KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis ditahan kerana disyaki menipu, kononnya boleh menawarkan bantuan menyelesaikan saman trafik seorang pemandu lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata anggota polis trafik berusia 45 tahun itu ditahan jam 7.30 petang di IPD Petaling Jaya tidak lama selepas polis menerima laporan daripada mangsa, semalam.
Beliau berkata, kejadian bermula pada 17 September lalu apabila pemandu lori berumur 46 tahun membuat semakan di IPD Petaling Jaya dan mendapati anaknya mempunyai saman tertunggak berjumlah RM1,120.
“Ketika mangsa masih di kaunter bahagian trafik, mangsa ditegur suspek yang menawarkan (tunggakan) saman itu diselesaikan dengan bayaran RM500.
“Suspek mendakwa kononnya dia mempunyai rakan di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang boleh membantu bagi pengurangan saman berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Nik Ezanee berkata, pemandu lori itu memindahkan RM500 ke akaun suspek yang berjanji menyelesaikan saman itu dalam masa tiga hari, namun ia masih tidak diselesaikan sehingga laporan polis dibuat semalam.
Katanya, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, selepas menjalani ujian air kencing semasa ditahan, dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya membuat pembayaran saman hanya di kaunter Trafik COPS di seluruh negara, dan mendapatkan resit bagi setiap pembayaran.
BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Mengambil masa kira-kira empat tahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), usaha syarikat Jupiter Solutions dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menghasilkan peralatan mewarna mesra alam akhirnya berjaya dipasarkan.
Pengarah Urusan syarikat itu, Zamihan Izam berkata, kolaborasi bersama LGM itu juga membuka ruang kepada lebih ramai ahli persatuan Usahawan Bumiputera Industri Getah (UBIG) menceburi bidang perniagaan berteknologi tinggi.
“Produk ini adalah yang pertama di Malaysia dan baharu saja memasuki pasaran… peralatan mewarna ini dihasilkan dengan bahan utamanya ialah susu getah asli dan tidak mengandungi campuran sintetik serta bahan kimia.
“Kelebihannya pula, warna dihasilkan pada lukisan menggunakan kertas atau kanvas (kain) kekal lebih lama, payah untuk pudar dan tidak mudah rosak berbanding menggunakan peralatan mewarna lain.
“Harga pengenalan produk ini juga amat berpatutan… cuma RM19.90 untuk setiap set dan setakat ini kita mengutamakan pemasaran di pusat pengajian tinggi yang mempunyai pelajar jurusan seni lukis,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, terdapat kira-kira 20 usahawan industri getah yang aktif menghasilkan pelbagai jenis produk berkualiti di seluruh negara.
“Mereka ini mendapat bantuan dan kerjasama LGM bagi tujuan R&D… selepas produk berjaya dihasilkan, kita akan terus membantu mereka dengan memberi bimbingan untuk mengkomersialkan produk berkenaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti atau kolej di seluruh negara, yang dijadualkan bulan hadapan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua universiti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi proses kemasukan itu.
“Saya percaya, semua universiti sedang menyiapkan SOP untuk menerima pendaftaran kemasukan pelajar mulai bulan depan.
“KPT juga sentiasa menerima pandangan dan mendengar arahan dari Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kalau KKM mengatakan ia patut ditunda, kita akan mengikut arahan tetapi setakat ini belum ada,” katanya ketika ditanya sama ada kemungkinan kemasukan pelajar ke IPT akan ditangguhkan berikutan peningkatan COVID-19, terutama di Sabah.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran UiTM Prihatin di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA Shah Alam, di sini.
Noraini berkata, Sabah juga setakat ini, tiada arahan penangguhan.
“Di Sabah, bukan semua tempat adalah zon merah, seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Kota Kinabalu, itu bukan Zon Merah.
“Sama juga dengan Kolej Komuniti, setakat ini belum ada apa-apa arahan diberikan oleh pihak kolej berkenaan mengenai penangguhan, setakat ini belum ada lagi,” katanya.
Beliau berkata, bagi pendaftaran kemasukan pelajar, setiap universiti atau kolej melaksanakannya secara berperingkat, malah tarikhnya tidak semestinya sama di antara satu sama lain.
“Sekarang ini perbincangan awal sudah dibuat di peringkat universiti masing-masing dan sebenarnya pelajar-pelajar sudah mula masuk sejak Julai tempoh hari dan dibuat secara berperingkat.
“Insya Allah, kalau mengikut SOP ditetapkan kita boleh elak semua gejala tidak diingini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kementerian Pendidikan sedang dalam proses melengkapkan kemudahan solar hibrid di 127 sekolah luar bandar di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahya berkata proses pertukaran dari sistem grid talian elektrik kepada genset dan selepas ini solar hibrid bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di sekolah pedalaman di negeri berkenaan.
“Perkara ini sudah dimulakan dan kita sebelum ini mendapat kerjasama daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk proses peralihan dari sistem grid kepada genset… selepas ini, kita tumpukan kepada sistem (solar) hibrid.
“Begitu juga di Sabah, Kementerian Pendidikan turut memberikan perhatian khusus bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah kategori luar bandar… ini kita lakukan dengan bantuan Sabah Electric Sdn Bhd (SESB),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, di sini, petang tadi.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang juga Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerja naik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, Muslimin berkata setakat ini kira-kira 50 peratus daripada lebih 1,000 sekolah dikenal pasti, sudah mendapat manfaat daripada program naik taraf berkenaan.
Katanya, lebih banyak lagi sekolah daif dan berada di kawasan pedalaman akan turut dinaiktaraf jika mendapat peruntukan mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan melalui pembentangan Bajet 2021 yang dijadualkan 6 November ini.
“Kita harap semua kerja naik taraf ini dapat diselesaikan segera, seperti dijadualkan ” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Pelbagai kaum di negeri ini menunjukkan semangat perpaduan apabila turut sama mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan payung negara.
Masyarakat Sikh di negeri ini tidak terkecuali mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong melalui kepercayaan agama masing-masing.
Pegawai Khas Menteri Besar mewakili kaum Sikh, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, masyarakat Sikh berkumpul di Gudwara Sahib Bentong hari ini bagi mendoakan kesejahteraan Baginda.
“Kaum Sikh di negeri ini mendoakan kesejahteraan Yang di-PertuanAgong yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Kita berharap Yang di-Pertuan Agong cepat sembuh dan terus memayungi negara ke arah kesejahteraan masyarakat berbilang kaum,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Jasvir masyarakat Sikh di seluruh negeri akan terus mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong.
Kelmarin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke Wad Diraja, Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memberitahu Seri Paduka yang berada di IJN sejak semalam kini dipantau oleh doktor dan berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANCITY, LIVERPOOL TERUSKAN KEMARAAN SAINGAN PIALA LIGA
City tampil sebagai juara bertahan dan sudah memenangi saingan itu sejak tiga tahun lalu tetapi pengurus, Pep Guardiola mengakui dia terpaksa menyenaraikan pemain muda bagi memberi keutamaan terhadap kempen Liga Perdana Inggeris susulan persiapan pra musim yang singkat dan beberapa pemain disahkan positif COVID-19.
LONDON: Phile Foden muncul wira Manchester City apabila meledak gol kemenangan bagi mengatasi Bournemouth 2-1 dan mara ke pusingan keempat Piala Liga, manakala Liverpool berpesta gol menewaskan Lincoln 7-2, awal pagi tadi.
Liam Delap iaitu anak kepada bekas pemain tengah Stoke City, Rory Delap hanya memerlukan 18 minit bagi menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama skuad utama selepas mendapat hantaran daripada Foden.
“Dia adalah penyerang yang berbeza daripada apa yang kami miliki dari aspek fizikal. Kami dapat lihat ketika latihan, dia mempunyai sentuhan penyudah yang sangat baik,” kata Guardiola mengulas mengenai pemain berusia 17 tahun itu.
Bagaimanapun, jaringan pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit apabila pemain Bournemouth, Sam Sturridge berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Guardiola memasukkan dua bintang utamanya, Kevin de Bruye dan Raheem Sterling pada babak kedua perlawanan tetapi Foden menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75.
Anak buah Guardiola akan berkunjung ke Burnley untuk aksi pusingan 16 terbaik.
Sementara itu, Liverpool akan berdepan Arsenal sebanyak dua kali di Anfield dalam tempoh tiga hari ini, minggu depan selepas anak buah Jurgen Klopp menewaskan Lincoln dengan Takumi Minamino dan Curtis meledak dua gol.
“Semua pemain menggunakan peluang malam ini (awal pagi tadi) bagi membuktikan kemampuan masing-masing. Itu sangat penting.
Kita dapat lihat siapa yang menunjukkan kesungguhan malam ini dan banyak perkara yang saya suka, kita dapat lihat malam ini. Hanya dengan itu, anda akan mendapat peluang beraksi dalam banyak perlawanan musim ini,” kata Klopp.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Semua sekolah berasrama dikehendaki mengikut Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (GPPPSS) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya
Pentadbiran sekolah yang mempunyai asrama menerima keluhan ibu bapa dan penjaga berkaitan anak mereka yang tinggal di asrama sejak sambutan Hari Raya Aidil Adha sehingga hari ini masih tidak dibenarkan pulang ke rumah seperti jadual hujung minggu yang biasa diamalkan.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya, berkata pihak sekolah mempunyai tanggung jawab untuk memastikan pelajar yang tinggal di asrama seperti pengangkutan bas perlu disediakan terutama sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).
Katanya, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) turut tidak terlepas dengan GPPPSS, kecuali ibu bapa penjaga yang hendak menghantar anak mereka sendiri.
“Selain itu murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama, sekiranya mereka tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum bersedia untuk balik ke asrama.
“Dalam keadaan sekarang, KPM galakkan murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM seharusnya tinggal di asrama sekiranya kemudahan asrama mencukupi bagi mendapatkan persediaan mencukupi sebelum menduduki peperiksaan tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut kepada media, hari ini.
Katanya, pihak pentadbiran sekolah turut memastikan katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain, selain penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian seperti tandas, bilik air , bilik cuci, bilik gosok dan pantri.
“Garis panduan ini turut dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seharusnya ibu bapa dan penjaga sedia maklum,”katanya.
Sementara itu seramai 180 orang guru dan kakitangan sokongan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan (APC) bagi tahun 2019.
Seorang guru penerima APC,Mohd Romdzi Jamaluddin bersyukur dipilih pada sebagai penerima dan akan terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HISHAM : UMNO PERLU WASPADA, SEDAR BAHAYA SOKONG ANWAR
Umno tidak perlu melayan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim berkenaan memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein yang menyifatkannya sebagai propaganda untuk mengalihkan perhatian menjelang PRN Sabah.
Pada masa sama Hishammuddin juga berpesan bahawa Umno perlu berwaspada dan sedar akan bahaya menyokong presiden PKR itu, yang menurutnya membuka pulang kepada DAP untuk berkuasa.
“Umno mesti berwaspada dengan taktik Anwar dan sedar bahaya menyokongnya. Ia hanya akan membuka peluang kepada DAP untuk lebih berkuasa di negara ini seterusnya membawa mudarat kepada kepentingan agama, bangsa dan negara yang kita perjuangkan selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Apa jua yang diumumkan Anwar semalam, perkara paling penting untuk parti ialah fokus kepada usaha memenangi PRN Sabah.
“Jangan rencatkan usaha, mengganggu fokus dan mematahkan semangat mereka dengan kenyataan yang boleh menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli Umno dan jentera BN,” kata bekas naib presiden Umno itu lagi.
Kenyataan Hishammuddin itu tampak berbeza dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata dia dimaklumkan ramai anggota parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan parti tidak dapat menghalangnya.
Zahid juga menegaskan Umno dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan sokongan terhadap kerajaan hanyalah menerusi anggota parlimen.
Hishammuddin pula berkata keputusannya untuk menyertai pentadbiran adalah berdasarkan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri serta anggota parlimen kerajaan perlu turut memberi sokongan padu kepada Muhyiddin.
“Jangan kita jadi anggota penting kerajaan, menikmati kelebihan tapi pada masa sama tidak sokong kepimpinan. ini mesti menjadi peringatan untuk semua menteri, timbalan menteri dan ketua GLC yang dilantik.
“Jika ada anggota kerajaan bertekad sudah tidak mahu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, eloklah berundur daripada kerajaan,” katanya lagi.
Semalam, pemimpin Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Zahid, menyifatkannya untuk mententeramkan akar umbi parti itu yang tidak senang terhadap kerjasama dengan Bersatu.
Malah dia juga dipetik The Malaysian Insight berkata Hishammuddin antara anggota parlimen Umno yang membuat perjanjian dengan Muhyiddin dengan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang turut melibatkan Hamzah Zainuddin – pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu.
‘Anwar patut malu’
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata semua anggota parlimen Bersatu menyokong penuh Muhyiddin yang menurutnya telah membuktikan kemampuan membela nasib rakyat di saat penularan COVID-19.
Bersatu juga berpendirian pengumuman Anwar semalam hanyalah gimik politik dan tidak lebih sekadar percubaan mengkucar-kacirkan kepimpinan negara di saat rakyat semakin yakin dengan Muhyiddin.
“Jika Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, dia seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Hishammuddin pula berkata Anwar patut berasa malu atas tindakan yang menurutnya hanya memikirkan kepentingan peribadi tanpa mengendahkan kebimbangan rakyat di saat wabak COVID-19 masih menjadi ancaman.
“Propaganda seumpama ini sudah dilakukan Anwar berkali-kali.
“Kalau betul sudah ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat, beritahulah kepada umum, berapa orang anggota Parlimen yang menyokong dan dedahkanlah siapa anggota Parlimen Umno yang berpaling tadah,” katanya lagi.
Sumber : Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLANG: Cubaan seorang lelaki warga Rohingya melakukan samun terhadap seorang peniaga warga emas di Pasar Borong Jalan Meru tidak kesampaian apabila dia ditahan orang awam.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas peniaga wanita berusia 72 tahun itu bertindak menjerit meminta pertolongan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan di pasar borong berkenaan.
“Suspek datang dari arah belakang dan cuba menyerang mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek menjerit dengan kuat dan jeritan itu didengari orang awam yang kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa.
“Suspek berjaya ditahan oleh orang ramai yang membantu mangsa… pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan pisau sepanjang sembilan sentimeter dalam beg milik suspek,” katanya.
Tambah Nurulhuda, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian.
“Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Sebanyak 6,474 kilogram (KG) sisa sampah sarap dikutip SWM Environment Sdn Bhd menerusi program World Cleanup Day 2020 yang dijalankan serentak di 11 lokasi seluruh Johor, baru-baru ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program itu dijayakan 1,400 sukarelawan daripada pelbagai organisasi.
Katanya, tujuan utama program itu adalah untuk menjayakan matlamat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih.
“Program ini disertai sukarelawan daripada pelbagai latar belakang… antaranya pelajar institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, agensi awam serta swasta.
“Sukarelawan turut diberi taklimat mengenai kaedah pengurusan sisa pepejal secara berhemah, pembudayaan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca serta pengenalan program kitar semula berganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Program dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga membabitkan lokasi di Pantai Senibong Johor Bahru; Pantai Seri Menanti Muar; Gunung Lambak, Kluang dan Gunung Pulai, Kulai.
Tambah Mohd Norlisam lagi, SWM Environment turut mengadakan aktiviti pembersihan pantai secara serentak yang mendapat kerjasama dan sokongan syarikat Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn Bhd (Coca-Cola) yang bertempat di Pantai Teluk Gorek, Mersing dan Pantai Perpat, Batu Pahat.
“Aktiviti pembersihan ini bertemakan Sinergi Untuk Ekologi Bersama dengan matlamat memulihara hidupan marin dan seterusnya mengekalkan kelestarian ekosistem demi kesinambungan generasi masa hadapan,” tambahnya.
Sumber: UTUSAN
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!