LONDON: Seorang pengadil kantoi apabila perbuatannya kencing dalam seluar dirakam sebelum sepak mula satu perlawanan bola sepak di Brazil.
Perbuatan Denis da Silva Ribeiro itu tidak disedari oleh pengulas perlawanan yang sedang memperkenalkan pegawai dan dua pembantunya dalam perlawanan membabitkan pertemuan antara Boavista menentang Goias pada Khamis.
Denis da Silva Ribeiro kencing di atas bola yang digunakan pada perlawanan antara Boavista menentang Goias.
Bagaimanapun, penonton menyedari perkara itu apabila melihat air mengalir di celah kaki pengadil berkenaan dan rakaman itu kini menjadi tular, lapor Agensi.
Video menunjukkan Da Silva melonggarkan sedikit seluar pendek dipakainya selepas menoleh ke belakang dan kencing di atas bola yang digunakan dalam perlawanan berkenaan sebelum dia beredar daripada bulatan tengah padang.
Insiden itu berlaku di Stadium Elcyr Resende di Saquarema berdekatan Rio de Janeiro.
Boavista menang aksi pertama 3-1 tetapi semua orang bercerita mengenai perbuatan Da Silva.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Satu laporan sensasi di Itali mendakwa Manchester United menolak peluang untuk menandatangani semula Cristiano Ronaldo selepas ditawarkan oleh Juventus.
Bintang sensasi berusia 36 tahun dan rakan sepasukannya mengalami kekecewaan minggu ini selepas disingkirkan dari Liga Juara-Juara oleh Porto.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Wartawan Itali, Emanuele Gamba memberitahu Calciomercato bahawa dia berpendapat Ronaldo akan kekal di Juventus sekurang-kurangnya 12 bulan lagi.
Namun, dia mendakwa bahawa ejen penyerang itu, Jorge Mendes menawarkan khidmat ikon itu kepada United dan Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu.
Gamba berkata: “Adakah dia akan berhijrah? Saya fikir satu-satunya saat peluang itu muncul adalah pada musim panas lalu, dan saya rasa kakitangannya bergerak ke arah itu.
“Saya percaya Mendes berusaha untuk melihat adakah ada sebarang kemungkinan.
“Saya tidak pasti bahawa setahun kemudian, dengan Ronaldo yang semakin berusia, kemungkinan ia (perpindahan) akan muncul kembali,” tambahnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak akan ke mana-mana selagi atlet itu tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19, tegas ketua jurulatih gimnastik artistik wanita negara, Ng Shu Wai.
Walaupun menyedari hanya berbaki lima bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo berlangsung, Shu Wai tetap mahu memastikan keselamatan kesihatan atletnya dijaga sebelum dibenarkan bertanding.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai tarikh suntikan untuk gimnas berusia 26 tahun itu.
“Saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai untuk menghantar Farah Ann ke mana-mana pertandingan sehingga beliau mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.
Sementara itu, Shu Wai berkata biarpun tidak menyertai mana-mana pertandingan di peringkat global, Farah Ann sentiasa bersemangat tinggi dan tidak sabar untuk mempamerkan aksinya di temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini, lapor Bernama.
“Beliau kini sedang memberi fokus kepada program Road To Tokyo dan dalam fasa terakhir persiapan ke Olimpik Tokyo 2020,” katanya.
Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan di Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman sekali gus menamatkan penantian selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita Malaysia beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.
Kali terakhir gimnas negara beraksi di temasya Olimpik adalah menerusi gimnas lelaki Ng Shu Wai di Athens 2004.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas pemain ragbi kebangsaan Dr Mazlan Ismail, meninggal dunia akibat serangan strok pada jam 12.58 tengah malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini.
Allahyarham, 38, merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, meninggalkan seorang isteri Azlina Mohd Ariff, 44.
Adik Allahyarham Muhammad Naimmi Ismail, 31, ketika dihubungi Bernama memaklumkan, jenazahnya akan dikebumikan di Taiping, Perak selepas solat Asar hari ini.
“Allahyarham telah menerima rawatan di hospital sejak Januari lepas selepas kesihatannya merosot, pihak hospital juga memberitahu keluarga kami bahawa arwah kena serangan jantung minggu lepas.
“Allahyarham merupakan seorang yang sangat komited dan tegas dalam kerjanya. Walaupun telah lama meninggalkan dunia ragbi, namun Allahyarham masih aktif dengan sukan kegemarannya itu, apabila sering bermain dan memberi tips berkaitan psikologi kepada ahli kelab ragbi Cobra Malaysia,” katanya.
Allahyarham yang terkenal dengan julukkan Doc Malan dalam komuniti ragbi tanah air pernah mewakili negara bersama pasukan ragbi 7 sebelah di Sukan Komanwel di Manchester, England pada 2002 dan Sukan Asia Busan di Korea Selatan pada tahun sama, selain pernah menyarung jersi skuad 15 sebelah negara.
Sementara itu, Kesatuan Ragbi Malaysia dalam satu kenyataan merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian Mazlan sebagai kehilangan besar bagi sukan ragbi dan dunia akademik negara.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di lapangkan kuburnya serta ditempatkan bersama hambanya yang bertaqwa di syuhada,” menurut kenyataan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah empat musim berturut-turut selepas mudah menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Jaringan ayam tambatan skuad Harimau Selatan, Safawi Rasid pada babak pertama dan Natxo Insa pada babak kedua sudah memadai buat pasukan itu mengutip tiga mata pertama dalam saingan pembuka tirai Liga Super sekali gus memastikan skuad Lang Merah terus kempunan dua musim berturut-turut membawa pulang piala itu.
GAMBAR HIASAN
Tuan rumah yang menguasai perlawanan mengundang cemas seawal minit keempat selepas bola rembatan Leandro Velazquez di luar kotak penalti sekadar singgah ke palang gol ketika penjaga gol KDA FC, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim sudah tertewas.
Palang gol terus menjadi penghalang anak didik Benjamin Mora untuk meleraikan jaringan pada minit ke-10 selepas bola tandukan ke belakang Fernando Rodriguez disambar Gonzalo Cabrera yang merembat bola kencang di sebelah sudut kiri namun masih belum mampu menggegar jaring.
Giliran skuad Lang Merah pula terlepas mencipta gol pada minit ke-19 selepas sepakan lambung Kpah Sherman di luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias namun palang menjadi penyelamat daripada gawang dibolosi.
Tuan rumah menanti sehingga minit ke-34 untuk memecah kebuntuan selepas gerakan menarik yang dimulakan Afiq Fazail mengumpan bola tepat kepada Safawi yang bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola leret menewaskan Mohd Ifwat.
Skuad Lang Merah tampak gagal menguasai posisi tengah pada babak pertama apabila dua tenaga import, Rabih Ataya dan K Anumanthan gagal berfungsi dengan konsisten dan jarang memberi sokongan terhadap barisan serangan yang diterajui Sherman dan Kipre Tchetche yang terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola.
GAMBAR HIASAN
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan terus memberi tekanan terhadap benteng anak didik Aidil Shahrin Sahak sehingga memaksa Mohd Ifwat terpaksa dikeluarkan pada minit ke-50 apabila bertembung dengan Safawi dan digantikan dengan Mohd Shahril Sa’ari.
Tuan rumah menambah derita skuad Lang Merah pada minit ke-67 selepas bola umpanan Rodriguez membuka ruang buat Insa yang tidak dikawal merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mohd Shahril untuk meletak juara liga tujuh musim berturut-turut selesa dengan jaringan 2-0, lapor BH Online.
Malah usaha Aidil Shahrin membawa masuk bekas pemain JDT II, Rozaimi Abd Rahman dan Syazwan Zainon bagi memperkuatkan jentera serangan tampak tidak membuahkan hasil selepas kedudukan 2-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalin kerjasama bagi membantu bekas atlet yang layak untuk memiliki kediaman sendiri.
Menerusi kerjasama ini, ia bakal membantu melancarkan lagi proses permohonan mendapatkan kediaman dalam kalangan bekas atlet yang berdaftar dengan YAKEB membabitkan program KPKT seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
GAMBAR HIASAN
“Sebagai contoh, (projek) perumahan yang kita buat, satu peratus daripada rumah itu kita sudah agihkan untuk OKU (orang kurang upaya). Jadi sekiranya ada atlet OKU, kita akan berikan peluang dan ini saya ingat bukan satu masalah.
“Pada masa ini, projek perumahan kita di seluruh negara, bukan saja di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri-negeri lain. Kita nak agihkan (kouta) kepada anggota badan beruniform. Jadi bekas atlet, yang daripada pendapatan rendah, inilah ruang yang ada.
“Sekiranya kita tak sediakan untuk mereka, tentunya mereka terpaksa bersaing dengan yang lain. Sekiranya berhubung dengan kita, InsyaAllah kita akan lihat (permohonan).
“Oleh itu, kita akan lihat apakah ruang yang boleh kita bantu kepada bekas atlet negara kerana mereka ini menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Ada antara mereka ini yang pernah beraksi di Olimpik dan sebagainya,” kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib kepada media selepas menerima kunjungan pemimpin YAKEB di pejabatnya, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib
Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berharap jalinan kerjasama baharu antara pihaknya dan KPKT bakal memudahkan penyelesaian terhadap masalah dihadapi ahli badan itu.
“Kita mempunyai atlet di setiap negeri, di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.
“Jadi di mana saja ada PPR, rasanya kita ada peluang untuk dapatkan rumah bagi bekas atlet yang layak mendapatkan rumah berkenaan.
“YAKEB sendiri akan membuat saringan sebelum membawa (permohonan) ke kementerian untuk dapatkan kelulusan. Itu tanggungjawab YAKEB dan di sana juga kita akan membantu atlet dan bekas atlet mahupun yang OKU, kita akan membantu mereka.
“Kita mempunyai lebih kurang 2,995 ahli dan bukan semua nak rumah. Mungkin dalam setiap negeri ada dua atau tiga saja yang nak. Jadi itu bukan satu nombor yang besar. Pada masa ini, terdapat perumahan di Lembah Subang yang ada kekosongan.
“Jadi siapa yang layak, siapa yang boleh ke sana, kita akan bawa permohonan ke kementerian perumahan untuk dapatkan kelulusan,” kata Noorul.
Untuk rekod, ini adalah antara usaha kedua yang diusulkan kepada kementerian selepas tahun lalu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan KPKT melaksanakan Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
Hasilnya, seramai 25 penggiat seni menerima surat tawaran menyewa unit PPR masing-masing di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dan di PPR Lembah Subang 2.
Antara yang menerima surat tawaran berkenaan adalah Tawil, Delimawati Ismail, Halimah Alias, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin, Badrul Muhayat, Zaleha Sidek, Aizom Othman, Rusilawati Hassan dan Mahmud Ali Basha.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Gadis Bond, Gemma Arterton menjadi penyeri majlis pelancaran kereta Formula Satu (F1) pertama Aston Martin yang diadakan di sini, semalam secara atas talian selepas 61 tahun.
Pelakon watak James Bond, Daniel Craig turut teruja melihat firma permotoran British itu kembali bersaing dalam F1.
Juara dunia empat kali Sebastian Vettel, 33, menyertai Aston Martin dari pasukan Ferrari, lapor Agensi.
“Saya amat teruja dan saya pasti semua peminat F1 mahu melihat Aston Martin berlumba semula dalam Aston Martin Racing Green yang ikonik.
“Jumpa anda semua di petak perlumbaan,” kata Craig seperti dilaporkan The Sun.
GAMBAR HIASAN
Vettel pula berkata: “Saya berlumba untuk menang. Ia projek yang menarik. Babak baharu untuk saya.
“Kereta ini kelihatan hebat dan saya tidak sabar untuk merasai pengalaman memandunya,” katanya.
Rakan sepasukan Vettel, Lance Stroll pula berkata: “Kami berdua akan rasa seperti 007 apabila memandunya.
“Kami hanya memerlukan senjata di sisi casis untuk menyingkirkan pesaing,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LOS ANGELES: Pelakon terkenal, Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock di gelanggang gusti WWE, mencuba rawatan bekam yang meninggalkan kesan bulat merah yang besar di belakangnya.
Rawatan berkenaan turut popular dalam kalangan artis wanita Hollywood termasuk Gwyneth Paltrow dan Jennifor Aniston.
GAMBAR HIASAN
Dwayne, 48, memuat naik gambarnya menjalani rawatan berkenaan di Instagram.
Dia turut menjalani rawatan akupunktur bagi menyembuhkan kecederaan lama akibat sukan bola sepak Amerika dan gusti, lapor Agensi.
Dalam gambar berkenaan, Dwayne meniarap dengan jarum dicucuk di bahagian belakang, kaki dan buku lali.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kemampuan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menarik jumlah tajaan sebanyak RM33.428 juta bagi saingan musim ini ketika situasi pandemik COVID-19 masih tidak menentu membuktikan Liga Malaysia (Liga M) ada nilai yang tinggi di kaca mata penaja.
Walaupun buat masa ini kehadiran penonton ke stadium masih tidak dibenarkan, ia tidak menghalang MFL dalam mempengaruhi penaja berpotensi untuk membantu MFL bagi menjayakan Liga M 2021.
GAMBAR HIASAN
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menyifatkan jumlah yang berjaya diperoleh MFL adalah satu jumlah yang baik dalam situasi ekonomi mencabar.
Malah, beliau menyifatkan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai penyelamat selepas berjaya mendapatkan satu tajaan yang mencukupi bagi memastikan Liga M tetap bernafas.
“Semua orang risau mengenai penajaan Liga M dan tidak pasti sama ada MFL mampu atau tidak bagi menanggung kos liga pada musim ini kerana membabitkan jumlah dana yang besar.
“Namun berdasarkan pengumuman yang dibuat Presiden MFL, bagi saya itu satu jumlah yang cukup baik bagi meneruskan kelangsungan Liga M.
“Kelab juga kena mainkan peranan tersendiri serta tidak boleh mengharapkan bantuan daripada MFL semata-mata terutama dalam hak penyiaran dan perlu ada inisiatif dalam menjana kewangan,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, apa yang dicapai oleh MFL itu wajar dicontohi oleh pasukan bertanding agar tidak berputus asa dalam soal mendapatkan penajaan.
“Bagi saya, nilai ini adalah sesuatu yang tinggi jika hendak dilihat situasi pada masa kini dan apabila Datuk Hamidin mengumumkan jumlah itu pada sidang media, beliau memang yakin dengan angka berkenaan.
“Beliau berjaya melakukan tugas yang baik dalam soal ini sebagai Presiden MFL dan mungkin pihak lain kena belajar sesuatu terutama pasukan kelab dalam soal mencari penaja,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BARCELONA: Bekas presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu ditahan polis Isnin lalu susulan siasatan skandal ‘Barcagate’.
Bartomeu, yang meletak jawatan Oktober lalu, berada dalam senarai empat tangkapan dilakukan hanya enam hari sebelum pemilihan presiden baharu Ahad ini.
Ketua Eksekutif Barcelona, Oscar Grau, ketua jabatan perundangan Roma Gomez Ponti dan penasihat Bartomeu, Jaume Masferrer turut ditahan polis Catalan, yang menggeledah pejabat kelab pagi semalam, lapor AFP
Grau dan Gomez Pont dibebaskan pada hari sama manakala Masferrer terpaksa bermalam di lokap balai polis Barcelona sebelum ke mahkamah hari ini.
Barcelona mengeluarkan kenyataan mengesahkan operasi berkenaan berkaitan kontroversi Barcagate tahun lalu, apabila kelab dituduh menyembunyikan bayaran yang dibuat kepada syarikat bernama I3 Ventures, yang dilantik untuk melonjak imej presiden ketika itu, Bartomeu di media sosial.
Sebahagian kempen media sosial termasuk mengkritik pemain dan bekas pemain serta pengendali, antaranya Lionel Messi, Xavi Hernandez dan Pep Guardiola.
Pengganti Bartomeu akan dipilih Ahad ini membabitkan tiga calon akhir Joan Laporta, Toni Freixa dan Victor Font.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!