TEMERLOH: Sebanyak 75 kontak rapat wabak Covid-19 yang dikuarantin di rumah masing-masing di sini menerima sumbangan makanan keperluan asas daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, KRT yang membantu antaranya ialah dari Hulu Langat, Ampang, Pandan dan Kajang.
Beliau berkata, bantuan tersebut akan diserahkan kepada APM untuk diagihkan kepada mereka yang dikuarantin.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.
“Ini menunjukkan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada masyarakat di negeri Pahang yang berada dalam kesusahan kerana Pahang baru sahaja dilanda bah besar dan pada masa sama ada masyarakat yang terkesan akibat wabak covid-19 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin
“Mereka perlu dikuarantin di rumah selama 10 hari dan kami bimbang jika ada yang kekurangan bekalan makanan di rumah.
“Justeru kami mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan makanan asas kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Sukarelawan MTSP Pahang di sini, hari ini.
Katanya, KRT daripada Selangor itu turut memberikan sumbangan banjir kepada penduduk terjejas banjir di daerah ini.
Beliau menambah, bantuan tersebut juga menunjukkan tanggungjawab masyarakat kepada masyarakat lain ketika menghadapi musibah.
“Bagaimanapun ketika membantu, setiap masyarakat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar penularan wabak covid-19 dapat diputuskan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
STESEN Keretapi Tanah Melayu (KTM) Jerantut yang terletak di tengah bandar Jerantut lengang dan sunyi tidak sebelum ini, ia merupakan nadi penghubung antara bandar dari selatan bermula dari Johor Bharu dan Tumpat, di Kelantan.
Bandar Jerantut yang terletak mengikut jalan darat melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang jaraknya kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 180 km dari Kuantan mengikut susur keluar ke Plaza Tol Temerloh.
LANDASAN MENGHALA KE TUMPAT, KELANTAN
Sejarah stesen ini berdasarkan dengan pembinaan landasan, laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1907 daripada Gemas sehingga Bahau pada April 1910 dan seterusnya ke Kuala Tembeling pada tahun 1913.
Kemudian, laluan ini dipanjangkan ke bahagian utara sehingga Kuala Lipis yang merupakan pusat pentadbiran Pahang ketika itu pada tahun 1917, di Kelantan pembinaan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906.
Pada tahun 1914, landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas turut dibuka kepada awam. Laluan antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.
TREK LANDASAN MENGHALA KE JOHOR BAHRU
Laluan kereta api ke pantai timur turut dikenali Laluan Hutan atau dengan nama Malaysia’s Jungle Railway, laluan di Pantai Timur ini bermula dari Stesen KTM Gemas, Negeri Sembilan dan berakhir di Stesen KTM Tumpat, Kelantan.
Stesen Gemas adalah tempat pertemuan laluan pantai barat dan laluan pantai timur.
Kedudukan stesen Jerantut yang dekat dengan bandar memudahkan penumpang yang tiba, khususnya pelancong luar untuk mendapatkan perkhidmatan penginapan di bandar dan pengangkutan untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan.
Seorang penduduk Jerantut, Nasruddin Ramli (67), kereta api sangat diperlukan oleh penduduk Kampung Kuala Tembeling, Kampung Mela, Kerambit dan beberapa kampung lain ke bandar Jerantut untuk berurusan dengan pejabat kerajaan, membeli belah atau berniaga sebelum ada perkhidmatan pengangkutan lain.
“Ketika itu stesen ini sangat meriah dengan orang ramai yang datang membawa barangan jualan yang ada di pekan sehari yang ada setiap hari Sabtu malah menjadi pengangkutan jarak dekat untuk murid sekolah kerana banyak perjalanan jarak dekat khususnya antara Kuala Lipis ke Mentakab.
SEBAHAGIAN BANGUNAN LAMA STESEN KTM JERANTUT
“Kalau hujung minggu atau cuti perayaan, kereta api penuh, termasuk haiwan ternakan seperti ayam dan kambing turut berada di atas gerabak selain barang jualan,” katanya.
Katanya, beliau pernah bersekolah di Kuala Lipis pada 1970 dan 1971, kereta api menjadi pengangkutan utama dan pernah duduk di gerabak barang kerana penuh.
Seorang pendidik Anis Huda Amir (32) yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api mulai usia 13 tahun sehingga 17 tahun kerana bersekolah di Sekolah Tun Fatimah Johor Bharu selama 5 tahun mengganggap kereta api sangat diperlukan.
“Kemudian saya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kota Bharu, selama lima tahun, kereta api menjadi pengangkutan untuk balik ke Jerantut termasuk rakan-rakan lain yang balik ke arah selatan.
“Lucu, pernah tertidur dan terlajak ke stesen Mentakab dari arah Lipis, mujur ada kereta api dari arah selatan menghala ke Tumpat berhenti seketika di stesen Mentakab dan terus tukar gerabak menghala semula ke Jerantut,” katanya.
PLATFORM KEDUA TERPANJANG DI MALAYSIA
Katanya, paling tidak suka kalau kereta api lewat dan menangguhkan perjalanan kadang kala sehingga 3 jam, walau begitu kenangan dialami boleh dijadikan cerita kepada anak dan cucu serta berasa dirinya tua dalam kereta api.
Kini, stesen itu lengang, hanya ada perkhidmatan keretapi Ekspres Rakyat Timuran yang tiba dari Johor Bharu di Stesen Jerantut pada jam 4.28 pagi dan Ekspres Rakyat Timuran dari Tumpat tiba di stesen ini pada jam 3.03 pagi.
PLATFORM SEPANJANG 410 METER YANG SANGAT MENGGAMIT NOSTALGIA MEREKA YANG MEMBESAR BERSAMA PENGANGKUTAN MODEN PALING UNIK DAN PALING AWAL DIPERKENALKAN DI MALAYSIA
Menariknya, stesen kereta api Jerantut mempunyai platform sepanjang 410 meter dan kedua terpanjang di Malaysia selepas Stesen Tapah di Perak.
Dikatakan stesen KTM Jerantut dibuka pada tahun 1946.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman menafikan khabar angin kononnya bandar Temerloh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu sangat dikesali dan menimbulkan situasi kelam-kabut dalam kalangan penduduk.
“Saya sangat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan berita atau khabar angin berkaitan arahan PKPD di daerah ini.. perkara ini adalah tidak benar sama sekali dan daerah Temerloh masih kekal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti daerah lain di Pahang.
KETUA POLIS DAERAH TEMERLOH, ASISTEN KOMISIONER MOHD YUSRI OTHMAN
“Mungkin penyebaran khabar angin ini disebabkan orang ramai menyaksikan pertambahan jumlah pegawai dan anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal laluan keluar-masuk di sekitar Temerloh, terutamanya di kawasan Taman Temerloh Jaya.
“Sebenarnya pertambahan sekatan itu adalah bagi mengawal pergerakan keluar-masuk dan menghalang orang luar dari kawasan Taman Temerloh Jaya daripada memasuki kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Khabar angin kononnya Taman Temerloh Jaya dikenakan PKPD mula tersebar awal pagi tadi, apabila segelintir penduduk berkongsi gambar sekatan jalan raya dan lorong di kawasan taman perumahan itu melalui aplikasi WhatsApp.
Mohd Yusri menasihatkan orang ramai, terutama penduduk sekitar taman berkenaan mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa serta tidak membuat andaian sendiri.
“Kalau boleh dapatkan maklumat tepat dan jangan berkongsi atau menyebarkan apa saja maklumat yang belum sahih bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua halangan dipasang di sekitar taman perumahan itu akan dikekalkan sehingga 8 Februari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki cedera dipukul dipercayai akibat memarahi seorang remaja yang sering mengganggu anaknya di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini, semalam.
Terdahulu, anak lelaki mangsa berusia 15 tahun menghubungi ibunya yang juga isteri mangsa memberitahu diganggu menyebabkan mangsa turun untuk menyelesaikan masalah itu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 42 tahun didatangi kira-kira 30 lelaki dan berlaku pertengkaran, lapor K! Online
“Suspek kemudian menumbuk muka, memukul mangsa menggunakan besi pengunci stereng dan mengacukan pisau.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai
“Ketua blok yang dimaklumkan kejadian ke lokasi dan kesemua suspek beredar.
Mangsa cedera di rusuk kiri, luka di kepala dan belakang badan akibat terkena pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata, polis yang menerima laporan menjalankan siasatan dan mendapati mangsa ke lokasi kejadian untuk mencari anaknya yang ditahan enam lelaki sebelum berlaku pergaduhan itu.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menahan seorang remaja berusia 15 tahun dan memarahinya kerana sering mengganggu anaknya,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu polis menahan dua lelaki berusia 14 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, seorang suspek direman empat hari manakala suspek remaja dibebaskan dengan jamin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMPOH PEMBINAAN 8 TAHUN, 5 TINGKAT DAN MENGGUNAKAN TENAGA MAHIR DARI 4 NEGARA
SEBUAH rumah agam yang unik terletak di sebelah kanan jalan, Jalan Temerloh- Jerantut di Kuala Krau, jarak kira-kira 30 kilometer dari Plaza Tol Temerloh, sering kali menjadi bualan kepada pengguna laluan itu terutama yang pertama kali melihatnya.
Rumah bak istana itu dimiliki oleh Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad, iaitu anak jati Kuala Krau, Temerloh, dipetik dari BH Online.
KEUNIKAN RUMAH AGAM INI DAPAT DILIHAT PENGGUNA JALAN RAYA LALUAN TEMERLOH-JERANTUT
Rumah yang dibina mengambil masa 8 tahun, setinggi 5 tingkat dibina oleh tenaga mahir dari Bangladesh, Indonesia, Uzbekistan dan warga tempatan.
Rumah agam Datuk Seri Sheikh itu dinamakan Dato’ Syeikh Residences, pengunjung akan disajikan dengan panorama Sungai Pahang dan Gunung Senyum yang terletak di bahagian belakang rumah itu apabila berada di atas bumbungnya.
DATO' SYEIKH RESIDENCES
Di tingkat paling bawah, terdapat sebuah bilik khas yang dijadikan surau kecil, lengkap dengan mihrab iaitu ceruk di bahagian dinding yang menunjukkan arah kiblat, sekali gus memudahkan pengunjung mengerjakan solat.
Datuk Seri Sheikh Nordin yang berdarah campuran Arab dan Cina itu membawa binaan rumah itu dengan konsep atau seni reka yang diilhamkan daripada beberapa bangunan yang terdapat di Asia Barat, Turki, China dan Uzbekistan.
Beliau yang pernah bekerja dan menetap di luar negara bercita-cita memiliki rumah seperti itu apabila pulang ke tanah air, maka timbul idea untuk mengabadikan keindahan seni bina bangunan yang terdapat di negara berkenaan direalisasikan kepada rumah agamnya itu.
Selain itu, keunikan rumah itu menggunakan mozaik dan batu marmar dari luar negara sebagai bahan asas hiasannya, malah kubah yang terdapat di bumbung rumah agam itu diilhamkan daripada bangunan atau masjid di Uzbekistan, Turki dan China.
ANTARA KUBAH YANG TERDAPAT DALAM RUMAH AGAM BERKENAAN
Pengunjung yang berpeluang melawat ke dalam rumah agam itu, bakal kagum dengan setiap tingkat mempunyai rekaannya yang berbeza, begitu juga dengan warna mozaik dan batu marmar berlainan pada setiap sudut.
Bertambah unik, sebuah kubah yang di atasnya didirikan sebuah binaan seperti tengkolok atau tanjak untuk menyuntik elemen Raja Melayu pada rumah agam ini agar seni Melayu tidak ditelan zaman.
ANTARA SUDUT MENARIK YANG TERDAPAT PADA DATO' SYEIKH RESIDENCES
Senibina rumah itu sengaja dibiarkan kosong supaya ia menjadi koleksi dan tatapan umum khususnya kepada generasi muda betapa kayanya tamadun arkitek Islam dan senibina Melayu yang diadunkan dalam satu bumbung.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Wabak COVID-19 sangat memberi kesan terhadap sumber pendapatan semua pihak, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan.
GAMBAR IHSAN BUMI SALJU ENTERPRISE
Tanpa kemahiran bersesuaian dengan keperluan semasa, sudah tentu masalah membabitkan keperluan kewangan bagi menampung kehidupan akan membawa kepada tekanan.
Menyedari isu ini, syarikat Bumi Salju Enterprise menawarkan kursus jangka pendek dalam bidang kemahiran penghawa dingin kepada mereka yang berminat dan masih mencari peluang bekerja sendiri.
GAMBAR IHSAN BUMI SALJU ENTERPRISE
Kursus yang ditawarkan merangkumi kemahiran memasang penghawa dingin, cara untuk servis, memperbaiki kerosakan kecil alat penghawa dingin dan mengetahui teknik atau cara yang betul dalam mengendalikan penghawa dingin untuk kegunaan rumah dan pejabat.
Pihak Bumi Salju Enterprise menyediakan kursus selama tiga hari dan setiap peserta akan diberikan taklimat lengkap secara terperinci mengenai kitaran asas sistem dan komponen asas yang terdapat dalam sistem penyaman udara; jenis bahan digunakan dalam pendingin hawa; pengendalian peralatan dan teknik membengkokkan tiub kuprum.
Peserta juga akan diajar cara pemasangan, pendawaian elektrik untuk pendingin hawa; kerja vacum, mengecas sistem dan mengesan kebocoran pada sistem pendingin hawa.
GAMBAR IHSAN BUMI SALJU ENTERPRISE
Selain itu, syarikat Bumi Salju Enterprise juga akan menyediakan senarai pembekal yang boleh membantu mereka apabila memulakan perniagaan dan perkhidmatan kelak.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kursus berkenaan boleh menghubungi Bumi Salju Enterprise melalui aplikasi WhatsApp di talian :
+6 019-983 8642 En Adnan Bahari atau terus ke pejabat urusan Bumi Salju Enterprise di No 36, Jalan Alor Besar, Kampung Guntong Kelibang, Kerdau, bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sebanyak 26 Loji Rawatan Air (LRA) gagal beroperasi dalam kejadian banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ia berikutan peningkatan paras air sungai yang menenggelamkan LRA dan peralatannya.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Menurutnya, ada LRA gagal beroperasi disebabkan terputus bekalan elektrik dan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang menyebabkan jajaran paip terputus atau pecah.
“Dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan air kepada pengguna, PAIP telah menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat operator air dan pihak badan bukan kerajaan (NGO).
“Antara agensi yang tampil membantu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Ranhill SAJ, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA),” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa, lapor Bernama.
Saiful Zaini berkata, bantuan turut diterima daripada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Bantuan yang dihulurkan itu telah membantu melancarkan usaha yang dijalankan pihak PAIP untuk mempercepatkan agihan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Pihak PAIP turut menerima bekalan air minuman sepanjang tempoh bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya yang turut berharap jalinan kerjasama baik terjalin antara pelbagai pihak dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH : Seramai 30 aktivis pelancongan daripada tujuh negara menyumbangkan bantuan kepada mangsa banjir di sini menerusi Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).
Presiden MTC, Uzaidi Udanis berkata, kesemua aktivis tersebut adalah dari Rusia, China, Kazakhstan, Italy, Dubai, Denmark, dan Rusia.
“Jadi aktivis-aktivis ini rasa terpanggil untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini memandangkan majoriti daripada mereka terjejas teruk.
ANTARA AKTIVIS LUAR NEGARA YANG TAMPIL MENGHULURKAN SUMBANGAN KEPADA PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DI PAHANG
Beliau berkata, Temerloh merupakan antara destinasi pelancongan terpenting negara dan baru-baru ini daerah itu merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka juga telah membantu membersihkan rumah penduduk dan menyumbangkan barang makanan, peralatan dapur, toto, tilam dan bantal.
“Segelintir aktivis tersebut menetap di negara ini, ada berjuga menjalankan perniagaan di sini, berkhidmat dengan kedutaan, bekerja di sini dan sebagainya.
“Mereka terlibat dengan aktiviti pelancongan negara seperti hiking,” katanya di sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berterima kasih kepada aktivis-aktivis tersebut dan MTC yang menguruskan bantuan tersebut.
DATUK SERI MOHD SHARKAR MENERIMA SUMBANGAN DARIPADA KUMPULAN AKTIVIS LUAR NEGARA
“Mereka telah mengumpul barangan tersebut dan bagi kepada penduduk terjejas banjir di sini. Mereka cuba membantu apa yang patut. Kita ucapkan terima kasih,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Penduduk lima buah kampung memohon Menteri Besar Pahang mempertimbang dan mengeluarkan arahan projek pembalakan di kawasan Hutan Simpan Jerantut Tambahan (Kompartmen 1), Mukim Pedah, Jerantut dihentikan serta-merta atau dikaji dan dipindahkan ke tempat lain.
Kawasan yang terjejas dan terlibat dengan projek tersebut memberi kesan berlaku kemusnahan alam sekitar di Kampung Bharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai dan Kampung Sungai Par yang membabitkan seramai kira-kira 1,500 orang penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Pembalakan, Rosmani Md Sharif berkata projek pembalakan itu memusnahkan eko-sistem di kawasan pembalakan itu dengan berlakunya pencemaran air sungai, kerosakan dan hakisan tanah, serta flora dan fauna terjejas di situ.
“Malah, turut memusnahkan habitat haiwan dan unggas untuk berlindung serta menjejaskan sistem saliran yang turut membawa bencana seperti banjir di kawasan sekitar.
“Kami telah membuat bantahan secara bertulis dan telah dihantar kepada pejabat Menteri Besar Pahang dan turut dipanjangkan ke Ke Bawah Duli yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, “ katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, pagi tadi.
Katanya, surat bantahan bertulis itu telah diterima oleh MB Pahang pada September 2020 dan KDYMM Pemangku Raja pada 3 Disember 2020.
“Namun pihak kontraktor telah masuk dan menjalankan kerja awal pembalakan pada 22 Januari 2021, kami terkilan dengan dengan kerja tersebut tanpa mengambil kira pandangan kami bagi pihak penduduk.
“Tiada sebarang perbincangan dengan pihak kami dan tidak pernah menerima sebarang jawapan daripada pejabat MB Pahang berkaitan bantahan yang dibuat,”katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, isu seperti itu telah disampaikan untuk makluman pihak Menteri Besar dengan cara terbaik demi faedah kedua pihak, agar situasi menang-menang boleh diperolehi.
ADUN DAMAK, ZURIDAN MOHD DAUD
“Sebagai wakil rakyat, saya perlu menerima makluman dan rayuan orang ramai khususnya dalam kawasan Damak dan keperluan itu ada asasnya kerana sebagai tempat tadahan hujan dan juga kawasan tarikan pelancong setempat seperti aktiviti mendaki Bukit Panau dan penternakan ikan kolam,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
19 INDIVIDU DAN 5 PREMIS DIKOMPAUN AKIBAT INGKAR PKP
BENTONG: Seramai 19 individu dan lima premis perniagaan dikompaun akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini bermula Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan kompaun itu dibuat selepas individu dan premis terbabit gagal mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.
SEBANYAK 34 SEKATAN JALAN RAYA DIADAKAN DI SELURUH PAHANG SEJAK JUMAAT LALU
“Tindakan kompaun ini diambil selepas kita berpuas hati bahawa mereka telah gagal mengikuti SOP ditetapkan.
“Sepatutnya pelanggaran SOP tidak berlaku kerana kita pernah melalui PKP kali pertama pada bulan Mac tahun lalu dan kebanyakan daripada kita sudah memahami setiap SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Bentong, hari ini.
PENGGUNA JALAN RAYA PERLU MENDAPATKAN SURAT KEBENARAN MERENTAS DAERAH DARIPADA POLIS DIRAJA MALAYSIA BAGI MEMUDAHKAN URUSAN HARIAN MEREKA
Turut bersama beliau, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dan Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.
Mengulas lanjut mengenai jumlah SJR di seluruh Pahang, Mohd Yusri berkata, sebanyak 34 SJR diadakan membabitkan 695 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aspek pematuhan oleh kebanyakan pengguna jalan raya.. sekitar 97 peratus memahami arahan dan mempunyai surat kebenaran rentas daerah atau negeri untuk tujuan kerja atau urusan penting lain.
PEMATUHAN SOP DAN KERJASAMA PENGGUNA JALAN RAYA SANGAT PENTING BAGI MENGELAK DARIPADA DIKENAKAN KOMPAUN
“Sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan empat hari lalu, polis Pahang menerima 2,348 permohonan untuk surat rentas negeri dan daerah dan 2,293 daripadanya diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Jasvir Singh mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada petugas SJR sekitar daerah Bentong.
Katanya, bantuan berupa pelitup muka, pencuci tangan dan lampu picit SJR ini amat penting dan diperlukan.
“Kita akan melihat apa-apa keperluan lain petugas SJR termasuklah tandas bergerak di kawasan yang tiada kemudahan tandas awam,”ujarnya.
Datuk Jasvir Singh Ram Singh-pegawai khas Menteri Besar Pahang
DATUK JASVIR SINGH (KIRI) MENYAMPAIKAN SUMBANGAN DARI PEJABAT MENTERI BESAR PAHANG KEPADA TIMBALAN KETUA POLIS PAHANG, DATUK MOHD YUSRI HASSAN BASRI
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota polis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu mangsa banjir yang melanda Pahang, awal bulan ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!