JERANTUT – Program Sukan Tahunan Kali Ke-31 bagi Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Jengka 24, dekat sini, berlangsung meriah.
Pelbagai acara diadakan sepanjang program berlangsung di padang sekolah itu, minggu lalu.
Penyertaan daripada ibu bapa dan penjaga memeriahkan lagi program berkenaan.
Sukan tahunan itu dirasmikan Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud dan hadir sama adalah guru besar sekolah berkenaan, Mohamad Banjirudin Ibrahim.
Selain membuka penyertaan kepada semua yang hadir, program itu yang bermula jam 8 pagi berjaya merapatkan lagi hubungan penduduk setempat dan kakitangan sekolah. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan semasa di beberapa sekolah rendah sekitar FELDA Wilayah Jengka.
Antara isu paling merisaukan ketika ini adalah kekurangan murid berikutan makin ramai generasi kedua FELDA memilih untuk berhijrah bagi mencari peluang pekerjaan lebih baik.
“Ada beberapa isu membabitkan kekurangan murid berlaku dan perkara seperti ini wajar dicari jalan penyelesaian.
“Ini kerana kebanyakan sekolah rendah dalam kawasan FELDA adalah anak-anak kepada generasi kedua tanah rancangan, manakala generasi ketiga pula sudah ramai berhijrah,” katanya.
Razak memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan masalah hak milik tanah dan isu kawasan untuk membina kediaman sendiri yang terhad.
Katanya, satu inisiatif boleh diambil pihak FELDA dengan menawarkan tanah untuk dijadikan tapak rumah supaya anak peneroka dari generasi ketiga akan kekal dalam kawasan tanah rancangan.
“Kalau isu ini boleh diselesaikan, saya percaya jumlah penduduk dalam kawasan FELDA akan bertambah.
“Ramai yang mahu kekal dalam kawasan tanah rancangan, namun mereka tidak ada tempat (tanah) untuk dijadikan kediaman..
“Saya bimbang jumlah murid sekolah akan terus merosot pada tahun mendatang jika perkara ini tidak ditangani dengan cermat oleh pihak berkaitan,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI dan barisan kepimpinan MPP Sesi 2023/2024.
Mahasiswa manfaat minggu suai kenal
MINGGU Suai Kenal tetap akan diadakan di universiti kerana manfaatnya yang besar kepada mahasiswa yang baru melangkah masuk ke Menara Gading.
Program seumpamanya memberi peluang kepada mahasiswa baharu saling mengenali dan sangat membantu dalam meneruskan pengajian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika berkongsi pengalaman silamnya ketika memasuki universiti sempena program ‘Catching Up with Doc Zam’, di Dewan Muallim di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
“Ketika saya belajar dahulu, ada rakan daripada keluarga susah yang memiliki sifat malu yang tinggi, saya lihat dia pergi kantin membeli nasi dan kuah sahaja kerana kesusahan.
“Oleh itu, melalui suai kenal boleh membantu kita kenal mengenali sesama sendiri dan boleh membantu serba sedikit dari kehidupan seharian dan juga dalam pengajian,” katanya.
Katanya, kisah benar itu mendorong beliau merancang pelbagai pendekatan kebajikan untuk membantu mahasiswa daripada keluarga susah dengan pelbagai pendekatan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi membantu mahasiswa yang berada dalam kesusahan dan menjaga kebajikan mereka di seluruh negara.
“Diakui UPSI adalah antara universiti yang paling aktif menjayakan program mobiliti pelajar dan ini antara perkara utama dari aspek pengantarabangsaan universiti.
“Selain itu memberikan peluang kepada mahasiswa memahami hala tuju pendidikan negara, malah memupuk hubungan lebih rapat antara pemimpin pendidikan dan generasi masa depan,” katanya.
Katanya, seperti Program ‘Catching Up with Doc Zam’ menjadi medan untuk mahasiswa meluahkan pandangan dan isu yang mereka hadapi sewaktu belajar.
Amirul Haiqal Amiruddin Baki mewakili Majlis Perwakilan pelajar (MPP) menerima Geran Aktiviti MPP bernilai RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti pelajar di UPSI selain bantuan pendidikan berjumlah RM25,000 untuk pelajar yang memerlukan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM400,000 oleh Pengarah PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar dan RM350,000 disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, iaitu sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR Zakat) untuk program pembangunan pelajar UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya, berkata kegigihan Dr Zambry daripada anak seorang nelayan mengharungi pengajian hingga berjaya dalam dunia politik perlu menjadi contoh kepada mahasiswa UPSI.
Prof Md Amin berkata, itu adalah simbol komitmen korporat terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, menzahirkan sinergi antara sektor pendidikan dan industri.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Menteri Kesuma, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan sumbngan perkeso kepada Muhammad Sayyid di rumahnya, baru-baru ini.
Dua beranak bersyukur terima bantuan Perkeso
JERANTUT – Dua beranak, Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, dan ibunya, Rosyati Mohd Noor, 54, ditimpa bencana penyakit dan kini cuma mampu bergerak menggunakan kerusi roda dan tinggal di Rumah Kos Rendah Peringkat 3 dan 4, dekat sini.
Muhamad Sayyid Azinuddin berkata, dia terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ketika pergi bekerja di sebuah agensi pelancongan di ibu kota pada 2 April lalu.
Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, dan ibunya, Rosyati Mohd Noor, 54
“Selepas terjatuh dalam kejadian kemalangab tersebut, saya tidak sedar dan kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kecederaan parah yang saya alami disahkan oleh pegawai perubatan apabila kulit kepala terkoyak, patah tulang pinggul, tulang rusuk patah, manakala sebatang tulang rusuk yang patah tertusuk ke bahagian paru-paru,” katanya di sini hari ini.
Menurut pemuda berkenaan, akibat patah tulang pinggul, dia tidak boleh berjalan dan perlu rawatan untuk menggantikan besi di pinggang bagi memulihkan supaya mampu bangun dan bergerak.
“Mujurlah, majikan saya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga boleh membantu membiayai rawatan menggantikan besi dipinggul dengan belanja yang agak mahal.
“Saya menghargai dan berterima kasih dengan Perkeso serta majikan tempat bekerja kerana tanggungjawab sosial membantu sehingga mampu meredakan sedikit keadaan penderitaan ini. Namun, saya masih tidak mampu berjalan hanya menggunakan kerusi roda,” katanya.
Muhamad Sayyid Azinuddin yang masih bujang berkata, dia kerap berulangalik ke HKL untuk menerima rawatan kecederaannya agak mengambil masa yang lama untuk pulih dan dalam tempoh ini tidak mempunyai sebarang pekerjaan untuk menyara keluarga.
“Baru-baru ini Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan pegawai Perkeso Pahang datang ke rumah memberi sumbangan bantuan Faedah Hilang Upaya Sementara bernilai RM8,666 dan bolehlah meringankan beban belanja keperluan di rumah, keluarga, kebajikan ibu dan ulang alik menerima rawatan,” katanya.
Manakala ibunya, Rosyati Mohd Noor juga pernah mencarum ketika bekerja sebelum ini telah dibantu oleh Perkeso dengan kemudahan menjalani rawatan fisioterapi penyakit angin ahmar di sebuah hospital di Melaka namun keadaannya tidak berubah malah berlaku apabila penglihatan semakin terjejas.
Katanya, ibunya juga seorang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 berasaskan pemegang Kad OKU serta barang keperluan dapur dari Majlis Ugama Islam Pahang dan bersyukur dengan inisiatif bantuan kedua agensi tersebut.
Tambahnya, dia masih mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib dan dermawan bagi memulihkan penyakitnya termasuk ibunya apabila keluarga itu perlu berbelanja kira-kira RM2,000 sebulan untuk berulangalik membuat rawatan di hospital, keperluan peralatan kebersihan diri, membeli ubat, bil dan sebagainya.
Orang ramai dan dermawan yang berhasrat untuk beramal jariah bolehlah menghubungi Muhamad Sayyid Azinuddin menerusi talian 010 9083447 atau terus ke akaun Bank CIMB bernombor 7618708374 (Muhamad Sayyid Azinuddin) – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Polis Bentong mohon orang ramai bantu cari Nardeep Kaur
BENTONG : Polis Bentong orang ramai cari seorang wanita berusia 38 tahun, kaum Punjabi yang dilaporkan hilang oleh ibu saudaranya semalam.
Wanita hilang itu, Nardeep Kaur yang tinggal di No : 335, Taman Saga , dekat sini dilaporkan hilangan oleh ibu saudaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 11.21 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita itu berkulit hitam manis, bertinggian kira-kira 153 sentimeter (cm) dan berat 75 kilogram (kg) dan berbadan sederhana pakaian.
“Pakaian terakhirnya sebelum dilapor hilang memakai berbaju kemeja T dan berseluar panjang.
“Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2231999,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Pelajar lelaki turut menerima sumbangan dan makanan ringan daripada dermawan.
30 pelajar Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin bermusafir
Pengerusi Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena, Kedah bersama 30 anak yatim, asnaf, miskin dan mualaf diberi peluang melihat dunia ‘luar’, selain bertujuan menimba ilmu yang secara tidak langsung dapat membantu menghilangkan rasa stres apabila hanya terperap di pondok.
Pengerusinya, Mohd Zahid Mat Saad berkata, dengan menaiki dua van dan sebuah kenderaan pelbagai guna, mereka menelusuri jalan kampung dan lebuh raya dari Kedah ke Kota Bharu, Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Melaka dan Lembah Kelang bermula pada 6 Oktober 2024 hingga sebelum pulang ke tempat asal pada 11 Oktober 2024.
“Dengan serba kekurangan dan sedikit dana kami membawa bekalan makanan sendiri supaya dapat dimasak dan makan bersama-sama sebagai langkah menjimatkan kewangan apabila tiba di satu-satu lokasi untuk berehat dan bermalam.
Pelajar lelaki turut menerima sumbangan dan makanan ringan daripada dermawan.
“Langkah bermusafir itu bersesuaian kerana pelajar di pondok berkenaan selain mengikuti pengajian kitab agama dan hafazan al-Quran mereka juga mengikuti pengajian akademik yang membolehkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil nasihat dan kerjasama pejabat pendidikan daerah,” katanya.
Beliau yang lebih mesra dipanggilan Pak Su, berkata bersama beberapa ustaz dan ustazah yang bertugas di pondok itu dia berbincang serta merancangkan program Musafir Ilmu untuk membawa pelajar mengunjungi berapa lokasi menarik termasuklah sekolah pondok atau pusat tahfiz.
“Kegembiraan dan rasa seronok dapat berkunjung ke tempat menarik terpancar pada setiap pelajar pondok ini yang membuatkan saya berasa sebak terutama anak yatim kerana mereka sudah lama menjadi penghuni pusat tahfiz,” katanya yang ditemui ketika mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor baru-baru ini.
“Ketibaan saya bersama-sama pelajar itu disambut oleh Pengerusi serta Penasihat PJMM, Azman Rasman dan Mohiadin Bahado dan turut hadir Setiausaha dan Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq serta Sazali Mohiden di samping Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24),” katanya.
Katanya, pada majlis itu turut diadakan persembahan qasidah dan berzanji oleh pelajar tahfiz serta sukarelawan PJMM dengan warga emas, sumbangan wang derma diikuti penyerahan barangan keperluan asas di samping pakaian terpakai.
“Selain itu berpeluang dapat bermalam bersama-sama pelajar di pusat pengajian itu dan turut mengambil bahagian mengikuti kelas dan pengajaran kitab dibimbing oleh ustaz-ustaz yang kali pertama berjumpa kerana sudah tentu ada perbezaan dari segi penyampaian dan sebagainya.
“Ini semua memberi pengalaman baharu kepada pelajar terbabit yang mungkin boleh dipraktikkan apabila pulang ke pondok nanti terutama dalam melakukan teknik menghafal, membuat nota pengajian kitab dan memperbaiki disiplin diri dalam menimba ilmu agama,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kuala Lumpur – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang meneliti kerangka perlindungan sosial yang baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari dan menyeluruh di luar waktu bekerja, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsip, kerangka baharu itu berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan, sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan.
“Dalam masa sama, Perkeso menyediakan insurans perlindungan sosial menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan kepada Orang Berinsurans yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (AKTA 789) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (AKTA 838),” katanya.
“Faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.
“Di bawah Skim Keilatan terdapat faedah pencen ilat, bantuan ilat, elaun layanan sentiasa, pencen penakat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional atau return to work atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan faedah pendidikan serta faedah perubatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) tentang tarikh skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah susulan peningkatan kos sara hidup yang mengurangkan kemampuan mendapatkan insurans kesihatan swasta.
Sumber : Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KESUMA tingkat kebolehpasaran graduan dalam industri 4.0
LIPIS : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengatur langkah meningkatkan kebolehan pasaran graduan dalam sektor teknologi industri 4.0 yang semakin kompetetif.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kesuma komited dengan pelbagai kemahiran di bawah kementerian itu untuk keboleh pasaran graduan dan pekerja selaras kehendak industri semasa.
“Ini bagi menangani guna tenaga kerja tidak penuh graduan baharu dan pekerja tempatan dengan menyediakan pelbagai latihan.
“Antara program yang diadakan seperti latihan sistem insuran pekerjaan Perkeso , skim Latihan bakal pekerja yang lebih memfokus kepada industri 4.0,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, setakat ini Perkeso mencatatkan 575,044 pencari kerja aktif direkodkan sejak Januari hingga 27 September 2024, berbanding 125,956 kekosongan jawatan yang diiklankan melalui portal Myfuturejob.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
394 kertas siasat, 628 ditangkap dalam Operasi Bersepadu Khazanah
JERANTUT : Sepanjang lima tahun Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) mulai tahun 2019 – 2023, sebanyak 394 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 628 tangkapan jenayah yang terdiri 470 warga tempatan dan 158 orang warga asing.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupkan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata sebanyak 2,128 jerat hidupan liar telah berjaya dimusnahkan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM 256.3 juta.
“Selain itu dalam OBK itu telah berjaya menahan tiga orang lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara Thailand dan dua orang lelaki warganegara Malaysia.
“Dalam operasi itu turut merampas bersama jentera dan peralatan melombong dan hasil rampasan dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM700,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Operasi Bersatu Khazanah (OBK) di Kuala Tahan, semalam.
Katanya, OBK turut diperluaskan bukan sahaja bertumpu kepada aktiviti membanteras jenayah hidupan liar dan alam sekitar, turut melindungi semua elemen-elemen khazanah negara termasuk unsur nadir bumi (REE) dan galian,” katanya hari ini.
“Operasi ini juga turut membanteras dan menangani isu pencerobohan, pembalakan haram, mencuri hasil hutan negara serta pemburuan hidupan liar dan lain-lain kesalahan jenayah di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta lain-lain perundangan bertulis.
“OBK turut melibatkan kerjasama antara Jabatan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).
Katanya, turut serta dalam OBK, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), lain-lain agensi berkaitan serta turut melibatkan kerjasama NGO berkaitan seperti Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS). Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung). Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MyCat), Panthera dan World Wide Fund for Nature (WWF).
“Kejayaan yang diperolehi dalam OBK ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi yang terlibat bersama menangani penjagaan hasil bumi negara yang bernilai tinggi agar tidak dirobek oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.
“Jabatan PERHILITAN mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar,” katanya.
Katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan. kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ISTIADAT PERKAHWINAN DIRAJA YAM TENGKU ARIF BENDAHARA BERMULA ESOK
KUANTAN, 21 Oktober 2024 – Istiadat Perkahwinan Putera Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada esok, Selasa 22 Oktober 2024 di pekarangan Istana Abdulaziz di sini.
Sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok yang dimulakan dengan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.
Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.
Pada pukul 6.30 petang pula, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini.
Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.
Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober 2024 dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober 2024.
Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.
Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pahang.
Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz.
Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada pukul 4.00 petang dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.
Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.
Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof. Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan.
Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.
Seterusnya, bagi mengakhiri semua istiadat, YAM Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.
Tembakan meriam dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung. -KESULTANAN PAHANG. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!