan di daerah ini.
Kelibat anggota polis dilihat menjalankan pemeriksaan terhadap kereta dan motosikal yang terdapat di taman perumahan itu.
Penularan video itu menyebabkan warga netizen mendakwa kompaun RM25,000 dikeluarkan pihak polis kepada pemilik kediaman tersebut dan kompaun RM5,000 pula dikenakan terhadap tetamu.
Menjawab mengenai tindakan penguatkuasaan ketika Aidilfitri, beliau menjelaskan setakat ini tiada tindakan kompaun dikeluarkan pihaknya.
Bagaimanapun jelasnya, pemantauan pematuhan SOP sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di seluruh kawasan, termasuk taman perumahan.-SAHIH