PUTRAJAYA: Saringan yang dijalankan terhadap 90 individu berkaitan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, didapati negatif, setakat jam 12 tengah hari semalam.
Zulkifli sebelum ini dikesan positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia termasuk semua anggota mesyuarat yang dihadiri Zulkifli di Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu lalu.
Katanya, keadaan Zulkifli juga stabil setakat semalam.
Beliau berkata, Zulkifli sendiri membuat kenyataan melalui media sosial mengenai status kesihatannya sebelum ini.
“Setakat ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkaitan masih dalam proses mengenalpasti kontak rapat beliau dan menjalankan penilaian risiko dan saringan yang diperlukan.
“Alhamdulillah keadaan beliau stabil dan setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 90 individu disaring berkaitan beliau didapati negatif iaitu termasuk kesemua ahli mesyuarat yang dihadiri beliau di Pejabat Perdana Menteri pada 3 Oktober 2020.
“PKD akan meneruskan proses mengenalpasti kontak lain dan situasi semasa akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media COVID-19 yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook semalam.
Dr Noor Hisham, yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Media semalam melaporkan, Dr Zulkifli mengesahkan beliau disahkan positif COVID-19.
Melalui hantaran Facebook, beliau memaklumkan sedang menjalani rawatan dan keadaan kesihatannya baik walaupun sudah disahkan positif dengan penyakit itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hospital Tung Shin mengesahkan lima pesakitnya positif COVID-19, semalam.
Pengurusan hospital di ibu negara itu memaklumkan empat daripadanya rakyat tempatan yang dikesan dijangkiti wabak berkenaan menerusi saringan prapembedahan.
Katanya, seorang lagi individu warga asing yang dikesan positif apabila menjalani saringan praperjalanan.
“Pejabat Kesihatan Daerah segera dimaklumkan mengenai hal berkenaan dan semua pesakit sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pengesanan kontak dilakukan secara menyeluruh. Doktor, jururawat dan kakitangan kami yang mengendalikan pesakit berkenaan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) serta sentiasa mencuci tangan.
“Mereka semua dikategorikan sebagai kumpulan berisiko rendah. Bagi kumpulan berisiko sederhana, mereka semua menjalani ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).
“Individu yang tergolong dalam kumpulan ini semua sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, selari garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan pengesahan jangkitan itu, Hospital Tung Shin mengambil keputusan menutup semua kawasan terjejas seperti jabatan kecemasan dan kemalangan, klinik pakar, jabatan pengimejan serta wad pengasingan saringan COVID-19 bagi tujuan pembersihan.
Operasi bagi semua jabatan dan wad berkenaan disambung semula esok dan pengurusan hospital akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan pesakit, pelawat, doktor serta kakitanganya.
“Kami juga ingin menggesa semua supaya kekal tenang dan memberikan kerjasama kepada kami dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka sepanjang masa.
“Saringan suhu badan juga akan dilaksanakan, selain mengamalkan mencuci tangan secara kerap dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan negatif COVID-19, selepas membuat ujian calitan pada Isnin.
Perkara berkenaan disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Zulkifli Bujang malam tadi.
Hamzah antara anggota Jemaah Menteri yang menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Sabtu lalu, yang turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa semua kontak rapat, termasuk menteri Kabinet yang hadir di mesyuarat berkenaan, diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari Sabtu, selain turut dipakaikan gelang pengawasan.
Muhyiddin juga memaklumkan beliau sendiri menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu mengikut nasihat Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut hadir pada mesyuarat MKN itu juga, terpaksa menjalani kuarantin rumah.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan warga tempatan berusia setahun merupakan salah seorang daripada empat jumlah korban terbaharu akibat COVID -19 yang direkodkan pada Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes kematian ke-140 itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media hari ini.
Selain itu, beliau turut memberitahu, kematian ke-138 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September lalu.
Saringan COVID-19, kata beliau, didapati positif pada 26 September 2020.
“Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi,” katanya lagi.
Manakala kes kematian ke-139 pula, kata Dr Noor Hisham, merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020.
Menurut Dr Noor Hisham, ujian saringan COVID-19 ke atas mangsa berkenaan didapati positif pada 30 September lalu dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober pukul 5.05 pagi.
Kes kematian ke-141 pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.
Mangsa ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober pukul 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang.
“Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan COVID-19 dikesan positif,” jelasnya lagi.
Sumber: ASTRO Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, tidak dimaklumkan kejadian pencemaran sungai di Kampung Batang Benar, Pajam.
Pengarahnya, Azuri Azizah Saedon, berkata pihaknya tidak menerima aduan berhubung kejadian terbabit, selain menyuarakan kesediaan menyiasat kes terbabit secara menyeluruh.
“Saya sudah semak pangkalan data sejak April lalu sampai sekarang dan tidak ada aduan (pencemaran sungai di Kampung Batang Benar) sampai ke JAS Negeri Sembilan.
“Kami sedang menjalankan siasatan lagi dan premis berkaitan pun kita akan siasat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat, Selangor, dipercayai berpunca daripada mencuci secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta kawasan perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kes baharu Covid-19 dilaporkan terus meningkat kepada 691 berbanding semalam sebanyak 432 dan menjadikan kes terkumpul sebanyak 13,504, manakala kematian sebanyak 4 kes termasuk seorang bayi berlaku pada hari ini  menjadikan jumlah keseluruhan 141 kes kematian.
Kes baharu yang berlaku di Kedah 397 kes, di Sabah sebanyak 219 kes, manakala di Selangor sebanyak 38 kes termasuk seorang bayi berusia satu tahun.
Orang ramai dinasihat untuk sentiasa menjaga keselamatan kendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan cuba elak ke tempat tumpuan ramai.
Pemilik premis diingatkan turut memperketatkan SOP yang disarankan bertujuan membenteras penularan wabak yang semakin membimbangkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LAWAT 5 NEGERI, 3 MASJID, 3 IPT SEBELUM SAH POSITIF
KUALA LUMPUR: Seperti semua kes COVID-19 lain, pengesan kontak kini berlumba dengan masa untuk mengesan individu yang mempunyai kontak dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad sejak 14 hari lalu.
Kali ini, tugas itu menjadi lebih mencabar kerana dua minggu sebelum dijangkiti, Zulkifli telah merasmikan pelbagai acara dihadiri ratusan peserta, merentasi beberapa negeri- jika berdasarkan hantaran di laman Facebooknya.
Negeri-negeri berkenaan ialah Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Beliau turut melawat Putrajaya dan Kuala Lumpur,
Di tempat-tempat berkenaan, beliau dilihat memberikan ucapan di atas pentas, atau menyampaikan sijil atau bantuan dalam acara yang dihadiri ramai peserta.
Pada kebanyakan masa, Zulkifli mengenakan pelitup muka, tetapi ada ketikanya- seperti di Kampung Serusup, Tuaran ketika beliau menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan pada 24 September- pelitup mukanya diturunkan ke bawah.
Lawatan ke Sabah itu merupakan titik genting. Selain kes penjara di Alor Setar, Kedah dan kes-kes yang dikaitkan dengan pendatang tanpa dokumen di Klang, Selangor, hampir semua kes di Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah.
Selepas pulang dari Sabah, Zulkifli telah melawat beberapa masjid di pelbagai negeri, kebanyakannya untuk menyampaikan khutbah atau ceramah.
Ini termasuklah Masjid Dato Kelana Petra, Nilai, Negeri Sembilan, yang pada hari ini mengumumkan penutupan serta-merta sehingga pengumuman lanjut kerana beberapa suspek pesakit COVID-19 hadir ke masjid berkenaan.
Zulkifli menyampaikan khutbah di situ sebanyak dua kali sejak pulang dari Sabah.
Masjid dan surau lain termasuklah Masjid Ulul Albab di Jerteh (25 September), *Surau An-Nur di *Bangi* (27 September), Masjid Jamek Sultan Hisamuddin di *Serdang (3 Oktober).
Selain acara-acara, menteri itu turut berkongsi gambar mesyuarat yang dihadirinya, termasuklah di pejabatnya, yang menyaksikan kebanyakan peserta mesyuarat tidak memakai pelitup muka.
Beliau turut melawat kedai makan, dan seperti pelanggan lain, dia menanggalkan pelitup mukanya untuk makan, seperti di Putrajaya (Kedai Pak Tam Sup Utara di Presint 8) dan Tuaran (Gerai Kelapa Bakar Kak Tini).
Dalam pengumumannya hari ini, Zulkifli menggesa semua pihak yang mempunyai kontak dengannya untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan turut dikenakan perintah kuarantin di rumah, selepas berlakunya kontak dengan Dr Zulkifli dalam satu mesyuarat pada 3 Oktober.
Berikut adalah senarai tempat dan acara dilawati atau dihadiri menteri berkenaan sekembalinya dari Sabah, berdasarkan hantaran Facebooknya:
Majlis di Kampung Serusup. 24 September (Sabah)
Menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.
Kampung Serusup, Tuaran Menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada program Food Bank YAPEiM.
Gerai Kelapa Bakar Kak Tini Makan tengah hari.
Kediaman Sakaran Dandai
Melawat bekas gabenor Sabah dan isterinya
Lapangan Terbang Kota Kinabalu
Berlepas dari Sabah, dihantar oleh Mufti Sabah, Bungsu @ Aziz Jaafar.
25 September (Kelantan, Terengganu & Putrajaya)
Dewan Jubli Perak, Kota Bharu
Menghadiri Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Sekolah Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu Menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah.
Masjid Ulu Albab, Jerteh Menyampaikan khutbah Jumaat.
Kedai Pak Tam Putrajaya Sup Utara, Presint 8, Putrajaya
26 September (Kelantan, Kuala Lumpur)
-Dewan Jubli Perak, Kota Bharu Menghadiri program Tausiyah Khas Sempena Hari Terbuka YADIM
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Berlepas dari Kelantan.
PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur Mengagihkan zakat kepada penerima, sebagai sebahagian daripada program Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ
27 September (Selangor)
Surau An-Nur, Bangi Menyampaikan kuliah (bawah).
30 September (Selangor)
Hotel Movenpick, Sepang Menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara pada 30 September.
2 Oktober (Negeri Sembilan)
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Melancarkan portal Jom Infaq di USIM, Nilai. Turut menyampaikan khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz di universiti itu, dan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan universiti.
Zulkifli Mohamad menghadiri mesyuarat dengan pihak pengurusan USIM pada 2 Oktober, 2020. 3 Oktober (Selangor)
Jabatan Perdana Menteri Menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Serdang
Menyampaikan kuliah.
Dewan Muktamar Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu Menghadiri Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020 dan Majlis Penganugerahan Darul Quran JAKIM
Zulkifli Mohamad menyampaikan bantuan kepada pelajar UiTM, 4 Oktober 2020. 4 Oktober (Selangor)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Menyampaikan bantuan kepada pelajar (atas).
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi Menyampaikan bantuan kepada pelajar.
Hotel Geno, Subang Jaya Menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan al-Qur’an KAFA Peringkat Kebangsaan 1442 / 2020
Sumber: Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pengamal media diseru supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika bertugas bagi mengawal serta mengelak penularan jangkitan COVID-19.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Farah Marshita Abdul Patah berkata perkara itu penting kerana terdapat pengamal media yang positif COVID-19 selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
“Mana-mana petugas media yang baru pulang dari kawasan berisiko atau mempunyai gejala COVID-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.
“NUJM mengingatkan setiap petugas media supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan selain menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri.
“Ingat bahawa kita semua adalah petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerusi kenyataan di Facebook memohon kerjasama semua pihak terutama pemimpin negara yang menjemput media membuat liputan sesebuah acara supaya mengambil maklum tentang status kesihatan masing-masing.
“Sekiranya terdapat keraguan, penjelasan segera perlu diberikan supaya langkah pencegahan dapat diambil oleh mana-mana pengamal media bertugas yang berisiko sebagai kontak rapat individu tersebut.
“Tidak dapat dinafikan kesibukan pemimpin-pemimpin negara akhir-akhir ini secara tidak langsung telah meningkatkan risiko jangkitan terutama jika terdapat rekod perjalanan ke daerah yang mencatatkan jumlah kes positif tinggi.
“Pemakluman status kesihatan mereka di media sosial membantu wartawan dan orang awam yang pernah berinteraksi dengan mereka,” menurut Geramm.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan berkenaan keadaan semasa COVID-19, pada pukul enam petang ini.
Perutusan itu akan disiarkan secara langsung di Facebook dan juga saluran televisyen RTM, BernamaTV, TV3 dan AstroAwani.
Perkara itu dimaklumkan di laman Facebook rasminya tengah hari tadi.
Makluman itu tidak menyebut jika perdana menteri akan membuat sebarang pengumuman penting berkenaan perintah kawalan pergerakan.
Buat masa ini, Malaysia dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.
Negara menyaksikan kenaikan mendadak kes COVID-19 sejak bulan lalu, dengan keadaan kian memburuk sejak minggu lalu.
Sumber: Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu hasil siasatan dakwaan kegiatan pengubahan wang haram dilindungi pegawai atasannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata jika dakwaan itu benar, pihaknya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita menunggu apa juga laporan yang bakal dikongsikan oleh SPRM berhubung perkara itu.
“Sekiranya wujud unsur rasuah membabitkan warga PDRM dalam siasatan mereka, kita mengalu-alukan apa juga tindakan yang bakal mereka ambil,” katanya kepada BH, hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau memandang berat kes rasuah dan penyelewengan membabitkan pegawai dan anggota PDRM.
“Saya tidak akan sesekali berkompromi dan sekiranya ada, kami mengalu-alukan siasatan oleh SPRM,” katanya.
BH melaporkan ada dakwaan kegiatan MacauScam dan judi dalam talian di negara ini dilindungi polis, termasuk pegawai atasan yang menerima habuan daripada sindiket terbabit.
Ini menyebabkan kegiatan mereka sukar dibanteras dan keuntungan haram yang diperolehi kemudian dicuci menerusi pelaburan perniagaan.
Perkara itu timbul susulan siasatan SPRM terhadap sindiket MacauScam dan judi dalam talian yang disyaki menjalankan kegiatan pengubahan wang haram bernilai ratusan juta ringgit, baru-baru ini.
Wang yang diraih hasil kegiatan haram dilaburkan dalam perniagaan diusahakan selebriti tempatan.
Sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.
Kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahan beberapa individu disyaki untuk siasatan.
Setakat ini, lapan individu termasuk beberapa ahli perniagaan bergelar DatukSeri dan Datuk ditahan susulan siasatan yang dijalankan SPRM.
Dua dari mereka bagaimanapun dibebaskan petang tadi dengan jaminan SPRM.
Selain itu, beberapa artis dan selebriti terkenal tanah air turut dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung perkara itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!