Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan diteruskan jika keadaan kekal
Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan diteruskan jika keadaan kekal
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Isnin ini akan tetap berlangsung seperti dirancang sekiranya keadaan jerebu kekal pada tahap semasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pada Jumaat.
Menurutnya, penilaian terhadap situasi jerebu terus dilakukan bagi memastikan keadaan berkenaan tidak menjejaskan kelancaran serta keselamatan sambutan pada 31 Ogos.
“Kami sudah mengadakan mesyuarat petang semalam melibatkan Jabatan Meteorologi, Jabatan Alam Sekitar, KKM, KPM dan semua yang merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan.
“Kita membuat keputusan bahawa sekiranya keadaan seperti yang sedia ada pada pagi ini dan semalam, kita akan teruskan dengan acara pada hari Isnin,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan di sini.
Fahmi berkata, sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, antara langkah yang dipertimbangkan ialah pelaksanaan operasi pembenihan awan.
Katanya, operasi berkenaan akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun pelaksanaannya bergantung kepada penilaian serta dapatan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), golongan berisiko khususnya individu yang mempunyai masalah kesihatan digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sambutan.
Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan kepada pengunjung.
Menurut Fahmi, lebih 10,000 peserta sambutan Hari Kebangsaan turut dibekalkan pelitup muka sebagai langkah persediaan sekiranya keadaan jerebu berterusan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, Fahmi Fadzil, jerebu, pembenihan awan, NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia, pelitup muka
