KUANTAN : Seramai 131 pesakit COVID-19 bukan warganegara yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) tiba pada jam 10.35 malam tadi.
Kesemua pesakit Kluster Genting tersebut dibawa menggunakan lima buah bas dan dua buah van dari Bentong dengan dikawal ketat oleh pihak polis.
Menurut PahangMedia, seramai kira-kira 90 anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan untuk berkawal dalam tempoh 24 jam di sekitar kawasan pusat kuarantin berkenaan.
Selain itu, beberapa sekatan jalan raya di kawasan berdekatan SUKPA juga akan diperketatkan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk.
Penggunaan SUKPA sebagai pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) adalah kerana stadium itu mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes-kes COVID-19 asymptomatic atau dengan gejala ringan dalam jumlah yang besar.
Selain itu, stadium ini juga berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan yang mencukupi untuk rawatan kes-kes kritikal.
Seramai 131 pesakit COVID-19 bukan warganegara tiba di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) pada jam 10.35 malam tadi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERUNTUKAN DISEDIAKAN UNTUK PRASISWAZAH B40 MENJALANI PEMBELAJARAN
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM1.25 juta untuk pelan data dan komputer riba bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM255,420 bantuan pelan data itu akan memberi manfaat kepada 1,928 pelajar.
Memetik dari laporan BHOnline, katanya, baki RM1 juta lagi adalah dana untuk bantuan komputer riba kepada 714 pelajar B40 dengan 619 pelajar dari Sabah, manakala 37 pelajar dari Sarawak dan 58 pelajar lagi dari Semenanjung.
GAMBAR HIASAN
Peruntukan itu diperoleh daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.
“Bagi bantuan pelan data, pelajar sudah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.
“Bantuan ini adalah antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai komitmen UMS untuk kebajikan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pelan Data Dan Komputer Riba 2020 yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Nurlaila Said, di sini, hari ini.
Taufiq berkata, bagi bantuan komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba bernilai RM1,400 akan diserahkan kepada pelajar selepas melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CAMERON HIGHLANDS : Orang ramai yang mula membanjiri tanah tinggi Cameron Highlands dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti disyaratkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di samping sentiasa berwaspada ketika berada di sana.
Seorang penduduk Ipoh yang ingin balik ke Jerantut melalui laluan Simpang Pulai turut melihat deretan kenderaan yang berhasrat bercuti di tempat peranginan itu mulai berpusu-pusu masuk ke situ.
Irwan Hilmi Nasruddin, 39, berkata ketika tiba ke laluan dari arah Ipoh ke Cameron Hioghlands dia melihat ratusan kenderaan berderet ke arah tanah tinggi itu, kemudian bila turun ke arah Ringlet, banyak lagi kenderaan dari arah Tapah ke tempat yang sama.
Deretan kenderaan ke Cameron Highlands
“Mungkin hujung minggu dan hari ini (Jumaat) di Selangor cuti umum negeri itu sempena keputeraan Sultan Selangor, maka orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menghirup udara bukit tanah tinggi.
“Oleh kerana terlalu ramai orang , saya terus melalui jalan itu tanpa henti untuk ke Sungai Koyan, Lipis dan balik ke Jerantut untuk mengelak dari bersesak-sesak di situ,”katanya.
Tanah tinggi Cameron Highlands mula dikunjungi sejak rentas sempadan daerah dan negeri yang dibenarkan pada 7 Disember lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN NEGERI SEDIAKAN PERUNTUKAN SEGERA DEMI KESELESAAN PENDUDUK
JERANTUT: Kerajaan negeri Pahang meluluskan peruntukan RM 88,000 bagi melakukan kerja-kerja baik pulih segera jalan raya Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling di Jerantut yang rosak akibat berlaku mendapan ekoran hujan lebat 10 hari lalu.
Kelulusan peruntukan itu bagi memberi keselesaan kira-kira 2,000 pengguna jalan tersebut.
KERAJAAN NEGERI SUDAH MELULUSKAN RM88,000 BAGI KERJA BAIK PULIH JALAN BERKENAAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd Aziz Kiram berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera iaitu Peruntukan Perolehan Darurat Kerajaan Negeri Pahang di Mesyuarat Exco semalam.
Beliau berkata, sebelum ini, penduduk di beberapa buah kampung di Ulu Tembeling berasa bimbang jika terputus hubungan apabila lapan tempat di laluan itu, mula mendap dan tebing runtuh berikutan hujan turun tidak berhenti henti dua minggu lalu.
“Keprihatinan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah ini amat dihargai dan insyaAllah dalam tempoh seminggu dua perkara ini dapat dibantu bagi menjaga keselamatan kemudahan penduduk untuk keluar bandar,”katanya.
KEADAAN JALAN YANG ROSAK TERUK PERLU DISELENGGARA SEGERA DEMI KESELESAAN PENDUDUK
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, jalan tersebut merupakan jalan perhubungan utama bagi lima buah kampung di kawasan pedalaman Ulu Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantal, Mat Daling dan Gusai untuk keluar ke bandar Jerantut membeli barang keperluan harian.
Katanya, kelulusan segera ini menunjukkan sikap keprihatinan kerajaan negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani masalah rakyat.
“Walaupun jalan ini merupakan jalan KKLW namun kerana keprihatinan kerajaan negeri pada penduduk Ulu Tembeling maka kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan melalui Jabatan Kerjaya Raya (JKR),” katanya selepas membuat lawatan pemantauan bersama Datuk Azizi Kiram dan wakil JKR Jerantut di lokasi tersebut.
DATUK NAZRI NGAH (3 DARI KANAN) BERSAMA DATUK ABD AZIZ KIRAM (PALING KANAN) BERSAMA PEGAWAI JKR DAERAH MELAKUKAN LAWATAN PEMANTAUAN KEADAAN JALAN DI KAMPUNG PAGI-KAMPUNG MAT DALING
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, beliau berharap kos penyelengaraan tersebut dapat dimanfaatkan oleh JKR Jerantut untuk memastikan jalan tersebut dapat digunakan dengan selamat.
Pengerusi JKKK Sungai Sat, Abdul Jabar Dollah pula berkata, peruntukan segera itu dapat melegakan penduduk kampung.
“Saya sebagai wakil penduduk ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan berita gembira kepada penduduk di Sungai Tembeling,”ujarnya.
KEADAAN JALAN MENDAP AKIBAT HUJAN LEBAT
Dalam pada itu, kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM36.8 juta untuk membaiki keseluruhan jalan dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling sepanjang 90 kilometer, pada tahun hadapan.
Jalan itu dibina oleh KPLB sejak lebih 10 tahun lalu dan wajar ada bahagian yang rosak terutamanya membabitkan kawasan yang berbukit.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEMANGAT KEKITAAN DAN GUNA SAMA JALAN YANG BAKAL RUNTUH DAN MENDAP
JERANTUT: Penduduk Kampung Kuala Sat mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan gotong royong membaiki jalan rosak antara Kuala Tahan ke Ulu Tembeling yang mendap di beberapa tempat bagi memastikan ia boleh digunakan oleh pengguna terutama kenderaan kecil untuk urusan harian di Kuala Tahan dan bandar Jerantut.
Penduduk Kg Kuala Sat berusaha untuk membaiki jalan
Kira-kira 2000 penduduk di berapa buah kampung di Ulu Tembeling bimbang terputus hubungan apabila beberapa tempat di laluan itu mula berlaku tebing jalan mula berlaku gelinciran dan runtuh serta mendapan terutama apabila hujan turun tidak berhenti henti sejak kebelakangan ini.
Jalan Kuala Tahan ke Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling sejauh kira-kira 90 kilometer dari bandar Jerantut merupakan laluan utama sebagai jalan perhubungan penting bagi penduduk di situ.
Selepas beberapa hari tindakan penduduk mengadakan gotong royong membaiki jalan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut mula mengambil tindakan pro aktif dengan membaiki jalan yang rosak itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, berkata, beberapa hari selepas dibaiki, keadaan jalan itu kembali rosak apabila berlaku lagi mendapan di beberapa tempat.
Gotong royong membaiki jalan yang mendap agar boleh dilalui kenderaan kecil
Katanya, terdapat kira-kira lima mendapan yang semakin teruk menyebabkan kenderaan kecil yang melaluinya tersangkut dan meresahkan penduduk kampung yang menggunakan jalan itu.
“Jika ia tidak dibaiki segera, kawasan yang berlaku mendapan ini boleh menyebabkan tanah runtuh dan penduduk bimbang akan berlaku terputus hubungan untuk ke bandar Jerantut untuk urusan dan membeli barang keperluan harian.
“Pada masa ini banyak jalan yang semakin mendap malah ada banyak kawasan berlaku runtuhan tanah yang kalau berlaku berterusan, saya bimbang kenderaan tidak lepas keluar masuk dan penduduk bakal menghadapi terputus bekalan makanan,” katanya di sini, hari ini.
Abdul Jabar berkata, ramai penduduk Ulu Tembeling menggunakan jalan ini setiap hari untuk urusan ke bandar Jerantut dan merungut kereta mereka sering tersangkut di bahagian bawah terutamanya di kawasan Bukit Awan disebabkan tanah mendap begitu teruk.
“Saya dan ahli jawatankuasa kampung Kuala Sat terpanggil untuk bergotong royong bersama orang kampung untuk berusaha membaikki jalan demi kemudahan bersama apabila melalui kawasan tersebut, ” katanya.
Beliau berkata gotong royong di kawasan Bukit Awan itu hanyalah sekadar yang termampu, iaitu menambah batu pada tempat mendap bagi menggelakkan kereta tersangkut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kawat duri sepanjang 354 meter dipasang mengelilingi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini bagi mengelak pesakit COVID-19 warganegara asing yang dikuarantin di situ melarikan diri.
Memetik laporan UtusanOnline, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, masyarakat tidak perlu bimbang berhubung langkah pemilihan SUKPA sebagai pusat kuarantin kerana ia dikawal ketat petugas keselamatan 24 jam sehari.
GAMBAR HIASAN
Katanya, SUKPA ditentukan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan yang bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan.
“Pemilihan SUKPA juga kerana kes-kes positif COVID-19 (Kluster Genting) adalah dalam kalangan warga asing.
“Keutamaan rawatan di hospital kerajaan adalah untuk rakyat Malaysia. Kita tidak mahu akses rakyat Malaysia tersekat kerana dipenuhi oleh pesakit COVID-19 warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau PKRC SUKPA, hari ini.
Mohd. Zairasyahli Shah berkata, seramai 115 pesakit COVID-19 iaitu kumpulan pertama dari Kluster Genting yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus dikuarantin dengan kawalan ketat di SUKPA bermula esok.
“Seramai 115 pesakit warga asing dibawa ke SUKPA untuk kuarantin. Ujian saringan dilakukan ke atas 1,186 individu yang kesemuanya warga asing dan 119 daripada mereka didapati positif (semalam),” katanya.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, pihaknya terus memantau pergerakan di semua daerah di negeri ini bagi mengawal penularan pandemik tersebut.
“Polis yakin daerah-daerah lain masih terkawal melainkan Bentong yang berlaku (kes jangkitan) di luar jangka,” tambahnya.
Katanya, seramai 30 hingga 50 anggota keselamatan ditugaskan mengawal Stadium Tertutup SUKPA sepanjang tempoh kuarantin pesakit Kluster Genting di situ.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Bekas Ketua Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA Jengka 11, Siti Zubaidah Saad dipilih sebagai Tokoh Mantan Wanita GPW 2020 sempena sambutan Hari Wanita Peringkat FELDA Wilayah Jengka di sini, hari ini.
Pemilihan Siti Zubaidah dibuat berdasarkan peranan dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua GPW dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.
Sambutan bertemakan ‘Wanita Penjana Ekonomi’ itu dirasmikan Pengurus Besar Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir dan turut dihadiri Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud.
Program itu turut menyediakan pelbagai pameran dan taklimat perkongsian perniagaan oleh usahawan berjaya di daerah Jerantut.
Antara yang mengambil bahagian dalam sesi perkongsian perniagaan ialah wakil syarikat Pizza Anak Dol dan usahawan tani dari kawasan FELDA Jengka.
Turut memeriahkan lagi program sambutan tahun ini, penganjur menyediakan pertandingan masakan tradisional dan moden menggunakan bahan berasaskan kelapa sawit, gubahan hiasan untuk cenderahati dan bengkel asas pembuatan roti dan pastri yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan golongan wanita di daerah Jerantut.
Sementara itu, Razak merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Siti Zubaidah dan terima kasih kepada Afzal Hanis yang meluangkan masa menghadiri serta merasmikan program sambutan itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TURUT MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG YANG TURUT SERTA DALAM OPERASI MENCARI
TEMERLOH : Keluarga arwah Loqman Hamka, 20, yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada 27 November lalu dan mayatnya ditemui di tepi sungai dekat Jeti Laman Lesung, Batu Papan, Bera melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Arwah Loqman Hamka, 20, yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada 27 November lalu
Bapanya, Hamka Abu Bakar (61), turut melahirkan terima kasih kepada Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Mahkota Pahang serta anakanda baginda yang turut mencemar duli turut serta dalam operasi tersebut.
Baginda Yang Di-Pertuan Agong turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat ketika melawat di tebing Sungai Pahang berhampiran Kampung Kuala Kujan, Temerloh, baru-baru ini.
“Saya tidak lupa kepada pihak pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Temerloh, Angkatan Tentera Laut Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
“Berterima kasih juga kepada penduduk dan nelayan sungai yang tidak putus-putus mencurahkan keringat berpanas dan berhujan dalam usaha mencari anak saya yang hilang sehingga ditemui pada hari kedua belas,” katanya.
Katanya, tidak lupa kepada Ustaz Ebit Liew, saudara-mara, sahabat handai serta orang ramai yang memberi sumbangan dan semangat serta mendoakan agar jasad anaknya ditemui.
“Terima kasih kepada kenamaan tempatan yang turut memberi semangat kepada keluarga saya, saya redha dengan pemergian anak bongsu saya, Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Jenazah Loqman dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Buntut Pulau, pada jam 2.30 petang semalam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KESAN TAPAK KAKI HARIMAU DITEMUI BERHAMPIRAN LEMBU YANG MATI
DUNGUN – Seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, di sini tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.
Pengurus FELDA Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada dua minggu lepas dan dalam tempoh tersebut enam ekor lembu milik dua penternak mati dibaham pak belang.
“Kehadiran harimau di sini sudah dikesan lama sejak 2018 lagi. Saya anggarkan ada empat hingga lima ekor harimau berkeliaran di lokasi berbeza dan mereka jadikan lembu penternak sebagai sasaran.
“Tahun ini saja 20 ekor lembu mati akibat dibaham dan serangan terbaharu dikesan pada 24 November lalu. Dalam tempoh seminggu itu, tiga ekor lembu milik seorang penternak turut dibaham.
“Lembu-lembu ini bukan semua dimakan. Ada yang diseret pergi, ada dimakan sebahagian anggota sahaja dan ada ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada SinarHarian, di sini hari ini.
Mohd Azimi berkata, ancaman haiwan karnivor berkenaan kemudian dilaporkan kepada
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum pasukan itu memasang perangkap pada Rabu lalu.
Bagaimanapun katanya, perangkap yang dipasang menggunakan umpan kambing tidak membuahkan hasil kerana harimau terbabit masih terus menyerang dan menyebabkan lembu penternak mati.
“Walaupun perangkap sudah dipasang, tiga ekor lembu lain pula ditemui mati menjadikan enam lembu mati dalam tempoh dua minggu. Harimau itu seolah-olah tahu, perangkap dipasang di situ dia pergi ke lokasi lain pula,” katanya.
Menurut laporan SinarHarian Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan lebih agresif bagi memastikan serangan harimau tidak lagi berulang pada masa akan datang demi keselamatan haiwan ternakan dan juga penduduk.
Menurut Mohd Azimi, dia bimbang sekiranya tidak ditangani segera haiwan berbahaya itu mungkin akan menyerang manusia pula.
“Kita tahu harimau ini haiwan dilindungi dan hampir pupus tapi saya harap sangat ia diburu dan dipindahkan ke habitat lain supaya tidak lagi mengganggu haiwan ternakan serta meresahkan penduduk,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA KRAU: Seramai 685 daripada 930 orang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini telah diinsurankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang melalui perlindungan insurans berkelompok yang diperkenalkan untuk badan beruniform itu.
Pengarah JBPM Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, baki 245 anggota PBS itu akan menerima insurans berkelompok apabila pendaftaran pasukan mereka diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
PengarahJBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa
“JBPM telah membuat satu insuran berkelompok bagi pasukan bomba sukarela ini bagi menjamin supaya keselamatan ..sebab apa kalau kita tengok fungsi salah satu bomba sukarela ini adalah untuk menjalankan kerja kerja pemadaman dan kerja menyelamat di peringkat awal sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Dialog Bersama Pasukan Bomba Sukarela Rumpun Makmur di Kuala Krau, Pahang.
Yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga ADUN Kerdau.
Jelasnya lagi , setakat ini empat orang anggota bomba sukarela yang terbabit dalam kemalangan ketika bertugas sudah mendapat pampasan masing masing.
Katanya pada masa ini terdapat 37, PBS yang aktif di Pahang, namun 4 pasukan masih belum diluluskan pendaftarann oleh JPPM kerana terdapat masalah dari segi kewangan.
“Mengikut akta bomba yang baru, semua pasukan bomba sukarela kini dikehendaki mendaftar dengan JBPM bagi mengawal selia aktiviti dan juga dengan JPPM.
“Bagi memastikan PBS berfungsi dengan baik, mana mana PBS yang tekah mendaftar dengan Jabatan Bomba dan diluluskan pendaftarannya akan diberi segala kenudahan kelengkapan yang sepatutnya termasuk kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan mesyuarat agung pasukan bomba sukarela, Rumpun Makmur, Kuala Krau hari ini.
Menurutnya, pada masa ini, 24 pasukan bomba sukarela sudah dilengkapi dengan kenderaan Proton Arena dan dua pasukan dengan Mitsubishi Triton.
Mengulas mengenai balai bomba kelas D yang sedang dibina di pekan Kuala Krau dengan kos pembinaan 2.5 Juta , beliau berkata, kerja pembinaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun hadapan.
Katanya, apabila siap kelak, dia akan dipenuhi oleh 18 anggota pasukan bomba bantuan yang akan dibayar elaun.
Beliau berkata balai bomba kelas D, ini turut dilengkapi semua kemudahan seperti balai bomba lain termasuk sebuah kenderaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!