MARAN : Seorang pemuda nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki dibawa arus banjir di Jengka 3,di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya, lalu di bawa arus deras, bagaimana pun dia berjaya menyelamatkan diri dengan memaut pada ranting belukar sebelum naik ke tebing jalan.
Motosikal mangsa ditemui semula selepas keadaan banjir reda kira-kira jam 12 tengahari tadi dan dibawa naik ke tempat selamat dengan bantuan penduduk kampung.
Fenomena banjir di kawasan tanah rancangan felda terutama di Jengka 3, jarang berlaku kerana berada di kawasan tinggi, namun kejadian banjir kali ini menyebabkan beberapa tanah rancangan Felda Jengka turut dinaiki air secara mendadak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
4 PENDUDUK DITEMPATKAN DI PPS DEWAN JKKR JENGKA 24
JERANTUT: Empat penduduk dari satu keluarga di FELDA Jengka 24, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), awal pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 14 hingga 68 tahun itu tinggal di Blok 11 tanah rancangan berkenaan, kini ditempatkan di Wisma Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) FELDA Jengka 24.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi berkata, kira-kira 3,000 penduduk di kawasan tanah rancangan itu kini terputus hubungan apabila laluan masuk dan keluar dari FELDA Jengka 24 tidak dapat dilalui kenderaan.
“Keadaan paras air semakin meningkat sejak lewat malam tadi berikutan hujan lebat masih belum berhenti.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud.
“Pihak berkuasa dengan kerjasama pasukan petugas khas banjir peringkat FELDA Wilayah Jengka, Majlis Belia FELDA serta Gabungan Peneroka Wanita (GPW) dan ahli Kami Anak FELDA sempat membawa keluar lima wanita yang sarat mengandung menggunakan kenderaan pacuan empat roda malam tadi, ” katanya.
Razak berkata, bantuan awal kepada penduduk ditempatkan di PPS sudah disalurkan dan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, APMM sedang memantau situasi semasa.
Katanya, penduduk di kawasan rendah juga diingatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan sedia untuk berpindah ke PPS jika paras air terus meningkat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAKYAT MALAYSIA AKAN DISUNTIK VAKSIN COVID-19 BULAN DEPAN
KOTA TINGGI – Kira-kira satu juta rakyat di negara ini akan disuntik vaksin Pfizer-BioNTech pada fasa pertama bermula bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, petugas barisan hadapan merupakan individu yang pertama akan menerima suntikan itu sebelum diikut golongan rentan.
Menurutnya, golongan rentan merupakan individu yang mudah mendapat penyakit dan pesakit kronik seperti bauh pinggang, jantung, paru-paru dan diabetes.
“Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula bulan depan dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioNTech akan diagih dan disuntik pada fasa pertama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham BBaba.
“Fasa seterusnya sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei tahun ini. Kerajaan akan beri vaksin percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau 26 juta individu,” katanya.
K! ONLINE melaporkan selepas pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Bahagian Tenggara 2020 di Bandar Tenggara di sini hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU – Bencana banjir yang memasuki hari kedua melanda negeri ini mencatatkan 1,780 mangsa banjir daripada 500 keluarga melibatkan lima buah daerah setakat pukul 8 malam hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan secara mendadak berbanding 1,000 mangsa banjir yang direkodkan pada pukul 4 petang tadi.
Beliau berkata, peningkatan jumlah tersebut menyaksikan bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka meningkat dua kali ganda kepada 28 PPS di Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Batu Pahat.
“Kesemua mangsa banjir yang dipindahkan itu datangnya daripada 39 buah kampung yang terjejas bencana banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R. Vidyananthan.
“Daerah Kluang terjejas teruk akibat bencana banjir apabila seramai 698 mangsa daripada 206 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di daerah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, daerah Johor Bahru merekodkan seramai 690 mangsa banjir daripada 189 keluarga diikuti Kota Tinggi melibatkan 286 mangsa daripada 66 keluarga, Kulai dengan 99 mangsa daripada 25 keluarga dan Batu Pahat membabitkan tujuh mangsa daripada empat keluarga.
Beliau berkata, taburan PPS yang dibuka setakat ini ialah 12 di Kluang diikuti Johor Bahru (6), Kota Tinggi (7), Kulai (2) dan Batu Pahat (1).
“Punca banjir melanda negeri ini berpunca daripada hujan sederhana lebat yang berpanjangan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air
K! Online melaporkan, bencana banjir tahun ini merekodkan satu kes kematian dipercayai disebabkan lemas di Kampung Contoh, Kahang, Kluang.
“Sementara itu, sebuah laluan di Jalan Pengerang-Kota Tinggi terpaksa ditutup sementara setelah ditenggelami air akibat banjir,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERLU BINCANG ISU GANGGUAN PROJEK ECRL: AHLI PARLIMEN TINJAU ADUAN PENDUDUK
MARAN: Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib cuba menyelesaikan masalah yang timbul daripada rungutan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tapak projek menanam cerucuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan di Kampung Bak-Bak, di sini, hari ini.
Katanya, sebagai pemimpin setempat aduan dan rungutan tersebut perlu ditangani dengan baik demi kesejahteraan penduduk yang terlibat dan juga memberi manfaat semua pihak yang terbabit dalam situasi menang-menang.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail melawat kawasan terbabit
“Rungutan mereka ada asasnya kerana kedudukan rumah mereka dekat dengan tempat projek penanaman cerucuk, pastinya bunyi dan debu mengganggu kehidupan harian mereka serta kalau tidak berhati-hati boleh mengundang masalah yang tidak dijangka.
“Saya akan berbincang dengan semua pihak yang bertanggung jawab berkaitan dengan projek pembinaan ECRL yang melalui kampung ini yang menghubungkan pantai barat ke pantai timur semenanjung yang semua pihak sudah sedia maklum,” katanya ketika meninjau kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail turun padang ke tapak projek di Kampung Bak-Bak, hari ini
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata , mungkin isu seperti ini ada berlaku di tempat lain sepanjang jajaran landasan ECRL dibina tapi rungutan dan aduan yang berbeza mengikut keadaan setempat
Penduduk Kampung Bak-Bak, Zakiah Abd Aziz berkata, projek pembinaan jambatan landasan ECRL yang jarak 10.1 meter dari rumah kediaman dan kilang miliknya menyebabkan dia dan anggota keluarganya mengalami gangguan bunyi keterlaluan dan pencemaran debu sejak sebulan lepas.
Zakiah Abd Aziz
“Gangguan bunyi melampau mengakibatkan seorang warga emas 61 tahun terpaksa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),Temerloh kerana mengalami tekanan perasaan dan turut bimbang bayi berusia 18 bulan mengalami gangguan yang sama.
“Kami bukan menolak pembangunan projek ECRL, tetapi projek mega ini telah mengakibatkan pencemaran bunyi yang dasyat kepada tiga keluarga dan pekerja kilang di sini ,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk rumahnya bersebelahan projek itu, Noriah Abu Samah berkata bunyi yang sangat kuat daripada jentera dan bunyi hentakan cerucuk mengganggu mereka terutama ketika kerja menanam cerucuk dijalankan.
Noriah Abu Samah
“Kerja projek dijalankan mulai jam 6.30 pagi sehingga 10.30 malam malah kadang-kala melebihi had waktu yang boleh mengganggu ketenteraman kehidupan harian kami.
“Dinding rumah saya juga turut retak kesan hentakan dari tapak projek yang sedang dijalankan, bimbang juga kalau serius boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ELAK AKTIVITI PESISIR PANTAI: FENOMENA AIR PASANG ANCAM KESELAMATAN PENGUNJUNG
KUALA NERUS: Jangan jadikan kawasan pantai sebagai tapak ‘pesta’ untuk bersantai melihat fenomena air pasang besar dan mengambil swafoto (selfie).
Ombak kuat dan angin kencang yang melanda pantai di negeri Terengganu ini dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengunjung.
GAMBAR HIASAN
Itu antara amaran daripada Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din kepada orang ramai yang masih mendekati kawasan pantai khususnya di Pantai Seberang Takir atau lebih dikenali dengan nama Pantai Miami.
Susulan itu, pihaknya telah meningkatkan kawalan dan pemantauan di lokasi pantai tumpuan ramai di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Memetik laporan ASTRO AWANI, selain rondaan, laluan dari arah Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat turut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula Jumaat hingga Ahad ini.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menjadikan fenomena ni sebagai satu pesta keluar beramai-ramai untuk melihat keadaan ombak besar yang boleh membahayakan diri mereka.
“Pihak polis akan membuat pemantuan rondaan di kawasan ini 24 jam sehingga keadaan cuaca telah kembali reda dan keadaan baik,” ujar beliau.
Abdul Rahim berkata, jika masih ada individu yang ingkar dan berterusan menghampiri kawasan pantai, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang bersesuaian seperti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
GAMBAR HIASAN
Fenomena air pasang besar yang melanda Terengganu membuatkan orang ramai turut mengambil kesempatan untuk menyaksikannya secara dekat khususnya di Pantai Seberang Takir.
Ombak besar berketinggian lebih dua meter beserta angin kencang telah menyebabkan limpahan air laut sehingga ke atas jalan raya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANJIR KILAT DI KAMPUNG SUNGAI JERIK: HUJAN BERTERUSAN MENGAKIBATKAN RUMAH PENDUDUK DINAIKI AIR
MARAN: Hujan lebat berterusan sejak jam 3 pagi semalam dan air naik kira-kira dua meter menenggelamkan beberapa buah rumah di kawasan rendah sekitar Kampung Jara dan Kampung Sungai Jerik.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK ) Kampung Jara, Hassan Khalil berkata, banjir kilat berlaku selepas subuh kira-kira jam 6.15 pagi.
Beberapa keluarga dipindahkan ke PPS di Balai raya Kampung Jara
“Sehingga petang semalam paras air masih bertahan dan lapan keluarga seramai 32 orang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) banjir di Balai Raya Kampung Jara.
“Pihak berkuasa dan JKKK Kampung Jara menasihatkan mereka berpindah kerana kita bimbang sekiranya hujan lebat berterusan akan menyebabkan banjir lebih teruk,” katanya.
Menurutnya, kawasan yang teruk dilanda banjir kilat itu termasuk di hadapan Kuil Sri Marathandavar, dilaporkan beberapa buah kereta turut tenggelam.
Sebuah lori turut ditenggelami air
Sementara itu bekas Setiausaha Kuil Sri Marathandavar, Datuk G Pongavanam terkejut banjir kilat luar biasa berlaku di hadapan kuil berkenaan.
“Walaupun pernah berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat tetapi tidak seteruk ini, kali ini menyebabkan jalan utama dari Maran ke Pekan Sungai Jerik tidak boleh dilalui, manakala beberapa kedai makan dan bengkel kenderaan turut dinaiki air di Pekan Tong Kiat,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGEDAR DADAH DITAHAN DALAM OPERASI POLIS: SALAH SEORANG SUSPEK POSITIF DADAH
SEBERANG PERAI: Empat lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis ketika melakukan kegiatan itu di dalam sebuah pondok pengawal keselamatan di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi kira-kira pukul 9.15 malam itu pihaknya menahan suspek berkenaan yang berusia di antara 34 hingga 61 tahun.
“Polis merampas 7.2 gram (g) dadah jenis heroin bernilai RM360 dan 0.1 g syabu (RM10) daripada suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd .Noor.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau,” katanya seperti yang dilaporkan KOSMO!ONLINE.
Noorzainy berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(A), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DISERANG LELAKI DENGAN CANGKUL: SUSPEK DIPERCAYAI TERBABIT DALAM KES PECAH RUMAH
SITIAWAN : “Saya bersyukur tidak diapa-apakan, namun kejadian itu sangat mencemaskan terutama apabila lelaki itu kelihatan agresif dengan memegang cangkul,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ira.
Ira, 40, berdepan detik cemas lebih 15 minit apabila rumahnya didatangi lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Taman Serdang di sini, pada 10.30 pagi semalam.
Lebih menakutkan, lelaki yang tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek itu dikatakan turut membawa cangkul dan memecahkan cermin tingkap dan pintu rumahnya.
Malah, lelaki itu didakwa masuk rumah dan sempat mengambil air botol dalam peti ais sebelum keluar mengikut pintu belakang.
Ira berkata, ketika kejadian dia tinggal berseorangan di rumah dan sedang menonton televisyen di ruang tamu, manakala suaminya berkerja.
Ira Mangsa kejadian
Menurutnya, sebelum itu, dia menyedari lelaki itu berjalan mundar-mandir di hadapan kawasan rumahnya sambil mengheret sesuatu.
“Saya kemudian memeriksa dan mengunci semua pintu serta tingkap sebelum melihat lelaki itu membuka pagar sambil membawa cangkul.
“Saya terus menghubungi suami, jiran dan polis. Lelaki itu kemudian mengetuk dan menyuruh buka pintu, malah dia juga mengelilingi rumah hampir empat kali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, lelaki itu kemudian bertindak agresif dengan merosakkan jaring di pintu jeriji dan memecahkan tingkap serta pintu kayu rumahnya.
“Melihat pintu sudah pecah dan terkopak saya terus melarikan diri ke dalam bilik dan mengunci serta menahan pintu dengan tiang besi penyangkut baju.
“Lelaki itu dapat masuk dalam rumah dan cuba menolak pintu bilik tetapi saya menahannya dari dalam. Dia kemudian keluar ikut pintu belakang dan sempat mengambil air botol dalam peti ais,” katanya yang mendakwa selak pintu rumahnya tercabut dipercayai kesan tolakkan kuat lapor ya kepada HARIAN METRO.
Ira berkata, suaminya pulang ke rumah dan mengejar lelaki itu dengan bantuan orang kampung sebelum lelaki itu pergi semula ke rumahnya dan melarikan motosikal suaminya.
GAMBAR IHSAN ORANG AWAM
“Saya rasa dia bukan mahu merompak kerana beg tangan di meja hadapan tidak di usik, malah lelaki itu tidak menyelongkar rumah,” katanya membuat laporan polis di Seri Manjung.
Jirannya, Mohamed Nor Mohamed Alwi, 70, berkata, dia melihat lelaki tidak dikenali itu berjalan di sekeliling rumah jirannya itu dengan memegang cangkul seperti sedang marah sebelum isterinya menghubungi polis.
“Selepas keluar dari rumah jiran, lelaki itu pergi ke rumah seorang lagi jiran dan mengetuk pintu rumah sebelum dia memasuki kawasan rumah saya dan mengetuk pintu jeriji yang berkunci.
“Ketika itu pintu kayu memang sudah terbuka dan saya dan isteri bertentangan mata dengan lelaki itu dan dia menanyakan nama tetapi kami yang panik hanya diam sebelum dia menyepak pasu bunga,” katanya.
Katanya, selepas itu mereka mendapat maklumat lelaki itu kemalangan di Taman Sejati dan sudah ditahan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah di Taman Serdang dan suspek sudah ditahan semalam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JALAN KUANTAN-SEGAMAT DITUTUP: TANAH RUNTUH AKIBAT HUJAN LEBAT
PEKAN: Jalan Kuantan-Segamat, di sini ditutup kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh di Kilometer 63 dan 73 jalan berkenaan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berlaku kejadian tanah runtuh pada jam 10 pagi, lapor BH ONLINE.
Katanya, kejadian itu berlaku akibat hujan lebat dan air yang mengalir terlalu deras dari kawasan bukit.
“Kejadian tanah runtuh tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kenderaan. Ketika ini, kerja pembaikan jalan serta cucian tanah runtuh sedang dijalankan.
“Sehubungan itu, Jalan Kuantan-Segamat di Kilometer 63 dan 73 ditutup untuk semua kenderaan bagi kerja baik pulih jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengguna yang ingin menuju ke Kuantan, Pekan dan Segamat boleh menggunakan jalan alternatif.
“Kejadian tanah runtuh tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kenderaan. Ketika ini, kerja pembaikan jalan serta cucian tanah runtuh sedang dijalankan,” Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof
Katanya, pengguna jalan raya dari arah Segamat boleh melalui Jalan Leban Chondong, Muadzam Shah-Rompin-Nenasi -Pekan-Kuantan.
“Mereka yang dari arah Gambang dan Kuantan pula boleh melalui Jalan Pekan-Paloh Hinai-Bandar Pekan-Leban Chondong, Rompin,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!