Guru ditahan bantu siasatan kes amang seksual murid lelaki
Guru ditahan bantu siasatan kes amang seksual murid lelaki
TEMERLOH: Seorang guru lelaki berusia 38 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 14 tahun selepas laporan dibuat ibu mangsa pada 15 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata polis mengesan satu hantaran tular di media sosial hari ini berkaitan kes berkenaan sebelum mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 38 tahun yang memaklumkan anak lelakinya mendakwa menjadi mangsa gangguan amang seksual.
“Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah di kawasan Kuala Krau dan mangsa mendakwa gangguan itu berlaku sejak tahun lalu.
“Susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga seorang guru di sebuah sekolah di daerah ini pada 16 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Nasyim berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam perbuatan amang seksual yang sedang disiasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi mendapatkan arahan lanjut selepas siasatan dilengkapkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan.
“Polis memandang serius kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan akan menjalankan siasatan secara telus serta mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-SAHIH
