KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Siti Sarah dan Shuib dipercayai dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas dipercayai terbabit dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air dijalankan mereka.
Difahamkan, pasangan selebriti itu hadir tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk diambil keterangan membabitkan kes tersebut.
Menurut sumber, setakat ini, siasatan masih dijalankan namun penglibatan pasangan selebriti tersebut tidak dapat dipastikan.
Jelasnya, selain mereka, beberapa individu termasuk selebriti lain yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit mungkin akan dipanggil.
“Masih tidak dapat pastikan sama ada mereka akan ditahan atau pun tidak memandangkan proses merakam keterangan masih berjalan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Namun pasangan selebriti ini gagal dihubungi untuk mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan terdapat pasangan selebriti dipanggil pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Pahang mengehadkan operasi perniagaan di daerah ini dan Jerantut setakat 12 tengah malam, susulan penularan wabak COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, semua acara keramaian, termasuk kenduri yang melebihi 100 orang pada satu-satu masa juga perlu ditangguhkan 14 hari daripada hari terakhir kes dikesan.
Selain itu, katanya, masjid, surau dan rumah ibadat di kawasan lokaliti ada kes aktif perlu ditutup selama tempoh sama, termasuk aktiviti pekan sehari dan pasar malam.
“Bagi kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas terbabit akan ditutup selama 14 hari.
“Pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai diingatkan untuk memastikan pematuhan operasi prosedur standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan penularan.
“Semua aktiviti riadah dan sosial dibenarkan sehingga 12 tengah malam sahaja. Aktiviti ini perlu tertakluk kepada pematuhan SOP. Jika SOP sukar dipatuhi, maka penganjurannya adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Sallehuddin bagaimanapun berkata, semua larangan itu tidak terpakai kepada pusat perubatan, klinik dan stesen minyak.
Menurutnya, penularan wabak koronavirus di Pahang masih terkawal dan kebanyakan kes baharu membabitkan individu dengan sejarah perjalanan ke Sabah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka yang pulang dari Sabah supaya melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas ketibaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan peningkatan kes baru COVID-19.
Katanya, langkah untuk mengadakan pilihan raya mengejut mungkin menyebabkan negara ini kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dilakukan beberapa bulan lalu.
“Kita lihat ini dengan objektif. Ini bukan masa yang sesuai. Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun buat kenyataan (buat pilihan raya mengejut). Tapi kita sudah nampak apa yang berlaku di Sabah (semasa pilihan raya negeri).
“Keadaan akan jadi sesak jika buat membuat pilihan raya mengejut. Walaupun ada SOP, bukan senang untuk dipatuhi lebih-lebih ketika berkempen,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dr Dzulkefly yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor daripada AMANAH berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus bahawa Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU.
Ini selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada 23 September lalu mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan semua PKP sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 pastinya akan menjejaskan semula ekonomi.
“Kita baru nampak perniagaan dibuka semula dan ada yang kembali kepada keadaan asal.
“Jika dikenakan semula PKP, semuanya akan terjejas… saya percaya semua pihak perlu bipartisan dalam perkara ini. Semua pihak perlu lebih memberi tumpuan kepada rakyat dan negara berbanding pegangan politik untuk mengadakan pilihan raya mengejut hanya kerana hilang kuasa,” katanya.
Semalam, sebanyak 101 kes harian COVID-19 direkodkan, menjadikan kes akif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah sebanyak 1,062 kes.
Sabah menyumbang kes tertinggi iaitu sebanyak 73 kes manakala empat lagi kluster baru dikenalpasti.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Ciapan dimuat naik melalui akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, awal pagi tadi, adalah peringatan untuk semua rakyat Malaysia supaya duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa beliau membuat hantaran sedemikian sejak awal penularan COVID-19 di negara ini.
“Ia bukan perkara baharu ketika saya tweet… Sekali lagi, saya menasihati rakyat Malaysia yang tidak ada urusan, bahawa adalah penting untuk duduk di rumah.
“Jika kita mahu keluar rumah kerana ada urusan penting, patuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Itu tujuan utama saya tweet… hanya mengingatkan rakyat Malaysia supaya duduk di rumah kalau tiada urusan penting,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini, petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ciapan itu merujuk bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan dilaksanakan semula.
Terdahulu, Dr Noor Hisham memuat naik ciapan berbunyi how about all stay at home for a while again (apa kata semua duduk di rumah untuk sementara waktu sekali lagi), menyebabkan ramai pengguna media sosial menganggap beliau membayangkan PKP bakal dilaksanakan semula.
Beliau memuat naik ciapan itu sebagai membalas satu ciapan oleh pengguna media sosial yang meminta agar perjalanan antara negeri dihentikan kerana dirinya tidak percaya bahawa penduduk menjalani kuarantin kendiri.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang ada urusan penting di luar perlu mematuhi SOP, selain mengamalkan 3W, iaitu mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka serta mematuhi amaran Kementerian Kesihatan, selain mengelakkan kawasan sesak dan sempit atau bersembang secara dekat.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak termasuk pengurusan sekolah, perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan berkenaan.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor untuk anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, Dr Noor Hisham berkata, perkara itu memang ada dibincangkan Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan.
“Memang risiko tetap ada. Kalau tidak mahu risiko, kita semua duduk di rumah. Namun kalau keluar rumah, kita perlu menguruskan risiko itu.
“Setakat ini di sekolah, kalau tiada jangkitan, kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan antara guru dan murid. Kita tutup sekolah dan menjalankan proses nyahcemar serta nyahkuman di kawasan sekolah terbabit.
“Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan ada kluster di sekolah,” katanya.
Sumber: BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menyarankan semua pelajar termasuk pelajar baharu yang sepatutnya mendaftar di kampus esok, menangguhkan perjalanan dan membuat pendaftaran dalam talian.
Dalam kenyataannya malam ini, USM berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini wabak COVID-19 di negara ini.
“Pelajar-pelajar baharu yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar esok atau mereka boleh menangguhkan perjalanan dan kembali semula ke kampus pada tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak,” demikian menurut kenyataan itu.
gambar hiasan
Tatacara pendaftaran akan dimaklumkan melalui laman web rasmi USM.
Bagi pelajar senior yang dijadualkan kembali ke kampus minggu depan, mereka diminta menangguhkan perjalanan dan melakukan pendaftaran kursus masing-masing dalam talian.
Untuk maklumat lanjut, pelajar boleh menghubungi kampus induk di talian 04-6533291 sambungan 5823/5825/6185/5804/5827/6136/5822/5824; Kampus Kesihatan (09-7671300/1310) dan Kampus Kejuruteraan (04 5995530/5531/5532/5533).
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ROMPIN: Polis menahan seorang pemandu lori kerana dipercayai terbabit dalam kes pengedaran dadah di sekitar daerah itu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan parkir di hadapan sebuah hotel di Tanjung Gemok, pada jam 8 malam, hasil maklumat awam dan risikan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Rompin membuat intipan di kawasan parkir itu.
“Ketika intipan dilakukan, kereta dinaiki suspek berhenti di kawasan parkir dalam keadaan mencurigakan dan pegawai serta anggota kami melakukan pemeriksaan ke atas kereta terbabit.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui satu bungkusan plastik berwarna biru di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan… pemeriksaan dalam bungkusan plastik biru itu menemui dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kiub putih dan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 2,312 gram,” katanya melalui satu kenyataan media di sini, petang tadi.
Azari berkata, pihaknya turut ditemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 659 gram dan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methapethamine.
Selain itu, semakan mendapati suspek yang dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Julai lalu, mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan barang kes dianggarkan RM47,000 dan suspek mendakwa memperoleh bekalan daripada seorang lelaki di Kulai, Johor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM: Seorang ahli jawatan kuasa Surau Ar-Rayyan dekat Seksyen 27 di sini, meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh awal pagi tadi.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS), arwah Rosliman Osman yang berusia 60 tahun dikatakan baru sahaja melaungkan dua rangkap dari kalimah Azan sebelum tiba-tiba terhenti, sekali gus menimbulkan tanda tanya penghuni pangsapuri Sri Ixora.
Difahamkan arwah yang mesra dipanggil Abang Man oleh penduduk di situ hanya sempat melaungkan kalimah Allahu Akbar serta Syahadah.
“Seluruh penghuni pangsapuri pelik kenapa azan Subuh dari Surau Ar-Rayyan pagi ini cuma kedengaran dua rangkap dari kalimah yang mulia (Allahu Akbar dan Ashadu alla illaha illa Allah) dan kemudian terhenti.
“Kemudian terdengar di suara cemas di pembesar suara dan tidak lama selepas itu seorang AJK lain membuat pengumuman meminta ahli keluarga arwah untuk turun ke surau dengan kadar segera dan kelihatan ambulan tiba di kawasan surau.
“Setibanya di ruang solat surau, kelihatan sekujur tubuh kaku terbaring di ruang azan. Abang Man sudah kembali bertemu penciptanya dalam keadaan semua orang beriman impikan,” katanya.
Menurut perkongsian itu lagi, salah seorang jemaah yang rapat dengan arwah menceritakan bahawa arwah bersungguh mahu menjayakan majlis kesyukuran rakan mereka, Ustaz Sahari yang baru sahaja keluar dari hospital.
“Arwah kelihatan gembira dengan rancangan itu serta menawarkan diri untuk menyediakan Kopi ‘O’ pada majlis berkenaan. Tidak sangka Allah panggil arwah dalam keadaaan sangat-sangat kami cemburu.
“Paling kami terkejut hari ini adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan juga sangat teruja untuk azan Subuh walaupun beliau bukan bilal surau.
“Allah sayang Abang Man lebih dari kami semua. Abang Man pernah berseloroh, kita jaga amanah surau ni bukan untuk kita sekarang, tapi gunanya bila kita kat (dekat) sana nanti. Moga Allah pilih Abang Man menjadi penghuni Al-Firdaus. Allah Maha Mengetahui,” katanya.
Sumber: BH Online
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PORTAL MYFUTUREJOBS BANTU PENCARI KERJA DAN MAJIKAN
LIPIS – Di Pahang sebanyak 1,797 ditawarkan pekerjaan hasil pencari kerja mendaftar menerusi MYFutureJobs untuk mendapat pekerjaan hasil pemadanan portal tersebut melalui 12 sesi temuduga terbuka di Kuantan, Temerloh dan Bentong.
Sebahagian pencari kerja yang hadir di Majlis Mini Karnival Penjana Kerjaya Perkeso 2020 di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelai, Sungai Koyan, Lipis.
Portal MYFutureJobs itu berperanan sebagai agen membantu pencari kerja dalam usaha Kementerian Sumber Manusia mengurangkan kadar pengangguran negara termasuk golongan yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata berasaskan kepintaran yang berkesan portal itu dibangunkan dengan pemadanan jenis pekerjaan dengan calon pencari kerja yang ditawarkan oleh majikan telah memberi kesan positif kepada semua pihak.
“Selain itu, calon yang ditawarkan pekerjaan dengan syarikat yang jaraknya melebihi 100km dari tempat tinggal mereka akan diberi bantuan mobiliti sebanyak RM 600 ringgit, manakala majikan layak memohon insentif antara RM600 hingga RM1000 sebulan setiap pekerja yang digajikan.
“Malah, bantuan latihan bernilai sehingga RM 4,000 bagi setiap pekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja yang baru digajikan itu turut diberi,”katanya di Majlis Mini Karnival Penjana Kerjaya Perkeso 2020 di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Jelai, Sungai Koyan, Lipis.
Katanya, PERKESO Negeri Pahang yang melibatkan pejabat di Kuantan, Temerloh dan Bentong telah berjaya dalam membantu pencari kerja dan penganggur untuk mendapat pekerjaan dan seterusnya dapat meningkatkan sosio-ekonomi keluarga mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMP TANGGUH KEMASUKAN PELAJAR DARI SABAH, ZON MERAH
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan pelajar dari Sabah dan Zon Merah secara bersemuka di kampus UMP Pekan dan Gambang yang dijadualkan secara berperingkat mulai 12 Oktober hingga 14 Oktober depan.
Proses pendaftaran pelajar baharu dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober 2020 bagi tujuan pengaktifan status sebagai pelajar UMP termasuk bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin, UMP juga mengambil langkah menangguhkan kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.
“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMP. Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan Zon Merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih bagi negeri Sabah dan Zon Merah,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan Zon Merah adalah kekal seperti dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.
Katanya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan Zon Merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Justeru, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan pelajar UMP dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak COVID-19 di UMP dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
Pelajar juga diingatkan sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman rasmi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (MINDS) dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP.
Pengurusan UMP sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik COVID-19 dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Satu pergaduhan berlaku di antara pelanggan dengan petugas kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera di Rawang dekat sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kaedah pembayaran, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, salah faham dikatakan bermula apabila pelanggan terbabit mahu membuat pembayaran di kaunter pandu lalu restoran makanan segera itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mangsa dikatakan tidak berpuas hati apabila petugas di kaunter pandu lalu berkenaan menguruskan pembayaran secara pay wave tanpa kebenarannya.
“Mangsa mendakwa petugas di kaunter itu meninggikan suara dan bercakap kasar terhadapnya serta membuatnya menunggu lama.
“Susulan itu berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum datang seorang lelaki lain yang kemudian menumbuk mangsa di dahi kiri selain pergelangan tangannya ditarik dengan kuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa yang juga seorang pemandu e-hailing berusia 41 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Serendah pada jam 8 malam, mendakwa dipukul pekerja sebuah restoran makanan segera, sejurus kejadian.
“Anggota polis bertugas kemudian menghubungi ambulans bagi membolehkan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.
“Kita turut menerima satu laporan polis daripada pekerja restoran makanan segera terbabit dan sudah merekod percakapan beberapa saksi bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu di mana seorang pekerjanya di Restoran Pandu-lalu McDonald’s Rawang diserang seorang pelanggan di tingkap pandu lalu.
“Kami memandang perkara ini dengan serius kerana ia membabitkan kecederaan terhadap pekerja kami.
“Kami telah membuat satu laporan polis mengenai kejadian ini dan akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini,” katanya.
Satu klip rakaman video berkaitan pergaduhan itu turut tular di media sosial.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!