INSIDEN LAMA DITULARKAN SEMULA : WARGA EMAS DITINGGALKAN DI TEPI JALAN
SHAH ALAM : Kisah seorang lelaki warga emas yang ditinggalkan di tepi jalan sekitar Kota Kemuning di sini merupakan insiden lama yang ditularkan semula di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian tersebut berlaku pada bulan Mac lalu dan lebih kepada merupakan masalah keluarga.
Katanya, siasatan ketika itu juga mendapati bapa tersebut enggan tinggal bersama anaknya selepas berkahwin baharu.
“Semakan mendapati kes tersebut berlaku pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini pada Mac lalu.
“Perkara itu cuma telah ditularkan semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Lelaki tersebut diberikan pertolongan pihak berkuasa.Gambar ini merupakan kisah lama yang ditularkan semula.
Terdahulu, tular seorang lelaki warga emas dipercayai dibuang anak kandungnya sendiri ditemui terbaring di tepi jalan di sekitar Kota Kemuning di sini.
Lelaki tersebut yang dikatakan mempunyai penyakit angin ahmar ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK CEMAS AIR LAUT PASANG BESAR: OMBAK HEMPAS BELAKANG RUMAH
BESUT: Kejadian air laut pasang besar sehingga menyebabkan banjir menimbulkan situasi cemas dalam kalangan penduduk Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di sini, malam tadi.
Seorang daripada mangsa di Kampung Pengkalan Atap, Abdul Razak Mohd Zaid, 31, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, menyebabkan penghuni lapan rumah berhampiran pantai cemas apabila ombak besar menghempas bahagian belakang rumah masing-masing.
“Kejadian itu mengakibatkan limpahan air laut bukan sahaja memasuki rumah kami tetapi melimpah sehingga ke jalan raya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya kepada BERNAMA.
Abdul Razak berkata kejadian itu menyebabkan penduduk yang tidak sempat melakukan persiapan awal menanggung kerugian apabila barangan rumah seperti perkakas elektrik rosak.
GAMBAR IHSAN ORANG AWAM
“Saya terpaksa meletakkan guni pasir di belakang pintu dapur untuk mengelak pintu tercabut dibadai ombak,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penduduk di kampung yang sama, Mohd Napi Sulong, 56, berkata kejadian itu adalah yang terburuk sepanjang tahun ini dan keadaan itu hampir sama dengan apa yang berlaku pada 2014.
“Saya tahu fenomena air pasang besar ini adalah kebiasaan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh namun tidak sangka ia seteruk ini,” katanya.
Berikutan kejadian itu seramai 36 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari kedua-dua kampung terbabit dipindahkan ke Balai Raya Kampung Pantai di Kuala Besut, tengah malam tadi.
Meskipun fenomena air pasang besar reda sejak awal pagi tadi, namun rata-rata penduduk masih bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing hari ini kerana dijangka kejadian yang sama akan berlaku lagi malam ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RARA BAKAL BERTUNANG BULAN DEPAN? : DIKHABARKAN BERTEMU JODOH DENGAN PEMUDA UMNO
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Ketari, Young Syefura Othman dikhabarkan bakal mengakhiri zaman janda dengan mengahwini seseorang pemimpin daripada Pemuda UMNO.
Ummi Alfida Ali menerusi hantaran di FACEBOOKnya memaklumkan perkara itu serta mendedah hubungan pasangan berkenaan.
ADUN KETARI, YOUNG SYEFURA OTHMAN (TENGAH) KETIKA SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG, BARU-BARU INI/FACEBOOK
Ummi berkata, beliau tidak sabar untuk menunggu hari pertunangan mereka pada 14 Januari ini dan majlis perkahwinan yang dilaporkan berlangsung Mac depan.
“Kompang dipalu di tahun baru.. moga kekal ke anak cucu.
“Pasangan yang paling letop yang bakal viral selepas Neelofa, YB Rara dan adikku Edrin Furtado ‘the most gorgeous couple’.
“Sama cantik sama padan selamat bercuti dan Selamat tahun Baru.. Tak sabar tunggu hari tunang 14 januari dan reception pada Mac (2021),” katanya dipetik dari MALAYSIAPOST.
Ummi menambah, beliau gembira atas perkhabaran berita tersebut malah akan menaja pelamin mereka.
“Saya nak belanja pelamin nanti.. Saya tumpang gembira untuk awak berdua, ” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KETUKAN MISTERI KINI DI TEMERLOH: PENDUDUK DAKWA NAMPAK LEMBAGA HITAM
TEMERLOH: “nampak kelibat tiga lembaga berbulu hitam berdiri di atas beranda di tingkat atas rumah ini, manakala anak saya, Haikal nampak kelibat tiga lembaga hitam di dalam rumah,” demikian dakwa Sharifah Mazian.
Menurut jirannya, yang juga ahli jawatankuasa Masjid Temerloh Jaya, Syaiful Afenddi Ismail, 44, kejadian ketukan pintu misteri itu diceritakan oleh mangsa baru-baru ini.
Syaiful Afenddi berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Temerloh Jaya sejak 27 Disember lalu.
“Kejadian malam pertama, tuan rumah dakwa mendengar beberapa kali ketukan kuat pada pintu rumah, tetapi tidak membuka kerana pernah mendengar cerita mengenai ketukan pintu misteri itu.
“Keluarga itu ada memanggil ustaz Azmi, seorang pengamal perubatan Islam untuk memulihkan kawasan rumah dan pada malam itu mereka mendengar lebih banyak ketukan misteri.
“Cabaran yang dihadapi oleh ibu tunggal, bersama dua anak lelaki berusia tiga dan 12 tahun serta seorang anak perempuan berusia 18 tahun adalah pada malam ketiga, kerana gangguan semakin hebat dan menyeramkan,” katanya.
Menurut Syaiful Afenddi, pada pukul 9 malam, dia menerima panggilan telefon daripada Sharifah Mazian memaklumkan kejadian ketukan misteri itu.
“Malah dalam telefon pun saya turut mendengar bunyi ketukan kuat itu… saya bergegas ke rumah berkenaan bersama Ustaz Azmi bagi membantu keluarga tersebut.
“Ketika saya serta berapa orang jiran di dalam rumah sambil membaca ayat ayat suci, tiba tiba saya dibaling dengan botol air mineral, dari satu arah tetapi tidak mengena… seolah-olah ‘makhluk’ itu mengamuk.
“Malah semasa ustaz Azmi bersama pembantunya berdua di dalam rumah ketika sedang membuat rawatan, mereka turut terdengar bunyi tapak kaki berjalan menaiki tangga dengan hentakan kuat ke tingkat atas,” katanya.
Syaiful Afenddi berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu sudah dibuat dan berharap misteri berkenaan dapat dirungkai tidak lama lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERPINDAHAN PERSEMPADANAN MEMBERI MANFAAT DAN KEMUDAHAN PENDUDUK DI KAWASAN TERBABIT
JERANTUT: Perpindahan persempadanan secara harmoni bakal melibatkan kawasan Felda Jengka 8, Jengka 9, Jengka 10, Jengka 12 dan Jengka 24 termasuk Felda Lepar Utara 3, yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang dan akan diwartakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata perpindahan sempadan secara harmoni itu bakal memberi manfaat dan kemudahan kepada semua penduduk di kawasan tersebut kerana sebelum ini terdapat banyak birokrasi berlaku ketika berurusan dengan pihak pentadbiran tertentu.
ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah
“Kebetulan semua kawasan itu terletak di dalam DUN Pulau Tawar yang turut menyukarkan pihak saya untuk menyusun perancangan dan bantuan, sesiapa sahaja waikl rakyat akan sukar melakukan perancangan tertentu khusus untuk membangunkan kelompok Generasi kedua Felda.
“Ada kawasan itu, pentadbiran pejabat agama di Chenor, pejabat daerah di Maran, pejabat kesihatan di Jengka dan pendidikan di Maran, malah pentadbiran politik pula terletak dalam DUN Pulau Tawar,Jerantut,” katanya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) Di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar, semalam.
Katanya, penyusunan semula mengikut persempadanan pentadbiran politik semasa akan memberi kemudahan semua pihak dan memudahkan wakil rakyat menyusun pelan strategik pembangunan dan pelbagai perancangan lain.
“MMK telah meluluskannya dan akan diwartakan segera pada 2021 dan perancangan dapat dilakukan dengan segera demi penduduk kawasan itu,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, berharap semua penerima RRP menghargai jasa kerajaan negeri kerana membelanjakan sejumlah RM6.37 juta.
Datuk Nazri (2 dari kiri) semasa penyerahan rumah kepada penerima RRP di Pulau Tawar, semalam
“Kerajaan negeri membina 98 buah rumah di seluruh negeri pada tahun 2020 dan bakal meneruskan projek PPR di tahun 2021 untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Datuk Menteri Besar sangat mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan rumah, oleh itu kerajaan menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40, kerajaan membiayai projek rumah tersebut dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak,” katanya
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HADIAH ISTIMEWA TAHUN BAHARU: WARGA EMAS TERIMA KUNCI RRP
KUANTAN: Seorang warga emas menerima hadiah tahun baharu paling bermakna apabila kerja pembinaan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) siap sepenuhnya lebih awal dari tempoh ditetapkan dan menerima kunci rumah berkenaan petang semalam.
Ngah Ismail, 87, yang hidup bersendirian sejak kira-kira 30 tahun lalu di Kampung Beserah Pantai, dekat sini, kini boleh menjalani kehidupan lebih selesa di rumah berkenaan, hasil inisiatif kerajaan Pahang yang memperkenalkan program RRP bagi rakyat negeri ini yang layak.
Beliau yang tidak pernah mendirikan rumah tangga dan sebelum ini bekerja sebagai nelayan, menerima bantuan bulanan daripada agensi berkaitan bagi menampung keperluan hariannya.
ADUN BESERAH, ANDANSURA RABU (KIRI) BERSAMA PENERIMA PROGRAM RUMAH RAKYAT PAHANG (RRP) NGAH ISMAIL (TENGAH) KETIKA PENYERAHAN KUNCI DI KAMPUNG BESERAH PANTAI, DEKAT KUANTAN
“Saya memang bersyukur sangat apabila dipilih menerima RRP memandangkan keadaan rumah sebelum ini sudah sangat uzur… kayu lantai pun sudah reput dan memang menunggu masa untuk runtuh.
“Jadi, apabila dimaklumkan oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mengenai perkara ini (terpilih menerima RRP), saya sangat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Pahang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kunci RRP oleh Andansura dan wakil kerajaan negeri.
Sementara itu, Andansura berkata, kawasan dewan undangan negeri (DUN) Beserah menerima tiga projek RRP sepanjang tahun ini dan dua daripadanya sudah siap dan diserahkan kepada penerima, manakala satu lagi dijangka dapat disiapkan awal tahun depan.
“Inisiatif RRP ini diperkenalkan bagi membantu mereka berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Nilai bagi setiap unit RRP adalah RM65,000 dan ditanggung sepenuhnya kerajaan Pahang dengan syarat utama ialah penerima memiliki tanah sendiri.
“Dalam kawasan DUN Beserah kita ada tiga program RRP di Kampung Beserah Pantai, Kampung Cherating dan Kampung Alor Batu, dekat Jabor,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RM 6.37 JUTA BINA RRP: PENERIMA GEMBIRA DENGAN USAHA KERAJAAN NEGERI
JERANTUT: Sebanyak enam unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) daripada 98 unit di seluruh Pahang diserahkan kepada 6 penerima dalam kawasan Parlimen Jerantut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Damak dan Tahan, di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar, hari ini.
Penerima RRP di Pulau Tawar, Shafie Ismail (55), berkata dia bagai bermimpi setelah dimaklumkan menerima bantuan rumah yang sangat selesa selepas rumah lamanya runtuh akibat dihempap pokok pada awal tahun ini.
Penerima RRP di Pulau Tawar, Shafie Ismail
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Menteri Besar, pejabat parlimen, pejabat dewan undangan negeri, pejabat daerah dan pejabat penghulu.
“Sejak rumah runtuh dihempap pokok, saya tinggal merata tempat sementara menunggu rumah siap dan Alhamdulillah berkat bantuan daripada semua pihak, saya memiliki rumah baharu, ”katanya ketika ditemui ketika penyerahan kunci rumah RRP.
Seorang penerima RRP di Kampung Lada, Sharifah Mazni Syed Mohamud, 56, berkata, dia bersyukur dapat menyambut tahun baharu 2021 dengan sebuah rumah baharu bantuan kerajaan negeri.
Penerima RRP di Kampung Lada, Sharifah Mazni Syed Mohamud
“Memang tidak sangka mendapat sebuah rumah baharu, rumah lama saya telah uzur dan menjadi kenangan kerana telah tinggal di rumah lama sejak lahir bersama keluarga.
“Saya ada 6 anak dan dua daripadanya anak istimewa berusia 22 dan 27 tahun dan dengan rumah ini, saya dan keluarga dapat tinggal dengan selesa dan sungguh tidak menyangka saya dipilih sebagai salah seorang penerima rumah RRP,” katanya.
Rumah penerima Syarifah Mazni, rumah RRP (kiri) dan rumah asalnya (kanan)
Turut hadir, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud dan ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berharap semua penerima menjaga rumah bantuan tersebut kerana peluang hanya datang sekali.
Datuk Nazri (kanan) meletakkan papan tanda RRP bersama Pegawai Daerah Jerantut Khairun Nissa (kiri)
“Konsep RRP ini datang daripada pandangan Datuk Menteri Besar setelah melihat kewangan negeri yang kukuh dan membina RRP sebanyak 98 buah rumah di seluruh negeri pada tahun 2020.
“Saya berharap kewangan negeri terus kukuh dan stabil dan bantuan bilangan RRP akan ditambah bagi projek tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat negeri yang menjadi keprihatinan utama Datuk MB,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci RRP.
Beliau yang juga ADUN Pulau Tawar berkata, kerajaan telah memperuntukan RM 6.37 juta bagi menyiapkan 98 unit rumah RRP di seluruh Pahang dan setiap unit berharga RM65,000 untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
Datuk Nazri (kanan), Khairun Nissa (tengah) turut menanam pokok yang disumbangkan oleh Pejabat Pertanian Jerantut.
Katanya, Datuk Seri Wan Rosdy dan mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan bagi menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40, kerajaan negeri membiayai projek perumahan tersebut dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak .
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JATUH PENGSAN KERANA TEKANAN DARAH TINGGI: TIADA UNSUR JENAYAH
SUNGAI BESAR: Keadaan di sebuah bengkel motosikal di pekan ini gempar selepas seorang lelaki warga emas pengsan secara tiba-tiba, semalam.
Lim Chee Khoon
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, berkata warga emas berusia 72 tahun itu dipercayai rebah ketika menunggu motosikalnya dibaiki di bengkel terbabit.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada kecederaan pada tubuh badan mangsa.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam susulan disyaki menghidap tekanan darah tinggi,” katanya kepada BH ONLINE ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Chee Khoon mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu termasuk mengaitkan mangsa mengalami COVID-19.
Sebelum ini, tular di media sosial video kehadiran petugas kesihatan yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bersama sebuah ambulans di bengkel terbabit.
Video berdurasi 21 saat itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata berharap ia bukan kes Covid-19 selain mendoakan kesihatan lelaki warga emas itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JALAN ROSAK TERUK BELUM DIBAIKI: 5 BULAN ADUAN BELUM ADA TINDAKAN
BENTONG: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengambil kesempatan membangkitkan isu kualiti jalan raya yang ada di kawasannya.
ADUN Ketari, Young Syefura Othman
Langkah membangkitkan isu itu diambil setelah kemalangan melibatkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).
Young Syefura meninjau kawasan jalan yang dikatakan teruk
Malaysiakini melaporkan, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara berkata dia telah membangkitkan aduan yang hampir sama tetapi masih menunggu kerja-kerja penyelenggaran, selepas hampir lima bulan aduan dibuat.
“Contoh aduan yang telah dibuat berkaitan keadaan penutup longkang dan permukaan jalan yang teruk bakal membahayakan penduduk yang melaluinya.
“JKR memberi alasan bahawa peruntukan sudah diminta tapi belum dapat, pokok pun sudah naik tinggi, saya sudah maklum 4-5 bulan tapi keadaan macam ini. Boleh @JKRMalaysia bantu saya?” soalnya di Twitter.
Khairi Jamaluddin cedera jatuh basikal di Kampung Sri Cheeding, Banting
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat semalam memohon maaf kepada Khairy yang cedera selepas basikal dinaikinya terlanggar lubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Kita doakan agar Khairy cepat sembuh, JKR Kuala Langat juga berkata akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
3 PRODUK JADI TARUHAN EKO PELANCONGAN LEMBAH BENUM: MILIKI POTENSI JADI TUMPUAN PEMINAT ALAM SEMULA JADI
JERANTUT: Sejajar dengan pelancaran pelan eko pelancongan 2020-2030, tiga produk terbaharu ditawarkan kawasan hutan simpan Lembah Benum, dekat sini, mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong domestik dan dari luar berkunjung ke daerah ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, tiga produk pelancongan itu adalah kawasan air terjun Sungai Rengat, bunga Rafflesia atau bunga Pakma dan litar motocross Sungai Rengat, selain keunikan alam semula jadi di Lembah Benum adalah aset bernilai tinggi yang tidak boleh ditemui di tempat lain dan perlu dijaga sebaik mungkin.
“Lembah Benum bukan sahaja mempunyai kawasan hutan hujan yang masih terjaga dengan baik, tapi turut menyimpan pelbagai produk eko pelancongan berpotensi diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Kita ada kawasan air terjun dan perkelahan yang sangat menarik di Sungai Rengat dan bagi penggemar sukan lasak pula, di sini ada litar motocross yang diusahakan sendiri oleh penduduk setempat.
KAWASAN AIR TERJUN DAN SUNGAI YANG MASIH TERJAGA DENGAN BAIK DI LEMBAH BENUM
“Selain itu, dalam kawasan Lembah Benum ini juga kita mempunyai lokasi bunga Rafflesia atau Bunga Pakma yang tumbuh secara semula jadi,” katanya kepada media selepas meninjau sendiri lokasi penemuan bunga Pakma di kawasan Bukit Benum, di sini, semalam.
Turut bersama dalam tinjauan itu Pengarah pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya.
Sementara itu, Idros berkata, kawasan Lembah Benum sudah dimasukkan dalam senarai Kluster Pelancongan Taman Negara bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat di Ulu Cheka dan kawasan sekitar.
KEUNIKAN BUNGA PAKMA ATAU RAFFLESIA YANG DITEMUI DI KAWASAN HUTAN LEMBAH BENUM MAMPU MENJADI DAYA PENARIK BAHARU
“Kita percaya pelan pelancongan eko pelancongan 2020-2030 yang memerlukan pihak kami meneroka lokasi baharu untuk diketengahkan kepada pelancong dan sudah pasti ia boleh memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Keputusan MOTAC menyenaraikan Lembah Benum dalam Kluster Pelancongan Taman Negara adalah bersesuaian dengan pelbagai produk pelancongan menarik yang boleh diteroka oleh pelancong di kawasan Jerantut.
“Selain itu, kita harap dengan penemuan bunga Pakma atau Rafflesia ini dapat melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke daerah Jerantut dan negeri Pahang,” katanya.
MASIH BANYAK KHAZANAH ALAM SEMULA JADI YANG BELUM DITEROKA PEMINAT ALAM SEKITAR DI KAWASAN LEMBAH BENUM
Mengulas mengenai litar motocross di Lembah Benum, Idros berkata ia adalah produk nilai tambah ditawarkan kepada peminat sukan motocross di Pahang, dan seluruh negara.
Katanya, penawaran pelbagai produk pelancongan kepada orang ramai, terutamanya pelancong dari luar negara diharap dapat memajukan lagi lokasi berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!