KOTA BHARU: Projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) membabitkan laluan Bentong, Pahang ke Kuala Krai dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dijangka siap sepenuhnya 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 21 peratus daripada keseluruhan jajaran CSR telah siap dan boleh digunakan iaitu meliputi jalan dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang sejauh 62 kilometer.
“Jajaran KBKK yang sudah boleh dilalui pengguna jalan raya adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan sepanjang 13.85 kilometer iaitu 20 peratus daripada keseluruhan projek ini.
“Apabila siap kelak, CSR dan KBKK dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan selain membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya seperti dilapor UtusanMalaysia.
Mustapa berkata, projek CSR dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai membabitkan laluan sejauh 295.7 kilometer manakala KBKK pula laluan sejauh 67.6 kilometer dengan jumlah kos keseluruhan diluluskan di peringkat dasar RM9.5 bilion.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua projek berkenaan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 hanya dapat dilaksanakan apabila diluluskan pada peringkat jawatankuasa di persidangan Parlimen.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ALOR SETAR: Lima daripada enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kuala Muda dan Kulim susulan kejadian banjir kilat pada semalam ditutup petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, tiga PPS di Kuala Muda iaitu Masjid Al Abrar Taman Peruda, Surau Kampung Sungai Haji Wahab Dewan Masjid Al-Huda Kampung Jerung ditutup pada pukul 2 petang ini.
GAMBAR HIASAN
“Ketiga-tiga PPS yang dibuka pada pukul 8 malam semalam dan menempatkan seramai 144 mangsa banjir ditutup selepas keadaan banjir di kawasan terjejas pulih sepenuhnya.
“Seramai kira-kira 480 lagi mangsa banjir di daerah Kuala Muda bagaimanapun tidak berpindah ke PPS,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan KOSMO! Online.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, dua PPS di mukim Lunas iaitu Surau Taman Sang Kancil dan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau yang dibuka pada pukul 7 malam semalam ditutup pada pukul 3 petang tadi.
“Kesemua 146 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya, hanya PPS Masjid Sungai Seluang dalam Mukim Sungai Seluang yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih dibuka.
“PPS yang dibuka pada pukul 7.30 malam semalam itu menempatkan seramai 106 mangsa,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam Bengkel Penghasilan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuantan, dekat sini, hari ini.
SEBAHAGIAN PESERTA BENGKEL KITAR SEMULA MINYAK MASAK TERPAKAI
Bengkel anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) Wanita Inspirasi Kuantan, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuantan, Wanita IKRAM Kuantan dan KRT sekitar bandar ini.
Peserta didedahkan dengan kaedah pengurusan sisa dapur dengan lestari oleh Pengerusi Malaysian Nature Society (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar.
PENGERUSI MNS PAHANG, NOOR JEHAN BAKAR (TENGAH) BERSAMA WAKIL WANITA IKRAM PAHANG DAN PESERTA BENGKEL
Selain diberikan panduan mengenai kaedah menghasilkan sabun daripada sisa minyak masak terpakai, peserta turut diberikan taklimat mengenai peranan boleh dimainkan wanita bagi menguruskan sisa dapur dengan lebih sistematik.
Bengkel bermula kira-kira jam 9 pagi itu turut dihadiri Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JAWATAN TPM MILIK UMNO: KETETAPAN ITU AKAN DIBINCANGKAN SEGERA
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob berkata isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk diisi pemimpin parti itu akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.
Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.
NAIB PRESIDEN UMNO, ISMAIL SABRI YAAKOB
Beliau berkata, selain itu, tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.
Justeru, katanya, perbincangan antara Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dengan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi akan disegerakan selepas Belanjawan 2021 diselesaikan.
“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada BERSATU.
“Jadi adillah kalau UMNO minta (jawatan) TPM dan wajar diberikan kepada UMNO sebagaimana cadangan Biro Politik dan dipersetujui Majlis Tertinggi,” katanya seperti dilapor MingguanMalaysia.
Ditanya siapakah pemimpin UMNO layak mengisi jawatan itu, Ismail Sabri berkata, persetujuan parti adalah mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden selain tiga Naib Presiden.
Beliau berkata, lima pemimpin itu boleh dipertimbangkan jika mengambil kira kedudukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bukan ahli parlimen.
“Kita menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai (siapa yang sepatutnya layak). Bagi UMNO, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki itu tidak wajar mengisi jawatan tersebut.
“Tidak boleh sesuka hati nak lantik sesiapa, kena hormat pendirian UMNO. Jadi saya harap selepas Belanjawan, perkara ini dibincangkan semula,” katanya.
“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi (Parlimen), paling besar, tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang, yang lain (tiga) semua daripada BERSATU,” Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob
Sementara itu, mengulas isu sama, Zahid mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak mendesak Perdana Menteri mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.
Zahid berkata, kuasa pelantikan timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara perdana menteri.
“Oleh yang demikian, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti. Hak pelantikan itu adalah hak perdana menteri.
“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan perdana menteri,” katanya.
Sebelum ini, ada ura-ura nama Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah turut disebut-sebut sebagai calon TPM.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang suspek lelaki warga Nigeria ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga, di sebuah apartment di Danau Kota, Setapak, di Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira jam 8 pagi tadi.
Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol salah seorang anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.
GAMBAR HIASAN
“Mangsa (anak perempuan tiri suspek) ketika itu sedang tidur, namun perbuatan suspek telah dihalang oleh isteri dan tiga anak perempuan tiri suspek yang lain.
“Berang dengan kejadian itu, suspek telah mengamuk, memukul dan menghentak isteri dan empat anak tiri suspek yang berada di dalam rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, ekoran itu suspek memukul cucu tirinya sehingga lemah-longlai, sebelum mencampakkan cucunya ke luar tingkap di bilik utama sehingga jatuh.
Dia berkata isteri suspek berusia 49 tahun yang melihat kejadian itu, lalu menjerit meminta tolong dan menyelamatkan diri bersama empat anaknya yang lain, untuk mendapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan apartment itu.
“Ekoran itu, suspek cuba melarikan diri melompat keluar melalui tingkap sebelum mengalami kecederaan akibat impak melompat dari tingkat tiga dan telah ditahan orang awam dan pengawal keselamatan apartment itu,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata suspek mengalami kecederaan di tangan dan beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
“Mayat kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGKOK: Fosil ikan paus yang lengkap dan masih terpelihara dianggarkan berusia antara 3,000 hingga 5,000 tahun ditemukan di Thailand, awal bulan ini.
Memetik laporan BBC, Fosil berukuran 12 meter yang dipercayai daripada spesies Bryde itu ditemukan 12 kilometer dari barat Bangkok.
Kumpulan pakar berharap penemuan itu dapat membuka lembaran baharu kepada sumber kajian mengenai masa lalu, khususnya berkaitan paras laut dan biodiversiti.
FOSIL IKAN PAUS SPESIES BRYDE DITEMUI BERHAMPIRAN PANTAI SAMUT SAKHON, BARAT THAILAND/BBC
Penyelidik Mamalia dari Universiti Kebangsaan Singapura, Marcus Chua berkata, penemuan fosil tulang itu jarang berlaku.
“Hanya sedikit subfosil ikan paus (ditemukan) di Asia dan hanya sedikit sahaja ditemukan dalam keadaan baik,” katanya.
Gambar fosil ikan paus itu yang dikongsi Menteri Alam Sekitar Thailand, Varawut Silpa-archa menunjukkan tulang mamalia itu kelihatan hampir lengkap.
Menurut ahli politik itu, lebih daripada 80 peratus fosil ikan paus ini dipulihkan, termasuk tulang belakang, rusuk, sirip dan bahu. Kepala paus itu dianggarkan sepanjang sekitar tiga meter.
Chua berkata, penemuan itu membolehkan penyelidik mengkaji perbezaan spesies itu pada masa lalu dengan ikan paus Bryde ketika ini.
Fosil itu juga akan memberikan maklumat mengenai keadaan paleobiologi dan geologi, termasuk keadaan permukaan laut, sedimen serta komuniti biologi kontemporari pada masa itu.
“Oleh itu, penemuan ini akan memberi laluan untuk mengetahui masa lalu apabila usia sebenar fosil itu diketahui,” kata Chua.
Usia sebenar fosil ikan paus itu masih belum dapat ditentukan dan ia diharapkan diketahui menjelang Disember ini.
Fosil itu ditemukan di pinggir pantai di Samut Sakhon. Paus Bryde yang masih wujud ketika ini hidup perairan beriklim tropika.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mampu berkereta mewah dan sering keluar negara untuk bermain golf, itu antara gaya hidup berlebihan yang dikesan dalam kalangan segelintir pegawai dan anggota polis, walaupun tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan yang diperoleh.
Cara hidup ala orang kaya itu dengan bangganya dikongsikan menerusi laman sosial peribadi masing-masing, sehingga mendatangkan tanda tanya terutama dalam kalangan orang awam, tentang sumber kekayaan yang diperoleh.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang memantau rapi trend itu untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya diberitahu ada anggota sering bermain golf selain membuat taruhan dalam aktiviti itu. Kalau dilihat bermain di kelab golf bertaraf sederhana sahaja, sekali bermain memerlukan kos RM200… kalau sebulan dah berapa perbelanjaan digunakan?
“Ada juga yang didapati kerap ke luar negeri untuk bermain sukan berkenaan sedangkan ia melibatkan pembiayaan tinggi. Apabila diperiksa berdasarkan jawatan atau pendapatan, sebenarnya mereka tidak mampu untuk menampungnya,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Selain itu Zamri berkata, pihaknya turut mengesan ada pegawai yang hanya berpangkat Inspektor, namun mampu membeli kereta serta memiliki rumah mewah yang diragukan sumber perolehannya.
Sehubungan itu, katanya anggota dan pegawai yang dikenal pasti itu akan diminta memberi penjelasan tentang sumber kewangan diperoleh, bagi membiayai cara hidup mewah itu.
“Jika tidak dapat memberikan justifikasi, mereka akan berdepan tindakan lanjut,” tegasnya.
Menurutnya, sebagai penjawat awam dan anggota badan beruniform, mereka perlu mengelakkan sebarang perbuatan salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan polis.
Pihaknya turut memberi perhatian terhadap majlis keramaian yang diadakan PDRM.
Menurutnya, majlis keramaian di peringkat kontinjen Bukit Aman terikat dengan peruntukan kerajaan dan mempunyai hadnya sendiri untuk digunakan.
Hal itu kadang kala memerlukan peruntukan luar yang diperoleh secara rasmi atau sebaliknya.
“Biasanya peruntukan yang rasmi itu tidak banyak berbanding secara tidak rasmi, menyebabkan ada anggota yang terdedah dengan aktiviti rasuah dan sebagainya.
“Contohnya apabila mereka mendapat peruntukan itu dari pusat hiburan atau kelab malam di luar sana, ia menyebabkan mereka terikat, bahkan tidak dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan jenayah, melibatkan premis itu pada masa akan datang,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali mendakwa idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) tercetus dari bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, tujuan penubuhan tersebut pada asalnya untuk menjadikan Dr Mahathir seorang perdana menteri yang disokong oleh semua anggota parlimen dari kedua-dua belah pihak.
MOHAMED AZMIN ALI (KIRI) BERSAMA MUHYIDDIN YASSIN/TWITTER
Azmin yang merupakan ahli politik di sebalik kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan penubuhan PN yang dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, rancangan dibuat agar pilihan raya umum (PRU) diadakan pada Oktober namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana gelombang ketiga wabak COVID-19.
“PN bukan kerajaan pintu belakang kerana terdapat kekosongan jawatan (perdana menteri).
“Saya tidak mencadangkan pada masa itu. Jika kejadian (Mahathir letak jawatan) tidak berlaku- di mana kami ketuk pintu untuk masuk ke dalam dan keluarkan dia.
“Itu bukan dalam rancangannya,” kata seperti dilaporkan dalam wawancara TheStar.
Azmin mendedahkan, sebelum Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu, satu akaun berkanun (SD) merangkumi 131 sokongan anggota parlimen daripada pelbagai parti disampaikan ke Istana Negara.
BEKAS PENGERUSI BERSATU, DR MAHATHIR MOHAMAD/GOOGLE IMAGES
“Ia menamakan dengan satu nama untuk Perdana Menteri, Dr Mahathir.
“Kami berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Mahathir dapat meneruskan sebagai perdana menteri,” katanya.
Langkah itu bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Mahathir sendiri untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang merupakan pemimpin parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).
“Itu adalah hasil mesyuarat yang kita buat di rumahnya (Mahathir) pada 23 Februari jam 4 petang di mana dia berjumpa dengan enam ketua parti politik, termasuk Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg dan saya,” katanya.
Azmin turut merujuk situasi ketika Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, di mana semua pemimpin Melayu hadir kecuali Anwar dan mempersoalkan tindakan Mahathir untuk hadir ke kongres tersebut dengan UMNO dan PAS.
PRESIDEN PKR, ANWAR IBRAHIM/GOOGLE IMAGES
“Kami dihurung krisis politik ketika Mahathir letak jawatan.
“Jika Muhyiddin tidak bertindak, seseorang mungkin akan ke Istana Negara dan memohon untuk jadi perdana menteri. Saya tidak akan biarkan hal itu berlaku.
“Pilihan yang ada untuk saya dan Muhyiddin adalah untuk tinggalkan PH,” katanya.
Azmin yang juga merupakan bekas timbalan presiden PKR menambah, pada 24 hingga 28 Februari lalu, ketika Mahathir menjadi perdana menteri interim, dia bertungkus lumus berusaha mendapatkan sokongan ahli parlimen.
“Jika tiada sokongan, tiada apa boleh dilakukan. Oleh kerana, tidak ada persidangan parlimen ketika itu, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Agong harus memutuskan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.
“Akhirnya, Muhyiddin dapat sokongan, Sudah tentu kami bentuk kerajaan baru, bukan melalui pilihan raya tetapi melalui krisis politik.
“Jika Mahathir tidak letak jawatan Isnin itu, dia akan kekal jadi perdana menteri dengan majoriti besar,” ujarnya.
Azmin turut menafikan dakwaan bahawa PN adalah kerajaan pintu belakang.
“Agong telah buka pintu untuk kami masuk, jadi bukan kerajaan pintu belakang,” tegasnya.
Katanya, dia turut menyatakan bahawa tidak memilih Muhyiddin berbanding Mahathir.
“Saya rasa kita patut benarkan Muhyiddin pimpin, terutama ketika wabak melanda.
“Apa-apa pun yang dikata, saya rasa Muhyiddin buat tugas yang bagus- sangat fokus menguruskan wabak COVID-19 dan hal ekonomi,” katanya.
Azmin turut mengaku, sekiranya tiada wabak COVID-19, pilihan raya sudah diadakan bulan lalu.
“Meskipun kami ada majoriti, dengan segannya, saya boleh kata majoriti kecil.
“Bila kerajaan lemah (atau) tidak stabil, kita tidak dapat fokus untuk membantu rakyat.
“Jika kamu tanya saya, sudah tentu kita akan kembalikan mandat kepada rakyat.
“Jika tanya saya sepatutnya pilihan raya bulan depan tetapi malangnya kita berdepan COVID-19,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Azmin turut mengakui susulan peningkatan mendadak COVID-19 ekoran pilihan raya negeri Sabah, pilihan raya bukan lagi satu pilihan.
“Rakyat tidak boleh terima kerana mereka mahu kerajaan kurangkan penularan COVID-19 dan bantu dari sudut pekerjaan dan memastikan mereka dapat bantuan makanan,” katanya.
Katanya lagi, hanya kementerian kesihatan Malaysia (KKM) boleh memberikan lampu hijau untuk mengadakan pilihan raya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN : Seramai 30 penduduk pelbagai kaum di Taman Impianku, di sini menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sumbangan anjuran Prihatin Taman Impian itu bagi meringankan beban mereka ketika negara dilanda wabak Covid-19.
Pada Program Kebajikan bersama Komuniti Taman Impianku, dalam ucapannya beliau memaklumkan agar semua masyarakat perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan bagi mengelak penularan COVID-19.
Datuk Saifuddin (tengah) bersama komuniti Taman Impianku di Kuantan
Beliau yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, penjarakan fizikal amat penting kerana virus tersebut boleh merebak apabila bersentuhan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Tiga daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun dan Marang masih dilanda banjir melibatkan seramai 1,041 orang daripada 269 keluarga.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir hari ini berlaku penurunan ketara berbanding lewat malam tadi.
LEFTENAN KOLONEL (PA) CHE ADAM A RAHMAN/GOOGLE IMAGES
“Pagi ini jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan berbanding 1,500 mangsa direkodkan lewat malam tadi.
“Sehingga kini daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 897 mangsa daripada 229 keluarga diikuti Dungun (130) dan Marang (14),” katanya dalam satu kenyataan dilaporkan Malaysiapost.
Beliau berkata, penurunan jumlah penduduk dipindahkan berdasarkan faktor cuaca yang semakin baik hari ini.
“Lewat petang semalam hingga pagi ini tiada hujan dalam tempoh 12 jam menyebabkan paras sungai di daerah Kemaman berlaku penurunan terutama di Sungai Tebak, Sungai Air Putih dan Sungai Kemaman.
“Keadaan air dalam tempoh 24 jam lalu juga mengalir dengan baik di kawasan hilir menyebabkan tidak berlaku kenaikan air secara drastik.
“Jadi, sebahagian penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu berpindah.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan tiada berlaku kenaikan aras air di sungai-sungai utama di Terengganu setakat ini,” katanya.
Setakat jam 8 pagi tadi, pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Kemaman iaitu Dewan Serbaguna Kampung Air Putih, Surau Haji Othman, Dewan Sivik FELDA Seberang Tayor, Masjid Kampung Batu 16, Dewan Orang Ramai Batu 14, Masjid Batu 14, Pusat Pemindahan Pasir Gajah dan Surau Kampung Banho.
Dungun pula sebanyak tiga PPS dibuka iaitu Dewan Serbaguna Pasir Raja, Dewan Serbaguna Shukor dan Dewan Serbaguna Kampung Minda manakala sebuah PPS dibuka di Marang iaitu di SMK Merchang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!