TAPAH : Seorang wanita maut setelah kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori di Kilometer 80, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Sungkai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, Tan Ann Chi, 34, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Toyota Vios dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur.
GAMBAR IHSAN JBPM
Katanya, setibanya di tempat kejadian, sebuah lori tanpa muatan yang dalam perjalanan ke Ipoh telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta berkenaan.
“Kemalangan itu menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa remuk dan mangsa mengalami kecederaan parah.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi kejadian,” katanya.
KOSMO! Online melaporkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala pemandu lori yang tidak cedera berusia 29 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
GAMBAR IHSAN JBPM
“Kedua-dua kenderaan juga akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan siasatan kes dijalankan mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TERENGGANU : Kakitangan Pusat Konservasi Gajah (PKG) Sungai Deka, Terengganu berjaya menyelamatkan seekor anak gajah jantan yang terperangkap akibat banjir, 7 Januari lalu.
Tindakan pantas kakitangan PKG itu adalah hasil maklumat awam, susulan penyebaran video klip mengenai kejadian berkenaan di media sosial.
GAMBAR IHSAN PERHILITAN
Bagaimanapun, usaha mengesan ibu kepada anak gajah terbabit di kawasan berhampiran tidak berjaya.
Difahamkan, anak gajah itu berada dalam keadaan baik dan sihat serta berada dalam jagaan pegawai veterinar dari PERHILITAN Terengganu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PANDU PUTERI BERJAYA KUMPUL SATU LORI PLASTIK TERBUANG
JERANTUT : Sebanyak satu lori plastik pelbagai jenis berjaya dikutip oleh seramai 63 orang ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Daerah Jerantut yang terdiri daripada Ahli Pandu Puteri Tunas, Remaja dan Renjer dari pelbagai sekolah di Jerantut.
Usaha mengutip plastik di sekitar tapak pekan sehari Jerantut dan sekitar taman permainan, sekali gus dapat memastikan plastik tidak mencemari bandar pelancongan itu dan mendidik masyarakat menjaga kebersihan alam sekitar.
Pengerusi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Jerantut, Khairun Nissa Aris berkata usaha persatuan itu adalah untuk memberi kebaikan kepada semua pihak, terutama peserta dan masyarakat sekeliling untuk mengurangkan penggunaan plastik di dalam kehidupan seharian.
GAMBAR IHSAN PANDU PUTERI JERANTUT
“Ia adalah satu amalan yang amat baik kerana plastik merupakan bahan yang mengambil masa yang paling lama untuk diuraikan.
“Pada masa ini, plastik bagai tidak boleh dipisahkan kerana ramai bergantung kepada penggunaan barangan plastik dalam kehidupan harian,” katanya.
Beliau berkata, boleh dikatakan setiap rumah pasti mempunyai barangan plastik kerana kelebihannya tahan lama, kalis air, cantik dan murah menyebabkan ia sentiasa menjadi pilihan masyarakat selain membantu memudahkan banyak urusan harian mereka.
“Dalam masa yang sama, tidak kurang juga ramai menganggap lambakan penggunaan bahan plastik sebagai isu remeh sehinggakan mereka membuang sampah merata-rata dan bukan di tempat sepatutnya.
“Namun di sebalik itu, ramai tidak menyedari plastik adalah musuh senyap kepada manusia dan boleh membunuh,” katanya.
Khairun Nissa berkata usaha PPPM ini juga selaras dengan Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation Environment Program – UNEP) untuk ahli pandu puteri mendapatkan lencana baharu, peringkat kebangsaan iaitu Tide Turners Plastic Challenge Badge (TTPCB), suatu gerakan baharu untuk bertindak dalam pertempuran menentang pencemaran plastik.
Katanya, TTPCB ini adalah gerakan remaja global untuk memerangi pencemaran plastik di seluruh dunia, untuk memberikan inspirasi kepada orang muda dan remaja memimpin perubahan di kediaman, sekolah dan masyarakat setempat.
GAMBAR IHSAN PANDU PUTERI JERANTUT
“Lencana ini bukan sahaja mendorong orang muda dan remaja untuk mengambil tindakan mengurangkan sampah plastik dalam kehidupan mereka sendiri, tetapi juga membantu mereka menjadi pemimpin dalam komuniti setempat.
“Dalam masa yang sama, usaha ini adalah untuk memastikan seramai mungkin orang menyertai perjuangan global untuk mengatasi bencana plastik yang merosakkan lautan dan memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan terhadap masalah itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PANTAU DAN TEGURAN BAGI MENAMBAHBAIK PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP)
BENTONG: Pihak polis melakukan beberapa teguran terhadap pengurusan sebuah pasaraya bagi menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam semalam.
Dalam tinjauan yang dilakukan pihak polis di sebuah pasaraya malam semalam antara teguran yang dibuat adalah mengenai pemasangan tanda penjarakan untuk pelanggan yang beratur sama ada membayar atau membungkus makanan.
Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di premis-premis termasuk pasaraya dan sebagainya bagi memastikan SOP ditetapkan dilaksanakan dengan baik.
“Malam ini terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang dan mulai tengah malam ini bermula PKP 2.0 dan malam ini kita hendak tengok bagaimana khususnya pihak pasaraya ini menyediakan pematuhan SOP dan juga pengunjung….
Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd. Kahar
“Setakat ini kita tengok pihak pasaraya mematuhi SOP begitu juga dengan pengunjung yang ada di sini, cuma ada satu dua teguran kita buat supaya mereka menambahbaik,”.
Menurut Zaiham pihak polis akan melaksanakan pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang gagal mematuhi SOP dalam pelaksanaan PKP yang telah masuk fasa kedua.
Katanya, pihak polis juga berharap masyarakat memberikan kerjasama kepada pihak polis dan turut sama membuat teguran terhadap individu yang tidak mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Dalam pada itu katanya, dua lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan di daerah ini bermula tengah malam tadi menjadikan lima SJR dibuka di daerah ini setakat ini.
“Bermula tengah malam tadi kita menambah dua lagi sekatan jalan raya di Bentong iaitu di Jalan Tras dan Jalan Besar Karak menjadikan lima SJR dilaksanakan melibatkan negeri dan daerah,”ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda BERSATU (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Januari lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar.
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber dalaman polis yang enggan dinamakan memandangkan ia masih dalam siasatan.
Bercakap dengan Malaysiakini, dia berkata polis merampas 1.5 kilogram leraian daun kering disyaki ganja, sembilan pokok ganja, dan sejumlah besar cecair disyaki memiliki kandungan dadah jenis itu.
GAMBAR HIASAN
Dia berkata polis bertindak setelah mendapat maklumat awam dan menangkap suspek yang berusia 35 tahun di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu lalu, atas kesalahan memiliki barang terlarang.
Susulan tangkapan, polis menyerbu kondominium suspek di Ampang, Selangor pada hari sama.
“Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.
“Kami juga menemui daun kering ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas,” kata sumber lagi.
Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.
Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.
Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
“Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja,” kata sumber ketika dihubungi Malaysiakini
Malaysiakini tidak mendedahkan nama ahli politik ini kecuali dia telah didakwa.
Dia masih suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.
Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam BERSATU.
Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro dalam Armada.
Ketika PRU 2018, dia menjadi calon BERSATU di kerusi Parlimen di Perak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan kes ini dan ia di bawah siasatan polis Kuala Lumpur.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin dan sedang menunggu maklum balasnya.
Ini bukan kali pertama seorang tokoh BERSATU disiasat atas kes berkaitan dadah.
Pada Januari tahun lalu, ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah merupakan antara yang ditahan dalam satu serbuan berkaitan dadah di Kuala Lumpur.
Ketika itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada mulanya berkata 16 (daripada 17) yang ditahan di sebuah unit kondominium setelah mereka diuji positif dadah.
Dadah jenis ketamine dan ganja turut ditemui di unit tersebut, katanya.
Dua bulan kemudian dan setelah pertukaran kerajaan, pihak berkuasa memaklumkan laporan patologi Adhif mendapati ujian air kencingnya negatif dan Pejabat Peguam Negara mengarahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SHAH ALAM – Ustaz Ebit Lew agihkan 100 unit tablet kepada pelajar yang memerlukan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian.
Sinar Harian melaporkan, penceramah bebas itu membantu pelajar yang tidak berkemampuan dan memerlukan tablet untuk meneruskan pembelajaran sepanjang pandemik COVID-19 yang masih aktif.
Melalui akaun Instagram dan Facebook, beliau memberitahu kepada sesiapa yang memerlukan boleh hubungi talian
017-5870294.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WANITA TERBABIT SEBELUM INI DITAHAN SELEPAS GAGAL MEMBAYAR RM58 BERSAMANYA DI SEBUAH PASAR RAYA.
PETALING JAYA: Terkesan dengan tindakan Polis Daerah Petaling Jaya memberi bantuan kepada seorang ibu tiga anak yang ditahan selepas dilaporkan mencuri di sebuah pasar raya, semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, muncul secara mengejut di kediaman wanita berkenaan di Lembah Subang, malam tadi.
Menteri Besar Selangor itu datang secara diam-diam bersama dua pembantunya pada jam 10 malam ketika wartawan dan jurugambar BH sedang membuat liputan di kediaman wanita terbabit di Taman Putra Damai.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya menziarah wanita terbabit dan turut memberi sumbangan, kelmarin.
Katanya, beliau membuat keputusan melawat keluarga wanita itu selepas kisahnya mencuri pelekat penyejuk demam untuk anaknya yang sakit dan makanan bagi anaknya disiarkan media hari ini.
“Saya tersentuh dengan hal ini apatah lagi di Selangor kita mempunyai program khusus untuk mereka yang memerlukan, Insya-Allah kita akan menguruskan bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), khusus untuk membeli barang keperluan bernilai RM200 sebulan.
“Cuma untuk peringkat awal, ibu ini perlu mendaftar bagi mendapatkan bantuan di Selangor kerana sebelum ini beliau beralamat di negeri Pahang dan segala urusannya akan kita permudahkan dengan segera,” katanya kepada wartawan BH, sebentar tadi.
Wanita terbabit sebelum itu ditahan selepas gagal membayar barang berjumlah RM58 yang ada bersamanya di sebuah pasar raya semalam.
Menyedari kesulitan dialami wanita berkenaan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal bertindak membantu wanita berkenaan dengan membelikan barang yang diperlukan termasuk menutup kes berkenaan daripada tindakan lanjut.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau berterima kasih kepada Nik Ezanee yang bertindak pantas memberikan bantuan selepas menyedari kes berkenaan.
“Saya berterima kasih dan kagum dengan tindakan pantas Tuan Nik Ezanee, yang berusaha memberikan bantuan selepas menyedari kesulitan dialami wanita itu, selain turut menutup kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Amirudin turut menyampaikan sumbangan peribadi namun enggan mendedahkan butiran sumbangannya.
Selesai ditemubual, Amirudin meninggalkan pangsapuri berkenaan secara senyap-senyap dengan menaiki kenderaan peribadi bagi mengelak kehadirannya diketahui penduduk setempat.
Sementara itu, ketika ditemui, wanita terbabit berkata, dia tidak menyangka Menteri Besar Selangor sudi datang ke rumahnya dan memberi bantuan peribadi.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada Menteri Besar yang datang ketika jauh malam untuk mengunjungi kami selepas mengetahui kejadian yang berlaku.
“Saya sedar tindakan saya itu salah dan didorong tanpa fikiran waras disebabkan keadaan anak sakit dan kelaparan di rumah, namun saya berjanji untuk tidak mengulanginya lagi,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Seramai 215 pengusaha bot dan pemandu pelancong Taman Negara menerima sumbangan wang tunai daripada Kerajaan Pahang.
Sumbangan disampaikan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah di sini, semalam.
GAMBAR IHSAN PEJABAT ADUN PULAU TAWAR
Setiap pengusaha bot menerima RM600 untuk membantu mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hari ini di Pahang.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan Pahang untuk membantu pemain industri pelancongan yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19 melanda negara ini sejak tahun lalu.
“Pendapatan mereka (pengusaha bot) terjejas teruk sepanjang tahun lalu berikutan kurang pelancong mengunjungi Taman Negara.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak
“Awal tahun ini pula, mereka diuji sekali lagi dengan bencana banjir yang luar biasa. Diharapkan sumbangan kerajaan Pahang ini dapat membantu meringankan bebanan ditanggung pengusaha bot yang terbabit,” katanya.
GAMBAR IHSAN PEJABAT ADUN PULAU TAWAR
Selain pengusaha bot, seramai 117 pemandu pelancong Taman Negara turut menerima bantuan one-off itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAHNIAH POLIS PETALING JAYA PEKA DENGAN KESUKARAN MASYARAKAT: PERLU KERJASAMA SEMUA PIHAK PANTAU SITUASI SEMASA JIRAN TETANGGA
Terbaca isu ibu muda mencuri penampal penyejuk suhu badan (koolfever) untuk anaknya yang sedang demam dan kek pandan serta sosej kerana anaknya lapar telah mendapat perhatian Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya dan perlu dilihat dari sudut kemanusiaan.
Syabas dan terima kasih kepada Timbalan Polis tersebut yang peka dengan keadaan semasa serta mengugurkan kes tersebut dan turut menghulurkan sumbangan menjadi iktibar kepada pihak lain yang berkaitan.
Pihak tertentu yang berkaitan yang dianggap seperti disindir dengan isu ini, perlu memikirkan cara untuk menghulurkan bantuan di kala pendemik Covid-19, ramai yang gaji dipotong sehingga 50 peratus, malah ada yang diberhentikan kerja.
Dalam keadaan gawat dan kalut, ada pihak yang terkesan pastinya memberi sedikit kesukaran kepada mereka yang bergaji rendah dan tinggal di kawasan bertaraf hidup yang tinggi dan mahal seperti Petaling Jaya.
Saya merasakan pihak pungutan zakat daerah dan negeri perlu memainkan peranan dengan pegawainya membuka mata dan telinga mendapatkan maklumat golongan terkesan.
Pegawai di pejabat pusat zakat harus memainkan peranan dengan memohon bantuan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), pengerusi dan jawatankuasa badan kawasan perumahan, jawatankuasa masjid dan surau dan anggota masyarakat setempat.
Birokrasi yang ketat perlu dihindarkan yang boleh membantutkan pihak yang sangat memerlukan untuk mendapatkan bantuan segera seperti yang berlaku kepada ibu muda yang ditahan pihak pasaraya kerana mencuri.
Pihak masjid, surau, balai raya atau tempat yang sesuai boleh membuka almari bantuan makanan yang disedekahkan atau disumbang oleh orang ramai untuk diambil oleh anggota masyarakat yang sangat terkesan seperti makanan dan keperluan.
Selain itu, setiap bantuan perlu mengelakkan rasa pilih bulu dan fahaman politik kerana banyak yang sudah berlaku sebelum ini.
Pusat zakat negeri perlu memperuntukan beberapa peratus kutipan di daerah-daerah untuk disimpan dan diguna secara serta merta, istilah golongan asnaf harus diketepikan seketika kerana mereka yang sangat memerlukan dan terdesak harus dibela.
Jangan sedih dan malu kemudian hari kalau ada pihak lain terutama daripada golongan bukan Islam yang akan membantu.
Pihak pungutan zakat negeri-negeri jangan berbangga dengan kutipan tertinggi tahunan sedangkan ramai yang memerlukan masih tidak dibela.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mencadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan, demi menjaga kepentingan 3.6 juta ahli parti itu.
Kenyataan media Ahmad Tajuddin mengenai pendirian UMNO Bahagian berkenaan diedarkan kepada petugas media di Pahang pagi tadi.
KENYATAAN MEDIA KETUA UMNO BAHAGIAN PAYA BESAR
“Kemelut pimpinan tertinggi UMNO, khususnya ahli majlis kerja tertinggi (MKT) dan ahli Parlimen sejak PRU-14 dan perhimpunan agung UMNO 2018 berlarutan tanpa kelihatan dapat diselesaikan.
“Tindak tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan UMNO kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi PRU-15,” katanya.
Ahmad Tajuddin turut menyatakan bahawa kesan langsung pendakwaan salah laku terhadap pimpinan UMNO membawa beban berat kebangkitan semula UMNO.
Katanya lagi, ahli UMNO tidak dapat melihat dengan jelas kewajaran mendokong pemimpin yang dipecat oleh ahli MKT sendiri.
“Penolakan kerjasama dengan BERSATU oleh (sejumlah) UMNO Bahagian (sebelum ini) jelas memperlihatkan ketegasan penolakan ahli UMNO terhadap pimpinan kerajaan BERSATU,” katanya.
Beliau meminta Ahmad Zahid berundur demi bangsa Melayu, UMNO dan kesetiaan ahli UMNO terhadap parti berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!