POHON BERBUNGA BERWARNA KUNING KEEMASAN BAGAI POKOK SAKURA DI JEPUN
JERANTUT: Pokok dengan nama saintifik, LaburnumWatereri atau turut dikenali Golden Chain pada ketinggian kira-kira 8 meter, mula mengeluarkan bunga berwarna kuning keemasan sekali gus menambah seri persekitaran bandar Jerantut yang terkenal dengan gelaran Bandar Taman Negara.
Kira-kira 20 pohon tersebut yang ditanam di sepanjang jalan utama berhadapan blok bangunan Bandar Inderapura menghala ke bandar lama Jerantut, pemandangan itu seolah-olah bunga sakura yang sedang mekar di Jepun.
Kalau bunga sakura berwarna merah jambu, pokok Golden Chain yang berasal dari Selatan Eropah dan negara Balkan berwarna kuning keemasan, sesuai ditanam sebagai pohon lanskap di kawasan taman perumahan, halaman rumah atau sepanjang jalan.
Bunga pokok ini boleh menjangkau sepanjang 10 sentimeter (sm) hingga 40 sm, ada yang memberi nama jolokan rantaiemas atau hujanemas daripada dua spesis pokok kecil daripada keluarga Faboideae dan Fabaceae.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB : Punca kejadian tanah runtuh sepanjang 60 meter di Jalan Lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang di sini disebabkan berlaku hujan lebat malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pembetung sepanjang 20 meter dan berdiameter 1.5 meter itu tidak dapat menampung aliran sungai yang naik mendadak sehingga menyebabkan limpahan berlaku.
Beliau berkata, JKR daerah akan membaiki dan bercadang menaik taraf pembetung tersebut dengan kos dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang akan dimohon kepada ibu pejabat JKR pada minggu ini.
Jalan yang terhakis disebabkan hujan lebat
“Jalan itu terpaksa ditutup demi keselamatan rakyat kerana terdapat potensi runtuhan tanah lebih besar boleh berlaku disebabkan aliran air dalam musim tengkujuh sekarang.
“Buat masa ini, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan utama persekutuan Bentong-Raub sebagai laluan alternatif sehingga jalan itu dibuka semula,” katanya.
Makluman penutupan jalan itu juga dihebahkan di Faceboook JKR Daerah Raub selain pihak konsesi penyenggaraan jalan iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd, diarahkan untuk memasang papan makluman penutupan jalan.
Sementara itu, Ketua Kampung Sang Lee, Datuk Wong Tuck Weng berkata, laluan itu merupakan jalan alternatif kepada pengguna jalanraya dari Bentong menghala ke pusat pelancongan Bukit Fraser dan juga laluan utama kepada penduduk-penduduk di kampung berhampiran.
“Jalan ini hakis dan bahaya kepada pengguna jalan raya. Nasib baik pihak berkaitan menutup jalan ini dengan segera. Kalau tidak, susahlah,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 sangat melegakan rakyat.
Keputusan ini juga dilihat sebagai antara usaha kerajaan meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, walaupun terdapat syarat ditetapkan sebelum KWSP meluluskan permohonan pencarum, namun ia adalah sebahagian daripada prosedur perlu diikuti oleh pemohon.
“Memang syarat (permohonan) ditetapkan KWSP agak ketat, tapi saya fikir ia adalah permulaan yang baik dan menunjukkan pihak KWSP tidak ada masalah untuk mengagihkan wang kepada pencarum yang layak.
“Ini juga antara usaha kerajaan dalam membantu meringankan bebanan rakyat yang masih bergelut sejak COVID-19 dikesan di negara kita awal tahun ini,” katanya.
Beliau berharap berita mengenai kemudahan pengeluaran Akaun 1 diumumkan awal minggu ini juga dapat melegakan ramai pihak dan menunjukkan sikap kerajaan yang sentiasa terbuka dengan pandangan serta kritikan disuarakan rakyat.
Katanya, kemudahan pengeluaran ini diharapkan dapat diperluaskan kepada semua pencarum KWSP dan bukannya kepada golongan sasar semata-mata memandangkan hampir semua peringkat pekerja yang mencarum turut berdepan masalah kewangan ketika ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAMPAS SEMULA TANAH DICEROBOH, TERUSKAN PROSES PEMUTIHAN
KUANTAN: Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang mendesak kerajaan negeri bertindak tegas terhadap penceroboh tanah dengan merampas semula tanah diusahakan secara haram.
Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahya berkata, kegagalan kerajaan negeri dan agensi bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan penceroboh haram ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dalam bentuk hasil kepada kerajaan Pahang, bahkan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat Pahang terhadap kesungguhan negeri untuk membanteras kegiatan berkenaan.
AMINUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan memorandum PEMBELA kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz (kanan) yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di perkarangan Wisma Sri Pahang
“Kita bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tapi kalau dibiarkan aktiviti pencerobohan tanah secara haram ini, sudah tentu berlaku salah pandangan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan negeri dalam membanteras kegiatan yang berlaku sejak sekian lama.
“Kalau boleh, (kerajaan Pahang) meneruskan usaha pemutihan dijalankan dan rampas semula tanah diteroka secara haram.. jangan lagi bertolak ansur kerana kegiatan ini sangat merugikan kerajaan Pahang.
“Selain itu, kita minta kerajaan negeri memberi perhatian kepada nasib rakyat terutamanya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain pihak yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.. daripada dibiarkan tanah diceroboh oleh individu atau syarikat korporat secara haram, ada baiknya tanah itu diberikan kepada mereka yang banyak berkorban untuk memastikan keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum bantahan mengenai pencerobohan tanah di Pahang kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Memorandum itu diterima Setiausaha Politik kepada Wan Rosdy, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PEMBELA, Masridzi Sat berkata, pihaknya juga meminta kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri menggantikan semula tanah rizab Melayu diteroka syarikat pemaju yang mencari keuntungan tanpa mengira kesan terhadap kerajaan Pahang.
Timbalan Pengerusi PEMBELA, Masridzi Sat
“Perkara ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri memandangkan keluasan tanah rizab Melayu semakin berkurangan dan ia perlu diganti semula.
“Kita juga meminta kerajaan Pahang membatalkan urusan atau perjanjian konsesi pajakan tanah dengan syarikat Royal Pahang Durian Produce PKPP Sdn Bhd dan menyerahkan kembali tanah terbabit untuk diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Jalan Lama Bentong-Raub ditutup bagi semua kenderaan mulai semalam sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ia ekoran kejadian jalan dan tanah runtuh di Seksyen 18.16 berhampiran Kampung Sungai Chetang, di sini.
Jalan lama Bentong-Raub yang terhakis dan ditutup bagi semua kenderaan.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub, laluan alternatif yang dicadangkan bagi pengguna terutama penduduk Kampung Sang Lee dan Kampung Sungai Chetang ialah melalui laluan persekutuan FT008, Jalan Bentong-Gua Musang bersempadan antara daerah Bentong dan Raub.
JKR mohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan akan mempercepatkan usaha membaiki jalan yang rosak agar dapat diguna semula oleh pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kanak-kanak terkena percikan api sembilan tahun lalu, Muhamad Iqram Hashim, rayu bantuan bagi pembedahan tangannya yang semakin menegang dan sukar untuk diluruskan akibat terbakar dan melecur dalam kejadian itu.
Kejadian itu berlaku ketika ibunya,Suraya Abdul Manan (39), sedang membakar sampah dan botol racun aerosol telah meletup lalu terkena Muhammad Iqram ketika kanak-kanak itu berusia 2 tahun.
“Kesan daripada itu, Muhammad Iqram yang kini berusia 11 tahun melecur di muka, telinga, badan dan kaki sehingga memberi kesan parut selain tumbuh isi baharu di bahagian yang terkena.
“Kini anak saya perlu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh setiap dua bulan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya, kos perbelanjaan untuk pembedahan tangan anaknya itu sebanyak RM3,000 dan dia tidak mampu memandangkan suaminya telah meninggal dunia pada Mac lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan air kencing.
Tambahan pula dia merupakan seorang surirumah sepenuh masa dan kini mengharapkan bantuan ibu bapanya yang tinggal di Felda Jengka 3 , di sini.
“Doktor pakar memberitahu agar pembedahan perlu dilakukan pada tangan sebelah kiri dahulu sebab tangan tu telah menegang sehingga sukar untuk anak saya menulis dengan sempurna,, pakar ada maklum bagi kos pembedahan sebelah tangan itu sebanyak RM3,000.
“Namun untuk pembedahan secara keseluruhan bagi menghilangkan parut kekal dan juga membuang lebihan isi di telinga memerlukan kos yang lain tetapi masih belum dimaklumkan kos itu,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Biro Sosial Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka bersama Ketua Kampung Felda Jengka 23, di rumahnya.
Razak bersama Ketua Kampung Felda Jengka 23 menziarahi Muhammad Iqram dan keluarga
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial JKKR Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau meminta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dapat membantu Muhammad Iqram memandangkan kos pembedahan bagi keseluruhan muka dan badan dijangka meningkat.
Razak Daud
Bagi mereka yang ingin mengurangkan beban dan membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 556 057 530 389 atas nama Suraya Abdul Manan atau boleh hubungi di talian 011-18845186.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Bersempena sambutan HariAnakPramatangSedunia yang disambut sepanjang bulan November, Unit Neonatal Pediatrik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) melancarkan kempen kesedaran bagi memberi maklumat tepat kepada orang ramai.
SEBAHAGIAN jururawat NICU di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang bertugas menjaga anak pramatang
Selain membantu orang ramai lebih memahami isu membabitkan anak pramatang, kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa bagi mengurangkan risiko kematian akibat kelahiran pramatang.
Doktor pakar Unit Neonatal Pediatrik HTAA, Dr Lee Mei Ling berkata, pemilihan warna ungu sebagai warna tema sambutan serentak di seluruh dunia, ia diharap dapat membantu orang ramai memahami masalah akibat kelahiran pramatang, meningkatkan penyelidikan membabitkan punca kelahiran pramatang berlaku dan mengambil tindakan awal selepas mendapat maklumat berkaitan kehamilan yang boleh mengakibatkan kelahiran pramatang.
WARNA ungu dipilih sebagai warna tema sambutan Hari Anak Pramatang Sedunia yang diraikan sepanjang bulan November
”Berdasarkan kajian dilakukan sebelum ini, walaupun banyak (kelahiran) anak pramatang dapat diselamatkan dan menjalani kehidupan secara normal selepas dilahirkan, namun risikonya tetap ada.
“Ada antara risiko yang biasanya berlaku ialah bayi atau anak berkenaan boleh mengalami masalah kecacatan kekal, masalah pembelajaran dan masalah membabitkan deria seperti gangguan penglihatan dan pendengaran.
“Risiko paling tinggi ialah kematian ketika proses kelahiran.. jadi, kesedaran di peringkat awal dalam kalangan ibu bapa atau pasangan sangat penting dan disebabkan itu kita adakan kempen kesedaran seperti ini,” katanya.
Mei Ling berkata, kajian turut mendapati kira-kira 15 juta anak pramatang dilahirkan setiap tahun di seluruh dunia dan kebanyakannya membabitkan kelahiran sebelum cukup 37 minggu kandungan.
“Daripada jumlah itu, dianggarkan 1 juta anak pramatang meninggal dunia ketika dilahirkan akibat kesan sampingan.. ini bermakna kematian akibat kelahiran pramatang adalah punca kematian kedua tertinggi selepas tuberkolisis.
“Walaupun hampir 60 peratus isu kelahiran pramatang berlaku di negara membangun, namun ia adalah tetap menjadi isu kesihatan seluruh dunia dan kami di HTAA akan meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat melalui kempen menggunakan media sosial, sebaran am dan menggunakan saluran media yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengeluarkan kenyataan berdasarkan penyelidikan dijalankan pihaknya bahawa antara punca kelahiran anak pramatang ialah kehamilan berganda, penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan faktor genetik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGURUS BESAR FELDA WILAYAH JENGKA, PENGERUSI JKKR ANTARA YANG TAMPIL
JERANTUT: Nasib malang menimpa keluarga peneroka FELDA Jengka 12, Ibrahim Mat Diah yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah tengah malam kelmarin, terus mendapat pembelaan.
Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir dan Pengerusi JKKR Gabungan FELDA Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar bersama-sama tampil menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Selain bantuan daripada Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, sumbangan daripada Afzal Hanis serta pelbagai pihak sejak berita mengenai bencana menimpa keluarga itu tersebar semalam, diharapkan dapat meringankan bebanan ditanggung mereka.
Afzal Hanis ketika ditemui berkata, pihaknya sangat menghargai dan mengalu-alukan semua pihak untuk tampil memberikan sumbangan kepada keluarga terbabit.
“Alhamdulillah.. setakat ini memang ramai pihak yang tampil untuk sama-sama membantu Encik Ibrahim dan keluarga.. kita harap lebih banyak pihak boleh turut serta dalam meringankan kepayahan dihadapi keluarga ini.
“Semangat tolong-menolong sudah menjadi amalan dalam kalangan warga peneroka FELDA, terutamanya yang berada dalam Wilayah Jengka.. jadi, kita amat bertuah kerana sikap ini masih kekal dan kukuh dalam hati kami semua,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Afzal Hanis yang begitu cakna dengan nasib menimpa peneroka di kawasan berkenaan.
“Sikap prihatin Encik Afzal ini memang kami hargai.. bantuan kepada keluarga Ibrahim juga dapat kita selaraskan dengan baik dan ini adalah hasil semangat kerjasama dalam warga peneroka di sini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Menanam pokok atau tumbuh-tumbuhan kini sudah dikira sebagai hobi yang menarik.
Ia bukan hanya boleh mencantikkan kediaman tetapi juga dapat memberi ketenangan kepada minda dan menyamankan persekitaran.
Bermula sekadar hobi dan ingin mencantikkan landskap rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Nor Azira Hassim (36), tidak menyangka beliau kini telah menanam hampir 100 jenis tanaman yang mampu memberi pendapatan kepadanya.
Rutin Azira melihat tanamannya yang perlu diberi perhatian setiap hari.
Antara 100 jenis pokok yang ditanam adalah pothos, monster, pokok-pokok herba seperti ulam cekur, kunyit, pudina, telang, kari, halia, daun sup, pelbagai jenis keladi hiasan, heliconia, anthurium, philodendron, Bergonia, Hoya, Markisa, pelbagai sansevieria,pokok menjalar, pokok-pokok hiasan gantung dan pokok dalam air.
Azira berkata, episod menanam bunga ini bermula ketika beliau menziarahi rumah ibu-ibu saudaranya, Radiah dan Asiah A.Hamid dan cuba meminta keratan tanaman untuk ditanam di rumahnya di Balok, di sini.
Antara tanaman yang ditanam di rumahnya
Beliau kemudian belajar cara menanam daripada ibu saudaranya, pembacaan daripada majalah berkaitan tanaman, laman sosial Instagram dan juga YouTube.
“Asalnya sebagai hobi menanam sebab suka tengok bila pokok yang kita cuba jaga akhirnya membiak serta membesar dengan subur.
“Kemudian kawan-kawan, saudara mara serta jiran-jiran perasan saya menanam pelbagai jenis pokok yang sihat dan menarik. Mereka turut berminat untuk membeli dan cuba menanam.
“Suami turut sokong minat dan turut sama bagi galakan dengan turut serta membantu dalam membina teduhan pokok,mencari pelbagai jenis pokok untuk koleksi serta permintaan pasaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Beliau berkata, beliau mula berniaga secara dalam talian di Facebook dan menyertai kumpulan-kumpulan yang berkaitan tanaman di laman sosial di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Peminat tanaman yang dekat, mereka lebih suka datang sendiri ke rumahnya manakala yang jauh mereka akan membeli secara dalam talian.
“Saya akan memberikan mereka keterangan mengenai tanaman yang mereka minati, dan seterusnya saya akan pos dengan menggunakan bungkusan khusus untuk mengepos,” katanya.
Jelasnya, penjagaan pokok sangat penting agar pokok yang ditanam tumbuh dengan baik serta sihat.
“Saya mementingkan cara pembajaan setiap jenis pokok kerana setiap pokok tidak sama jadual pembajaan mereka. Semburan racun serangga juga diutamakan agar tanaman sihat dan tidak rosak.
Azira tidak menyangka tanamannya dapat memberi pulangan kepada beliau.
“Setiap hari saya akan periksa medium tanamam samada tanah terlampau basah, pokok rosak,perlu tukar media tanaman lain atau proses baik pulih pokok,” ujarnya. Katanya, harga ditawarkan bermula RM3 iaitu anak pokok herba sehingga RM1,500 iaitu tanaman dikenali sebagai AnthuriumRegaleEcuador dan EcuageneraAnthuriumWarocqueanum.
“Baru-baru ini, seorang doktor perubatan dari Bangi telah membeli tanaman saya dikenali sebagai AnthuriumRegale dengan harga RM650,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUSULAN PENEMUAN BATU NISAN DIPERCAYAI ADA SEJAK 1850-AN
PEKAN : Penemuan sepuluh bongkah batu nisan Cina di kawasan sebuah rumah di Jalan Bendahara, Pekan, yang ditemui baru-baru ini memberi maklumat sejarah berharga bahawa kawasan itu adalah bekas tokong Cina yang telah wujud sejak tahun 1850-an.
Bongkah batu nisan yang ditemui di halaman rumah yang terletak di Jalan Bendahara, Pekan, baru-baru ini
Warga emas, Pekan, Mohamed Mokhtar Abu Bakar berkata kewujudan tokong Cina yang terletak di Pekan Lama bermula dengan satu perkampungan Cina yang bermastautin di situ.
Mohamed Mokhtar Abu Bakar
“Setelah tiba dari China untuk tujuan berdagang, ramai pendatang itu terus tinggal di Pekan Lama dan membuka kawasan itu sebagai perkampungan baharu mereka. Tidak mustahil tokong dibina dan pastinya terdapat kubur di sekitar tokong tersebut.
“Pada masa itu, muara Sungai Pahang diibaratkan seperti pelabuhan yang sibuk dengan banyak kapal, tongkang, jong dan perahu berlabuh, dikatakan berlaku pada tahun 1200-an, sehingga ada jong China turut belayar mudik ke hulu sehingga sampai ke kawasan Tembeling untuk berniaga,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Gambar menunjukkan muara Sungai Pahang satu ketika dahulu
Mohamed Mokhtar berkata, mengikut cerita orang Cina di Pekan, tokong itu ialah Tokong Teh Chew dan orang Cina yang berkampung di sekitar Tokong itu datang dari Wilayah Teh Chew di Canton, Tanah Besar China.
Katanya, kehadiran pedagang China membekalkan arak, tembikar, kapas dan sebagainya dan penduduk Tembeling pula membekalkan gading gajah, sumbu badak, gaharu dan sepang kederang iaitu sejenis dakwat untuk tujuan celupan yang tidak mudah luntur dan tahan lama.
Katanya, asalnya rumah tersebut kepunyaan Jeneral Engku Nasaruddin sekitar tahun 1900-an dan kemudian dijual kepada Menteri Besar kesembilan, Datuk Seri Mohamad Jusoh.
Salah satu bongkah yang ditemui, baru-baru ini
“Di seberang jalan rumah itu ialah rumah ayah Engku Nasaruddin, manakala berdekatannya terletak Sekolah Tengku Ampuan Fatimah, semasa melakukan kerja-kerja pembinaan dewan sekolah itu pernah terjumpa tengkorak manusia
“Kawasan Masjid Ahmad Shah iaitu kawasan Istana Sultan Ahmad 1 yang juga turut dikenali Istana Rupa terdapat anak sungai Pahang iaitu Sungai Parit,” katanya.
Katanya, negeri Pahang kaya dengan sejarah lampau dan mempunyai ikatan dengan negara lain seperti China dalam perdagangan dan sejarah silam seperti ini harus dikaji sebanyak mungkin demi generasi muda.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!