KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mengakui bukan mudah untuknya menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Manavgat di Turki, Sabtu lalu apabila bergelut dengan masalah kekejangan kaki.
Harrif yang kira-kira setahun tidak berlumba disebabkan pandemik COVID-19 berkata, sukar untuknya menemui rentak selain mengalami kekejangan kaki ketika 30 kilometer (km) terakhir sebelum muncul pelumba pertama tiba di garisan penamat.
“Lima kilometer pertama saya agak bergelut, kemudian (peloton) semakin pantas dengan purata kelajuan kira-kira 53 kilometer perjam dan ia sangat pantas,” kata Harrif dalam laman Youtube.
“Ia sangat sukar buat saya apatah lagi saya sudah setahun tanpa perlumbaan. Saya melakukan yang terbaik untuk mengekori kelompok besar dan bertahan. Apabila memasuki 30km terakhir perlumbaan, saya mula merasakan kekejangan ringan di kaki.
“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk tidak panik, saya cuba mencari alternatif lain dengan menggunakan gear lebih rendah dan minum sedikit air bagi menyimpan tenaga.
“Saya dapat kembali pulih sebelum penamat dan terima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu,” katanya, dipetik dari BH Online.
Ketika 5km terakhir menuju ke garisan penamat, Harrif menerima bantuan daripada Youcef Reguigui dan yang lain untuk membantunya ke depan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kira-kira 2km terakhir saya mencari laluan sendiri dengan Pak Usop (Reguigui) menghalang pelumba lain di belakang saya. Pada 1km terakhir saya mengekori Andrea Guardini dalam masa sama saya menghalang pelumba lain untuk berada di belakang Guardini.
“Saya tidak bagi pelumba lain berada di belakang Guardini, saya seorang saja boleh berada di belakang pelumba Giotti Victoria itu. Selepas melihat garisan penamat, rahsia saya adalah dengan menggunakan gigi gear 55, yang membolehkan saya melakukan kayuhan dengan kelajuan tinggi.” katanya.
Harrif, yang pernah meraih 18 kemenangan termasuk tiga di Le Tour de Langkawi (LTdL), ketika ini sudah menyertai empat perlumbaan di Turki dan masih mempunyai baki dua perlumbaan iaitu GP Mediterranean pada 6 Mac dan GP Gundogmus (7 Mac) sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas jaguh basikal trek negara, Josiah Ng kini memegang tanggungjawab membantu meningkatkan tahap keupayaan fizikal dan mental buat pelumba Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim ini.
Josiah yang pernah mewakili negara dalam acara sukan berbasikal trek sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik – Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012 – memikul tugas sebagai jurulatih prestasi untuk pelumba pelapis dua roda SIC di bawah syarikat Sports Empowered Sdn Bhd.
“Sports Empowered menyambut baik untuk menjadi rakan kejurulatihan prestasi untuk bakat SIC,” kata Josiah.
“Saya begitu teruja untuk membantu pelumba mencapai kemuncak fizikal dan mental bagi menghadapi kejuaraan musim ini.”
Untuk rekod, Josiah mempunyai pengalaman luas di pentas dunia apabila pernah meraih pingat perak di Sukan Asia masing-masing dalam acara keirin di Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Doha 2006.
Bekas pelumba basikal yang kini berusia 41 tahun itu juga pernah meraih pingat sama dalam acara pecut di Sukan Asia Busan 2002 dan gangsa (keirin) di Incheon 2014.
Selain itu, Josiah turut pernah meraih tiga pingat emas di Kejohanan Asia New Delhi 2013 (acara pecut dan keirin) dan Kuala Lumpur 2012 (keirin).
Sebelum ini, Josiah melatih skuad pecut Thailand dan memainkan peranan besar dalam melonjakkan Jai Angsuthasawit muncul juara acara keirin di Sukan Asia 2018.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pengalaman dimiliki Josiah bakal menjadi ramuan penting bagi membantu pelumba pelapis ini untuk lebih menyinar dalam kejohanan yang bakal disertai nanti, lapor BH Online.
“Pengalaman dan pengetahuannya adalah satu ramuan penting buat pelumba bakat kami dan (bagi melahirkan) juara di masa depan. Saya berharap pelumba bakat dapat meraih lebih kecemerlangan bagi berada dalam kedudukan teratas di kejohanan disertai dan membuatkan Malaysia berbangga,” kata Azhan.
Pelumba bakat SIC mempunyai tugasan di peringkat Kejuaraan CEV iaitu di Kejuaraan Moto2 Eropah, Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia dan European Talent Cup (ETC) selain di Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) bagi musim 2021.
Adam Norrodin mengepalai kontinjen SIC di CEV dengan menyertai saingan Moto2 manakala Syarifuddin Azman menyertai saingan Moto3.
Sharul Ezwan Sharil mewakili SIC di pentas ETC manakala untuk saingan ATC, Sharul Ezwan bakal bergandingan bersama Danial Syahmi Ahmad Shahril dan juara sulung SIC MiniGP dalam kelas 160cc, Muhammad Hakim Danish Ramli.
Dalam pada itu, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang diberi tanggungjawab mengasah bakat pelumba ini berkata, dia teruja untuk bekerjasama dengan Josiah dan yakin pelumba akan dapat meraih musim yang baik di CEV dan ATC.
“Pelumba sangat bermotivasi dan bersedia untuk berada di puncak. Kami mengharapkan satu musim yang lebih baik pada 2021 dan berharap kami dapat mencapai sasaran diletakkan tahun ini,” kata Zulfahmi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Naomi Osaka melonjak ke tangga kedua ranking WTA selepas menjuarai saingan Terbuka Australia, kelmarin sekali gus merekodkan gelaran Grand Slam keempat buat dirinya.
Bintang sensasi Jepun itu menewaskan Jennifer Brady dari Amerika Syarikat (AS) pada aksi final bagi menjulang trofi di Melbourne buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, lapor AFP.
Naomi, 23, merampas kedudukan Simona Halep yang menyaksikan kedudukan pemain Romania itu jatuh ke tangga ketiga ranking dunia selepas tewas di tangan Serena Williams pada aksi suku akhir.
Kedudukan Serena pula naik empat anak tangga ke kedudukan ketujuh biarpun gagal dalam misi untuk merekodkan gelaran major ke-24. Pemain AS itu itu tewas di tangan Naomi pada aksi separuh akhir.
Asheigh Barty kekal sebagai pemain nombor satu dunia biarpun tewas di tangan Karolina Muchova pada aksi suku akhir.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Sepakan penalti Mason Mount pada babak kedua membantu Chelsea bangkit untuk mengikat Southampton 1-1 yang berjaya menamatkan rekod enam kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tuan rumah terlebih dahulu di hadapan pada babak pertama apabila hantaran Nathan Redmond disudahkan oleh penyerang yang dipinjamkan dari Liverpool, Takumi Minamino.
Namun, Saints menghadiahkan gol penyamaan kepada Chelsea lapan minit selepas babak kedua bersambung apabila Danny Ings menjatuhkan Mount di dalam kotak penalti, lapor Agensi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Mount jelas tidak berdepan masalah menyumbat masuk tendangan penalti untuk menyamakan kedudukan.
Chelsea gagal menambah gol, sebaliknya Southampton hampir meledak gol kemenangan apabila tandukan Jannik Vestergaard hinggap di palang dan percubaan susulan Ings selepas itu tidak menemui sasaran.
Keputusan itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga keempat dengan 43 mata sementara Southampton di tangga ke-13 dengan 30 mata.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Selang enam jam selepas jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas di Australia, seorang lagi pelumba basikal, Harrif Saleh turut tidak ketinggalan mengharumkan nama Malaysia di Turki.
Harrif, 32, yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) membuktikan kayuhannya tidak berkarat walaupun berehat hampir setahun akibat pandemik COVID-19 dengan menjuarai Grand Prix (GP) Manavgat, di Turki, sebentar tadi, lapor BH Online.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Kemenangannya pada perlumbaan sejauh 149 kilometer itu seharusnya menjadi tonik terbaik buat Harrif dan TSG untuk memburu lebih banyak kejayaan musim ini.
Menariknya, Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocket Man dan Harrif, kedua-duanya adalah anak jati Terengganu dan kejayaan mereka turut mengharumkan nama negeri itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bermula hari ini.
Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton atau penyokong.
Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan, lapor Bernama.
KBS menegaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dari semasa ke semasa.
Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.
GAMBAR HIASAN
“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Berikut adalah butiran SOP terbaharu mengikut kawasan:
Semasa PKP
——————
(i) Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal yang dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan;
(ii) Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1–3 meter;
(iii) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
GAMBAR HIASAN
(iv) Pengoperasian fasiliti/ premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(v) Penganjuran kejohanan/ pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/ penyokong;
(vi) Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan- pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model gelembung sukan (sports bubble, home based training dan camp based training);
(vii) Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep camp based training;
(viii) Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/ perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/ pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS;
(ix) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon adalah dilarang.
Semasa PKPB
———————
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan;
(ii) Penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model gelembung sukan yang telah ditetapkan;
(iii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iv) Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi;
(v) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(vi) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
(vii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.
Semasa PKPP
———————
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong;
(ii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti fun run, fun ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pemain Liga Malaysia (Liga M) boleh bergasak tanpa sebarang kerisauan selepas ini apabila mereka bakal menerima vaksin COVID-19 menerusi inisiatif yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Itu antara inti pati pertemuan antara Presiden FAM merangkap Presiden MFL, Hamidin Mohd Amin bersama Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berlangsung hampir sejam di Putrajaya, semalam.
Hamidin menjelaskan kepada Muhyiddin bahawa FAM dan MFL melaksanakan inisiatif untuk kelompok 2,500 pemain dan pegawai bola sepak di peringkat elit diberi suntikan COVID-19 hasil perbincangan dengan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Hasil perbincangan dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, kami mengemukakan permohonan untuk kelompok pemain tempatan diberi suntikan vaksin seberapa awal yang boleh.
“Kemungkinan besar selepas kumpulan petugas barisan hadapan,” kata Hamidin dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, badan induk itu turut menghulurkan penghargaan kepada Muhyiddin yang mendukung hasrat keluarga bola sepak negara untuk bangkit semula susulan impak COVID-19 selain berpesan supaya saf kepimpinan FAM bersatu hati di bawah pucuk pimpinan yang padu dan tidak terperangkap dalam krisis kepimpinan.
GAMBAR HIASAN
“Bagi pihak FAM dan MFL, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian beliau mengambil sedikit masa menerima kunjungan hormat kami dalam menjelaskan beberapa kaedah persiapan untuk skuad kebangsaan sepanjang musim ini serta sepak mula Liga M bermula Mac.
“Kami bertukar pendapat dengan beliau mengenai situasi semasa termasuk persediaan memberi imunisasi kepada keluarga bola sepak negara dan betapa pentingnya industri hiliran berasaskan bola sepak dibenarkan kembali beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, lapor BH Online.
“Beliau memahami bahawa bola sepak di peringkat akar umbi juga harus diberi ruang untuk bernafas demi kelangsungan ekosistem bola sepak secara keseluruhannya, sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat sukan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dan diperkasakan semula susulan impak pandemik COVID-19 terhadap perkembangan serta aktiviti sukan nombor satu negara itu ketika ini.
Perdana Menteri menegaskan bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) di bawah seliaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu di pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan operator sukan.
“Saya juga mengambil maklum mengenai langkah diambil FAM dalam memastikan Liga M dijadual bermula Mac ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menjamin penularan COVID-19 dapat dielakkan,” katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook rasminya hari ini.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin menerima kunjungan hormat delegasi FAM diketuai presidennya, Hamidin Mohd Amin diiringi Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
“Saya tertarik dengan perkongsian Hamidin mengenai agenda terkini dan hala tuju perkembangan bola sepak tempatan yang direncana FAM, antaranya, saingan Liga M dan persiapan pasukan kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023,” kata Muhyiddin.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa berkongsi maklumat serta perkembangan terkini mengenai penganjuran Liga M dan yakin dengan kerjasama erat FAM, kemeriahan sukan bola sepak kembali dapat dinikmati semula.
Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin yang menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2021-2025 yang akan disahkan pada Kongres FAM ke-57 dijadual berlangsung bulan depan.
“Saya harap agar FAM di bawah kepimpinan Hamidin dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China,” katanya.
Sementara itu, Hamidin, dalam kenyataan, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin atas kesudian meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting dalam menentukan masa depan bola sepak negara di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.
GAMBAR HIASAN
Katanya, pertemuan itu juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga-M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif COVID-19, lapor Bernama.
Hamidin berkata turut dibincangkan adalah kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan bola sepak dan futsal termasuk akademi bola sepak yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak yang menjadi gelanggang rasmi Terengganu FC (TFC), disanitasi bermula hari ini sebagai langkah pencegahan pandemik COVID-19 menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 5 Mac ini.
Proses itu dilakukan pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
Kawasan padang, bilik persalinan pemain, bilik media, bangku simpanan dan sekitarnya antara disanitasi.
Turut disanitasi kawasan sekitar KSNT yang merangkumi stadium tertutup, padang hoki, ragbi, stadium mini, litar permotoran, padang latihan bola sepak dan gelanggang boling padang.
Proses itu dilakukan sebagai persediaan awal selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pasukan Liga M menjalani latihan menerusi konsep gelembung sukan.
Menerusi kaedah itu semua pemain dan pegawai perlu melakukan ujian calitan dan memasuki gelembung selepas disahkan bebas daripada COVID-19.
Penolong Pengarah Pengurusan KSNT, A Zulkefli Mohammad berkata, proses sanitasi itu membabitkan seluruh kawasan kompleks sukan di Terengganu bagi memastikan lokasi berkenaan bebas daripada sebarang ancaman pandemik COVID-19, lapor BH Online.
“Proses sanitasi ini adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum pasukan menjalani sesi latihan masing-masing dan perlawanan.
“Petugas kami seramai sepuluh orang diketuai Mohd Aliff Hafifi Mohammad sudah ada pengalaman selepas mendapat pendedahan dan latihan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sebelum ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan 11 kelab dari Liga Malaysia (Liga M) sudah mengemukakan pengesahan permohonan Lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2022.
Kelab berkenaan termasuk 10 wakil Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, PJ City FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Terengganu FC, UiTM FC, Penang FC dan Kuala Lumpur United FC serta satu pasukan Liga Perdana, Sarawak United FC.
Pasukan Sri Pahang FC dan Sabah FC tidak memohon lesen AFC untuk musim depan.
MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata dalam masa sama semua 18 pasukan Liga M sudah membuat pengesahan permohonan untuk Lesen Kebangsaan membabitkan penyertaan untuk Liga Super dan Liga Perdana bagi musim depan, lapor BH Online.
Tarikh pengesahan permohonan bagi Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan ditutup pada 9 Februari lalu.
Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) dibuka bermula, hari ini dengan setiap kelab diminta mengemukakan dokumen bermula Kriteria Personel dan Pentadbiran (31 Mac 2021), Kriteria Undang-Undang (15 April 2021), Kriteria Sukan (31 Mei 2021), Kriteria Infrastruktur (15 Jun 2021), Kriteria Perniagaan (30 Jun 2021) dan Kriteria Kewangan pada 30 Julai 2021.
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MFL, AB GHANIHASSAN
“Unit Pelesenan Kelab MFL memberikan informasi ini kepada awam untuk memastikan sebahagian pihak memahami berhubung perkembangan terkini berkaitan permohonan lesen bagi musim 2022 dalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC serta Lesen Kebangsaan yang membabitkan Liga Super dan Liga Perdana,” kata kenyataan, itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Ab Ghani Hassan berkata pihaknya mengingatkan kepada kelab supaya dapat menyerahkan dokumen yang diminta mengikut susunan kriteria dan tarikh akhir yang ditetapkan.
“Jika ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, pegawai pelesenan kelab boleh menghubungi secara terus dengan Unit Pelesenan Kelab MFL,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!