KUALA LUMPUR – Bermula titik tolak pasukan India berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke Harmanpreet Singh dan jaringan padang Gurjant Singh dengan kedua-dua gol itu terhasil pada minit ke-45 membuatkan pasukan Malaysia Tiger mula kendur.
Serangan bertali arus pasukan India di suku ketiga dan keempat membuatkan skuad hoki negara terlepas peluang untuk mencipta sejarah lebih besar dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 apabila tewas 3-4 kepada tuan rumah, India pada aksi final di Chennai, malam tadi.
Asakan bertali arus dilakukan India pada suku ketiga membuahkan hasil apabila mereka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke Harmanpreet Singh dan jaringan padang Gurjant Singh dengan kedua-dua gol itu terhasil pada minit ke-45.
Sebelum itu, India terlebih dahulu berada di depan menerusi Jugraj Singh yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan, namun skuad negara berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Aksi suku kedua menjadi milik Malaysia apabila memperoleh dua gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan Bola Baling Daerah Raub, muncul juara Kejohanan Bola baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) yang berakhir hari ini.
Raub, Kuantan juara bola baling MSS Pahang
JERANTUT : Daerah Raub dan Kuantan masing-masing muncul juara dalam kategori lelaki 18 tahun lelaki dan perempuan di Kejohanan Bola baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) yang berakhir hari ini.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan lelaki 18 tahun, daerah Raub berjaya menewaskan Jerantut dengan jaringan 11-8, manakala daerah Kuantan menewaskan Jerantut dengan jaringan 6-2 bagi kategori perempuan 18 tahun di pertandingan akhir kejohanan yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Sungai Jan, dekat sini, hari ini.
Pasukan Kuantan perempuan 18 tahun muncul juara di kejohanan sama.
Pasukan lelaki 12 tahun pula, daerah Bentong menewaskan Kuantan untuk muncul juara dalam kategori tersebut, manakala pasukan perempuan 12 tahun Bera pula berjaya muncul juara dengan menewaskan Kuantan.
Pengerusi Teknik Sukan Bola Baling MSSP, Shamsul Nizam Muhamad Ali berkata, tahun ini sebelas daerah telah menyertai kejohanan ini menunjukkan mutu permainan yang tinggi.
“Pemain yang dipilih akan membentuk pasukan MSSP Pahang yang bakal menyertai kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan diadakan di Putrajaya pada 25 – 31 Ogos ini.
“Pencapaian MSSM 2022, sangat mendukacitakan dengan hanya semua kategori hanya sampai ke peringkat suku akhir kerana sebelum tahun lepas, terutama kategori lelaki 18 tahun, sering melangkah ke peringkat akhir, diharapkan pasukan tahun ini akan mengulangi kejayaan cemerlang seperti pernah dikecapi,” katanya.
Jurulatih pasukan daerah Raub, Zakaria Muhi berkata, pasukannya muncul juara kerana dibarisi pemain yang sudah didedahkan dengan perlawanan di kejohanan yang diadakan di Lembah Kelang.
“Selain menghadapi perlawanan kejohanan terbuka, MSSP dan bakal MSSM, pemain di daerah ini akan setiasa Bersiap sedia dengan kejohanan yang bakal disertai sepanjang tahun ini,” katanya.
Pengurus pasukan daerah Kuantan, Siti Noraini Zaman berkata, hamper semua pemainnya menyertai Kelab Fennec yang sentiasa berlatih dan menyertai kejohanan tempatan di dalam dan luar daerah Kuantan.
“Oleh itu, pemain sudah dibekalkan pengalaman bermain dan memberi nilai tambah dalam kejohanan MSSP ini,” katanya.
Sementara itu, pemain daerah Bentong, Mohd Shafwan Hazim Shahrunnizam dan pemain daerah Bera, Nur Rabiul Raudah Mohd Hafis dipilih pemain terbaik lelaki dan perempuan kejohanan MSSP kategori 12 tahun.
Pemain daerah Raub, Woon Jun Rong dan Nur Mawaddah Abdullah (Kuantan) masing-masing dipilih pemain terbaik kejohanan dalam kategori 18 tahun.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan SK Gelanggi (kiri) dan pasukan SK Jerantut Jaya (kanan) bergambar sebelum pertanigan akhir bermula.
Bola Baling Jerantut, TAHAP muncul juara 18 tahun lelaki dan perempuan
JERANTUT : Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 yang berakhir hari ini telah mencungkil bakat baharu yang berpotensi besar untuk diketengahkan di kejohanan peringkat negeri tidak lama lagi.
Kejohanan 4 hari itu diadakan di gelanggang Sukan Daerah Jerantut dan disertai 30 pasukan katagori 12 tahun dan 16 pasukan kategori bawah 18 tahun.
Menurut Pengerusi Teknik dan Permainan Sukan Bola Baling MSSD Jerantut (Sekolah Rendah) , Muhammad Fekry Yahya berkata, kejohanan ini sebagai mencari pemain berpotensi dan berbakat untuk dipilih mewakili daerah Jerantut.
Katanya, kejohanan tahun ini telah menyerlahkan ramai pemain berbakat dan diramalkan akan terpilih mewakili negeri Pahang ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Manakala Pengerusi Teknik Bola Baling MSSD Jerantut (Sekolah Menengah) , Mohd Idham Suhaimi berkata, daerah jerantut banyak melahirkan pemain yang berbakat sejak 10 tahun lalu.
“Jerantut pernah mempunyai pemain perempuan dari SMK Inderapura mewakili pasukan Malaysia ke kejohanan ASEAN begitu juga pemain lelaki dari SMK TAHAP bermain untuk pasukan negara,” katanya.
Pasukan SK Gelanggi 2 muncul juara kategori perempuan 12 tahun di kejohanan itu.
Kategori lelaki 12 tahun, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya muncul juara menewaskan SK Gelanggi Satu, manakala tempat ketiga dimenangi bersama oleh SK Bandar Jerantut dan SK Pedah.
Pemain SK Jerantut Jaya, Wan Muhammad Aliff Quyyum Mohd Fazan dipilih sebagai pemain terbaik kategori ini.
Pasukan SK Gelangi Dua pula muncul juara dengan menewaskan SK Pulau Tawar dan Nur Hariza Maposam (SK Gelanggi Dua ) sebagai pemain terbaik bagi ketegori perempuan 12 tahun.
Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) muncul juara dengan menewaskan pasukan Projek 2024 dengan jaringan 7-2 dan Muhammad Amirun Amin Mahadi (TAHAP) muncul pemain terbaik..
Pasukan SMK TAHAP menewaskan SMK Gelanggi 2 dengan jaringan 9-3 untuk muncul juara bagi kategori perempuan 18 tahun dan Nur Ilyani Izzati Azman (TAHAP) muncul pemain terbaik kejohanan.-SAHIH,
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Burhanuddin Daud menyampaikan ucapan ringkas dan memberi kata-kata semangat sebelum melepaskan peserta kayuhan.
350 orang sertai Croco Ride
RAWANG – Lebih 350 peserta menyertai program kayuhan berbasikal bukit “Croco Ride 1.0” tahun 2023 yang diadakan di Dataran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, dekat sini baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Berbasikal Sungai Buaya (KBSB) bersama-sama KRT berkenaan bermatlamat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa pentingnya aktiviti sukan dan riadah.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN), Selangor, Burhanuddin Daud berkata, program itu tercapai dan menjadi contoh kerana ia adalah antara hasrat Kementerian Perpaduan bagi mengalakkan setiap aktiviti khusus berbentuk kemasyarakatan sebolehnya dengan membabitkan penyertaan daripada pelbagai kaum.
Peserta kayuhan basikal bukit “Croco Ride 1.0” tahun 2023 berkumpul sebelum dilepas di Dataran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor , baru-baru ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menarik minat penyertaan pelbagai.
“Penyertaan pelbagai kaum bukan sahaja berbentuk riadah malah menjadi satu budaya Malaysia Madani yang duanjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10,” katanya.
Presiden KBSB, Khairun Nahar Rusdi berkata, acara kayuhan berbasikal itu diadakan bersempena meraikan ahli kelab, tetapi mendapat sambutan daripada peminat basikal dari luar yang berminat untuk turut serta.
“Selepas mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa KBSB penganjuran kayuhan ini dibuka kepada peminat basikal dari luar dengan menggalakkan penyertaan pelbagai bangsa.
“Setelah dibuka untuk penyertaan luar, sambutan hangat daripada peminat sukan berbasikal tidak sampai seminggu sudah menarik 350 peserta dan pihak penganjur terpaksa menutup pendaftaran berdasarkan beberapa faktor terutama membabitkan keselamatan pengayuh,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih kepada penaja yang membantu menjayakan program kayuhan berkenaan seperti Klinik SP Care , Biri-Biri Café, Adabi, SBCC Event Management, Fariq Design, Panglima D7, Reendrone, Panjang Bianchi, Suraya Sofea An, Razifsangit Photographer, Gaban Conopy 19, Nash Catering dan Jiwa basikal. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan Sawah Ring FC yang muncul juara di kejohanan itu.
Bolasepak 7 sebelah tingkat keharmonian Kampung Sawah Ring
TANGKAK – Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Sawah Ring, Bukit Gambir Football Club menganjurkan Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah yang disertai oleh 18 pasukan sebagai pentas terbaik memberi peluang golongan anak muda meningkatkan bakat mereka dalam sukan tersebut, baru-baru ini.
Penghulu Mukim Gersik, Mohd Nor Mohajin berkata, kejohanan bagi merebut Piala Mukim Gersik, Ledang, Johor untuk menyemaikan semangat persahabatan dan ukhuwah pasukan yang bertanding dalam usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian penduduk di kampung berkenaan yang diadakan di padang Sekolah Sekolah Kebangsaan Sawah Ring.
Pasukan Sengkang FC muncul naib juara.
“Bola sepak merupakan sukan yang menjadi pilihan utama di masyarakat negara ini selain diminati oleh pelbagai golongan tidak kira sama ada tua atau muda yang boleh berkongsi kegembiraan walaupun kali pertama bertemu.
“Penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung dapat mendidik semangat kesukanan yang tinggi serta sikap untuk bertanding secara adil dan sihat bersesuaian dengan matlamat utama untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat khususnya di Mukim Gersik,” katanya.
Katanya, kejohanan itu menjadi salah satu usaha pemimpin masyarakat untuk mendekati golongan muda dan sekali gus dapat menyedarkan mereka tentang kepentingan mereka dalam membantu melahirkan masyarakat yang sihat, penyayang serta menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Tahniah kepada semua 18 pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini dan saya mengucapkan selamat maju kepada mereka.
“Penyertaan 18 pasukan yang mewakili setiap kampung dalam Mukim Gersik membuktikan kesepakatan penduduk sudah berlaku khususnya dalam penganjuran satu-satu aktiviti,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan.
Dalam kejohanan itu, pasukan Sawah Ring FC muncul juara dengan merangkul piala pusingan dan piala iringan serta Wang tunai RM500 diikuti naib johan Sengkang FC meraih hadiah wang tunai RM300 berserta piala iringan, ketiga Sungai Bilah FC menerima hadiah RM100 bersama piala iringan dan tempat ke-4 dimenangi Parit Kasan FC yang menerima RM100 serta piala iringan.
Sementara itu, Ketua Kampung Sawah Ring merangkap Pengerusi JPKK Sawah Ring, Abdul Razak Husein, melahirkan rasa bersyukur kerana Kampung Sawah Ring terpilih sebagai tuan rumah dalam penganjuran kejohanan itu.
“Program ini mampu memupuk kesedaran kepada golongan anak muda mengenai kepentingan mereka untuk terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti sukan atau pun kemasyarakatan secara amnya, semoga kejohanan seperti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jojo’ peninju Muay Thai negara berusia 16 tahun tumbangkan lawan hanya 16 saat
BANGKOK – Peserta remaja Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, melakarkan penampilan sulung yang menakjubkan dalam siri ONE Championship apabila menumbangkan lawan dengan pukulan ‘knockout’ (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, di sini, pada Jumaat.
Peserta Sarawak berusia 16 tahun itu hanya mengambil masa 16 saat dalam pertarungan ‘Flyweight Muay Thai’ untuk keputusan KO terhadap peserta tuan rumah, Padetsuk Fairtex, dalam pusingan pertama.
Beliau memerangkap lawan dengan aksi kombinasi pukulan bertubi-tubi yang disasarkan tepat sehingga lawannya tidak mampu meneruskan saingan.
Johan, yang lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, turut menerima bonus prestasi berjumlah Baht 350,000 (RM44,000).
Johan, yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap, berkata beliau menjalani tempoh latihan intensif selama sebulan setengah bagi persediaan menghadapi pertarungan ONE Championship.
“Saya sentiasa mahu bertarung dalam kejohanan ini…maka berlatih dengan gigih untuk mencapai hasrat ini. Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari iaitu empat jam mulai jam 6 pagi dan empat jam pada sebelah petang mulai 4 petang.
“Usaha keras selama ini berbaloi. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, Addy Singpayak, yang menjaga saya, beliau adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” katanya.
Tahun lalu, Johan muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menumbangkan peserta Rusia, Rustam Yunusob, bagi kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya.- Sarang Burung.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sukan PESAYA Sarawak – Yayasan Pahang sasar tiga tempat terata
KUANTAN: Seramai 164 atlet kontinjen Yayasan Pahang berentap bagi mencapai sasaran tiga tempat terbaik pada temasya Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) Ke-14, Sarawak 2022 yang diadakan di Kuching bermula 10 hingga 19 Februari ini.
Ketua Kontinjen Datuk Muhamad Firus Kamal Mohd Noh berkata, skuad Yayasan Pahang menyertai 14 acara yang dipertandingkan iaitu bola sepak, futsal,takraw badminton, boling, petanque.bola baling, bola jaring, bola tampar, dart,carom,e-sport, golf dan pingpong.
Menurutnya, kontinjen Yayasan Pahang meletakkan sasaran tiga tempat terbaik berikutan persediaan dan latihan sejak setahun lepas.
” Yayasan Sarawak menjadi tuan rumah pesta sukan tahun ini yang dianjurkan secara dwitahunan.
” Setiap atlet telah ditekankan semangat berpasukan supaya sasaran tempat ketiga teratas menjadi kenyataan.
“Kita perlu memupuk semangat berpasukan semua yang terlibat lebih fokus terhadap pertandingan yang disertai,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tegas beliau, objektif Yayasan Pahang bukan sahaja menonjolkan kehebatan dalam bidang sukan dan permainan tetapi juga dalam sektor korporat.
Beliau mengingatkan atlet yang terlibat dalam pertandingan dapat menjaga imej negeri dan bertanding sebagai satu pasukan dan semangat kesukanan.
“Oleh itu, kita yakin adanya semangat kesukanan yang tinggi mampu membawa nama Pahang dengan baik,” ujarnya.
Untuk rekod, PESAYA merupakan pertandingan sukan dwitahunan antara semua yayasan-yayasan negeri dalam Malaysia yang telah diwujudkan sejak tahun 1991.
Temasya kali ini menyaksikan sebanyak 13 buah kontinjen negeri akan mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam kejohanan ialah Johor, Kedah, kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Sarawak sebagai tuan rumah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEBERAPA perlawanan Liga Super musim depan akan berlangsung pada waktu petang, persis seperti suasana Liga Perdana Inggeris.
PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan bakal merasai suasana ala Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 akan berlangsung di sebelah petang, antara pembaharuan yang diperkenalkan musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, perubahan itu dibuat bagi menyemarakkan lagi suasana Liga M.
Ia juga dilihat sebagai pendekatan berbeza dan mampu membawa pengalaman baharu buat penyokong yang sebelum ini kerap melihat perlawanan EPL secara langsung di kaca televisyen pada waktu petang yang cukup meriah.
“Langkah MFL memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong.
“Bagaimanapun, waktu sepak mula perlawanan juga tertakluk kepada penyiar rasmi dan MFL,” katanya ketika mengumumkan jadual Liga M di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.
Empat pilihan waktu disusun MFL menyaksikan sepak mula pukulan 5.15 atau 5.30 petang yang digunapakai di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak 4.30 atau 4.45 petang.
Tiga lagi waktu perlawanan di Semenanjung adalah pada 8.15 malam; 9 malam dan 10 malam (di bulan Ramadhan).
Sementara di Borneo akan berlangsung pada 7.30 malam; 8.15 malam dan 9.15 malam (bulan Ramadhan).
Musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi di sebelah petang dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim dan ia menyaksikan sambutan positif penyokong tempatan.
Sementara itu, Liga M musim ini juga bakal menyaksikan perebutan enam trofi dengan dua kejuaraan baharu diperkenalkan Piala Cabaran MFL dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).
Menurut Stuart, selain dua saingan itu, empat kejohanan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia kekal menjadi rebutan buat 14 pasukan elit dalam Liga M musim ini.
Aksi pembuka tirai merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT (juara Liga Super musim lalu) dan Terengganu FC (naib juara Liga Super musim lalu) akan dilangsungkan pada 24 Februari ini di Stadium Sultan Ibrahim.
Sumber : Utusan Malaysia
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize berada di tengah-tengah himpunan pelajar SMK Permas Jaya 2, Pasir Gudang, Johor yang menyambut kedatangan beliau ke sekolah itu selepas dinobatkan Olahragawan Kebangsaan Sukma 2022.
Olahragawan Sukan Sukma 2022 balik SMK Permas Jaya 2
PASIR GUDANG – Olahragawan Kebangsaan Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize turut berkongsi kejayaan dengan menyuntik semangat kesukanan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Pasir Gudang, Johor dalam Majlis Wawancara Tokoh Sukan, baru-baru ini.
Fakhrullah yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor dinobatkan untuk merangkul anugerah itu selepas berjaya meraih sembilan emas dalam acara individu dan berkumpulan sukan kanu.
Muhammad Fakhrullah bersama sebahagian guru SMK Permas Jaya 2 yang banyak memberi semangat dan berbangga di atas kejayaan beliau.
Beliau merupakan bekas pelajar SMK Permas Jaya 2 yang mula aktif dalam sukan berkenaan selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Atlet kanu yang berusia 21 tahun itu yang mewakili Johor Darul Takzim itu turut mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod baharu kebangsaan.
Pingat emas yang diraihnya menerusi acara K2 500m (rekod kebangsaan), K2 1,000m (rekod kebangsaan), K1 200m, K2 200m, TBR 1,000m, TBR 500m, TBR 500 campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.
Katanya, dia tidak menjangkakan mampu memenangi sembilan acara yang disertai dan meraih sembilan pingat emas yang melayakkan dirinya mendapat bonus apabila disytiharkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Sukma.
“Ketika berjaya mendapat emas ketujuh, wartawan media ada memaklumkan kepada saya bahawa kemungkinan akan dinobatkan Olahragawan Sukma, tapi saya menggangap perkara ini sebagai satu bonus supaya tidak terlalu tertekan untuk memberi tumpuan kepada acara seterusnya.
“Apabila nama disebut untuk naik ke atas pentas, saya tidak menjangkakan akan menerima trofi daripada seorang pelumba basikal trek professional Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang, kerana ketika itu di belakang tabir hanya kelihatan Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei, pada masa sama saya berasakan aura ‘champion’ ketika bersama Datuk Azizulhasni,” katanya.
Roszaidi Ramlee berswafoto bersama Muhammad Fakhrullah.
Dia bermula berjinak dengan sukan itu ketika berusia 15 tahun selepas selesai menduduki PT3 dan seorang rakan mengajak dia untuk bersama-sama berlatih kanu.
“Pada ketika itu, saya berminat sukan bola sepak, bagaimanapun semuanya berubah apabila rakannya itu tidak dapat meneruskan perjuangan dalam sukan kanu kerana beberapa masalah serta kesan kemalangan menimpanya.
“Oleh itu, saya bersama rakan lain mengambil keputusan untuk teruskan tekun berlatih sehingga mampu menjadi wakil SMK Permas Jaya 2 dalam pertandingan yang diadakan di samping fokus kepada semi pro dan profesional ketika berusia 16 tahun sudah menyertai Sukan Peringkat Negeri Johor serta berjaya menang emas pertama,” katanya.
Tambahnya, tanpa disedari dia hampir lapan tahun menjadi atlet kanu dan sudah lima tahun sebagai atlet semi pro yang menfokus pada ketika itu ke arah sprint.
Seawal usia 18 tahun dia sudah mewakili negara dalam pertandingan Asia Tenggara di Thailand serta berjaya mendapat pingat emas sulung iaitu dua emas dan sembilan gangsa.
Katanya, dia mendapat peluang untuk menjalani latihan di luar negara iaitu pada tahun 2021 di dua negara, Portugal dan Monteno Ovenho selama dua minggu dan turut menyertai pertandingan semi final pada Kejohanan Dunia Junior kedua di Hungary bersama-sama 13 atlet bertaraf dunia manakala program latihan sangat berlainan di Malaysia.
“Sokongan dan dorongan khusus daripada ibu bapanya serta ahli keluarga, jurulatih dan individu di sekeliling banyak menyuntik semangat untuk saya melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh termasuklah Majlis Sukan Negeri Johor menyarankan untuk menjadi atlet semi pro.
“Sukma ini merupakan permulaan dan tapak untuk diserapkan dalam kumpulan kebangsaan seterusnya mewakili negara dalam kejohanan besar dan berprestij yang akan menguji serta membuka cabaran lebih besar dan hebat.
Katanya, dia hadir ke SMK Permas Jaya 2 ini dan kebetulan hasrat itu tercapai dengan diiringin kejayaan besar sebagai atlet kanu untuk dikongsikan bersama-sama guru, warga sekolah dan rakan pelajar kerana turut penyuntik semangat untuk memburu kecemerlangan.
Sementara itu, seorang guru sekolah berkenaan, Roszaidi Ramlee menyifatkan kehadiran Fakhrullah selepas merangkul anugerah olahragawan berkenaan amat bermakna kepada SMK Permas Jaya 2 kerana menyuntik motivasi kepada pelajar untuk turut berjaya dalam sukan seperti beliau.
“Belajar bersungguh-sungguh bagi menjadi pelajar cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru bukanlah penghalang turut berjaya dalam bidang sukan asalkan bijak membahagikan masa untuk belajar serta mengulang kaji pelajaran,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERAMAI 127 penyokong pasukan bola sepak maut selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam tadi.
Turut terkorban dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri), kata Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia Daerah (Kapolda) Jawa Timur, Irjen Pol Nico Afinta dipetik dari Kompas.com.
“Ada 34 maut di stadium manakala yang lainnya meninggal dunia di rumah sakit.
“Sekitar 180 lagi penonton dan penyokong sedang dirawat di beberapa rumah sakit sekitar Jawa Timur,” katanya.
Difahamkan, rusuhan itu membabitkan penyokong kedua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Punca kecederaan dikatakan akibat tindakan Polri melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan itu.
Kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas dan dipijak oleh perusuh ketika pihak Polri cuba mengawal keadaan kecoh di dalam stadium terbabit.
Berdasarkan laporan kronologi kejadian, sebahagian besar penyokong mula menceroboh padang selepas pasukan Arema tewas 2-3 ditangan musuh tradisi mereka, Persebaya dalam perlawanan itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!