SOCHI: Lewis Hamilton mengintai peluang untuk menyamai rekod Michel Schumacher yang memenangi 91 perlumbaan dalam saingan Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix (GP) Russia Ahad ini biarpun timbul kebimbangan dengan penularan COVID-19 selepas penganjur membenarkan kehadiran 30,000 penonton.
Juara dunia enam kali itu hanya kurang satu lagi kemenangan untuk menyamai rekod Schumacher yang dilihat sukar ditandingi sebelum ini.
Bagaimanapun, dia berada di landasan terbaik untuk mengatasi rekod berkenaan selepas meraih empat kejuaraan dunia dalam tempoh enam tahun.
Dia juga mencatatkan enam kejuaraan dalam sembilan perlumbaan musim ini untuk mengungguli kedudukan keseluruhan dengan perbezaan 55 mata mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas.
Selain Hamilton dan Bottas, satu-satunya pelumba lain yang pernah meraih kejuaraan di Sochi adalah bekas pelumba Mercedes, Nico Rosberg sejak perlumbaan di negara berkenaan kembali diletakkan dalam kalendar F1.
Jika Mercedes berjaya merekodkan kejayaan sekali lagi di Sochi sejarah akan tercipta dengan menjadi satu-satunya pasukan paling banyak muncul juara dalam satu GP.
Penganjur berkata setakat ini 30,000 penonton dijangka hadir menyaksikan perlumbaan itu dan tiket untuk GP Russia sudah habis terjual.
AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis akan merekod keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berhubung dakwaannya bahawa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara, dalam masa terdekat.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan Mohamaddin akan dirakamkan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang berada di Sabah kerana penugasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Pasukan USJT Bukit Aman memang ada di Sabah kerana penugasan PRN.
“Pihak terbabit akan mengambil kenyataan pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu di negeri berkenaan dalam masa terdekat dan apabila keadaan mengizinkan.
“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya kepada BH, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan polis menerima 35 laporan berhubung dakwaan Mohamaddin yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama pada PRN Sabah kali ini.
Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, polis menerima laporan berkenaan dari seluruh negara sejak Isnin lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA KINABALU: Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah mengeluarkan notis penutupan Kompleks Taman Kinabalu, bermula esok hingga 8 Oktober depan.
Setiausaha Tetapnya, Dr Jamili Nais, memaklumkan ia susulan seorang pendaki dari Tawau dikesan sebagai kontak rapat kepada individu yang didapati positif COVID-19.
“Pihak kami telah dimaklumkan bahawa pada 13 hingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
“Justeru, Jabatan Kesihatan Sabah mengesyorkan Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam, termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu, selama 14 hari berkuat kuasa 25 September (esok) hingga 8 Oktober depan
“Semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran dan pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu serta Panalaban, dikehendaki menjalani saringan kesihatan pada hari ini di Dewan Kinabalu.
“Selain itu, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mt Torq yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 ketika bertugas pada dua tarikh berkenaan, dikehendaki menjalani saringan kesihatan,” katanya.
Jamili menjelaskan, kakitangan taman dan malim gunung yang dikenal pasti terdedah rapat dengan pesakit COVID-19 itu turut dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian saringan diperoleh.
“Jabatan Kesihatan Sabah akan meletakkan notis penutupan, termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu, bermula hari ini.
“Bagaimanapun, kakitangan taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan, akan dibenarkan masuk. Semua kemudahan awam juga akan dilakukan proses nyah kuman,” katanya.
Selain itu, beliau sudah memberi taklimat berhubung situasi terbabit kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang jururawat di Maran berputih mata selepas kerugian RM150,000 diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Pos Laju.
Mangsa berusia 57 tahun pada mulanya dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Pos Laju berhubung satu bungkusan mencurigakan atas namanya pada 11 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan yang dikatakan mengandungi kad bank itu sebelum panggilan berkenaan disambung kepada pegawai polis, kononnya untuk tindakan lanjut.
“Suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM3.2 juta dan diarah membuat bayaran RM30,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.
“Jururawat terbabit membuat bayaran itu melalui pemindahan wang ke sebuah akaun bank yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan BH, hari ini.
Beliau berkata, selepas bayaran itu dibuat, suspek terus meminta mangsa membuat bayaran tambahan.
“Dalam tempoh 11 hingga 15 September lalu, mangsa membuat beberapa bayaran melalui tiga akaun bank berbeza menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM150,000.
“Mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka, Maran semalam,” katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas didakwa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram bernilai RM3.2 juta.
Katanya, polis sedang mengesan pemilik tiga akaun bank dan nombor telefon yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana menipu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGE TOWN: “Kamu akan digantung di leher sehingga mati,” kata Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini ketika menjatuhkan hukuman terhadap pasangan kekasih yang didapati bersalah membunuh anak wanita itu, enam tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 30, dan T Gayathry, 36, yang didapati bersalah membunuh anak wanita itu di akhir kes pembelaan.
Dalam keputusannya, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.
“Selepas mengambil kira semua bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.
“Kedua-dua tertuduh didakwa atas pertuduhan membunuh yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. Mahkamah ini perlu menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang.
“Oleh itu mahkamah ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori terhadap kamu berdua. Kedua-dua kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.
BH melaporkan kedua tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang namun Gayathry dilihat mengesat air matanya.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa membunuh S Kaviarasan, 5, yang juga anak Gayathry di tepi jalan Ladang Permatang Sera, Bukit Tengah, di sini, kira-kira jam 8 hingga 11.25 pagi, antara 20 hingga 29 September 2014.
Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memukul bayi asuhannya berusia empat bulan, sehingga mengakibatkan kesan lebam pada bahagian muka dan punggung mangsa.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman ke atas Nurul Aslamiah Kamarudin, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Aslamiah sebagai seorang pengasuh kepada bayi perempuan itu didakwa secara cuai menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dengan memukulnya sehingga lebam di muka dan paha kiri serta lebam dan luka di punggung sebelah kiri.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Presint 14, Putrajaya pada 5.40 petang, 18 September 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Nurul Aslamiah yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak merayu hukuman denda minimum.
“Saya datang dari Terengganu, Yang Arif. Sekarang saya suri rumah sepenuh masa dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun manakala suami bekerja sebagai pembantu am,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan bayi tidak berdosa itu mengalami kecederaan.
BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas ketua hakim negara, Richard Malanjun, menggesa rakyat Sabah supaya menolak pentadbiran lama yang sudah menerajui Sabah selama 55 tahun tetapi gagal memajukan negeri itu.
Dalam satu video klip yang dimuat naik menerusi media sosial semalam, Malanjun yang pernah disebut-sebut sebagai calon Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, sekali lagi secara terbuka merayu undi bagi parti itu.
“Kepada semua rakan Sabah, saya bukan ahli politik, saya seorang pesara. Kenapa saya beritahu hari ini? Hanya satu sebab, saya tidak mahu tinggalkan dunia ini dengan perasaan bersalah kerana tidak berbuat apa-apa kepada rakan-rakan rakyat Sabah,” katanya dengan nada yang jujur tetapi tegas.
“Maka sebab itu saya keluar secara terbuka dan berkata mengapa kita perlu membuat keputusan yang bijak bagi pilihan raya ini,” kata Malanjun, yang juga merupakan pengundi di negeri bawah bayu itu.
“Sekiranya seseorang pernah pergi ke Pitas atau atas Moyog, mereka akan lihat tidak banyak yang berubah terutama di kawasan utara Sabah dan Pitas.
“Mereka masih miskin seperti dahulu,” jelasnya lagi.
Selain itu, Malanjun turut mempersoalkan adakah rakyat Sabah akan membenarkan parti yang cuba merampas mandat rakyat untuk kembali menerajui negeri itu.
“Shafie Apdal telah diberikan mandat untuk menerajui kerajaan tetapi mereka tidak membenarkannya. Mereka datang lagi. Adakah kita akan benarkan mereka untuk kembali dan teruskan apa yang sudah dilakukan kepada rakyat selama 55 tahun?
“Mengapa kita perlu ambil kembali ‘kuda lama’ yang menerajui negara kita selama 55 tahun tetapi hanya melakukan sedikit untuk Sabah melainkan, jika boleh saya kata, hanya menjaga diri mereka sahaja.
“Kita dah terseksa, adakah kita ingin biarkan anak dan keturunan kita juga terseksa. Dengan parti ini terus menerajui kita?,” soalnya Malanjun.
Tambahnya, dia juga menggesa rakyat supaya memberi peluang kepada Warisan untuk memajukan Sabah.
“Jangan biarkan diri kita senang terpengaruh dengan pemimpin yang hanya boneka kepada ahli politik Malaya (Semenanjung),” katanya tanpa menamakan parti tempatan tersebut.
“Undi secara bijak. Undi untuk Warisan Plus. Beri mereka peluang sekurang-kurangnya lima tahun untuk perubahan,” katanya.
Malanjun dilaporkan berkempen untuk calon sekutu Warisan, Upko di Kota Belud.
Rakyat Sabah akan mengundi pada 26 Sept.
PRN kali ini menyaksikan gabungan kerajaan terdahulu Warisan Plus akan berdepan Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sumber : Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU: Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam meloloskan diri daripada pihak berkuasa gagal selepas bot dinaiki mereka mengalami kebocoran sebelum karam.
Bot berkenaan dikesan pada kedudukan 94 batu nautika dari Kuala Terengganu pada Isnin lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot berkenaan dikesan melakukan aktiviti tunda ganding.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, nelayan terbabit segera memutuskan tali pukat sebelum melarikan diri ke arah sempadan perairan negara.
“Selepas kejar-mengejar berlaku kurang daripada sejam, bot tersebut berhenti secara tiba-tiba dan kita dapati bot yang cuba melarikan diri ini mempunyai hasil tangkapan dan pukat.
“Kru di atas bot tersebut seramai 14 orang, dan ia mengalami kebocoran.
“Kita berjaya menahan bot tersebut dan memindahkan semua awak-awak ke bot kita,” kata kepada ASTRO Awani.
Muhammad Suffi berkata hasil pemeriksaan ke atas 14 nelayan asing berusia 21 hingga 52 tahun itu mendapati kesemua mereka tidak memiliki pengenalan diri yang sah.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lagi bot tidak menemukan sebarang hasil tangkapan laut.
Susulan penahanan itu, pihaknya berjaya merampas bot, diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonannya untuk dibebaskan daripada tuduhan berkaitan kes dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kes membabitkan Ahli Parlimen Pontian itu adalah gagal mengisytiharkan RM2 juta diterimanya daripada Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.
Peguam, Atiqa Nazihah Azmi mewakili Ahmad, 54, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 3 Ogos lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan pihaknya sudah menerima notis penarikan balik rayuan berkenaan dan tidak membantah permohonan itu.
Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan Ahli Parlimen Pontian itu.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Atiqa Nazihah berkata, penarikan balik rayuan dibuat berikutan pihaknya sebelum ini sudah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Mahkamah Tinggi yang kemudian didengar serta diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin.
Pada 14 Ogos lalu, Aslam menolak permohonan Ahmad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 24 Julai, yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu.
Keputusan berkenaan selepas mahkamah mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan bekas Timbalan Menteri Kewangan itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau dituduh menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek berkenaan ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh Pegawai Penyiasat SPRM, Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan dana dan pelaburan, World Dynasty Group (WDG) mengumumkan komitmen untuk menyumbang RM10,000 setiap bulan kepada Pusat Kanak-kanak Cacat dan Orang Kurang Upaya (OKU) Melaka.
Pengerusi dan Pengasas WDG, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berkata, komitmen itu adalah kesinambungan kepada sumbangan diberikan syarikat berkenaan kepada pusat itu sejak tahun 2016.
“Kali pertama saya mengunjungi pusat ini bersama Datuk John Lee dan Francis Tan pada bulan April 2016 dan sejak itu kami banyak menyalurkan sumbangan kepada pengendali pusat berkenaan.
“Sebagai seorang bapa yang mempunyai tiga orang anak, saya sangat tersentuh apabila melihat sendiri kesukaran dihadapi penghuni pusat kebajikan ini menjalani kehidupan harian mereka dalam serba kekurangan.
“Sejak 2016, WDG juga sudah menyumbang kira-kira RM530,000 kepada mereka (Pusat Kebajikan Kanak-kanak Cacat dan OKU) di sini (Melaka)… saya juga ingin memaklumkan bahawa saya sedia menyumbang RM10,000 sebulan kepada pusat ini, selagi saya masih hidup,” katanya yang turut dikenali sebagai antara Dermawan Termuda di Malaysia, dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sumbangan disampaikan Datuk Seri Eric Ng dan Datuk Lee Kim Tian, mewakili WDG dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.
Sementara itu, penjaga pusat terbabit, M Thomas berkata, pengumuman dibuat Datuk Seri Nicky itu sangat melegakan pihaknya yang sering berdepan kekurangan dana untuk menguruskan pusat berkenaan.
“Kos operasi pusat ini agak tinggi dan sudah pasti sumbangan beliau sangat membantu meringankan bebanan kami tanggung.
“Pusat ini beroperasi sejak tahun 2002 dan diasaskan Mendiang V Rajamanikam, yang meninggal dunia Julai lalu.. buat masa ini, kita ada dua cawangan, satu Johor dan satu lagi di sini (Melaka).
“Seramai 54 kanak-kanak dan OKU daripada pelbagai peringkat umur ditempatkan di sini dan mereka memerlukan penjagaan khas kerana mengidap penyakit seperti down syndrome, Serebrum Palsy, hyperactive, autisme dan ada juga yang pernah menjadi mangsa dera,” katanya.
Thomas berkata, selain menyediakan kemudahan tempat tinggal dan makanan kepada kanak-kanak itu, pihaknya turut memberikan akses kepada pendidikan dan bidang kemahiran bersesuaian kepada penghuni pusat itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!