Pahang bantu penduduk Bentong, Pelangai yang memerlukan
BENTONG – ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam hari ini menyerahkan sumbangan kerajaan Pahang kepada penerima dari Bentong dan Pelangai.
Sumbangan itu adalah hasil inisiatif dan keprihatinan kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Penerima sumbangan dan bantuan ini adalah mereka yang memerlukan seperti penghidap sakit kronik atau masalah kesihatan lain.
“Turut menerima sumbangan adalah bagi tujuan pelajaran dan aktiviti kemasyarakatan melalui badan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga kecil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang memaklumkan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan sedia memberi bantuan kepada semua pihak yang memerlukan.
Katanya, dia juga akan cuba membantu mewakili penduduk Pahang yang boleh memberikan impak besar kepada semua golongan dan orang Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Semua 37 masjid dalam kawasan FELDA Wilayah Jengka akan mengadakan solat hajat dan doa selamat hari ini.
Solat hajat itu akan diadakan selepas selesai solat Maghrib.
Ia bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang akan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) esok.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah , Razak Daud berkata, selain solat hajat di masjid, jemaah haji Pahang yang berada di Makkah ketika ini turut akan mengadakan solat hajat.
“Saya pun sudah memaklumkan kepada rombongan jemaah haji Pahang mengenai hasrat untuk membuat solat hajat hari ini,” katanya yang turut berada di Makkah bagi menunaikan haji.
Razak berharap Wan Rosdy selamat menjalani rawatan di IJN dan kembali mentadbir Pahang selepas dibenarkan oleh pegawai kesihatan.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob melalui satu kenyataan media memaklumkan Wan Rosdy akan mula menjalani rawatan di IJN esok.
Zulkifli berkata, selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semua masjid dan surau di Pahang digalakkan mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan keselamatan Wan Rosdy. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Semua jemaah haji dari Pahang yang kini berada di Tanah Suci merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri.
Antara jemaah haji itu adalah Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud yang ke Makkah bersama isteri dan bapa mentuanya.
Razak sebelum ini menerima berita gembira susulan kejayaan anaknya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang diumumkan 27 Mei lalu.
Hari ini, dia melalui satu kiriman WhatsApp mengucapkan terima kasih kepada Wan Rosdy dan kerajaan Pahang kerana memberikan sumbangan RM750 kepada semua jemaah haji Pahang.
“Saya sempat memanjatkan doa di hadapan pintu Kaabah agar Datuk Seri MB (Menteri Besar) selamat menjalani pembedahan dan seterusnya kerajaan Pahang mendapat berkat di bawah pentadbiran beliau,” katanya.
Wan Rosdy pada 28 April lalu menyampaikan sumbangan kepada 1,588 bakal jemaah haji Pahang dalam satu majlis di masjid negeri.
Setiap bakal haji menerima RM750 serta pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji ‘ready to eat’ yang disediakan khas oleh kerajaan Pahang. – sahih
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Alimuddin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Guru UPSI 2024 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani! UPSI iktiraf kecemerlangan pendidik sempena Hari Guru!
SEMPENA sambutan Hari Guru Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024, Tanjong Malim, Perak, universiti itu bukan sahaja memberi penghargaan terhadap kakitangan, malah alumninya yang memperlihat sumbangan besar kepada dunia pendidikan negara.
Program itu bermula dengan bacaan Ikrar Guru Malaysia yang dipimpin oleh mahasiswa seorang guru Bahasa Inggeris dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Mohd Syafiq Rasidi dan diikuti dengan persembahan koir Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI yang menyanyikan lagu “Kami Guru Malaysia”, pada sambutan yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, pada 29 Mei 2024.
Alimuddin Mohd Dom merasmikan Sambutan Hari Guru UPSI 2024 dan menyempurnakan majlis prapeluncuran Global Educators Award.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, dalam ucapan aluannya, menekankan tema sambutan tahun ini, “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani” mencerminkan peranan penting guru pada era digital sekarang sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani yang berilmu, beretika dan berdaya saing.
“Guru bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi juga sebagai jauhari yang menggilap bakat dan potensi pelajar, membentuk mereka menjadi warganegara yang berintegriti dan produktif.
“Cabaran yang dihadapi guru pada era digital, di mana mereka diharapkan untuk menguasai ilmu pengetahuan serta mahir dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
“Ini adalah penting untuk memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan efektif serta efisien, menarik minat dengan memenuhi keperluan pelajar yang kian berubah,” tambah beliau.
Sementara itu, Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam ucapan perasmiannya menegaskan guru harus menjadi pemimpin dalam penggunaan teknologi digital untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang interaktif serta inovatif.
“Melalui pelbagai inisiatif dan program yang dijalankan, UPSI berusaha untuk memastikan setiap guru yang dilahirkan memiliki keupayaan untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.
Sempena sambutan yang mengiktiraf kecemerlangan pendidik dan sekolah, Anugerah Tokoh Pensyarah dinobatkan kepada Pensyarah Kanan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr Ghazali Din, Dr Intan Suria Hamzah (Fakulti Sains Kemanusiaan), Wan Mohd Syaril Annuar Wan Mohd Harith (Fakulti Muzik dan Seni Persembahan) dan Dr. Harnani Mat Zin (Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi).
Turut menerima anugerah yang sama ialah Dr Nor Mashitah Mohd Radzi (Fakulti Pembangunan Manusia), Prof Madya Dr Yakup Mohd Rafee (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Chm Dr Mohamad Idris Saidin (Fakulti Sains dan Matematik), Dr Siti Fairuz Yusoff (Fakulti Teknikal dan Vokasional), Prof Madya Dr Azila Abdul Razak (Fakulti Pengurusan dan Ekonomi), dan Dr Ebby Waqqash Mohamad Chan dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.
Pengiktirafan Sekolah Muallim diberikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, SMK Proton City, SMK Bandar Behrang 2020, SMK Methodist, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, SMK Slim, Sekolah Menengah Agama (SMA) Slim River, SMK Dato’ Zulkifli Muhammad serta Kolej Vokasional Slim River.
Tokoh Alumni dianugerahkan kepada Guru Penolong Kanan dari SMK Kuala Besut, Terengganu , Aznan Abas; Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kut Daro, Sarawak, Muhamad Tarmizi Awang; Guru Matematik Tambahan dari SMK St John, Kuala Lumpur, Venkateswaran Ramiah; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak Safuan Rabaai; serta guru dari Sekolah Kebangsaan Pos Musoh Landing Zone, Tapah, Perak, Muhammad Nur Asnawi Ramly.
Manakala Anugerah Pendidik Cemerlang diberikan kepada, bekas pensyarah UPSI, Profesor Dr Ahmad Hashim; Pengarah Pendidikan Tentera Darat, Leftenan Kolonel Norlin Salleh; Pengarah Urusan Qc Group Sdn. Bhd, Tajudin Mustafa; guru di SK Mahmud, Raub, Pahang, Kathiresan A/L Moorthy; serta Guru Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 1, Taiping, Perak, Goh Kok Ming, manakala Anugerah Khas Zakaria Kasa diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran.
Anugerah Tokoh Guru Suluh Budiman pula dianugerahkan kepada Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Datuk Dr Amin Senin.
Alimuddin turut menyempurnakan majlis prapeluncuran Global Educators Award (Anugerah Pendidik Sedunia) yang mengiktiraf sumbangan pendidik pada peringkat antarabangsa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Delegasi KAF kunjung hormat Timbalan Pengarah Besar FELDA
KUALA LUMPUR – Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam mengetuai delegasi daripada Kami Anak FELDA (KAF) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Pengarah Besar FELDA, Datuk Bainuri Aris, hari ini.
Kunjungan itu bagi membincangkan dan memperhalusi beberapa isu mengenai hala tuju selain isu berkaitan KAF dan FELDA.
“Perbincangan berkisar kepada pelaksanaan beberapa perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kedua pihak,” kata Amizar dalam satu hantaran di Facebook
Amizar memaklumkan, selepas kunjungan hormat itu, dia yang mewakili KAF Malaysia menghadiri Mesyuarat Perundingan Peneroka Kebangsaan.
“Mesyuarat ini adalah badan tertinggi yang bertanggungjawab membentuk dan meluluskan perkara asas dan penting kepada warga peneroka FELDA,” katanya.
Amizar berharap rutin berkenaan dapat memberi gambaran mengenai kepentingan warga peneroka FELDA dan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan serta kemakmuran semua warga peneroka di negara ini dan di Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang bakal ditubuhkan
JENGKA – Satu mesyuarat akan diadakan bagi menjayakan penubuhan Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang tidak lama lagi.
Sekretariat itu akan menggabungkan data sedia ada dimiliki Majlis Belia FELDA (MBF) Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF).
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, penubuhan sekretariat itu bertujuan bagi mengumpul semua anak FELDA Pahang yang berada di luar negeri ini.
“Kalau ikutkan data yang ada dengan KAF dan MBF, jumlahnya lebih 40,000 dan kalau semua kita boleh kumpulkan, sudah pasti ia akan memudahkan proses penyaluran maklumat berkaitan inisiatif disediakan kerajaan Pahang untuk mereka.
“Macam KAF sendiri yang mensasarkan jumlah 100,000 ahli… kalau sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang pun boleh mengumpul jumlah sama, itu sudah cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Segalanya FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, dekat Jengka, hari ini.
Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada JKKR, GPW, MBF dan KAF bagi tujuan pengurusan.
Mengulas mengenai pemberian geran pengurusan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan, Gerakan Peneroka Wanita (GPW), KAF dan MBF oleh kerajaan Pahang, Amizar berkata, ia adalah bukti jelas keprihatinan Wan Rosdy kepada warga peneroka.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy dan ini menunjukkan kepercayaan Datuk Seri kepada kita (warga peneroka FELDA).
“Jadi, kita harap semua inisiatif dan insentif diberikan kepada semua warga peneroka FELDA dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kad Kesihatan Kasih Makmur 2024 diagih untuk penduduk Pelangai
BENTONG – Seramai 467 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai menerima kad kesihatan Kasih Makmur.
Kad kesihatan itu adalah antara inisiatif kerajaan Pahang dalam mensejahterakan rakyat, terutamanya golongan warga emas.
Penyampaian kad kesihatan bagi DUN Pelangai dilakukan oleh Datuk Amizar Abu Adam di Dewan Orang Ramai Agropolitan Chemomoi, dekat sini.
“Melalui kad kesihatan Kasih Makmur, warga emas dan OKU akan menikmati kemudahan rawatan kesihatan di klinik swasta dengan peruntukan RM500 setahun.
“Sudah tentu ia akan membantu mempercepatkan proses rawatan untuk kumpulan sasar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang ADUN Pelangai menjelaskan kad kesihatan Kasih Makmur itu diperkenalkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak tahun 2022 lagi.
“Sehingga kini, lebih 30,000 penerima yang menikmati manfaat melalui bantuan ini.
“Beberapa cadangan tambah baik juga sedang dilakukan antaranya klinik bergerak bertemu rakyat dan beberapa ubat-ubatan yang boleh diambil oleh pemegang kad ini yang akan memberi makna yang besar kepada mereka,” katanya.
Amizar dalam masa sama merakam ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu menyelaras bantuan Kasih Makmur untuk DUN Pelangai dan seluruh Pahang. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Kawasan peranginan Genting Highlands terus menjadi antara lokasi tumpuan bagi pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang dipantau pihak PLANMalaysia, kerajaan Pahang dan pihak berkuasa tempatan.
Objetif utama kajian RKK Genting Highlands yang melibatkan keluasan 6,339.85 hektar adalah satu pelan perancangan untuk menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi bertaraf antarabangsa yang lestari.
Majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf RKK Genting Highlands dilakukan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar dalam perkongsian di Facebook berkata, program itu berlangsung selama sebulan bermula 2 Mei 2024 hingga 3 Jun 2024.
“Tujuan utama program publisiti ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk menyemak laporan draf RKK yang telah tersedia.
“Seterusnya orang awam boleh memberikan pandangan, cadangan serta maklum balas bagi menjayakan RKK ini,” katanya.
Amizar selaku ADUN Pelangai menjelaskan RKK ini juga selaras dengan hasrat Majlis Perbandaran untuk merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bentong sebagai bandar Eko pelancongan melalui pelaksanaan projek pembangunan semula merangkumi aspek flora dan fauna. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pelajar membuat senaman ringan bersama-sama warga emas untuk membina kecergasan.
Pelajar UIAM Pagoh santuni PJMM
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, Johor mengadakan Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Program itu menepati latihan luar kampus pelajar terbabit dalam mempertingkat keyakinan dan jati diri dengan berpegang utuh kepada nilai-nilai adat, budaya, agama dan bangsa apabila berada dalam lingkungan komuniti masyarakat pelbagai kaum.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu (Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari) UIAM Kampus Pagoh, Dr Nurul Jamilah Rosli, berkata apa yang pelajar belajar dalam bilik kuliah secara teori yang belum mencukupi atau menepati apabila mereka berdepan dengan masyarakat dalam kehidupan yang sebenar.
Dr Nurul Jamilah Rosli dan Azman Ras,am melakukan gimik perasmian Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah.
Justeru itu, hasil kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar sendiri membawa mereka keluar ke lapangan untuk menimba pengalaman menyantuni warga emas secara realiti dengan mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah.
“Program dianjurkan ini menepati dengan kursus dalam Program Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa diikuti pelajar terbabit yang membantu mereka bagi mula membina pengalaman baharu berdepan dengan orang ramai termasuk warga emas.
“Pelajar akan memahami khususnya sikap warga emas di pusat jagaan sebagai contoh menghadapi pelbagai masalah yang bukan setakat sahaja uzur malah ada antara mereka pelupa, dan kena bertanya berkali-kali untuk memahami apa soalan yang diajukan atau mengikuti arahan,” katanya.
Tambahnya, semua ini akan menguji kesabaran pelajar terbabit dan memikirkan cara terbaik bagi menyantuni warga emas seperti itu seperti bahasa yang perlu dituturkan, berlembut penuh sopan dan paling penting bersabar dengan mereka apabila bekerjaya nanti.
“Saya berpuas hati dengan pembabitan pelajar dalam program ini yang menunjukkan mereka bersikap positif dalam menjaga tatasusila melayani warga emas walaupun kali pertama terbabit dengan aktiviti khidmat komuniti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Program berkenaan, Jihan Irniesha Mohd Nazri, berkata objektif program itu adalah bagi mempertingkat kemahiran berbahasa pelajar melalui interaksi dengan warga emas, menekankan penggunaan bahasa yang santun dan hormat-menghormati.
Katanya, program ini untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar mengenai keperluan dan keinginan warga emas, dengan menitikberatkan kepentingan menunjukkan budi bahasa melalui komunikasi yang beretika.
“Program ini juga merupakan tugasan bagi subjek BMCO 3102: Kesantunan Berbahasa yang memerlukan pelajar untuk menghasilkan sebuah projek bagi menerapkan amalan kesantunan.
“PJMM dipilih kerana pusat jagaan berkenaan merupakan antara pusat jagaan yang terbaik dari aspek penerimaan untuk menjalankan program serta amat responsif terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan, urusan bersama pihak pusat itu juga amat mudah untuk pihak kami bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti dilakukan dalam program itu termasuklah senaman ringan, kotak beracun iaitu memerlukan warga emas menyanyi, berpantun atau bersajak dan secara tidak langsung mewujudkan hubungan ramah mesra serta pemberian hadiah kepada mereka.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diberi taklimat oleh pihak KPKT.
KPKT usaha majukan fasiliti di Pahang
PEKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha memajukan perumahan, kemudahan dan fasiliti di Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Pahang menyambut baik usaha itu dan perlu diteruskan bagi memastikan kelengkapan kemudahan seperti stesen bas dan perumahan yang selesa dapat dibina di negeri ini termasuklah di Daerah Pekan.
“Kerajaan Negeri berterima kasihlah kepada KPKT dan kakitangan yang telah bersama-sama hadir pada hari ini untuk mencari penyelesaian atau pun untuk memulakan langkah-langkah bagi memastikan projek yang dilaksanakan oleh KPKT ini dapat berjalan dengan baik.
“Bagi Kerajaan Negeri pula kita akan membantu sehabis baik untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar termasuklah pembinaan projek Pekan Sentral ini dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk dan Tapak Pembinaan Sentral Pekan di Pekan, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fakhruddin berkata, menerusi pembinaan Sentral Pekan dan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Paya Genuk di daerah itu akan dapat menggalakkan perkembangan pembangunan lain di kawasan sekitar.
“Pembinaan Sentral Pekan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain, sebagai contoh di belakang ini ada projek-projek swasta untuk membangunkan perumahan.
“Begitu juga apa yang berlaku di Projek PPR di Paya Genuk, kita jangkakan dengan terbinanya lebih kurang 200 unit rumah di Paya Genuk ini akan menjadi pemangkin baru dan dapat memenuhi keperluan perumahan yang kita jangkakan di Pekan ini apabila sebanyak 3,000 penduduk yang mendaftar memerlukan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pihaknya menjangkakan Pekan Sentral menjadi katalis kepada pembangunan di sekitar kawasan itu.
“Projek Pembinaan PPR Paya Genuk di Pekan membabitkan sebanyak 200 unit rumah dengan kos keseluruhan RM50 juta dan dijangka dapat memulakan pembinaannya pada penghujung tahun ini. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!