TEMERLOH: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Kuala Krau dekat sini, hari ini.
Difahamkan lori dipandu Haikal Denil Amran, 55, terbabas akibat mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta sedang memotong kenderaan lain di atas jambatan berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Pulau Pinang mengalami kecederaan patah kaki dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bawang merupakan antara sayuran yang penting dalam bahan masakan Melayu, baik untuk masakan rumah tangga, dan juga sebagai bahan dalam industri makanan.
Bawang biasanya digunakan untuk menambah rasa, menaikkan aroma masakan, atau sebagai hiasan hidangan.
Bawang merupakan bahan yang paling penting dalam apa jua masakan.
Selain menaikkan aroma, awang merah sebenarnya mengandungi vitamin C, potassium, serat dan asid folik.
Ia juga mengandungi kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.
Biasanya ramai akan mengelat apabila disuruh untuk mengupas atau potong bawang kerana ia memedihkan mata.
Namun apakah punca yang membuatkan mata kita berair ketika mengupas bawang?
Ia kerana enzim yang terdapat di setiap lapisan bawang akan menyerap ke udara ketika dikupas dan boleh menyebabkan mata pedih sehingga mengeluarkan air mata.
Namun, ada beberapa cara mengupas bawang tanpa rasa pedih yang ramai orang tak tahu.
Kupas bawang dalam air
Rendam bawang di dalam bekas berisi air dan kupas bawang di bawah permukaan air. Dengan cara ini enzim yang merembes tidak akan berterbangan di udara.
Sapu pisau dengan jus lemon
Sebelum potong bawang, sapukan jus lemon pada pisau anda. Ia dapat membantu membunuh enzim yang dirembes memandangkan ia bersifat asid dan mempunyai bau kuat.
Simpan bawang dalam peti ais
Sebaik-baiknya simpan bawang dalam peti ais sebelum digunakan kerana suhu dingin dapat melambatkan proses enzim bawang menjadi gas dan memedihkan mata saat dipotong.
Hiris bawang di tempat terbuka
Lazimnya, di tempat kenduri akan memotong bawang di tempat terbuka beramai-ramai. Sebenarnya cara ini lebih selamat kerana angin yang bertiup akan mengalihkan enzim yang dirembes ke tempat lain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEJAYAAN PASUKAN COVID-19 HOSPITAL SUNGAI BULOH MEMBANGGAKAN NEGARA
KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Suresh Kumar, Ketua Jabatan Anestesia & Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh, Dr Shaiful Azman Zakaria dan seluruh pasukan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh atas pengiktirafan di Anugerah Kesihatan Global 2020 baru-baru ini.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pengiktirafan tersebut yang sekali gus turut mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Baginda amat menghargai dedikasi dan pengorbanan dicurahkan kedua-dua doktor tersebut dan pasukan COVID-19 di Hospital Sungai Buloh dalam usaha memerangi wabak berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut menyanjung tinggi kecemerlangan ditunjukkan mereka dalam usaha merawat pesakit COVID-19 dan membanteras wabak yang boleh meragut nyawa ini.
Hospital Sungai Buloh ditetapkan sebagai hospital utama COVID-19 Malaysia sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini.
Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh, manakala Dr Shaiful Azman mempunyai kepakaran dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.
Dr Sureh Kumar baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Menakjubkan, bagai dalam filem fantasi kerana dikelilingi batang pohon berwarna merah ketika tiba di puncak Bukit Buluh atau lebih popular dengan panggilan Bukit Merah di FELDA Padang Piol, dekat sini.
Pokok tersebut dipanggil kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknya Eugenia Cerina Hend banyak berada di sepanjang permatang di puncak bukit tersebut serta di sekitar lerengnya menjadikan bukit itu sangat unik dan menjadi tarikan utama pengunjung.
Bukit Buluh berada pada ketinggian 371 meter dan pastinya menjadikan pengunjung yang berminat dengan sukan ekstrem pendakian dan tidak sukar untuk ditawan serta mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak.
Pengerusi Kami Anak FELDA (KAF), Roszita Dzulkafli, 47, berkata Bukit Merah disedari oleh orang tempatan yang mendaki ke situ kira-kira 3 tahun lalu dan mula diikuti anak muda FELDA Padang Piol sebagai tempat riadah pendakian.
Roszita Dzulkafli, 47, berkata Bukit Merah disedari oleh orang tempatan mulai 2018
“Mulai tahun 2018, berita keunikan puncak bukit menjadi bualan ramai dan semakin ramai yang berkunjung khususnya penduduk dari daerah Jerantut terutama pelajar.
“Kemudian mula dikunjungi pelancong luar seperti Jepun, China dan negeri lain di semenanjung, kehadiran terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu dan sekarang mula ramai semula dengan kawalan bilangan pengunjung dibenarkan untuk mendaki,” katanya.
Katanya, tempat untuk memulakan pendakian ke bukit itu tidak jauh dari jalan besar Jalan Padang Piol-Kuala Tahan dan dikelilingi pokok sawit sebelum tiba di kaki bukit serta terletak kira-kira 25 kilometer dari Bandar Jerantut.
Seorang pengunjung dari Jengka 8, Che Haslinawati Ahmad berkata sangat seronok ketika tiba di puncak dan terkejut banyak pokok merah dan pemandangan yang cantik tetapi pada hari ini laluan basah dan licin menjadikan agak mencabar.
Che Haslinawati Ahmad seronok ketika tiba di puncak dan terkejut banyak pokok merah
“Memang terkejut, seolah menonton filem fantasi di kelilingi pokok merah, diharap pengunjung yang mendaki menjaga kebersihan dan juga keselamatan pokok ini agar tidak dirosakkan dengan apa cara sekali pun,”katanya.
Pengunjung dari Bandar Jerantut, Albert Mong, 59, ditemani isterinya, berkata bagus juga ada COVID-19, kalau tidak orang tidak akan mengenali banyak tempat menarik di Jerantut seperti Bukit Merah, Padang Piol.
Albert Mong, 59, ditemani isterinya, berkata kita kena jaga jangan musnahkan khazanah alam
“Wow, sangat cantik dengan pemandangan sekitar dari atas bukit serta ditemani pokok berbatang merah, kita kena jaga jangan bagi orang musnahkan, siapa lagi kalau kita orang Jerantut yang jaga.
“Laluan pendakian agak mencabar kerana ada beberapa tempat curam melebihi 45 darjah, tetapi sangat seronok, kita kaya dengan kawasan pendakian di Jerantut seperti Bukit Seladang, Bukit Panau dan ViaFerrata Paya Gunung,” katanya.
Pengerusi Peminat Burung, Roslan Abu Kassim berkata, pengunjung diharapkan tidak memegang batang pokok tersebut kerana mungkin pengunjung menggunakan cacair tangan pelindung kulit yang boleh memudaratkan pokok tersebut.
Roslan Abu Kassim, pengunjung tidak memegang batang pokok kerana mungkin yang boleh memudaratkan pokok tersebut
“Selain itu, pengunjung jangan memanjat pokok, mematahkan dahan dan mendekati pokok itu kerana bakal merosakan akar pokok ini dan mengugat jangka hayat pokok kelat gelam yang berwarna merah.
“Diharap pihak yang terbabit dengan pengurusan bukit ini, memasang tanda untuk mengawasi akar pokok itu agar tidak dipijak serta meletakkan tanda amaran tidak memanjat pokok untuk berswafoto,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MPV DIPERCAYAI BERGESEL SEBELUM BERTEMBUNG DENGAN SUV
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis maut dalam kemalangan di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, awal pagi tadi, dipercayai ketika mengejar penjenayah.
Dalam kejadian jam 6.24 pagi itu, MPV dipandu anggota polis berkenaan mengejar dua suspek yang menaiki Perodua Myvi.
Ketika di tempat kejadian, MPV terbabit dipercayai bergesel dengan kenderaan suspek sebelum bertembung dengan Perodua Aruz dinaiki orang awam.
Pertembungan itu mengakibatkan MPV terbabit terbalik dan seorang anggota polis maut di tempat kejadian, manakala rakan setugas tidak mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dan dua jentera bergegas ke tempat kemalangan.
Turut cedera, dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang kenderaan Perodua Aruz.
Mayat anggota polis dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA: Tular di media sosial dengan gambar perkahwinan seorang pengantin lelaki kerana wajahnya yang dikatakan mirip Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Portal Kompas melaporkan, gambar pengantin lelaki dan pasangannya itu tular selepas dimuat naik di Facebook (FB) rasmi jurusolek perkahwinan, Arta Pratama Rias Pengantin.
Gambar dimuat naik itu menunjukkan pasangan berkenaan menggayakan persalinan berwarna putih dan senyuman pengantin lelaki yang menjadikan wajahnya ketara mirip Jokowi.
Ia menjadikan mempelai itu mendapat jolokan pengantin Jokowi dalam kalangan penduduk setempat.
Pengantin lelaki bernama Sukiman dan berasal dari Kampung Gapuk, Lombok Timur dan menikahi isterinya, Rohani dengan mas kahwin 2 juta rupiah (kira-kira RM569).
Rohani ketika dihubungi mengakui terkejut apabila melihat gambar perkahwinannya tular di media sosial dengan rata-ratanya mengatakan wajah suaminya mirip Presiden Indonesia.
“Waktu pertama kali kami bertemu, saya tidak merasakan wajahnya mempunyai iras Jokowi.
“Namun, ramai jiran mengatakan wajah mereka sama,” katanya.
Sementara itu, jurusolek dan pemilik akaun yang memuat naik gambar pasangan berkenaan, Edi Hartadi berkata gambar itu tidak disunting olehnya.
“Memang saya yang menyolek wajahnya dan gambar itu bukan rekaan dan langsung tidak disunting .
Ia benar malah saya rasa seperti menyolek wajah pemimpin nombor satu Indonesia tempoh hari,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DIJANGKA DITURUNKAN DALAM AKSI MENENTANG SANTA CLARA
KUALA LUMPUR: Adakah rakyat Malaysia akan menyaksikan kelibat Safawi Rasid buat kali pertama dalam saingan liga utama Portugal?
Persoalan itu bakal terjawab apabila kelab Safawi, PortimonenseSC akan turun menentang pasukan SantaClara di Estádio Municipal de Portimão, Algarve, jam 11 malam ini, waktu Malaysia.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun menyerahkan kepada jurulatih untuk membuat keputusan sama ada mahu menurunkannya atau tidak dalam perlawanan itu.
Malah, dia turut mengakui bersedia sepenuhnya jika diberi peluang membuat penampilan sulung di Liga Primeira.
“Sesi latihan berjalan lancar dan dapat mengikut corak latihan yang diterapkan oleh pasukan malah satu pengalaman berharga dapat menjalani latihan bersama pemain lebih berpengalaman,” katanya dipetik dari BHOnline.
Minggu lalu, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin membuat penampilan pertama di liga utama Belgium, Jupiler Pro League bersama kelabnya, KVKortrijk.
Kelmarin, giliran pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh membuat penampilan pertama di Liga 1 Thailand bersama PoliceTeroFC ketika menentang Suphanburi.
Pemain kelahiran Gambia itu dimasukkan pada minit 72 dengan perlawanan itu menyaksikan PoliceTeroFC tewas 5-0.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Air Terjun Pelangi merupakan destinasi wajib bagi pelancong luar seperti China dan Singapura apabila melancong ke Sungai Lembing, di sini.
Tidak ketinggalan, pelancong tempatan juga pasti teruja untuk sampai ke air terjun ini untuk melihat sendiri pembentukan pelangi yang hanya berketinggian 50 meter di atas kepala.
Menurut peserta daripada kumpulan Neuhikers, Norasikin Abbas,35, dari Felda Bukit Kuantan, hasrat untuk ke air terjun tersebut sudah bertahun, namun kerana kekangan kerja, beliau terpaksa menangguhkan dahulu perjalanan ke sini.
Beliau berkata, perjalanannya berbaloi apabila dapat melihat sendiri pelangi yang muncul di air terjun tersebut.
“Untuk ke sini, kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dari bandar Sungai Lembing lebih kurang jam 8 pagi sebelum berkumpul di Lubuk Kera.
“Setiba di Lubuk Kera, kami kemudian perlu mengharungi sungai kira-kira 30 meter, kemudian kami perlu berjalan kaki di atas laluan berbatu yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke air terjun pelangi.
“Saya fikir, perjalanan ni sesuai untuk semua golongan kerana laluannya tidak berbahaya cuma sedikit licin dan perlu membawa tongkat agar tidak tergelincir.
“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk sampai ke air terjun ini dan melihat kebesaran Allah SWT, bukan sahajadapat melihat pelangi, malah dapat melihat batuan yang bertingkat-tingkat serta airnya yang sangat sejuk, “katanya kepada wartawan SAHIH di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Riduwan Shah Aziz,35, berkata, perjalanan tersebut disertai 60 peserta Neuhikers yang rata-ratanya merupakan pencinta alam dan gemar mendaki bukit di negeri Pahang.
“Kami bergerak dari bandar Sungai Lembing seawal 7 pagi dan sampai ke Lubuk Kera kira-kira 8.30 pagi sebelummeneruskan perjalanan ke air terjun pelangi.
“Mujurlah kami sempat melihat pelangi itu kerana mengikut cerita orang pelangi akan hilang lebih kurang jam 10 pagi ke atas, kerana tidak terbias daripada cahaya matahari.
“Pelangi juga tidak muncul jika berlaku hujan di kawasan air terjun tersebut. Saya berpuas hati dengan perjalanan ini dan berharap dapat pergi lagi ke sini pada masa akan datang.
“Sebelum ini saya hanya mampu melihat biasan pelangi di langit tetapi di sini saya boleh menyentuh warna-warna pelangi yang terpancar di permukaan air,” katanya.
Justeru, bagi mereka yang berada jauh dari Sungai Lembing, pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti tempat penginapan, perkhidmatan sewa pacuan empat roda dan perkhidmatan sewa kasut getah untuk keperluan pengunjung. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAKARTA: Sebanyak 3,143 kes baharu COVID-19 di negara ini dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sejak pandemik bermula adalah 410,088 kes.
Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan, 87 kes kematian dilaporkan menjadikan sehingga kini 13,869 kematian akibat virus berkenaan.
Jumlah sembuh pula kini mencecah 337,801 kes.
Mengikut laporan Jakarta Post, kementerian itu merekodkan 27,459 orang menjalani ujian saringan semalam, sekali gus menjadikan sehingga kini 2,881,443 orang sudah diuji.
Daripada jumlah kes baharu, ibu negara merekodkan 750 kes, menjadikan jumlah kumulatif 105,597 kes, manakala Jawa Tengah (617), Jawa Barat (411), Sumatera Barat (252), Jawa Timur (223) dan Riau (127).
COVID-19 kini sudah merebak di semua 34 wilayah Indonesia.
Sumber : AGENSI
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HUBUNGAN cinta pelakon Brad Pitt dan kekasih Nicole Poturalski dikatakan sudah berakhir selepas dua bulan mereka menjalinkan hubungan istimewa itu.
Menurut laporan US Magazine, Brad Pitt dan Nicole berpisah pada minggu lalu kerana kedua-duanya tidak serius dalam perhubungan tersebut.
Gosip mengenai pasangan ini mula dihidu media apabila mereka dilihat bercuti bersama-sama di Perancis Ogos lalu.
Mereka menghabiskan masa bersama di Chateau Miraval iaitu kebun anggur yang dibeli Brad Pitt dan bekas isteri Angelina Jolie pada tahun 2011.
Sebelum ini, Nicole pernah menafikan dakwaan kononnya dia membenci Angelina.
Ia selepas Angelina Jolie meluahkan rasa bimbang jika percintaan bekas suami dan model itu akan memberi kesan kepada anak-anak.
Pada 25 September lalu, pengacara Wendy Williams berpendapat hubungan pasangan itu hanya akan bertahan selama enam bulan sahaja.
Kata Wendy, Nicole hanya mempergunakan Brad Pitt untuk kepentingannya sahaja.
Brad Pitt dan Angelina Jolie merupakan antara pasangan popular Hollywood selama 12 tahun dan mengambil keputusan bercerai pada 2016.
Mereka memiliki tiga anak kandung dan mengambil tiga anak angkat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!