Tiada lesen lebih 3 tahun, subsidi RON95 disekat automatik
PUTRAJAYA – Rakyat tempatan yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tiga tahun tidak akan layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik di bawah program BUDI MADANI RON95.
Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setakat ini terdapat 2.4 juta pemegang lesen memandu kompeten (CDL) yang berada dalam status tidak aktif kerana lesen mereka tamat tempoh lebih tiga tahun.
Golongan ini bukan sahaja hilang kelayakan subsidi RON95, malah perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) Bahagian 2 dan 3 sekiranya mahu mengaktifkan semula lesen.
Sistem Kementerian Kewangan (MOF) akan menyekat secara automatik pemberian subsidi kepada individu yang tidak mempunyai lesen sah.
“Sekiranya lesen memandu tidak diperbaharui melebihi tiga tahun, rekod pemegang lesen akan dipadam dan mereka dianggap tidak layak menikmati subsidi RON95,” lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, daripada lebih 15 juta lesen memandu aktif, seramai 925,421 pemegang lesen dikenal pasti masih belum memperbaharui lesen tetapi tempoh tamatnya kurang tiga tahun, termasuk 154,641 orang yang hampir mencapai had tiga tahun.
Golongan ini diingatkan segera memperbaharui lesen bagi mengelakkan sekatan subsidi dan keperluan menduduki semula ujian pemanduan.
Orang ramai disaran menyemak status lesen masing-masing di portal JPJ atau kaunter JPJ terdekat bagi memastikan kelayakan mereka tidak terjejas.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
724 petani dan nelayan Jerantut terima sumbangan IM Pahang
JERANTUT – Seramai 724 penerima dalam kalangan petani, penternak dan nelayan di daerah ini menerima bantuan Inisiatif Muafakat (IM) Pahang Kluster B40 yang disampaikan pada satu majlis khas, semalam.
Majlis penyerahan sumbangan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Haris Salleh, yang turut menyampaikan bantuan berbentuk wang tunai bernilai RM200 setiap seorang.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman, yang bersama-sama menyempurnakan penyampaian bantuan kepada penerima terpilih.
Menurut Razak, seramai 200 penerima daripada sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Jerantut diraikan pada majlis itu, daripada jumlah keseluruhan 700 penerima di daerah berkenaan.
Razak Daud – AJK umno bahagian jerantut
“Bagi saya, ini adalah peluang untuk bersama turun padang menyantuni masyarakat akar umbi yang selama ini menjadi tulang belakang kepada sektor makanan negara.
Sumbangan ini walaupun kecil diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan yang berlangsung meriah dengan kehadiran wakil agensi serta pimpinan tempatan.
Sementara itu, Haris dalam ucapannya menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terbela, khususnya golongan B40 yang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian dan perikanan.
“Program IM Pahang ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam mendampingi masyarakat, selain mengiktiraf sumbangan besar petani, penternak dan nelayan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan,” jelasnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
19 kontijen meriahkan perarakan Maulidur Rasul di Jengka
JENGKA – Suasana penuh warna-warni menyelubungi pekan Jengka apabila sebanyak 19 kontijen menyertai Perarakan Maulidur Rasul anjuran Pejabat Kadi Daerah Jengka dengan kerjasama gabungan masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KRT) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), semalam.
Majlis bersempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu dihadiri ratusan peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penduduk kampung, ahli kariah dan badan bukan kerajaan (NGO).
Di rasmikan oleh Datuk Seri Syed Ibrahim syed ahmad, Pengerusi jawatankuasa hal ehwal islam kemajuan desa dan hal ehwal islam orang asli negeri Pahang.
Perarakan bermula seawal jam 8 pagi dengan bacaan selawat bergema sepanjang laluan utama pekan sebelum peserta menuju ke tapak sambutan.
Program itu dirasmikan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah, yang menzahirkan rasa gembira melihat semangat masyarakat setempat berganding bahu menjayakan acara tahunan berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran itu bukan sahaja memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam, malah memberi peluang kepada generasi muda meneladani perjuangan dan keperibadian Rasulullah SAW.
“Perpaduan yang ditunjukkan hari ini wajar menjadi contoh dalam kehidupan seharian. Kita bukan sekadar mengingati hari kelahiran Baginda SAW, tetapi turut menjiwai sunnah dan amalan yang ditinggalkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud, berkata program berkenaan membuktikan kerjasama erat antara masjid, sekolah dan masyarakat setempat dalam memperkasakan syiar Islam.
Peserta berpakaian tradisional Melayu menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Jengka anjuran Pejabat Kadi Daerah Jengka bersama gabungan masjid, KRT dan KAFA
“Gabungan ini bukan sahaja menganjurkan perarakan, malah akan merancang lebih banyak aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan agar umat Islam di wilayah ini terus bersatu,” katanya.
Selain perarakan, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk ceramah agama, pertandingan selawat serta pameran sejarah Islam yang menarik minat orang ramai.
Acara berakhir kira-kira jam 12 tengah hari dengan penyampaian hadiah kepada kontijen terbaik berdasarkan kreativiti sepanduk, kekemasan barisan dan semangat selawat sepanjang perarakan.
ntijen meriahkan perarakan Maulidur Rasul di Jengka
JENGKA – Suasana penuh warna-warni menyelubungi pekan Jengka apabila sebanyak 19 kontijen menyertai Perarakan Maulidur Rasul anjuran Pejabat Kadi Daerah Jengka dengan kerjasama gabungan masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (KRT) serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), semalam.
Majlis bersempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW itu dihadiri ratusan peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penduduk kampung, ahli kariah dan badan bukan kerajaan (NGO).
Perarakan bermula seawal jam 8 pagi dengan bacaan selawat bergema sepanjang laluan utama pekan sebelum peserta menuju ke tapak sambutan.
Program itu dirasmikan oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim bin Nik Abdullah, yang menzahirkan rasa gembira melihat semangat masyarakat setempat berganding bahu menjayakan acara tahunan berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran itu bukan sahaja memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam, malah memberi peluang kepada generasi muda meneladani perjuangan dan keperibadian Rasulullah SAW.
“Perpaduan yang ditunjukkan hari ini wajar menjadi contoh dalam kehidupan seharian. Kita bukan sekadar mengingati hari kelahiran Baginda SAW, tetapi turut menjiwai sunnah dan amalan yang ditinggalkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud, berkata program berkenaan membuktikan kerjasama erat antara masjid, sekolah dan masyarakat setempat dalam memperkasakan syiar Islam.
“Gabungan ini bukan sahaja menganjurkan perarakan, malah akan merancang lebih banyak aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan agar umat Islam di wilayah ini terus bersatu,” katanya.
Selain perarakan, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk ceramah agama, pertandingan selawat serta pameran sejarah Islam yang menarik minat orang ramai.
Acara berakhir kira-kira jam 12 tengah hari dengan penyampaian hadiah kepada kontijen terbaik berdasarkan kreativiti sepanduk, kekemasan barisan dan semangat selawat sepanjang perarakan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Seramai 16 sukarelawan termasuk dua pejuang kanser menyertai ekspedisi dua fasa ini. Fasa pertama berlangsung di Racer Cave dan Stone Horse Cave, Mulu, Sarawak dari 11 hingga 14 September, sebelum diteruskan ke Gua Kota Gelanggi, Pahang dari 19 hingga 21 September.
Cave Out Cancer: Mencari Harapan di Tengah Kegelapan Gua
JERANTUT – Ekspedisi amal Cave Out Cancer anjuran Majlis Kanser Nasional (MAKNA) berjaya mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser kurang berkemampuan melalui cabaran menakluki gua ikonik di Malaysia.
Seramai 16 sukarelawan termasuk dua pejuang kanser menyertai ekspedisi dua fasa ini. Fasa pertama berlangsung di Racer Cave dan Stone Horse Cave, Mulu, Sarawak dari 11 hingga 14 September, sebelum diteruskan ke Gua Kota Gelanggi, Pahang dari 19 hingga 21 September.
Ketua projek, Ilham Hafifi, menyifatkan keberanian peserta sebagai inspirasi, dedikasi mereka, khususnya dua pejuang kanser, membuktikan bahawa kanser bukan halangan untuk terus berjuang.
Salah seorang peserta, Amir Nur Azizi, yang juga pejuang kanser, berkongsi semangat dan kecekalan dirinya.
“Saya menempuh laluan ini untuk setiap pejuang kanser, sebagai peringatan bahawa walaupun hidup terasa gelap, sinar harapan pasti akan tiba.
“Saya berasa jangan jadi halangan diri kita sebagai penghalang dalam mencari sesuatu yang orang biasa boleh lakukan,” katanya.
Semua dana yang dikumpulkan akan disalurkan sepenuhnya kepada MAKNA untuk menampung rawatan pesakit kanser kurang berkemampuan.
Orang ramai yang ingin menyokong usaha ini boleh menyalurkan sumbangan melalui laman web rasmi dan media sosial MAKNA.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang jenama semula skuad anti dadah, lancar bulan depan
Jengka – Skuad anti dadah di FELDA seluruh Pahang akan dijenamakan semula dan dilancarkan bulan Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan Exco FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu perlu dilakukan bagi memberi ‘kesegaran’ kepada skuad berkenaan yang sudah sedia wujud sebelumnya.
“Inisiatif ini diambil susulan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini yang mahu melihat gejala penagihan najis dadah di FELDA, dapat dibanteras dan dihapuskan.
“Untuk kali ini, kita bukan hanya menumpukan kepada usaha menghapuskan aktiviti tidak sihat ini di tanah rancangan di Pahang, tapi paling utama ialah tokan dadah juga kita akan hapuskan daripada menjadikan FELDA sebagai ‘lubuk rezeki’ mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2025/1447H di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.
Amizar berkata, selain mengaktifkan semula skuad anti dadah, kerajaan Pahang juga akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi berkaitan dalam menangani masalah penagihan dadah yang agak serius di FELDA sekitar Pahang ketika ini.
Datuk Amizar Abu Adam
Exco Hal Ehwal FELDA Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang
“Kerja (tanggungjawab) ini perlu digembeleng bersama dengan bantuan pihak polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelbagai lagi pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Untuk itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit bagi mencari jalan yang paling tuntas dalam menyelesaikan isu ini,” jelasnya.
Ditanya mengenai isu tokan dadah menjadikan FELDA sebagai sasaran utama mereka, beliau memberitahu, kemakmuran ekonomi dinikmati warga peneroka menjadi faktor tarikan kepada aktiviti pengedaran najis dadah dalam kawasan tanah rancangan.
“Keadaan ekonomi kebanyakan warga peneroka adalah sangat baik dan ia membuatkan tokan dadah menjadikan FELDA sebagai lokasi tumpuan mereka.
“Warga peneroka ini boleh dikatakan setiap bulan memperoleh pendapatan lumayan, jadi kuasa beli mereka tinggi dan ruang ini diambil pihak tidak bertanggungjawab seperti tokan dadah mencari untung,” ujarnya.
Beliau berharap, usaha membanteras penyalahgunaan najis di FELDA dapat dijayakan menerusi kerjasama semua pihak, selaras dengan hasrat Al-Sultan Abdullah.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JENGKA: Penglibatan aktif dalam kerja kebajikan dan pembangunan komuniti membawa pengiktirafan kepada Razak Daud, 65, apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Jengka 2025.
Beliau menerima penghargaan itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2025/1447H di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi, yang menghimpunkan warga FELDA Wilayah Jengka serta ahli gabungan masjid dari seluruh rancangan FELDA.
Turut hadir Majlis tersebut Exco kerajaan negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam Exco Hal Ehwal FELDA Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd. Tarmizi Lee dan Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Ariffin Wahab.
Razak Daud (dua dari kanan) menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka 2025 daripada wakil FELDA pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Tun Abdul Razak
Razak yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan kerana segala usaha dilakukan hanya untuk membantu masyarakat.
“Saya bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini walaupun tujuan memegang jawatan bukanlah untuk mendapatkan penghargaan.
Apa pun, kita akan teruskan membantu orang susah dan menjalankan kerja kebajikan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Peneroka Jengka 24 berkata , pencalonan itu mungkin dinilai berdasarkan pelbagai program keagamaan, sukan, kebajikan dan komuniti yang dianjurkan bersama Gabungan Masjid di bawah FELDA Wilayah Jengka.
“Saya tidak menyangka kerana sejak awal tujuan saya berkhidmat adalah untuk masyarakat, bukan mengejar gelaran. Namun apabila ada pihak menilai sumbangan itu, saya anggap ia sebagai satu amanah untuk terus berbakti,” katanya.
Turut menerima penghargaan pada majlis itu ialah Fazilah Said Abu Bakar, 69,
Razak Daud (kiri) dan Fazilah Said Abu Bakar (kanan) dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Wilayah Jengka 2025 pada majlis sambutan di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi.
Fazilah berkata, minatnya dalam kerja sosial dan kebajikan tidak pernah pudar biarpun sudah berusia, malah beliau masih menjadi tenaga pengajar dan jurulatih dalam aktiviti komuniti termasuk marhaban serta program keagamaan.
“Daripada dulu saya memang aktif sama ada di peringkat gabungan mahupun rancangan. Walaupun usia makin lanjut, saya tetap mahu memberi semangat kepada anak-anak dan masyarakat sekeliling,” katanya yang kini mempunyai lima anak serta 10 cucu.
Sambutan anjuran FELDA Wilayah Jengka itu turut disertai Pengerusi dan Exco Gabungan Masjid serta masyarakat setempat sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW selain mengiktiraf sumbangan tokoh yang banyak berjasa kepada agama dan komuniti.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bilangan ganti Mykad bertambah untuk akses bantuan
Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan berlaku peningkatan permohonan penggantian MyKad sejak pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, berkata trend berkenaan dipercayai berlaku kerana sebahagian pemohon mula sedar cip MyKad rosak dan boleh menjejaskan akses kepada bantuan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggantian MyKad tidak hanya dibuat untuk tujuan permohonan SARA, sebaliknya turut membabitkan faktor lain termasuk kerosakan, kehilangan atau akibat bencana.
“Sejak pengumuman SARA Julai lalu sehingga sekarang, terdapat peningkatan kira-kira 20 peratus bagi permohonan penggantian MyKad.
“Secara purata kita terima lebih 190,000 permohonan sebulan, dengan jumlah 220,000 pada Julai dan meningkat kepada 230,000 bulan lalu. Angka ini membabitkan keseluruhan penggantian MyKad, bukan hanya membabitkan masalah cip,” lapor Berita Harian, hari ini.
Badrul Hisham berkata, keadaan itu juga menunjukkan ada pemohon sebelum ini tidak menghadapi masalah kerana jarang menggunakan cip MyKad untuk urusan rasmi.
Namun, beliau berkata, apabila SARA dilaksanakan, mereka mula menyedari kepentingan cip MyKad yang berfungsi untuk memastikan akses kepada bantuan berjalan lancar.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Maut, motosikal mangsa tercampak 100 meter depan kuil
TEMERLOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang batu di Kilometer 8 Jalan Temerloh-Mentakab, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa, S. Ravichanthiran, 28, pengusaha perkhidmatan pengawal keselamatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Marina Hashim berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Temerloh ke Mentakab.
“Apabila melalui laluan berselekoh motosikal itu terbabas dan melanggar penghadang batu di tengah jalan.
“Impak kuat itu menyebabkan mangsa tercampak, manakala motosikalnya ditemui di hadapan sebuah kuil kira-kira 100 meter dari tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Marina, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penggerak Madani sokong titah Sultan, serbu Felda cari idea pembangunan
MARAN – Penggerak Madani Negeri Pahang menyatakan komitmen penuh menyokong titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar isu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Felda diberi perhatian serius.
Pengerusinya, Mohamed Hafez Harun, berkata sebagai menjayakan seruan itu, pihaknya merancang program khas melibatkan serbuan ke beberapa kawasan Felda terpilih bersama lebih 200 peserta bagi mendapatkan maklumat serta merangka strategi pembangunan.
“Titah Tuanku jelas menekankan keperluan membela warga Felda. Justeru kita turun padang, duduk bersama peneroka, kumpul data dan faham masalah mereka. Apabila ada gambaran sebenar, agensi daerah serta pihak berkaitan boleh digerakkan dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau menjelaskan program itu dijadualkan bermula Disember ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan sebelum diteruskan selama dua tahun.
Katanya, langkah itu menjadi pemangkin kerja berpasukan sekali gus memastikan pembangunan Felda terus seiring aspirasi negeri.
“Penggerak Madani mahu menyahut titah Tuanku dengan tindakan nyata. Kita mahu Felda kembali menjadi nadi ekonomi dan sosial negeri Pahang,” ujarnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Masalah dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila seramai 134,916 penagih dan penyalah guna direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka itu memberi gambaran jelas bahawa dadah bukan lagi isu kecil, sebaliknya ancaman serius yang boleh menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi negara.
“Di Pahang sahaja, seramai 9,452 penagih direkodkan dalam tempoh sama dengan kadar penagihan bersamaan 567 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan muda berusia 15 hingga 35 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak, Maran, hari ini.
Saifuddin berkata, dadah jenis sintetik seperti methamphetamine dan ketamin kekal menjadi pilihan utama penagih berbanding dadah tradisional, dengan penyebaran yang semakin meluas.
Menurutnya, keadaan di kawasan Felda di Pahang turut membimbangkan apabila faktor seperti kurang aktiviti sosial berfaedah, pengabaian pendidikan serta kelemahan pengawasan komuniti menjadikan kawasan itu lebih terdedah kepada gejala dadah.
Beliau berkata ketika ini seramai 53,800 klien sedang mendapatkan rawatan di pusat pemulihan penagihan narkotik (PUSPEN) dan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah di seluruh negara, manakala 1,917 orang lagi menerima rawatan di pusat pemulihan persendirian.
“Kerajaan tidak mampu bergerak sendirian. Usaha membanteras dadah memerlukan kerjasama strategik kerajaan negeri, agensi berkaitan dan masyarakat,
” katanya sambil menegaskan tumpuan kekal diberi kepada empat teras utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan, rawatan serta pemulihan berperikemanusiaan.-SAHIH