MARAN – Sebuah rumah separuh kekal di Jalan Jengka 7, Maran musnah dalam kebakaran petang semalam, hanya dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.14 petang itu, rumah berkeluasan 40 kaki x 80 kaki itu terbakar hampir 80 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander operasi, PBK, Nor Dzaini bin Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum mengerahkan anggota dan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka.
Komander operasi lapor PPgB Mohd Zulkifli bin Mohd Zainal turut hadir di lokasi bagi meninjau keadaan dan membantu dalam operasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 6.48 petang dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozle, satu aliran hos 100 kaki dengan satu nozle serta dua aliran hos salur bantu mula dari tangki pam jentera bomba. Kami juga menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya.
Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Maran yang menghantar enam anggota bersama satu jentera FRT ke lokasi kejadian.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.02 malam, namun kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
JBPM mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik dan api terbuka, terutama menjelang musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dzul Azrul Azhar Ucap Selamat Hari Raya, Hargai Sokongan Rakyat Temerloh
TEMERLOH: Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Temerloh sambil menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada beliau dan perjuangan parti.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dzul Azrul menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama masyarakat setempat setelah melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga Temerloh, khususnya ahli dan penyokong PKR. Semoga lebaran kali ini membawa kebahagiaan serta mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau juga mengajak rakyat untuk terus mengekalkan semangat perpaduan dan kesederhanaan dalam menyambut perayaan ini.
“Di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, jangan kita lupakan mereka yang kurang bernasib baik. Marilah kita bersama-sama berkongsi rezeki dan memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan dalam meraikan Syawal ini,” katanya lagi.
Sebagai calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul turut menegaskan komitmennya dalam membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi serta memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan, saya berjanji akan terus bekerja keras dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Temerloh. Marilah kita bersama-sama membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan maju,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya ketika pulang ke kampung halaman dan menjaga kesihatan sepanjang musim perayaan ini.
“Semoga perjalanan anda semua selamat dan dapat meraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANAK PERANTAU TEMERLOH, SELAMAT PULANG BERHARI RAYA!
TEMERLOH– Suasana Aidilfitri semakin terasa apabila anak-anak perantau mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama keluarga.
Bagi mereka yang bakal memandu sendiri, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan patuhi peraturan jalan raya. Jangan gopoh, kerana keluarga di kampung sudah tidak sabar menanti kepulangan anda.
Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat pulang kepada semua anak perantau Temerloh.
Beliau mendoakan agar perjalanan mereka selamat dan diberkati serta berharap kemeriahan Aidilfitri dapat menyatukan seluruh keluarga. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua agar mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Bagi yang menggunakan pengangkutan awam pula, elakkan tidur terlalu lena dalam perjalanan. Takut nanti terlepas stesen, melepas pula peluang untuk beraya bersama keluarga tersayang. Rancang perjalanan dengan baik supaya dapat menikmati perayaan ini tanpa sebarang kesulitan.
Dzul Azrul yang juga Ketua Biro Keusahawanan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan bahawa semangat perpaduan dalam masyarakat amat penting, bukan hanya dalam politik, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Dengan kepulangan ribuan perantau, Temerloh bakal kembali meriah dengan suasana raya yang penuh nostalgia. Semoga perjalanan semua anak perantau dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi masing-masing.-SAHIH
Teruskan mengikuti perkembangan terkini di platform media sosial:
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ketua Cabang PKR Temerloh Ziarah Anak Muda Hidap Cerebral Palsy
TEMERLOH – Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Dzul Azrul Azhar, meluangkan masa menziarahi seorang anak muda berusia 27 tahun yang menghidap penyakit Cerebral Palsy sejak lahir dalam program Ziarah Prihatin di Kampung Kenangan, di sini.
Menurut Dzul Azrul, pemuda tersebut sudah lama dikenali penduduk setempat, dan kehadirannya bukan sekadar lawatan, tetapi satu tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Saya sempat menziarahi anak muda ini yang telah berjuang dengan penyakitnya sejak lahir. Kehidupan yang dilalui pastinya penuh cabaran, dan saya percaya kita semua perlu mengambil iktibar serta bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Tambahnya, beliau amat menghargai semangat keluarga pemuda berkenaan yang tetap tabah menjaga dan memberi sokongan tanpa jemu.
“Kita perlu pastikan kebajikan golongan istimewa seperti ini terus diberi perhatian. Saya menyeru agar lebih ramai tampil menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk,” ujarnya.
Lawatan tersebut mendapat perhatian ramai apabila penduduk Kampung Kenangan berkongsi pengalaman mengenali pemuda itu sejak kecil. Rata-rata menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Dzul Azrul dan berharap lebih ramai pemimpin serta masyarakat cakna terhadap golongan kurang upaya.
Program Ziarah Prihatin merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dibawa oleh Dzul Azrul dalam usaha mendekati masyarakat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BELI LUAR KEMAMPUAN, BELI DAHULU BAYAR KEMUDIAN CEKEK DARAH!
Pembelian secara ansuran melalui kaedah ‘Beli Dahulu, Bayar Kemudian’ (BNPL) boleh membawa membawa risiko hutang yang boleh membebankan jika tidak diurus dengan baik.
Hari ini, BNPL semakin popular dalam kalangan rakyat kerana ia membolehkan pembelian dilakukan tanpa perlu membayar jumlah penuh serta-merta. Pembeli hanya perlu membuat bayaran kecil secara ansuran bulanan, menjadikannya kelihatan lebih ‘ringan’ di dompet
Namun, kajian menunjukkan penggunaan BNPL tidak terkawal boleh membawa kepada hutang berpanjangan. Statistik menunjukkan jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, iaitu kenaikan lebih 44 peratus berbanding separuh pertama tahun sama.
Menurut Kementerian Kewangan, terdapat lebih 5.1 juta pengguna BNPL masih aktif sehingga penghujung 2024, dengan majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun serta berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
Walaupun ramai menganggap kaedah ini sebagai penyelesaian mudah dalam pembelian, hakikatnya sekitar 40 peratus pengguna BNPL menghadapi kesukaran membayar ansuran, menyebabkan mereka dikenakan caj penalti sekali gus menambah beban kewangan.
Pelbagai platform BNPL popular di Malaysia. Walaupun kebanyakan platform ini menawarkan ansuran tanpa faedah dalam tempoh tertentu, kegagalan membuat pembayaran mengikut jadual boleh membawa risiko besar seperti dikenakan caj RM10 jika lewat membayar dan ada akaun disekat sekiranya hutang tidak dilunas.
Ini menunjukkan walaupun BNPL kelihatan mudah dan fleksibel, ia tetap mempunyai risiko kewangan yang boleh membebankan pengguna sekiranya tidak digunakan dengan bijak.
Salah satu risiko utama BNPL ialah perbelanjaan yang melebihi kemampuan kewangan. Oleh kerana pengguna tidak perlu membayar jumlah penuh ketika membuat pembelian, mereka lebih cenderung membeli barangan yang sebenarnya di luar kemampuan sekiranya dibayar secara tunai.
Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan hutang yang membebankan serta tekanan kewangan, terutama selepas musim perayaan. Selain itu, caj penalti dan kadar faedah tersembunyi dikenakan akibat kelewatan pembayaran boleh menjadikan jumlah hutang BNPL jauh lebih tinggi daripada jangkaan asal.-SAHIH.
Sumber asal : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENUNGGANG MAUT LANGGAR LEMBU DI JALAN FELDA BUKIT KEPAYANG
BERA – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar seekor lembu di Jalan Felda Bukit Kepayang, lewat malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa, Muhammad Hafiz Bin Khairi, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Bera menuju ke Felda Bukit Kepayang sebelum motosikalnya melanggar lembu yang melintas secara tiba-tiba. Perlanggaran itu menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus dengan sistem satu lorong dua hala serta garisan berkembar di tengah sebagai pembahagi. Bagaimanapun, tahap pencahayaan di kawasan tersebut gelap tanpa lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat yang dijadualkan pada pagi ini.
Mangsa yang merupakan seorang pembantu restoran itu mempunyai lesen memandu yang sah, dan motosikalnya dilaporkan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat impak pelanggaran.
Menurut Zulkiflee, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis juga sedang mengesan saksi bebas yang mungkin menyaksikan kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang sering menjadi laluan haiwan ternakan, terutama pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Rekabentuk sebuah rumah kampung menjadi elemen penting kesenian Melayu dalam persediaan dan persiapan membina Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 yang diletakkan di perkarangan Taman I-City, Jerantut, dekat sini.
Tujuan utama elemen ini diketengahkan agar menyedarkan masyarakat setempat tentang adat seni budaya dan falsafahnya yang kian pudar selain dapat mengimbau kenangan bagaimana masyarakat dahulu membuat persediaan menyambut raya seadanya tetapi meriah.
Yang DIpertua Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Sharuddin Jali berkata, penyediaan Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 itu sangat menitik beratkan elemen seni yang terdapat di rumah kampung zaman dahulu dengan mempamerkan persekitaran rumah itu dengan pelbagai elemen.
Rumah Pelita Raya 2025 Jerantut dihiasi lampu
“Di laman rumah terdapat alat lesung kaki untuk menumbuk padi menggunakan kaki sebelum mesin padi seperti sekarang digunakan sebagai lambang penduduk yang mengerjakan sawah padi sebagai makanan utama masyarakat.
“Selain itu, turut mempamerkan tempayan untuk membasuh kaki yang diletakkan di tepi tangga sebelum naik ke rumah menunjukkan bertapa kebersihan diutamakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, terdapat juga telaga yang memang sinonim di rumah kampung dan pagar buluh turut digunakan untuk mengelilingi rumah atau kebun, malah buluh bukan sahaja tahan lasak tetapi juga mempunyai nilai seni dalam corak susunannya dalam pembinaannya.
“Menariknya, reban ayam atau serkap ayam turut terdapat di sekitar rumah kampung kerana masyarakat kampung dahulu turut memelihara ternakan seperti ayam, itik, kambing atau lembu kerana menjadi penting dalam kehidupan desa untuk sumber makanan dan jualan.
“Pembinaan rumah kampung Pelita Raya 2025 tidak meminggirkan anjung rumah iaitu kawasan separa terbuka di rumah tradisional untuk berehat atau menerima tetamu dan dihiasai seni bina Melayu sering menghiasi anjung dengan ukiran kayu dan reka bentuk yang berfungsi untuk pengudaraan,” katanya.
Kakitangtan MDJ bergambar kenangan di hadapan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ
Beliau menambah, meriam buluh yang menjadi alat permainan penduduk kampung khususnya remaja dengan menggunakan karbait dan diisi air untuk menghasilkan bunyi dentuman kuat, selalunya dimainkan di waktu malam menjelang sambutan hari raya.
“Lampu Panjut dipasang di sekitar laman rumah terutama menjelang seminggu sambutan hari raya yang turut digelar ‘lampu tujuh likor’ dan diperbuat daripada buluh atau tin berisi minyak tanah.
“Walaupun Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu tidak menjadi keutamaan di rumah kampung, oleh kerana hidupan ini terdapat di dalam hutan di daerah ini, pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mengambilnya sebagai satu simbol yang turut menjadi kebanggaan daerah ini turut dipamerkan di laman rumah ini,” katanya.
Katanya, pembinaan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ, halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung dengan meletakkan kolam ikan.
Pegawai Unit Pelancongan MDJ, Yusliza Mat Yunus berkata, susunan dan binaan di Rumah Pelita Raya 2025 sangat teliti, sebelum membina pihak MDJ berbincang dan meneliti daripada gambar-gambar rumah kampung agar pembinaannya tidak mahu terlepas elemen penting itu.
“Antaranya, membina kolam ikan mini di halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung.
“Setelah melihat senibina dengan dihiasi pelita di laman rumah itu, terkenang pula saya semasa zaman kanak-kanak yang berlari riang di sekitar rumah malah sekeliling kampung rumah sanak saudara berdekatan.
“Kalau tiada pelita dipasang di sekitar rumah dan laluan ke rumah makcik, pakcik pasti takut kerena gelap, tetapi apabila lampu pelita dipasang, menjadi meriah dan kami sekumpulan kanak-kanak ‘berarak’ dari rumah ke rumah sanak saudara tanda rasa takut kerana terang benderang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
AFA PRIME Perkenal Langkah Pengurusan Trafik di KLK dan LPT1 Sempena Aidilfitri
KUALA LUMPUR – AFA PRIME Berhad mengumumkan langkah pengurusan trafik dan keselamatan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bagi menghadapi lonjakan jumlah kenderaan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Menurut kenyataan syarikat itu, trafik harian di KLK dijangka meningkat sebanyak 70 peratus kepada 187,000 kenderaan sehari, manakala LPT1 bakal mencatatkan lonjakan sebanyak 83 peratus kepada 75,000 kenderaan dalam tempoh 27 Mac hingga 6 April ini.
Bagi memastikan perjalanan lebih lancar, AFA PRIME Berhad akan menambah tenaga kerja bahagian tol dan trafik sebanyak 21 peratus. Selain itu, pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV), anggota RELA serta perkhidmatan kecemasan 24 jam turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang lebuh raya.
Perjalanan Lebih Lancar dan Selamat
Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad, Datin Radzimah Mohd Radzi berkata, langkah ini bertujuan memastikan pengguna lebuh raya dapat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa dan selamat.
“Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk bersama keluarga, dan kami komited memastikan perjalanan pulang kampung berjalan lancar serta bebas kebimbangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kemudahan di sepanjang KLK dan LPT1 turut dipertingkatkan. Kawasan rehat tertentu akan dilengkapi dengan tandas mudah alih, tempat letak kenderaan tambahan, serta kakitangan pembersihan yang lebih ramai. Semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya juga akan beroperasi 24 jam bagi memenuhi keperluan pengguna.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat, AFA PRIME Berhad dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) akan mengagihkan 2,000 pek iftar kepada pengguna lebuh raya di Plaza Tol Gombak pada 27 Mac.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kemas kini trafik serta bantuan kecemasan dengan menghubungi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau mengikuti media sosial rasmi syarikat itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
“Felda Diberi Tempoh Sebulan: Anwar Mahu Transformasi Segera!”
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan tempoh sebulan kepada pengurusan Felda untuk membentangkan hala tuju baharu bagi memastikan badan berkanun itu kekal relevan dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Beliau menegaskan bahawa Felda tidak boleh lagi bergantung kepada model operasi sedia ada dan perlu segera melakukan perubahan drastik.
“Saya beri tempoh satu bulan untuk pengurusan kemukakan hala tuju baharu. Ini penting supaya ratusan ribu peneroka kita mendapat keyakinan bahawa perubahan besar akan berlaku,” katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama peneroka Felda semalam.
Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan menyuntik hampir RM1 bilion setiap tahun ke dalam Felda dan justeru itu, satu reformasi menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan Felda kembali kukuh serta mampu berdikari tanpa kebergantungan penuh kepada kerajaan.
Menurut beliau, keseluruhan jentera kerajaan termasuk sektor kewangan perlu bekerjasama untuk menjayakan transformasi ini.
Malah, koperasi serta anak syarikat Felda seperti FGV Holdings Bhd juga perlu bergerak seiring dalam usaha ini.
“Kita kerahkan semua sumber yang ada supaya Felda, koperasi dan FGV berada di landasan yang sama dengan satu matlamat – memperkasakan peneroka dan menjamin masa depan mereka,” ujarnya lagi.
Laporan Ketua Audit Negara 2022 menunjukkan Felda mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion, meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM545 juta pada tahun sebelumnya.
Badan itu juga masih berhutang RM8.66 bilion kepada institusi luar, menandakan keperluan segera untuk perubahan struktur dan operasi.
Kerajaan berharap dengan hala tuju baharu ini, Felda mampu beroperasi dengan lebih efisien tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan dari Putrajaya.
Dengan tempoh sebulan yang diberikan, semua mata kini tertumpu kepada pengurusan Felda – mampukah mereka tampil dengan pelan yang benar-benar dapat mengubah nasib peneroka?-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO Tumpu Kukuhkan Kerjasama Dengan PH, Belum Bincang Penyatuan Dengan PN
TEMERLOH – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti, termasuk kerjasama dengan mana-mana pihak, perlu dirujuk dan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurut beliau, setakat ini, UMNO masih belum membincangkan soal kerjasama dengan PAS dan Bersatu, sebaliknya parti lebih cenderung untuk meneruskan gabungan sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH).
“Apa sahaja keputusan, kita kena rujuk pada MKT. Setakat ini, kita tidak berbincang tentang kerjasama dengan PAS dan Bersatu. Kita hanya maklumkan bahawa kita ingin meneruskan kerjasama yang ada dengan PH,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Ukhwah Madani bagi Parlimen Temerloh di Hotel Apsara , di Temerloh , semalam.
Beliau menjelaskan bahawa dalam konteks pilihan raya, gabungan parti yang ada ketika ini sudah mempunyai sasaran pengundi masing-masing.
“Di Pahang, misalnya, jika kita bekerjasama dengan PN, 17 kerusi yang dimenangi PAS dan Bersatu tidak akan diberikan kepada UMNO. Sedangkan itu juga adalah kawasan pengundi Melayu. Manakala, DAP menguruskan kawasan bukan Melayu, PKR lebih kepada bandar, dan UMNO di luar bandar,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Mohd Sharkar turut merasmikan penamaan dewan hotel sebagai Dewan Tan Sri Sabbaruddin Chik, sebagai penghormatan kepada tokoh tersebut.
Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menyatakan UMNO masih mempunyai peluang untuk bergabung dengan PN, Mohd Sharkar mengucapkan terima kasih atas pelawaan itu tetapi menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu diputuskan di peringkat tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kami ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah atas pelawaan tersebut. Namun, perkara ini perlu dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. Apa pun, kita perlu melihat sama ada ia menguntungkan BN atau sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan antara UMNO dan PH, bukan sahaja di peringkat pusat dan negeri tetapi juga di akar umbi.
“Setakat ini hubungan dengan PH berjalan baik, tetapi kita perlu memperkemaskan lagi di semua peringkat agar lebih mantap,” ujarnya.
Majlis berbuka puasa Anjuran Hotel Aspara dengan kerjasama Sekretariat NGO MADANI, turut hadiri Dato’ Sri Vijay, pemimpin negeri dan setempat itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada anak yatim sebagai inisiatif memperkukuhkan ukhuwah dalam komuniti setempat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!