PERKHIDMATAN LORI SAMPAH TIDAK BEROPERASI 14 HARI DI KUANTAN
KUANTAN: Perkhidmatan sebuah perkhidmatan di Kuantan ditangguhkan selama 14 hari ekoran semua kaki tangan dan pekerja am syarikat itu perlu dikuarantin.
Kluster baharu Kluster IM 3 (Alam Flora) wujud dan kira-kira 600 sampel (massive sampling PCR) akan diambil pada hari ini di Wisma Belia Indera Mahkota mula jam 8.30 hingga 12.30 tengah hari, hari ini.
Kakitangan syarikat perkhidmatan disaring hari ini
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuantan, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-355,719) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 April 2021 hasil saringan individu bergejala.
Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Jalan IM 3/10, Indera Mahkota, Kuantan.
Sehingga 12 April 2021, sejumlah 145 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.
Kepada penduduk sekitar yang terlibat dengan perkhidmatan lori sampah itu diharap mengambil langkah terbaik untuk menghapuskan sampah domestik masing-masing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan bantuan 1,000 unit komputer riba berjumlah RM1.517 juta untuk disumbangkan kepada murid Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu bakal meringankan sedikit kegusaran calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang memerlukan peranti tersebut untuk membuat rujukan dan latihan secara atas talian.
Datuk Seri Wan Rosdy (2 dari kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada Datuk Nazri Ngah (2 dari kiri)
“Kerajaan negeri juga menyerahkan dua unit peranti tersebut kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk disumbangkan kepada murid yang layak di kawasan masing-masing.
“Kerajaan negeri amat mengambil berat berkaitan pendidikan kanak-kanak di bawah JKM sebagai bekalan pendidikan di masa hadapan demi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing,” katanya.
Datuk Seri Mohd.Sharkar Shamsudin (2 dari kiri) turut menerima dari Menteri Besar Pahang (2 dari kanan)
Beliau berkata demikian sebelum mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermula, dengan mengadakan Majlis Gimik Penyerahan Bantuan Komputer Riba kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat di Pejabat Menteri Besar Pahang, hari ini.
Katanya, semoga dengan bantuan komputer riba itu sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada penerima untuk belajar dan digunakan dengan sebaiknya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK SUNGAI PUTAT BAIKI JAMBATAN HAMPIR RUNTUH
MEREKA BERGOTONG ROYONG BAIKI JAMBATAN UNTUK KEMUDAHAN
JERANTUT : Kira-kira 1,000 orang penduduk di tiga buah kampung daerah ini bergotong royong membaiki jambatan kecil di Sungai Beletir, Kampung Sungai Putat dekat Felda Padang Piol yang rosak dan membahayakan keselamatan orang ramai termasuk murid yang berulang alik ke sekolah.
Seorang penduduk Kampung Sungai Putat, Mohd Zain Awang, 50, berkata, jambatan itu merupakan laluan utama penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap ke bandar Jerantut yang telah mengalami kerosakan sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk kampung membina jambatan menggunakan batang kelapa dan pokok hutan
“Jambatan separa konkrit ini mula rosak teruk ketika musim hujan yang berlaku awal bulan ini yang turut mengakibatkan banjir, bahagian bawah lantai jambatan telah pecah dan berlaku mendapan, sekali gus berbahaya kepada kenderaan yang kerap berulang alik ke bandar Jerantut dan murid yang bersekolah di Felda Padang Piol.
“Oleh itu kami mengambil langkah proaktif membaiki jambatan ini, seramai 50 orang penduduk tiga buah kampung ini menyambut awal bulan puasa kali dengan bergotong-royong membaikpulih yang mengambil masa selama dua hari dengan menggunakan batang kelapa dan kayu hutan,” katanya di Kampung Sungai Putat, dekat sini hari ini.
Mohd Zain berkata, walaupun pembinaan ini sebagai sementara, mereka tidak yakin dengan ketahanan jambatan itu yang boleh mengundang bahaya kepada kenderaan muatan penumpang dan hasil kampung seperti kelapa sawit dan getah serta kenderaan berat.
“Beberapa tahun lalu, jambatan itu yang dibina di bawah projek Pembangunan Luar Bandar sehingga rosak teruk selepas dilanda banjir baru-baru ini.
Mengheret batang kelapa dan pokok hutan untuk dijadikan alas lantai jambatan yang hampir runtuh
“Oleh kerana kesukaran untuk penduduk berurusan termasuk menghantar hasil sawit dan getah termasuk untuk urusan harian di bandar Jerantut, kami terpaksa menggunakan jalan alternatif di Kampung Gajah Mati yang sangat jauh serta mengambil masa lama perjalanan,” katanya.
Mohd Zain dan penduduk di situ berharap kerajaan segera membina jambatan konkrit baharu dan kukuh kerana mahukan kemudahan yang selesa seperti di tempat lain untuk memunggah hasil kampung serta anak ke sekolah.
“Kalau berlaku jambatan itu runtuh mungkin penduduk di kampung ini terperangkap dan sukar mendapat bekalan bahan keperluan harian dan sambutan Ramadan dan Aidil Fitri akan menjadi suram,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PASAR RAMADAN BANDAR INDERAPURA SEDIA RUANG BERSOLAT
JERANTUT: Pasar Ramadan berdekatan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru di Jerantut meriah pada hari pertama beroperasi dengan tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.
Pasar Ramadan itu, kira-kira 200 meter panjang diletakkan tali amaran di tengah-tengah bagi menggelakkan pertembungan dan bersentuhan sesama sendiri bagi menjaga penjarakan fizikal.
Beratur dan mengimbas suhu dan aplikasi Mysejahtera sebelum masuk ke pasar Ramadan itu.
Peniaga turut menjaga SOP yang ditetapkan. Pihak berkuasa tempatan turut berada di lokasi dengan pengimbas suhu dan pengimbas aplikasi MySejahtera.
Seorang pengunjung, Azizah Ali berkata, nampaknya semua memberi kerjasama dan turut akur dengan SOP yang ditetapkan.
“Diharap semua perlu kekalkan keadaan mengikut SOP untuk kepentingan bersama, peniaga, pembeli dan semua pengunjung selain memastikan semua yang datang sihat sepenuhnya,”katanya.
Pembeli juadah berpanggang beratur untuk mendapatkan bekalan
Seorang peniaga juadah berpanggang berkata, pembeli pun sangat memahami keadaan dan mereka turut beratur dan tidak berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan.
Khemah bersolat turut disediakan di Pasar Ramadan Bandar Inderapura
Sementara itu yang menariknya di Pasar Ramadan di Bandar Inderapura turut menyediakan khemah bersolat untuk kegunaan pengunjung dan peniaga.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUSAT HOMODIALISIS DAN BALAI BOMBA AKAN DIBINA DI MARAN
MARAN: Sebuah pusat homodialisis berharga RM5 juta dan sebuah balai bomba dan penyelamat (BBP) berharga RM4.5 juta bakal dibina di daerah Maran.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, pusat homodialisis akan memberi kemudahan kepada pengidap penyakit buah pinggang.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib
“Pusat yang bakal dibina di bandar Maran itu akan memberi kemudahan kepada pengidap penyakit ini tanpa perlu pergi ke tempat lain yang memakan masa dan kos perjalanan.
“Selain itu, boleh memberi bantuan kepada golongan kurang mampu khusus kepada B40 yang pastinya menelan belanja yang besar untuk mendapat rawatan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Sesi Townhall – Perancangan Pembangunan Daerah Maran dan Program Malaysia Prihatin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran, hari ini.
Selain itu, sebuah balai bomba turut akan dibina di Kampung Awah, Maran bagi memberi perkhidmatan segera sekiranya berlaku bencana kebakaran dan kecemasan.
Datuk Seri Ismail mendapat penerangan daripada pegawai dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri Pahang, hari ini
“Sebelum ini, apabila berlaku kebakaran terpaksa menunggu bantuan balai bomba dan penyelamat (BBP) dari Bandar Pusat Jengka yang terletak kira-kira 30 kilometer dan BBP Temerloh yang terletak kira-kira 15 km.
“Selain pembinaan di BBP di Kampung Awah turut akan memberi bantuan kecemasan segera untuk keluar dan masuk ke Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), sebelum ini bantuan kecemasan seperti kemalangan dan kecemasan mengambil masa agak lama,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA: Seramai 281 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dijadualkan menerima dos vaksin COVID-19 mereka bermula Khamis ini.
Pengerusi rumah kebajikan itu, Yap Yoke Moey berkata, pihak pengurusan sudah dimaklumkan wakil Pejabat Kesihatan Daerah Bera hujung minggu lalu mengenai perkara itu.
PENGERUSI RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG, YAP YOKE MOEY
“Pemberian dos pertama suntikan vaksin COVID-19 akan diadakan pada Khamis dan Jumaat ini dan penghuni akan dibahagikan kepada dua kumpulan sebelum menerima vaksin mereka.
“Kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan negeri dan keputusan memberikan vaksin kepada kumpulan berisiko yang berada di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang adalah sangat dihargai.
“Pihak pengurusan berharap tidak ada lagi laporan mengenai kes positif direkodkan di sini selepas proses pemberian vaksin selesai dilaksanakan,” katanya.
RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG
Yoke Moey turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua waris penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak pengurusan, terutamanya membabitkan urusan melawat penghuni bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin.
Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dengan menghantar wakil melawat rumah kebajikan berkenaan baru-baru ini bagi melihat sendiri langkah pematuhan SOP yang dilakukan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Golongan peniaga khususnya anak muda di kawasan jauh dari bandar terutama di Pantai Timur, harus mempersiapkan diri daripada sekarang untuk meningkatkan ilmu keusahawanan supaya lebih berdaya saing.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu penting kerana kawasan-kawasan terbabit dijangka berdepan dengan ledakan ekonomi apabila siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Disember 2026 nanti.
“Walaupun projek ECRL masih mempunyai masa panjang iaitu sekitar empat ke lima tahun untuk disiapkan, usahawan muda harus bersiap sedia daripada sekarang untuk menghadapi ledakan ekonomi baharu atau a big game changer.
“Tanpa daya usahawan yang tinggi, meskipun peluang perniagaan lebih terbuka tapi pengisiannya nanti orang luar yang ambil, bukan masyarakat setempat di Pantai Timur disebabkan mereka belum bersedia,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf di Felda Bukit Sagu 3 dekat sini, semalam.
Seramai 14 peserta menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang itu.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, antara langkah yang boleh diambil golongan usahawan terbabit ialah menghasilkan produk unik contohnya hasil kraf yang menampilkan ciri-ciri setempat.
“Di kawasan Parlimen Paya Besar ini sendiri banyak sekali produk yang boleh dihasilkan. Contohnya di Sungai Lembing yang kaya dengan produk pelancongan, mungkin boleh buat produk berkaitan lombong bijih timah atau di produk batik dengan motif sagu di Bukit Sagu ini.
“Itu sebabnya Kementerian Kewangan hari ini turun ke bawah untuk memberi sokongan dan dorongan berasaskan pakej-pakej ekonomi yang sudah dilancarkan supaya ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat pertengahan, malah masyarakat di kampung-kampung yang jauh dari bandar,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pahang membenarkan umat Islam menunaikan solat sunat terawih 20 rakaat dan tiga witir di semua masjid dan surau sepanjang Ramadan pada tahun ini.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, kebenaran itu dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Fatwa Hukum Syarak negeri.
“Perkara ini sudah mendapat perkenan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.
“Jadi, imam di masjid dan surau boleh berbuat demikian kerana kebenaran sudah diberikan, tetapi masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Pahang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kerajaan Pahang sebelum ini sudah mengeluarkan garis panduan bagi solat sunat terawih dan aktiviti masjid sepanjang Ramadan ini.
DATUK SERI DR ABDUL RAHMAN OSMAN
Tempoh ibadah yang bermula dengan solat Isyak berjemaah hingga solat sunat witir dan doa itu bagaimanapun ditetapkan sehingga jam 10 malam sahaja.
Mengulas mengenai tempoh ibadah ditetapkan kerajaan negeri, Abdul Rahman berkata, jika tidak sempurnakan 20 rakaat dalam tempoh ditetapkan, bakinya boleh ditunaikan di kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, beliau meminta agar imam masjid dan surau mengekalkan solat sunat tarawih seperti yang sudah ditetapkan.
“Kita hanya galakkan begitu, tapi kalau ada (jemaah) yang hendak balik ke rumah selepas selesai lapan rakaat (solat terawih), tidak ada masalah.
“Jemaah boleh melakukan ibadah itu di rumah mereka masing-masing,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Petua untuk menguatkan sesuatu organisasi itu memerlukan kesetiaan dan rasa hormat yang tinggi kepada pemimpin sebagai kunci kejayaan dan kekuatan serta memberi kestabilan pentadbiran yang mantap.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan negeri Pahang adalah sebuah kerajaan yang paling stabil di bawah Barisan Nasional (BN) dengan kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin
“Bila semua rasa hormat dan setia kepada kepimpinan, maka kestabilan yang jitu membolehkan semua bahagian dapat memainkan peranan yang baik demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Begitu juga semua sayap UMNO seperti, wanita, pemuda dan puteri perlu memainkan peranan meningkatkan keberhasilan dalam menjalankan tugasan masing-masing seperti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Sukan UMNO Bahagian UMNO Jerantut, di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, di sini, malam tadi.
Ketua Bahagian UMNO Maran itu berkata, program yang dirancang perlu sampai ke peringkat sasaran agar nampak tersusun dan sistematik, tahniah kepada jawatan kuasa yang menjalankan tugas di bawah kepimpinan ketua bahagian UMNO Bahagian Jerantut.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, program karnival yang diadakan sebagai medan di lapangan dan latihan kepada semua sayap menangani tugasan yang diberi dengan rasa tanggung jawab.
‘Saya berpuas hati, semua dapat menjalankan tugas dan perancangan dengan baik dan kejayaan ini mencerminkan semua pihak tahu akan tugas masing-masing dan rasa kesetiaan yang terbaik,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah
Sementara itu, sebanyak 24 pasukan bola sepak 9 sebelah dan 28 pasukan bola jaring telah berentap merebut kejuaraan dalam bidang sukan masing-masing.
Pasukan bola sepak Rosa Ex-Putar FC ( Pulau Tawar) muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000; manakala pasukan bola jaring Gelanggi NC mengungguli kejuaran dengan memenangi wang tunai RM2,000.
Pertandingan nyanyian solo pula disertai 28 penyanyi untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM4,300 serta trofi dan hamper.
Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, program seperti ini sebagai mengukuhkan siratulrahim sesama jawatankuasa dan masyarakat setempat .
“Semangat setiakawan seperti ini perlu ada untuk memudahkan perjalanan perancangan apa jua program yang dijalankan, sukar kalau tiada kerjasama sesama kita,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANAK ORANG ASLI SUKU KAUM BATEQ TERCICIR PERSEKOLAHAN
KIRA-KIRA 30 ORANG KANAK-KANAK TIDAK KE SEKOLAH EKORAN KEMISKINAN
JERANTUT: Kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Atok, berdekatan Kuala Tahan dekat sini tercicir daripada mengikuti sesi persekolahan kerana tiada kemudahan pengangkutan dan sumber kewangan akibat kemiskinan.
Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim mendedahkan ketika beliau menghantar barang keperluan dapur, pakaian dan peralatan sistem solar sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kampung tersebut baru-baru ini.
Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim
Katanya, kira-kira 30 kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 13 tahun yang sepatutnya bersekolah, tercicir untuk mengikuti pelajaran seperti kanak-kanak Orang Asli di tempat lain kerana kemiskinan.
“Tok Batin Kampung Kuala Atok, Tenggalan a/l Dayak, berhasrat penduduk Orang Asli di sini mahukan anak-anak mereka mendapat pelajaran kerana mereka sedar kepentingan pelajaran untuk kehidupan pada masa akan datang.
“Tok Batin di sini mahu kerajaan menyediakan kemudahan seperti pengangkutan bot penambang dan pakaian seragam serta keperluan lain untuk memenuhi keperluan pendidikan anak Orang Asli di sini belajar agar dapat menulis, mengira dan membaca,” katanya di Kampung Kuala Atok dekat sini, baru-baru ini.
Beliau sebagai penghubung antara NGO luar dengan penduduk Orang Asli Taman Negara dan Hulu Tembeling memberikan bantuan barang keperluan dapur, kain batik dan kain pelikat sumbangan pertubuhan Kechara Food Kitchen, Kuala Lumpur, manakala sebanyak enam buah peralatan solar bantuan Ecomy kepada 24 buah keluarga penduduk tersebut.
Katanya, Kampung Kuala Atok berdekatan dengan Kampung Merting yang mempunyai sebuah sekolah rendah cuma 30 minit menaiki bot penambang Sungai Tembeling bagi kemudahan kanak-kanak mengikuti pelajaran di situ.
“Tok Batin Tenggalan juga memohon pihak kerajaan menghantar guru dari sekolah berdekatan ke kampung ini untuk mengajar anak Orang Asli dua atau tiga kali seminggu sebagai permulaan sebelum usaha membawa kanak-kanak ini ke sekolah berdekatan,” katanya.
“Saya dan rakan sukarelawan BGTN Kuala Tahan serta NGO luar boleh membantu dari segi motivasi dan kemudahan peringkat awal untuk merealisasikan impian kanak-kanak ini mengikuti pelajaran tanpa membiarkan mereka terus tercicir,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!